Nissan Magnite merupakan SUV sub-empat meter (lebih kurang saiz segmen-A di Malaysia) yang dijual di pasaran negara-negara ketiga seperti India dan Indonesia, bagi berhadapan dengan model-model seperti Renault Kiger, Honda WR-V serta kembar Perodua Ativa iaitu Daihatsu Rocky dan Toyota Raize. Dan untuk pasaran Afrika Selatan, Magnite kini ditawarkan dalam satu varian baharu digelar sebagai Magnite Move, iaitu versi Panel Van yang direka khas untuk tugas-tugas komersil.
Menurut laporan Cars.co.za, Magnite Move ini merupakan model gantian yang ditawarkan Nissan selepas produksi trak pikap setengah tan NP200 (yang sebenarnya model rebadge dari Dacia Logan) dihentikan produksinya, sebelum model serba baharunya diperkenalkan selepas ini.
Magnite Move ini hanya ditawarkan dengan enjin asas 1.0 liter tiga-silinder turbo menghasilkan 72 PS dan tork maksima 96 Nm, tanpa pilihan enjin 1.0 liter tiga-silinder turbo seperti yang ditawarkan pada Magnite biasa. Varian Panel Van ini juga hanya hadir dengan kotak gear manual lima-kelajuan tanpa pilihan transmisi CVT automatik.
Dengan unit rangkaian kuasa ini, Magnite Move didakwa mampu untuk membawa beban dengan berat maksima 250 kg, serta mampu mencapai kelajuan maksima 150 km/j.
Berbanding Magnite biasa, varian Move ini hanya diberikan dua tempat duduk di hadapan. Tiada tempat duduk di kabin belakang bagi membolehkan ia menawarkan ruang kargo seluas 690 liter. Untuk tujuan keselamatan dan praktikaliti, ia diberikan jaring bagi memisahkan kabin hadapan dan belakang, jaring pada tingkap pintu belakang, lantai belakang kemasan Hexa Grip serta cermin tingkap belakang berkenaan turut ditutup dengan warna badan.
Antara perincian dalaman lain yang turut diberikan termasuk paparan instrumen digital TFT tujuh-inci, cermin tingkap berkuasa sepenuhnya, sistem pendingin hawa automatik, sistem audio dengan enam-pembesar suara, dan pelbagai lagi. Manakala pada sebelah luar, Magnite Move ini menerima lampu hadapan halogen, cermin sisi kawalan kuasa elektrik, rel bumbung yang mampu menampung beban sehingga 50kg, serta rim besi bersaiz 16-inci tanpa penutup plastik.
Untuk keselamatan pula Magnite Move ini hanya dibekalkan dengan dua beg-udara, sistem brek ABS dan EBD, kawalan kestabilan elektronik, pemadam api yang diletakkan di bawah tempat duduk, serta penderia parkir belakang. Di Afrika Selatan, Magnite Move ini dijual pada harga 224,900 Rand atau sekitar RMRM54k.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
p2 pls pls do this to alza..