Rapid KL telah memaklumkan bahawa beberapa stesen LRT, MRT dan Monorel akan dilanjutkan waktu operasinya hingga jam 12.30 pagi pada 17 Ogos (setepatnya pada 18 Ogos) ini. Ia adalah sempena dengan perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor yang akan berlangsung di Stadium Merdeka pada tarikh berkenaan.
Stesen yang terbabit ialah Stesen Monorel Maharajalela, Stesen MRT Merdeka, Stesen LRT Hang Tuah, Stesen MRT Titiwangsa, Stesen LRT Pasar Seni dan Stesen LRT KL Sentral.
“Stesen-stesen sambungan juga turut dilanjutkan waktu operasi bagi membawa penumpang ke destinasi akhir. Anda disarankan menggunakan kad TnG dan pastikan baki kad anda mencukupi untuk kelancaran perjalanan,” kata Rapid KL.
Rapid KL turut berkongsikan tip untuk ke Stadium Merdeka bagi pengguna perkhidmatannya. Bagi yang menaiki monorel, boleh turun di Stesen Monorel Maharajalela dan keluar dari pintu B, kemudian berjalan kaki sejauh 100 meter menuju ke Gate 8 stadium terbabit. Bagi yang menaiki monorel dan turun di stesen Hang Tuah, boleh keluar ke pintu A dan berjalan kaki sejauh 700 meter untuk ke Gate 3 dan 4 di stadium.
Bagi yang menaiki MRT pula, boleh turun di stesen Merdeka dan keluar dari pintu B, kemudian berjalan kaki sejauh 500 meter untuk ke Gate 3 dan 4 di stadium. Manakala yang menaiki LRT, boleh turun di stesen Hang Tuah dan berjalan kaki sejauh 720 meter juga untuk ke gate yang sama di stadium.
Turut dimaklumkan bahawa laluan akses di Stesen Monorel Maharajalela terus ke perkarangan stadium dan Masjid Al-Sultan Abdullah akan dibuka untuk kemudahan pengguna.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.