Baru-baru ini, BYD Sealion 7 kelihatan di Port Klang, berada di atas treler pengangkut, seperti yang dikongsikan menerusi paultan.org Automotive/Car Discussion Group di Facebook. SUV elektrik ini bakal dilancarkan di sini pada 14 November (Khamis ini), sementara tempahannya telah pun dibuka sejak 6 November lalu.
Setakat ini, apa yang kami tahu, Sealion 7 untuk pasaran Malaysia bakal menerima output 530 PS dan tork 690 Nm hasil penjana kuasa elektrik dwi-motor AWD, yang membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam 4.5 saat dan mampu capai jarak gerak sekitar 542 km mengikut standard NEDC.
Bagi kapasiti baterinya, model pasaran Hong Kong menerima pek bateri 82.56 kWh yang boleh dicaj dengan pengecas pantas DC sehingga 150 kW dan AC 11 kW. Sementara pasaran Eropah pula menerima bateri 91.3 kWh yang boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC 230 kW.
Selain pasaran seperti Hong Kong, Sealion 7 juga ditawarkan dengan penjana kuasa motor-tunggal RWD 313 PS dan 380 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam 6.7 saat dan jarak gerak sekitar 567 km mengikut standard NEDC dalam pengecasan penuh.
Jika sedan BYD Seal merupakan pesaing buat Tesla Model 3, bagi BYD Sealion 7 pula dijangka bakal memberikan persaingan sengit buat Tesla Model Y di Malaysia. Namun adakah ia mampu meraih populariti yang sama seperti versi sedan itu?
GALERI: BYD Sealion 7
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
















