Geely Jiaji (kod nama VF11) telah dilancarkan di China pada Mac 2019 dan tidak lama lagi ia bakal menerima versi facelift, menurut laporan CarNewsChina. Sebelum ini dilaporkan, MPV tiga-barisan tempat duduk ini, merupakan salah satu daripada kenderaan Geely yang memberikan kebenaran buat Proton memperoleh penggunaan harta intelek (IP) dan hak untuk mengeluarkannya, dan ada perkhabaran mengatakan ia adalah pengganti Exora.

Foto spyshot untuk MPV yang diberikan suntikan lebih segar ini kelihatan tampil dengan bahagian hadapan yang disemak semula, dengan mengadaptasi falsafah rekaan Geely iaitu Vision Starburst. Hasilnya, wajah berbentuk-X ini kelihatan sedikit sama dengan gril Lexus, sementara gril “Kosmos yang lebih besar” turut dibentukkan semula dan kali ini diberikan paten “infinite Weave”. Direka oleh Proton, gril ini juga kelihatan pada X70, X50, Persona, Iriz dan Saga.

Ciri luaran lain yang turut ada perubahan termasuk bahagian belakang, yang kini tampil dengan dua-kepingan lampu yang dibentuk semula. Kluster juga disambungkan ke palang lampu dan perkataan Geely kini ditempatkan pada tailgate yang telah diprofil semula. Selain itu, reflektor juga telah diberikan kedudukan menegak dan diletakkan di penjuru bampar, dengan kepingan krom baharu yang seakan sama dengan saluran ekzos.

Di dalamnya, terdapat beberapa semakan semula dilakukan pada konsol tengah, yang kini nampak lebih ringkas dan mempunyai lebih banyak kawalan yang diletakkan pada tempat yang sama dan selari dengan ruang storan. Selain itu, kelihatan juga ruang storan yang lebih besar di bawah lubang udara tengah, dan tempat letak tangan di bahagian tengah kini tidak lagi boleh dibuka dalam dua bahagian.

Model semasa Jiaji ditawarkan dengan penjana kuasa petrol bersama enjin 1.8 liter pengecas turbo empat-silinder dengan hamburan 181 hp dan tork 300 Nm. Selain itu, ia turut ditawarkan dengan sistem plug-in hybrid yang menampilkan enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder dan motor elektrik untuk menghasilkan kuasa 255 hp dan 385 Nm. Setakat ini, tidak dipastikan adakah penjana kuasa ini dikekalkan atau ada perubahan lain buat model facelift.