Proton mengumumkan bahawa ia telah menjual sebanyak 13,518 unit kenderaan sepanjang bulan Julai 2025, naik 22.1% berbanding angka 11,069 unit yang dicatatkan pada bulan sebelumnya. Ini membolehkan jualan kumulatif tahunan untuk tujuh bulan pertama tahun ini telahpun mencapai 85,674 unit, membolehkan ia kekal sebagai jenama kedua paling laris di Malaysia.
Ini membolehkan pegangan pasaran jenama automotif tempatan tersebut dianggarkan sebanyak 19.2%, manakala angka pegangan pasaran untuk jualan kumulatif tahunan semasa kini mencapai sebanyak 19.3%. Menurut Proton, prestasi ini didorong peningkatan Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) untuk Julai dianggarkan pada 70,545 unit, iaitu peningkatan sebanyak 28.7% berbanding bulan Jun dan merupakan angka jualan bulanan kedua tertinggi untuk tahun 2025.
Saga masih lagi menjadi model paling laris Proton dengan terjual sebanyak 6,638 unit sepanjang Julai 2025 – rekod jualan bulanan terbaiknya tahun ini, sesuai dengan sambutan ulangtahun ke-40 sedan mampu milik berkenaan. Ini membolehkan jualan kumulatif tahunannya kini sudah pun mencapai 38,345 unit.
X50 pula merupakan model kedua terlaris Proton untuk Julai dengan terjual sebanyak 2,068 unit, di mana 999 unit daripadanya adalah versi facelift 2025 yang dilancarkan pada 24 Julai lalu. Menurut Proton ini merupakan kali ketiga jualan X50 melebihi angka 2,000 unit tahun ini, dan ia dijangka akan lebih baik pada Ogos kerana Proton mensasarkan akan menyiapkan 5,000 unit pada penghujung bulan ini bagi melayan tempahan pelanggan yang kini sudahpun mencapai angka lima digit.
Untuk sedan segmen-C S70 pula, ia terjual sebanyak 1,404 unit pada Julai, membolehkan jualan tahunannya bagi tujuh bulan pertama tahun ini kini mencecah 10,750 unit. Walau bagaimanapun angka tersebut dipintas oleh sedan segmen-B Proton Persona yang terjual sebanyak 1,499 unit sepanjang bulan lalu.
Angka jualan lain-lain model Proton untuk Julai 2025 adalah 617 unit untuk SUV segmen-C X70, 329 unit untuk hatchback segmen-B Iriz, dan 229 unit untuk SUV tujuh-tempat duduk Proton X90.
Beralih kepada segmen EV, Proton telah menjual sebanyak 706 unit eMas 7 bulan lalu, di mana 686 unit adalah untuk pasaran tempatan (berdasarkan data dikeluarkan oleh JPJ) dan selebihnya adalah untuk pasaran eksport. Ini menjadikan jumlah jualan tahun eMas 7 telah mencecah 4,959 unit tahun ini (termasuk eksport) dan ia kekal model EV terlaris di Malaysia buat masa sekarang.
“Kejayaan Proton e.MAS 7 telah melebihi jangkaan, membuktikan produk dan strategi syarikat untuk membina jenama, infrastruktur pengecasan dan memudahkan akses adalah menepati kehendak pembeli EV Malaysia, ” kata naib CEO Proton Edar, Zhang Qiang.
Proton turut mengumumkan bahawa angka bagi kenderaan-kenderaan yang dieksport juga kini meningkat sebanyak 44.1% berbanding tempoh sama tahun lalu. Untuk tujuh bulan pertama tahun ini sebanyak 2,258 unit kenderaan sudah dieksport keluar, dengan X50 telah memintas Saga sebagai model eksport paling popular. Manakala 20 unit lagi Proton eMas 7 telah dieksport pada Julai, menjadikan jumlah eksport EV tersebut kini mencapai 270 unit.
Proton juga secara rasmi telah mengumumkan penubuhan Proton International Corporation Sdn Bhd (PICSB) pada bulan lalu, iaitu sebuah lagi anak syarikat milik penuh jenama automotif nasional tersebut yang ditubuhkan khas bagi memperluas pasarannya ke luar negara.
“Dengan Proton eMas 5 bakal menjadi model EV kedua kami dan minat yang kukuh dari pasaran luar negara, kami menjangkakan jualan EV dan eksport akan meningkatkan sumbangan mereka kepada jumlah jualan keseluruhan dalam beberapa bulan dan tahun akan datang,” tambah Zhang Qiang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.