Nissan India telah mendedahkan sebuah SUV segmen B konsep yang dinamakan sebagai Magnite buat pertama kalinya kepada dunia. Walaupun masih sebuah model konsep, ia memberi gambaran awal kepada versi produksi sebuah model global yang akan diperkenalkan tidak lama lagi dan duduk satu tahap di bawah SUV Kicks.

Magnite dibina atas platform modular CMF-A+ yang turut digunakan pada Renault Triber, dan ia nanti akan bersaing dalam kategori kenderaan yang mempunyai panjang di bawah empat meter menentang Vitara Brezza dan Hyundai Venue.

Melalui informasi yang diperoleh, Magnite dikatakan asalnya dibina untuk menggunakan jenama Datsun, tetapi disebabkan syarikat itu mahu memperlahankan jenama tersebut, ia telah ditukar untuk menjadi sebuah Nissan. Sebab itulah anda boleh melihat gril hadapannya mempunyai rekaan seperti Datsun moden dan bukannya V-motion yang banyak digunakan kenderaan Nissan sekarang.

Kemudiannya, walaupun Magnite ini terletak di bawah Kicks dalam barisan kenderaan Nissan, ia masih mempunyai bentuk sebuah SUV sebenar yang tegap dengan penggunaan lengkung roda menggelembung berserta kemasan plastik, kemasan seperti skid plate di bawah bampar, rim dua tona, lampu LED, rel bumbung serta rim dua tona.

Walaubagaimanapun, kita masih tidak mengetahui bahagian mana yang akan dikekalkan untuk versi produksi yang dijangka masuk ke dalam pasaran pada tahun hadapan. Untuk enjin, ramai yang menjangkakan unit sama seperti Triber iaitu 1.0 liter NA yang mampu menghasilkan 71 hp/96 Nm serta versi turbo enjin sama yang berkuasa 99 hp/160 Nm.

Bahagian dalam Ignite tidak ditunjukkan tetapi Nissan mendakwa ia akan menyediakan ruang antara yang terbesar di dalam kelasnya dan akan dilengkapi dengan teknologi seperti skrin sesentuh 8.0 inci, sistem sambungan, kamera 360 darjah dan cruise control.