Geely Jiaji L dilancar di China – model facelift dengan gril Infinite Weave Proton, 1.5L Turbo empat-silinder

Geely Jiaji L dilancar di China – model facelift dengan gril Infinite Weave Proton, 1.5L Turbo empat-silinder

Sebelum ini ada khabar menyatakan Proton bakal menghasilkan MPV baharu bagi menggantikan Proton Exora berasaskan Geely Jiaji. Namun projek tersebut ‘sepi’ buat masa sekarang, sebaliknya Proton dilihat sedang membangunkan SUV tujuh tempat duduk berasaskan Geely Haoyue yang dijangka bakal diberi nama Proton X90.

Tetapi sekiranya ‘Exora’ generasi baharu yang disebut-sebut sebelum ini benar-benar dihasilkan, rupa model berkenaan mungkin agak seiras dengan facelift baharu untuk Geely Jiaji pasaran China ini yang digelar Jiaji L. Ini kerana rupa MPV yang pernah tertiris pada April lalu tersebut mengenakan rekaan gril hadapan signatur Proton iaitu Infinite Weave!

Bagi yang masih belum mengetahui, rekaan Infinite Weave dihasilkan oleh Proton yang diinspirasikan dari corak ukiran rumah-rumah tradisional masyarakat Melayu. Ia pertama kali tampil pada model produksi Proton menerusi X70 pada 2018, namun sebelum itu elemen rekaan yang sama sebenarnya telah pun tampil pada model konsep Proton Tuah pada 2010.

Geely Jiaji L dilancar di China – model facelift dengan gril Infinite Weave Proton, 1.5L Turbo empat-silinder

Jiaji L ini juga menerima rekaan bampar hadapan baharu menampilkan gril bahagian bawah berbentuk trapezoid yang lebih besar, menghasilkan bentuk-X secara keselurhan pada muka MPV berkenaan. Ia juga menerima kemasan liang pengambil udara sisi berbentuk segitiga, yang turut menjadi perumah kepada jalur lampu LED.

Di belakang, ia bukan sahaja menerima grafik LED baharu pada lampu, malah kluster lampu berkenaan juga diubah di mana lampu pada bahagian pintu hatch kini lebih nipis, dan menerima bar lampu yang merentangi sepenuhnya. Rekaan bampar juga nampak lebih sporty dengan reflektor cahaya kini diletakkan sendeng dengan kemasan seakan liang pengambil udara.

Perubahan rekaan luarannya juga menyebabkan Jiaji L ini 120 mm lebih panjang dari model sebelumnya, dengan ukuran 4,826 mm. Ia juga kini 18 mm lebih rendah dengan tinggi 1,695 mm. Namun lebar dan jarak rodanya masih sama iaitu masing-masing 1,909 mm dan 2,805 mm.

Geely Jiaji L dilancar di China – model facelift dengan gril Infinite Weave Proton, 1.5L Turbo empat-silinder

Rombakan turut dibuat pada sebelah dalam kabin dimana papan pemuka Jiaji L ini nampak lebih ringkas. Skrin sesentuh infotainmen berdiri sendiri di tengah masih kekal dengan saiz 12.3-inci tetapi menerima tingkat taraf menggunakan sistem pada cip E02 terbaharu Geely. Manakala paparan instrumen digital penuh yang sebelum ini bersaiz tujuh-inci dibesarkan kepada 10.25-inci.

Konsol terowong tengah juga disusun semula dengan membawa tuil penukar gear ke sebelah kiri berbanding di tengah sebelum ini, yang bukan sahaja memudahkan pemandu lebih mudah mencapai, malah ia turut memberikan ruang storan yang jauh lebih besar. Tiada perubahan pada susunan tempat duduk di mana ia masih ditawarkan dalam susunan 2-2-2 dan 2-3-2.

Jika Jiaji sebelum ini ditawarkan dengan pilihan 1.5L T-GDI, 1.8L T-GDI, hibrid ringkas dan PHEV, Jiaji L ini pula hanya tampil dengan enjin 1.5 liter empat-silinder turbo. Enjin berkenaan menghasilkan kuasa 181 PS (178 hp) pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 290 Nm bermula 2,000 hingga 3,500 rpm.

Geely Jiaji L dilancar di China – model facelift dengan gril Infinite Weave Proton, 1.5L Turbo empat-silinder

Kuasa hanya dialirkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan 7DCT. Menurut Geely, padanan unit rangkaian kuasa ini membolehkan Jiaji L mencapai penggunaan bahan api 6.9 l/100 km serta kelajuan maksima 190 km/j.

Geely Jiaji L ini ditawarkan dalam tiga varian berbeza, dijual pada harga bermula 119,800 yuan (RM77,688) hingga 142,800 yuan (RM92,603). Antara kelengkapan yang ditawarkan termasuk lampu hadapan LED, rim 17- dan 18-inci, tempat duduk hadapan larasan berkuasa, upholsteri kulit, sistem penghawa dingin dua-zon dengan penghembus kabin belakang bersama penuras CN95, penegcas telefon pintar tanpa wayar dan enam pembesar suara.

Untuk keselamatan, model ini menerima enam-beg udara serta sistem bantuan pemanduan yang menampilkan brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong dan cruise control adaptif.

Berdasarkan laman sesawang rasmi Geely untuk pasaran China, model biasa Geely Jiaji kini tidak lagi ditawarkan dengan enjin turbo 1.8L. Model dengan sistem PHEV pula masih menerima padanan enjin 1.5 liter tiga silinder turbo berkuasa 177 PS/255 Nm digandingkan dengan motor elektrik yang memberikan kuasa keseluruhan 258 PS/415 Nm.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required