Sebelum ini Proton sudah dilihat beberapa kali menguji SUV tujuh-tempat duduk yang diasaskan dari Geely Haoyue (juga dikenali sebagai Okavango pada pasaran tertentu luar China) yang dikhabarkan akan dijual dengan nama Proton X90. Unit ujian SUV berkenaan baru-baru ini dijumpai lagi oleh pembaca paultan.org Lim Wei Leong di Melaka.

Apa yang menarik perhatian kami, unit ujian kali ini mengenakan pelekat penyamaran yang lebih ‘ringan’ dari sebelum ini, serta menggunakan nombor plat perdagangan yang berbeza. Dapat dilihat, cermin tingkap paling belakang kini tidak tertutup sepenuhnya seperti sebelum ini, memperlihatkan rupa cermin belakang yang seiras dengan Haoyue.

Bentuk lampu belakang juga kini nampak lebih jelas walaupun ia seolah-olah mahu disorokkan dengan pelekat-pelekat hitam disekelilingnya. Namun set gambar kali ini tidak menunjukkan bahagian hadapan SUV berkenaan. Untuk unit-unit ujian sebelum ini, ia masih lagi dalam versi pemanduan sebelah kiri (LHD), dan mungkin yang terbaharu ini adalah unit ujian dalam versi sebelah kanan (RHD).

Sebelum ini kami difahamkan Proton merancang untuk melancarkan X90 ini pada suku ketiga tahun ini, tetapi ia terpaksa ditangguh sehingga tahun hadapan atas pelbagai sebab.

“Sepatutnya tahun ini, rancangan asal, kalau bukan kerana MCO adalah tahun lepas,” kata naib CEO Proton Roslan Abdullah sebelum ini. “Ia sepatutnya dibuat Q3 tahun ini, tetapi ia ditunda lagi dan sekarang kawan kita di China (Geely) juga sedang mengalami lockdown,” jelasnya lagi.

Selain dari itu, Proton juga menyatakan bahawa penangguhan pelancaran model baharu ini adalah kerana ia sedang menumpukan untuk menyelesaikan masalah ketersediaan alat ganti di pusat-pusat 3S dan 4S rasminya, serta cuba untuk menyiapkan secepat mungkin tempahan-tempahan pelanggan bagi model sedia ada bagi membolehkan mereka mendapat insentif pengecualian SST.

Tiada sebarang petunjuk rasmi diberikan oleh Proton berkenaan spesifikasi X90 pasaran Malaysia kelak. Namun ketika perasmian fasiliti baharu mereka di Tanjung Malim yang kini sudah mula memasang enjin 1.5 liter turbo dengan sistem suntikan terus (TGDI), Proton mendedahkan bahawa ia akan melancarkan tiga model baharu antara 2023 dan 2024, dan dua daripadanya adalah menggunakan enjin turbo tiga-silinder ini. Jadi salah satu model yang dikatakan tersebut berkemungkinan adalah X90.

Geely Haoyue (atas) dan lakaran digital Proton X90 oleh Theophilus Chin

Di China, Geely Haoyue ditawarkan dalam versi lima- atau tujuh-tempat duduk. Namun ia hanya ditawarkan satu pilihan unit rangkaian kuasa iaitu enjin 1.8 liter empat-silinder turbo berkuasa 181 hp dan tork maksima 300 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan, sama seperti Proton X70 sedia ada.

Manakala di Filipina, model ini diberikan enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder yang digandingkan bersama sistem hibrid ringkas 48-volt. Ia menghasilkan kuasa keseluruhan 190 PS dan tork maksima 300 Nm, dan dipindahkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan.

Apa yang menarik, unit rangkaian kuasa hibrid ringkas berkenaan telah pun dipamerkan di Galeri Inspirasi, iaitu ruang istimewa di Pusat Kecemerlangan Proton (ibu pejabat jenama berkenaan) di Subang, yang memaparkan pelbagai informasi dari segi warisan sejarah, teknologi sedia ada dan juga hala tuju mereka selepas ini.

Proton menamakan unit rangkaian kuasa berkenaan sebagai 1.5L TGDi dengan sistem stater generator pacuan tali sawat (Belt-Driven Starter Generator atau BSG). Menurut maklumat yang diberikan Proton, unit 1.5L TGDi dengan BSG tersebut menghasilkan kuasa yang sama seperti enjin 1.5L TGDi yang ada pada Proton X50 Flagship buat masa sekarang. Jadi tidak mustahil, Proton X90 ini mungkin model pertama Proton yang akan dijana oleh unit rangkaian kuasa hibrid.

GALERI: Imej intipan Proton X90 2023 yang dijumpai sebelum ini