Proton telah mengumumkan bahawa ia telah berjaya menjual sebanyak 11,069 unit kenderaan pada Jun 2025, atau sedikit naik berbanding jumlah 10,999 unit yang dicatatkan pada bulan sama tahun lalu. Dengan angka ini, Proton telah melengkapkan separa tahunnya dengan merekodkan jualan sebanyak 72,156 unit kenderaan.
Lazimnya apabila ada angka prestasi jualan yang jatuh, ia tidak akan diumumkan oleh Proton. Jadi apabila kami semak semula angka jualan bagi tempoh separa pertama 2024 yang mencatatkan jualan sebanyak 73,696 unit, rekod jualan Proton untuk tempoh sama tahun ini sebenarnya jatuh sebanyak 2.1%. Malah angka tersebut juga jauh lebih rendah dari rekod 77,321 unit pada separa 2023, di mana ketika itu Proton mencatatkan prestasi separa tahun terbaiknya sejak 2012.
Walau bagaimanapun pegangan bahagian pasaran Proton naik 1.1% berbanding bulan Mei dengan berada pada kadar jangkaan 20.7% pada Jun, serta 1.2% lebih tinggi daripada angka YTD 19.5%. Ini adalah kerana jumlah keseluruhan industri (TIV) dalam negara itu sendiri yang jatuh 21% kepada 53,500 unit pada Jun berbanding 68,007 unit pada Mei 2025.
Walaupun sudah hampir ditamatkan pengeluarannya untuk memberi laluan kepada versi facelift yang akan dilancarkan dalam sedikit masa lagi, X50 RC masih lagi model yang laris dari Proton di mana sebanyak 1,657 unit telah terjual bulan lalu, di dakwa masih model terlaris dalam kelasnya.
353 unit dari angka tersebut merupakan unit yang telah dieksport, bermakna 47% dari jumlah kenderaan Proton yang dibawa keluar negara pada bulan lalu adalah X50. Ini juga bermakna untuk pertama tahun ini, sebanyak 11,351 unit X50 RC (model yang menerima tingkat taraf ringan pada Jun tahun lalu) telah terjual, atau 11.3% lebih tinggi dari jualan X50 untuk tempoh sama tahun lalu.
Proton turut mendakwa, sejak pertama kali dilancarkan pada Oktober 2020, lebih 140,000 unit X50 telah terjual bukan sahaja dalam negara, malah termasuk pasaran eksport. Dua lagi model Proton yang mengungguli kelas masing-masing pada Jun 2025 adalah SUV segmen-D X90 mencatatkan jualan 174 unit dan juga sedan segmen-C Proton S70 dengan jualan sebanyak 1,402 unit.
Saga masih lagi model terlaris Proton dengan jualan sebanyak 5,206 unit untuk bulan lalu. Manakala kembar sedan dan hatchback segmen-B iaitu Proton Persona dan Proton Iriz masing-masing mencatatkan jualan sebanyak 1,171 unit dan 288 unit pada bulan lalu.
Manakala untuk SUV segmen-C Proton X70 pula, model yang diberikan penyegaran pada Ogos tahun lalu itu mencatatkan jualan sebanyak 533 unit pada Jun 2025. Ini menjadikan jumlah jualan separa pertama 2025 bagi model ini telah pun mencapai 4,354 unit, atau naik sebanyak 46.3% berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Selepas prestasi kukuh pada bulan Mei, jualan automotif menurun sebanyak 15,000 unit pada Jun disebabkan oleh faktor luaran seperti peningkatan ketegangan di Timur Tengah dan perluasan skop SST yang menjejaskan sentimen pembeli. Walau bagaimanapun, Proton berjaya mengatasi prestasi pasaran untuk meningkatkan peratusan pegangan pasaran kami menjelang separuh kedua tahun yang sibuk, di mana kami mempunyai jadual penuh dengan acara dan pengenalan model baharu,” kata Zhang Qiang, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.
“Dengan model baharu di bilik pameran kami, prospek syarikat adalah untuk mencapai separuh kedua 2025 yang lebih kukuh sambil kami berusaha meningkatkan jualan bagi tawaran ICE dan EV,” tambahnya. Seperti yang diketahui antara model-model baharu yang bakal dilancarkan pada tahun ini termasuk Proton Saga MC3 dan juga EV kompak eMas 5.
Melihat lebih terperinci berkenaan eksport pula, Jun lalu Proton telah membawa sebanyak 414 unit kenderaan ke pasaran luar Malaysia. Ini menjadikan jumlah eksport Proton untuk separa pertama tahun ini telah pun mencapai angka 2,250 unit, atau naik 39.9% berbanding tempoh sama tahun lalu. Proton menjangkakan momentum tersebut akan terus bertambah untuk separa kedua tahun ini di mana SUV EV eMas 7 akan dilancarkan di lebih banyak pasaran eksport.
Jualan bagi model EV Proton juga mengalami pertumbuhan positif, dengan sebanyak 4,253 unit eMas 7 telah terjual (termasuk eksport) pada separa pertama tahun ini. Menurut Proton ia kini memegang sebanyak 24% bahagian pasaran EV di Malaysia buat masa sekarang, dan ia dijangka akan bertumbuh lebih besar selepas pelancaran model-model EV yang lain.
“Sebahagian besar volum jualan Proton pada masa ini disumbangkan oleh kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) domestik, namun jualan eksport dan EV mempunyai potensi pertumbuhan yang sangat besar pada masa hadapan. Kami meramalkan peningkatan berterusan dalam jualan eksport apabila syarikat meneroka lebih banyak pasaran baharu. Bagi jualan EV pula, pasaran semakin berkembang apabila lebih banyak infrastruktur diwujudkan dan merapatkan jurang keyakinan pembeli yang masih ragu-ragu. Oleh itu, kami berharap akan berlaku lonjakan kuantum dalam jualan dengan pengenalan lebih banyak model Proton eMas,” tambah Zhang Qiang.
Bermula 2025, angka-angka jualan yang diumumkan oleh Proton bukan hanya membabitkan model-model ICE Proton dan NEV Proton eMas, malah ia akan turut merangkumi jualan Proton sebagai sebuah kumpulan automotif di Malaysia – bermakna ia turut melibatkan jualan jenama smart yang kini turut dijual oleh subsidiari Proton iaitu Pro-Net.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.