Thailand baru sahaja menerima Nissan Kicks facelift 2020 minggu ini, dan pasaran berkenaan diberikan versi hibrid petrol elektrik yang diberikan sistem range extender e-Power. Namun di India, pelanggan untuk pasaran berkenaan akan menerima Nissan Kicks yang betul-betul ‘kick’, dijana oleh enjin turbo buat pertama kali.

Untuk lebih spesifik, Kicks berkenaan diberikan enjin HR13DDT 1.33 liter empat silinder dengan sistem suntikan bahan api terus dan pengecas turbo tunggal, yang mampu menghasilkan 156 PS dan tork maksima 254 Nm. Macam pernah dengar? Ya, ini enjin yang sama (tetapi dengan talaan kuasa lebih rendah) boleh anda temui dalam perut Mercedes-Benz A 200 W177!

Tidak seperti A 200 yang menerima kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan, enjin pada Kicks ini digandingkan dengan pilihan kotak gear Xtronic CVT Nissan bersama lapan-kelajuan maya atau manual enam-kelajuan.

Selain versi turbo ini, pilihan enjin 1.5 liter NA HR15DE berkuasa 106 PS/142 Nm masih ditawarkan pada model varian asas. Tetapi penawaran model dengan enjin diesel terpaksa dihentikan kerana ia tidak lagi sesuai dengan standard emisi di India yang semakin ketat.

Walau bagaimanapun untuk pengetahuan anda, Nissan Kicks pasaran India ini sebenarnya tidak diasaskan dari platform V Nissan seperti Kicks untuk pasaran global termasuk Thailand dan juga model yang akan di terima di Malaysia sedikit masa lagi.

Sebaliknya Kicks di India dihasilkan dari platform B0 untuk model-model bajet Pakatan Renault-Nissan seperti Dacia Duster dan juga Renault Captur pasaran India dan Rusia. Jadi walaupun anda lihat rupanya hampir sama, ia sebenarnya adalah dua model berbeza dan tidak akan menerima perubahan muka dengan gril signatur V-motion baharu Nissan.

Selain dari penawaran enjin baharu ini, Nissan Kicks pasaran India kini turut diberikan ciri-ciri baharu seperti lampu hadapan dan pengelap cermin automatik, lampu kabus dengan fungsi membelok, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, fungsi start/stop automatik, dan juga sistem infotainmen yang dilengkapi skrin lapan-inci serta fungsi arahan suara.

Ia turut hadir dengan fungsi-fungsi terhubung NissanConnect termasuk sistem paparan status kenderaan, penjejak penyelenggaraan dan juga hubungan kepada jam tangan pintar. Nissan Kicks 2020 pasaran India ini dijual pada harga bermula 949,990 rupee (RM54,700) untuk model asas 1.5 XV manual sehingga 1,414,990 rupee (RM81,400) untuk model tertinggi 1.3 Turbo XV Premium CVT.