Selepas kerjasama Proton dan Geely dimeterai pada 2017, setahun selepas itu Proton disahkan menerima lesen untuk mengilangkan tiga model Geely dengan jenamanya di Malaysia iaitu Boyue (sebagai Proton X70), Binyue (sebagai X50) dan juga MPV tujuh-tempat duduk Jiaji yang dikhabarkan akan menggantikan Exora.
Tetapi rancangan asal untuk menghasilkan model MPV tersebut nampaknya berubah, kerana Proton menghasilkan SUV tujuh tempat duduk X90 yang diasaskan dari Geely Haoyue. Namun nampaknya Jiaji bakal dijelmakan juga dalam versi pemanduan sebelah kanan, tetapi bukan dengan jenama Proton. Sebaliknya ia akan masuk ke pasaran Indonesia di bawah jenama yang dikenali sebagai Aletra.
Berdasarkan maklumat yang dicungkil dari laman LinkedIn jenama itu, Aletra adalah sebahagian dari syarikat yang dikenali sebagai PT Sinar Armada Globalindo (PT SAG). Syarikat tersebut telah menjalinkan kerjasama eksklusif dengan Livan Automotive sejak 2023.
Livan Automotive ini pula juga merupakan jenama baharu yang dibentuk pada 2022, menerusi penyatuan Shanghai Maple yang dimilik oleh Geely dengan Lifan Technology, dan kerjasama antara Lifan Group dan Geely Qizheng (juga dimiliki oleh Zhejiang Geely Holding).
Aletra telah pun mewujudkan laman sosialnya, dan berdasarkan hantaran yang dibuat model pertama jenama tersebut yang akan dilancarkan di Indonesia merupakan MPV EV yang diasaskan dari model Geely/Livan Maple 80V L. Macam kenal rupa MPV tersebut bukan? Ya, ia sebenarnya Geely Jiaji dalam versi yang diana unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya (EV).
Di China Maple 80V L ini digerakkan oleh satu motor elektrik yang memacu roda hadapan berkuasa 136 PS (100 kW) dan tork maksima 230 Nm. Ia menerima dua pilihan bateri lithium logam fosfat (LFP) sama ada dengan kapasiti 50.4 kWj bagi memberikan jarak gerak 407 km (CLTC) atau dengan kapasiti 68.08 kWj memberikan jarak gerak 515 km (CLTC). Harganya pula bermula 161,700 yuan hingga 178,700 yuan atau sekitar RM99k hingga RM110k.
Menerusi hantaran media sosial itu juga ada menyebut MPV Aletra ini akan dilancarkan dalam 93 hari lagi, mungkin akan membuat kemunculan di Gaikindo Jakarta Auto Week (GJAW) kerana ia berlangsung pada November nanti. Nama rasmi dan juga perincian lain untuk MPV pasaran Indonesia ini mungkin hanya diumumkan ketika pelancarannya nanti.
GALERI: Geely Jiaji L 2022 pasaran China
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.