Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) selaku pengendali perkhidmatan pengangkutan bas Rapid KL dan bas perantara MRT, telah melancarkan projek percubaan lorong bas di Jalan Klang Lama dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Lorong bas sepanjang 6.37 kilometer ini bermula dari Jalan Puchong ke Jalan Klang Lama Off Jalan Halimahton dan merupakan projek lorong bas ketiga buat Rapid KL. Projek ini dijangka dapat membantu mengurangkan masa perjalanan serta kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit, dan memberi penjimatan masa perjalanan sehingga 10 minit dari Kinrara ke arah Pusat Bandaraya.
Muhammad Yazurin Sallij, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus berkata, “Semenjak pelaksanaan lorong bas di koridor Jalan Ampang dan koridor Jalan Genting Kelang pada tahun 2023, pihak Rapid Bus telah mencatatkan peningkatan penumpang masing-masing sebanyak 27% dan 42%. Kami berharap manfaat kelancaran perkhidmatan dan penjimatan masa akan dapat terus menarik minat orang ramai untuk beralih menggunakan pengangkutan bas.”
Beroperasi pada waktu puncak pagi, iaitu dari jam 6 pagi sehingga 8 malam, Isnin hingga Jumaat (kecuali cuti umum), projek percubaan lorong bas di Jalan Klang Lama ini akan memberi manfaat kepada komuniti penduduk di sekitar kawasan Puchong, Sri Manja, Taman Kinrara, Taman Desa, Taman OUG dan Jalan Kuchai Lama.
Ia melibatkan 42 buah bas dari enam laluan iaitu 600 (Hab Puchong Utama – Hab Pasar Seni), 640 (Hab Seri Manja – Hab Pasar Seni), 650 (Taman Desa – Hab Pasar Seni), 641 (Pearl Point – LRT Subang Jaya), 651 (Pearl Point – LRT Muhibbah), dan 652 (Batu 3 Jalan Klang Lama,BHP–LRT Awan Besar).
“Para penumpang yang menggunakan laluan-laluan tersebut tidak hanya terhad untuk ke destinasi di hentian-hentian bas ini sahaja. Mereka boleh meneruskan perjalanan lebih jauh dengan kesalinghubungan yang boleh mereka nikmati termasuk Hab Pasar Seni dengan menaiki LRT Laluan Kelana Jaya untuk ke Putra Heights atau Gombak, dengan menaiki MRT Laluan Kajang untuk ke Kajang mahupun Kwasa Damansara, dengan menggunakan perkhidmatan bas GoKL.
“Selain itu, dengan menaiki LRT Subang Jaya, penumpang boleh meneruskan perjalanan ke Putra Heights atau Gombak dengan menaiki LRT Laluan Kelana Jaya serta dari LRT Muhibbah / LRT Awan Besar dengan meneruskan perjalanan ke Putra Heights atau Sentul Timur dengan menaiki LRT Laluan Sri Petaling,” kata kenyataan yang dikeluarkan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.