
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mula laksanakan Op Khas Hari Raya Aidiladha 2022 pada 7-8 Julai dan 12-13 Julai bagi memantau situasi keselamatan sempena musim perayaan ini. Timbalan Ketua Pengarah JPJ (Perancangan dan Operasi) Aedy Fadly Ramli berkata, pelaksanaan operasi itu bagi mengesan, memantau dan mengambil tindakan terhadap kenderaan awam termasuk pemandu yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan, laporan Harian Metro.
“Pada masa sama, kita juga mahu memastikan sembilan kesalahan utama yang menjadi punca kemalangan dan kematian dipatuhi sepenuhnya oleh pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal dan pemandu kenderaan persendirian.
“Selain itu, kita mahu memastikan keselamatan perjalanan pengguna jalan raya ke arah kelancaran trafik bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya di musim perayaan,” katanya ketika mengetuai Op Khas Hari Raya Aidiladha 2022 di Plaza Tol Sungai Besi malam tadi.

Tambah beliau, pihaknya memfokuskan kepada tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap sembilan kesalahan utama termasuk memandu melebihi had laju dan tidak mematuhi isyarat lalu lintas.
“Selain itu, kami turut menumpukan kesalahan memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar, membawa lebih muatan dan muatan bahaya.
“Pada masa sama, kami juga akan mengambil tindakan sita terhadap penunggang atau pemandu yang tidak mempunyai lesen memandu serta cukai jalan tamat tempoh,” katanya.
Dalam operasi yang dilaksanakan malam tadi turut membabitkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), sejumlah 1,317 kenderaan telah diperiksa dan didapati sebanyak 441 kesalahan dikesan termasuk 14 kenderaan disita membabitkan sembilan motosikal serta lima kereta. Antara kesalahan yang dikesan ialah menunggang motosikal di bawah pengaruh dadah.
