MG Motor Malaysia bakal mencuri perhatian pengunjung di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2026 menerusi penampilan beberapa model penting yang menggambarkan hala tuju baru jenama itu dalam segmen mobiliti elektrik dan premium.
Sebelum ini, syarikat telah mengesahkan kehadiran Jozef Kaban, Naib Presiden Rekaan Global SAIC Motor yang juga individu di sebalik rekaan luaran Bugatti Veyron. Kehadiran tokoh rekaan automotif terkenal itu dilihat sebagai satu pencapaian besar buat MG Motor Malaysia.
Selain Kaban, dua model utama yang bakal dipamerkan di MITEC dari 12 hingga 21 Jun ini ialah MG ZS generasi baru dan IM6. Penampilan IM6 juga cukup signifikan kerana ia menandakan kemunculan pertama jenama premium IM (Intelligence in Motion) di Malaysia.
MG ZS sebenarnya bukan model asing bagi pasaran tempatan. Ramai mungkin terlupa bahawa ZS EV merupakan antara model pertama yang dilancarkan oleh MG Motor Malaysia bersama MG4 pada Mac 2024. ZS generasi baru kemudiannya diperkenalkan pada penghujung tahun yang sama sebelum membuat penampilan sulung tempatan di KLIMS 2024.
Kini, selepas dua kali dipertontonkan kepada umum menerusi pameran automotif utama, model tersebut dijangka semakin hampir untuk dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan. Pada KLIMS 2026, MG akan mempamerkan dua varian iaitu ZS Hybrid+ dan ZS Turbo.
Dari segi saiz, ZS generasi baru hadir dengan dimensi yang lebih besar berbanding model terdahulu. Panjang keseluruhan kini meningkat lebih 100 mm kepada 4,430 mm, manakala lebarnya bertambah kepada 1,818 mm. Jarak roda juga dipanjangkan sebanyak 29 mm kepada 2,610 mm bagi menawarkan ruang kabin yang lebih selesa.
Varian Hybrid+ menggunakan enjin petrol empat silinder 1.5 liter NA yang menghasilkan 102 PS dan 128 Nm tork. Enjin ini dipadankan dengan motor elektrik berkuasa 136 PS dan 250 Nm serta transmisi hibrid tiga kelajuan dan bateri berkapasiti 1.83 kWh.
Gabungan sistem tersebut menghasilkan kuasa keseluruhan 196 PS dan 465 Nm tork, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 8.7 saat. Penggunaan bahan api pula didakwa serendah 5.1 liter bagi setiap 100 kilometer mengikut kitaran WLTP.
Bagi mereka yang mahukan prestasi enjin pembakaran dalaman sepenuhnya, varian ZS Turbo dilengkapi enjin 1.5 liter turbo yang menghasilkan 170 PS dan 275 Nm tork. Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi CVT.
Sementara itu, IM6 dijangka menjadi pencabar baru kepada model elektrik popular seperti BYD Sealion 7 dan Xpeng G6. Dengan panjang 4,904 mm dan lebar 1,988 mm, IM6 menawarkan dimensi yang lebih besar berbanding kedua-dua pesaingnya. Jarak rodanya yang mencecah 2,950 mm juga 20 mm lebih panjang daripada Sealion 7.
Reka bentuk IM6 menampilkan garis badan yang aerodinamik dan beralun, manakala bahagian belakangnya mengingatkan kepada rekaan SUV mewah Aston Martin DBX.
Di Thailand, IM6 ditawarkan dalam beberapa varian. Versi Premium RWD menggunakan motor elektrik tunggal di gandar belakang yang menghasilkan 295 PS (217 kW) dan 450 Nm tork. Varian ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 5.9 saat.
Kuasa dibekalkan oleh bateri lithium-ion NMC berkapasiti 75 kWh yang menawarkan jarak perjalanan sehingga 550 km mengikut piawaian NEDC. Sistem pengecasan menyokong pengecas AC sehingga 11 kW dan pengecas pantas DC sehingga 153 kW. Selain itu, fungsi Vehicle-to-Load (V2L) berkuasa 6.6 kW turut disediakan bagi membolehkan tenaga bateri digunakan untuk menghidupkan peralatan elektrik luaran.
Varian Performance AWD pula menawarkan prestasi yang jauh lebih mengagumkan. Ia dilengkapi motor tambahan di gandar hadapan, menjadikan kuasa keseluruhan meningkat kepada 787 PS (572 kW) dan 802 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j hanya mengambil masa 3.48 saat, meletakkannya dalam kategori SUV elektrik berprestasi tinggi.
Varian ini menggunakan bateri NMC berkapasiti 100 kWh yang mampu memberikan jarak perjalanan sehingga 634 km mengikut standard NEDC. Dari segi pengecasan, IM6 Performance AWD menyokong pengecas AC sehingga 22 kW dan pengecas pantas DC sehingga 396 kW.
Proses pengecasan daripada 10 hingga 80 peratus boleh dilengkapkan dalam tempoh kurang daripada 20 minit. Kelajuan maksimum pula mencecah 240 km/j, iaitu 40 km/j lebih tinggi berbanding versi pacuan roda belakang.
Sebagai model paling tinggi dalam rangkaian IM6, varian Performance AWD turut dilengkapi sistem suspensi udara yang boleh melaras ketinggian kenderaan secara automatik mengikut mod pemanduan. Sistem tersebut membolehkan badan kenderaan dinaikkan sehingga 20 mm atau direndahkan sehingga 50 mm daripada kedudukan standard.
IM6 juga hadir dengan sistem stereng empat roda, brek cakera berprestasi tinggi bersama angkup brek berwarna oren keluaran Continental serta rim aloi bersaiz 20 inci untuk varian RWD. Varian Performance AWD pula menggunakan rim 21 inci dengan kemasan hitam yang memberikan penampilan lebih sporty dan agresif.
GALERI: MG ZS Hybrid+ di KLIMS 2025
GALERI: MG IM6 di BIMS 2025
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.


















































