Sepanjang bulan Jun 2024, Proton telah berjaya menjual sebanyak 10,999 unit kenderaannya bagi pasaran domestik dan juga eksport. Ini sekaligus membolehkan syarikat itu mengukuhkan kedudukannya di tempat kedua bagi jualan kenderaan di Malaysia walaupun jualannya berkurangan sebanyak 12.2% berbanding Mei lalu.
Bagi Proton, jualan bulan Jun terkesan akibat pemberhentian sementara pengeluarannya seperti yang dirancang untuk memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan berjadual. Bagaimanapun, syarikat itu tetap mampu mencatat angka perkongsian pasaran sebanyak 19.1% bagi bulan lalu, angka yang sama bagi perkongsian pasaran setakat ini (YTD) yang dicatatnya. Jualan keseluruhan yang dicapai bagi tempoh separuh tahun 2024 setakat ini ialah 73,696 unit.
Jun 2024 merupakan bulan yang sibuk untuk Proton. Selain pengenalan jenama EV Proton e.Mas, Proton juga meraikan pengeluaran ke-5 juta kenderaan dari kilangnya dan melancarkan Proton X50 2024 sebagai versi diperkemas melibatkan 20 penambahbaikan berkaitan NVH.
Untuk itu, X50 kembali mendahui SUV segmen B dengan jualan sebanyak 1,711 unit yang turut merupakan prestasi jualan terbaiknya dalam tempoh tiga bulan ini. Satu lagi model yang menjadi pendahulu segmennya ialah Proton S70, yang mendahului dalam segmen C sedan dengan mencatatkan jualan sebanyak 1,440 unit.
Proton Saga pula terjual sebanyak 5,441 unit sepanjang Jun, menjadikan jualannya setakat ini bagi 2024 ialah 34,838 unit. Secara purata, 5,800 unit Saga sudah terjual setiap bulan, menjadikannya model paling popular di Malaysia. Persona pula mencatatkan jualan 1,309 unit, meletakkannya di kedudukan kedua segmen B sedan.
Model lain seperti X70 dan X90 pula masing-masing mencatatkan jualan sebanyak 481 unit dan 248 unit. X70 bakal diberikan kemaskini tak lama lagi. Proton Iriz pula mencatatkan jualan sepanjang Jun sebanyak 369 unit, menduduki tempat keempat dalam segmen hatchback segmen B.
Jummlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi Jun diramal rendah berbanding bulan lain tahun ini. Dianggarkan sebanyak 57,700 unit kenderaan dijual bulan lalu, lebih rendah berbanding April lalu disebabkan cuti perayaan yang panjang. Bagaimanapun, secara terkumpul bagi enam bulan pertama 2024 ialah sekitar 386,600 unit, hampir 20,000 unit lebih banyak bagi tempoh sama tahun lalu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.