Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak dijangka dapat disiapkan sepenuhnya tahun ini, namun bagi bahagian di Sabah pula, nampak gayanya masih lagi ‘terkontang-kanting’, begitulah yang diperkatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Justeru, beliau menggesa agar LPB Sabah disiapkan segera dan tidak mahu lagi melihat ia ditangguhkan. Katanya, perkara ini telah pun diserahkan kepada erajaan negeri untuk memastikan projek yang memberi manfaat kepada rakyat Sabah itu disiapkan secepat mungkin, laporan Berita Harian.
“(Lebuhraya) Pan Borneo Sarawak hampir siap. Sabah terkontang-kanting lagi. Jadi, sudah dipersetujui dengan kerajaan negeri Sabah, kita buat secepat mungkin. Saya beritahu (Menteri Kerja Raya) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, saya serahkan (kepada mereka), saya tidak campur. Saya nak cepat (disiapkan) supaya rakyat Sabah melihat ada projek puluhan bilion ringgit ini, lebuh raya terpanjang di Malaysia – Pan Borneo.
“Lebuh raya di Semenanjung ada tol, dibayar oleh pengguna. Lebuh raya di Sabah dan Sarawak, kerajaan beri percuma untuk rakyat guna,” kata beliau ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Sabah semalam.
Menerusi perkongsian di Facebook rasminya, Alexander Nanta Linggi berkata, “Setakat ini (29 Julai 2024), kemajuan fizikal semasa keseluruhan kerja LPB Sabah Fasa 1A (15 Pakej Kerja) ialah 77.41% dengan empat pakej telah disiapkan, iaitu WP05: Donggongon ke Papar pada 29 Ogos 2022, WP27: Kg. Lot M ke Mile 32 pada 18 November 2022, WP15: Tawau ke Semporna pada 10 Ogos 2023 dan WP21: Lahad Datu Bypass pada 30 Oktober 2023. Manakala 11 pakej masih diperingkat pembinaan dengan jangkaan siap keseluruhan pada Mac 2026.”
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.