Toyota GR Corolla akan dipasang di UK bermula 2026 – fasiliti produksi GR sebenar pertama luar Jepun

Toyota GR Corolla akan dipasang di UK bermula 2026 – fasiliti produksi GR sebenar pertama luar Jepun

Selain dari GR Supra (yang dibina bersama BMW) yang dipasang di kilang Magna Steyr di Graz, Austria dan juga GR 86 (kembar kepada Subaru BRZ) yang dihasilkan di Subaru terletak Gunma, Jepun, dua lagi model Gazoo Racing yang dibangunkan sendiri oleh Toyota iaitu GR Yaris dan GR Corolla dipasang di sebuah fasiliti khas digelar sebagai GR Factory di kilang Motomachi Toyota di Jepun.

Namun menerusi pengumuman terbaharu dari Toyota, bermula 2026 GR Corolla turut akan dihasilkan di United Kingdom menerusi kilang Toyota Motor Manufacturing UK (TMUK). Persediaan untuk pemasangan model khas berkenaan di kilang tersebut sebenarnya sudah bermula sejak 2024, dan unit pertama hot-hatch berkenaan akan keluar dari barisan produksi itu pada tahun hadapan.

Kilang TMUK Burnaston di Derbyshire tersebut telah mula beroperasi sejak 1992, dengan model pertama dipasang adalah sedan Toyota Carina. Ia kemudiannya memasang model pengganti Carina iaitu Toyota Avensis sebanyak tiga generasi. Kilang tersebut juga memasang asas bagi GR Corolla iaitu Toyota Auris (nama khas untuk Corolla Hatchback pasaran UK dan Eropah) dan kini ia turut memasang versi wagon untuk Corolla iaitu Corolla Touring Sports.

Toyota GR Corolla akan dipasang di UK bermula 2026 – fasiliti produksi GR sebenar pertama luar Jepun

Dengan bermulanya pemasangan GR Corolla di kilang ini, bermakna ia menjadi kilang pertama di luar Jepun yang memasang model Gazoo Racing sebenar. Proses pemasangan kereta-kereta Gazoo Racing ini agak berbeza dengan model-model biasa kerana ia perlu menyediakan kerangka yang lebih kuat menerusi proses kimpalan dengan cantuman yang lebih banyak, penggunaan bahan perekat badan yang lebih banyak dan juga proses khas untuk memasang bumbung gentian karbon pada kerangka badan logam.

Walau bagaimanapun unit-unit GR Corolla yang dipasang di kilang TMUK ini bukanlah untuk dijual di pasaran UK mahupun Eropah, kerana pasaran berkenaan kini hanya menerima model GR Yaris. Toyota menyatakan ke pasaran mana GR Corolla dari UK ini akan di bawa, kapasiti tahunan pemasangan model GR di kilang TMUK tersebut dan juga jumlah pelaburan yang dibuat hanya akan diumumkan selepas ini.

Namun dalam satu laporan Reuters mendedahkan bahawa kereta-kereta yang dipasang di UK ini akan dieksport ke Amerika Syarikat, dengan rancangan untuk membawa lebih dari 10,000 unit kenderaan pada pertengahan 2026. Logiknya, buat masa sekarang Amerika Syarikat mengenakan tarif sebanyak 25% untuk kereta yang dibawa dari Jepun, tetapi levi yang dikenakan untuk kereta yang dibuat di UK baru-baru ini telah diturunkan dari 27.5% kepada hanya 10% untuk sehingga 100,000 unit setahun.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required