Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli mengesahkan pihaknya sedang memperincikan sistem dan penyelarasan proses bagi program peralihan khas yang perlu dijalani pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2, sebelum dapat tukar ke B penuh.
Jelasnya, perkara tersebut sedang diteliti sebelum diumumkan dalam masa terdekat. Di mana menerusi program peralihan khas ini, pemegang lesen B1/B2 sedia ada tidak akan diberikan penukaran lesen B penuh secara automatik sebaliknya perlu menjalani latihan selama dua jam sahaja sebelum menduduki ujian amali di institut memandu.
“Kerajaan sudah menetapkan syarat untuk menyertai program ini iaitu individu terbabit telah memegang LMM kelas B1 atau B2 melebihi tempoh 10 tahun, tiada saman dan tidak mempunyai senarai hitam (kesalahan JPJ). Masih ada ujian amali iaitu mereka perlu menunggang motosikal lebih 500cc dan penilaian serta kelulusan daripada pegawai JPJ bagi menentukan mereka (penunggang) ini layak atau tidak (mendapatkan lesen kelas B),” katanya menerusi laporan eksklusif Bernama.
Tambahnya lagi, calon yang menyertai program itu akan dikenakan yuran sebanyak RM160, berbanding proses bagi mendapatkan LMM kelas B sebelum ini membabitkan dua jam kelas teori dan 9.5 jam latihan litar dengan bayaran RM900.
Pada 2 Ogos lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan program peralihan khas yang membabitkan pemegang lesen kelas B1 dan B2 untuk beralih dan mendapatkan LMM kelas B bermula 1 Oktober ini.
Selain daripada pelaksanaan program khas peralihan, Loke turut memaklumkan bahawa lesen kelas B1 (motosikal kurang 499cc) juga akan digabungkan dengan kelas B. Di mana penggabungan ini ditetapkan setelah mengambil kira permintaan mendapatkan LMM kelas B1 adalah terlalu rendah pada setiap tahun kerana orang ramai akan terus memilih mendapatkan kelas B sahaja.
“Mulai 1 Oktober 2024, tiada lagi program mendapatkan LMM kelas B1 di IM akan dibuka kepada orang ramai. Dengan mendapatkan LMM Motosikal kelas B, individu layak memandu semua kuasa (cc) motosikal, dan tidak terhad kepada motosikal berkuasa 499cc ke bawah sahaja bagi kelas B1. Bagi pemegang lesen B1 sedia ada, mereka akan kekal di kategori berkenaan atau boleh menjalani program khas di atas bagi mendapatkan kelas B,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.