Nissan Magnite — harga untuk pasaran India bermula RM28k-RM52k, pilihan enjin 1.0 liter NA dan Turbo

Nissan Magnite — harga untuk pasaran India bermula RM28k-RM52k, pilihan enjin 1.0 liter NA dan Turbo

SUV Nissan yang dihasilkan lebih kecil dari Kicks, iaitu Magnite yang didedahkan di India bulan lalu, kini sudahpun dilancarkan secara rasmi pada pasaran berkenaan. Model tersebut akan ditawarkan dalam 10 varian berbeza (ya, 10!) dengan pilihan enjin 1.0 liter tanpa turbo dan juga enjin 1.0 liter tiga-silinder turbo.

Untuk model 1.0 liter NA, ia hanya digandingkan dengan kotak gear manual hadir dalam lima kemasan, dan ia ditawarkan dari versi paling asas XE dengan harga 4.99 juta rupee (RM28k) sehingga varian paling tinggi XV Premium dengan harga 7.55 juta rupee (RM42k).

Model dengan enjin 1.0 liter turbo dengan kotak gear manual pula ditawarkan dalam tiga kemasan, bermula versi XL dengan harga 6.99 juta rupee (RM39k) hingga versi tertinggi XV Premium berharga 8.45 juta rupee (RM47k).

Nissan Magnite — harga untuk pasaran India bermula RM28k-RM52k, pilihan enjin 1.0 liter NA dan Turbo

Manakala model dengan enjin 1.0 liter turbo bersama kotak gear automatik CVT juga ditawarkan dalam tiga kemasan, bermula dengan versi XL berharga 7.89 juta rupee (RM44k) sehingga versi tertinggi XV Premium berharga 9.35 juta rupee (RM52k).

Nissan belum mengumumkan sebarang spesifikasi untuk enjin 1.0 liter tanpa turbo untuk Magnite ini. Manakala untuk versi turbo, ia dijana oleh enjin HRA0 – macam pernah dengar? Ya, ia enjin yang sama dalam perut Nissan Almera turbo pasaran Thailand dan Malaysia. Walau bagaimanapun, talaan kuasa untuk Magnite turbo ini juga masih belum diumumkan secara rasmi.

Menurut Nissan, rekaan Magnite ini dibuat di Jepun, namun ia dihasilkan dengan “mengambil kira keperluan unik dan aspirasi pelanggan sekitar India.” Walau bagaimanapun, Magnite turut dirancang untuk dilancarkan di pasaran lain kemudian.

Rekaan versi produksi Magnite ini juga dilihat tak lari jauh dari versi konsepnya. Pada bahagian muka, ia diberikan gril besar bersama sepasang lampu utama yang nipis. Lampu nyalaan siang dihasilkan berasingan, dengan jalur LED berbentuk-L yang diletakkan pada bucu bampar, dan ia turut diberikan kemasan skid plate bagi melengkapkan rupa lasaknya.

Kesemua ruang roda turut diberikan kemasan overfender, dan ia bersambung dengan kemasan sama pada panel rocker sisi serta pada bampar hadapan dan belakang bagi menghasilkan perlindungan sekeliling badan. Penampilan bahagian belakang pula dilengkapkan lampu LED yang direka melintang bersama spoiler pada pada bahagian atas pintu tailgate.

Magnite dipadankan dengan rim bersaiz 16-inci dan tayar tebal dengan saiz 195/60R16. Ia mengahsilkan jarak kelegaan tanah setinggi 205 mm.

Nissan Magnite — harga untuk pasaran India bermula RM28k-RM52k, pilihan enjin 1.0 liter NA dan Turbo

Menurut Nissan lagi, Magnite menawarkan ruang yang luas, posisi duduk yang tinggi serta jarak tempat duduk hadapan terbaik di dalam kelasnya (700 mm). Penumpang belakang juga dikatakan boleh menikmati “ruang kaki yang biasanya terdapat pada kenderaan satu kelas lebih tinggi” serta ruang barangan belakang 336 liter.

Dalam kabin, Magnite diberikan papan pemuka dengan rekaan bertingkat bersama corong pendingin hawa berbentuk heksagon manakala di tengah pula terdapat skrin sesentuh lapan inci untuk sistem infotainmen yang boleh disambung dengan Android Auto serta Apple CarPlay. Butang penghidup enjin terletak rendah di konsol tengah dan di bawahnya terdapat tempat simpanan barang serta soket USB.

Kelengkapan lain turut diberikan pada Magnite termasuk panel instrumen TFT tujuh inci, cruise control dan tempat duduk dibalut fabrik. Nissan juga menawarkan pakej Tech Pack yang menambah pengecas tanpa wayar, pembersih udara, sistem bunyi JBL, lampu suasana serta lampu di bawah cermin sisi yang menyala apabila pintu dibuka.

Untuk keselamatan, Magnite pasaran India dilengkapi dengan dua beg udara, ABS, EBD, Vehicle Dynamic Control, Traction Control, Hill Start Assist dan kamera 360 darjah.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required