Toyota sebelum ini telah ‘membangkitkan’ semula nama hatchback kompak ‘Starlet’ dengan memperkenalkan Toyota Starlet pada tahun 2020 khas untuk pasaran Afrika Selatan, yang sebenarnya merupakan model rebadge dari Suzuki Baleno yang diproduksi oleh Maruti Suzuki di India.
Kini sekali lagi nama ikonik tersebut digunakan untuk pasaran Afrika Selatan apabila Toyota memperkenalkan pula SUV kompak yang diberi nama sebagai Toyota Starlet Cross 2024. Sekali lagi model ini merupakan versi rebadge dari Maruti Suzuki Fronx, yang juga dikenali sebagai Toyota Urban Cruiser Taisor yang baru dilancarkan di India pada April lalu.
Starlet Cross ini merupakan SUV dengan panjang keseluruhan tidak sampai empat meter, atau lebih spesifik hanya 3,995 mm. Jadi ia merupakan SUV segmen-A dalam kelas yang sama seperti Perodua Ativa, Nissan Magnite dan sebagainya, lebih kecil dari Toyota Yaris Cross berasaskan platform DNGA yang sudahpun dilancarkan di Indonesia dan Thailand.
Namun tidak seperti Maruti Suzuki Fronx dan Toyota Urban Cruiser Taisor di India yang menerima pilihan enjin K12N empat silinder 1.2 liter NA sama ada digerakkan dengan petrol atau gas asli mampat (CNG) dan enjin petrol K10C 1.0 liter tiga-silinder turbo, Toyota Starlet Cross di India hanya ditawarkan dengan satu jenis enjin iaitu 1.5 liter petrol NA berkuasa 105 PS dan tork maksima 138 Nm.
Enjin tersebut dipadankan dengan pilihan kotak gear automatik empat kelajuan dan juga manual lima-kelajuan, kedua-duanya hanya memacu roda hadapan. Model dengan kotak gear auto boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat dan mencatatkan kelajuan maksima 170 km/j, manakala versi manual lebih pantas dengan pecutan sama dicapai dalam masa 5.6 saat dan kelajuan maksima 175 km/j.
Pada sebelah luar, Toyota Starlet Cross ini tampil dengan rupa yang sama sepenuhnya seperti Urban Cruiser Taisor, yang secara asasnya Fronx yang ditukar dengan beberapa perincian kecil seperti grafik lampu nyalaan siang, corak gril dan grafik LED lampu belakang yang berbeza.
Begitu juga pada bahagian kabin dimana Starlet Cross, Urban Cruiser Taisor dan Fronx berkongsi rekaan yang sama, dibezakan hanya logo pada roda stereng yang mengikut jenama masing-masing. Antara perincian yang diberikan termasuk pilihan skrin infotainmen 7- dan 9-inci dan juga pengecas telefon pintar tanpa wayar.
Kelengkapan keselamatan pula agak rendah di mana tiada sebarang sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) ditawarkan. Varian asas XR hanya diberikan dua-beg udara, manakala varian tertinggi XS pula menerima enam-beg udara. Sistem kawalan kestabilan elektronik, brek ABS dan EBD serta bantuan mula mendaki adalah standard untuk semua model.
Toyota Starlet Cross ini dijual pada harga bermula R299,900 (RM72k) untuk model asas XS MT dan R322,300 (RM78k) untuk XS AT. Varian tertinggi pula dijual pada harga bermula R339,300 (RM82k) untuk varian XR MT dan R359,300 (RM87k) untuk varian XR AT.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.