Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • New Energy Asia dilancarkan — kerjasama mengedar kelengkapan pengecasan EV di Malaysia, ASEAN

    New Energy Asia dilancarkan — kerjasama mengedar kelengkapan pengecasan EV di Malaysia, ASEAN

    Hicom Engineering dan Hangzhou Flash Charging (HFC) kini telah menubuhkan sebuah syarikat usaha sama, New Energy Asia (NEA) yang akan bertindak selaku pengedar hak bagi kelengkapan pengecasan EV di pasaran Malaysia dan Asean.

    Hangzhou Flash Charging (HFC) merupakan anak syarikat kepada Lotus Technology, dan New Energy Asia akan mengedarkan portfolioa kelengkapan pengecasannya yang dikeluarkan oleh HFC, melibatkan kedua-dua pengecas AC dan pengecas pantas DC.

    Barisan pengecas DC-nya terdiri daripada versi penyejukan udara yang boleh membekalkan output dari 30 kW hingga 240 kW, serta versi penyejukan cecair yang boleh membekalkan output antara 300 kW hingga 450 kW — versi kedua itu memadai untuk menampung pengecasan kenderaan bagi model seperti Lotus Emeya, yang boleh menerima hingga 400 kW untuk pengecasan 10%-80% dalam masa 14 minit.

    Selain itu, NEA juga akan turut mengedarkan pengecas AC, termasuk pengecas AC pintar yang boleh ditetapkan untuk tahap output 7.4 kW, 11 kW dan 22 kW. Syarikat itu juga akan membekalkan sistem penyimpanan tenaga canggih untuk menampung permintaan yang semakin meningkat bagi penggunaan domestik dan komersial, jelas Hicom dalam kenyataan medianya.

    Walaupun barisan produk yang ditunjuk itu terpampang jenama Lotus, NEA juga akan mengedarkan produk pengecasan berkenaan tanpa label bagi operator yang ingin menghadirkan kelengkapan berkenaan dalam penjenamaan lain mengikut keperluan perniagaan masing-masing.

    Di peringkat ini, NEA akan memberi tumpuan kepada pengedaran produk serta sokongan lepas jualan bagi tujuan business-to-business (B2B), dan bukan sebagai charge point operator (CPO).

    Sebagai permulaan, semua kelengkapan pengecasan itu akan dibawa masuk dari China, namun NEA mempunyai perancangan untuk pemasangan tempatan dalam tempoh dua tahun akan datang, bergantung kepada permintaan. Pemasangan tempatan ini juga dijangka akan dilakukan di Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim.

    Majlis pelancarannya juga menyaksikan beberapa pihak turut menandatangani MoU bersama NEA bagi tujuan ini: Fuelling Malaysia, Pro-Net dan Malakoff Green.

    Kerjasama ini bertujuan untuk menyediakan penyelesaian mobiliti bersih dan memacu inovasi dalam penyelesaian tenaga dan teknologi pengecasan bagi kenderaan penumpang dan komersial, jelas Hicom Engineering.

    Pengecas NEA jenama Lotus

     
     
  • Plaza Tol Rawang Selatan buka lorong tambahan baharu – akses ke Gamuda Garden, Kundang

    PLUS Malaysia Bermhad (PLUS) mengumumkan pembukaan lorong tambahan (Plaza A) Plaza Tol Rawang Selatan (Exit 115) di Lebuhraya Utara-Selatan mulai hari ini. Pastinya ia memberikan laluan yang lebih mudah dan lancar untuk ke Gamuda Gardens dan Kundang.

    Menurut PLUS, pembukaan lorong tambahan ini bertujuan untuk penyuraian trafik di lorong keluar supaya dapat mengurangkan kesesakan pada waktu puncak.

    “Bagi kelancaran trafik di plaza tol, pengguna lebuhraya dinasihatkan untuk menggunakan lorong yang betul mengikut mod pembayaran anda. Semak papan tanda terlebih dahulu, pilih lorong anda dengan tepat untuk memudahkan perjalanan anda dan pengguna lebuhraya yang lain,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Chery bakal jadi pengeluar automotif pertama China lepasi eksport 5 juta kenderaan pada Jun 2025

    Chery bakal jadi pengeluar automotif pertama China lepasi eksport 5 juta kenderaan pada Jun 2025

    Chery telah mengumumkan bahawa ia bakal menjadi jenama automotif China pertama yang mengkesport kenderaan melepasi angka lima juta unit bulan ini, dijangka sekitar 20 Jun 2025, lapor CarNewsChina. Pengumuman tersebut dibuat ketika berlangsungnya Ekspo Automotif dan Rantaian Bekalan Antarabangsa Hong Kong baru-baru ini.

    “Kami berharap untuk mempunyai lebih banyak pembuatan, penyelidikan dan pembangunan kami, dan lebih banyak data kami di Hong Kong untuk menggunakan sepenuhnya kelebihan bandar itu,” kata pengerusi Chery Yin Tongyue seperti yang dipetik oleh South China Morning Post. Mac lalu Chery telah memfailkan penyenaraiannya di Bursa Saham Hong Kong.

    Kumpulan Chery telah menjual 1,026,517 kenderaan antara Januari dan Mei (naik 14%), di mana 205,732 unit dijual pada Mei sahaja, mewakili pertumbuhan 9.1% tahun ke tahun. Eksport oleh kumpulan itu dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini mencecah 443,940 unit, dengan 100,737 unit pada bulan Mei sahaja (meningkat 7.7%). Menurut Chery ini membolehkan ia mengekalkan kedudukannya sebagai pengeksport automotif utama China.

    Manakala untuk kenderaan tenaga baharu (NEV), Chery telah menjual 287,798 unit dari Januari hingga Mei (naik 111.5%), dengan 63,169 NEV dijual pada bulan Mei sahaja (naik 47.7%). Sebagai tambahan kepada penyenaraiannya di Bursa Saham Hong Kong, laporan ini turut menyatakan bahawa Chery juga sedang meneroka kemungkinan untuk mewujudkan fasiliti pembuatannya di sana.

    Baru-baru ini Chery telah dinamakan sebagai pengeluar yang akan membantu Thailand bagi mewujudkan jenama automotif nasional negara itu. Projek tersebut adalah kerjasama antara Chery dengan Agensi Pembangunan Sains dan Teknologi Nasional (NSTDA) Thailand dan juga King Gen, iaitu syarikat yang ditakrifkan menjalankan perniagaan logistik dan pengangkutan oleh Bursa Saham Thailand (SET).

    Manakala di Malaysia, Chery Corporate Malaysia telahpun menandatangani empat MoU bulan lalu untuk kerjasama antara pembekal komponen dari China dan Malaysia, yang difokuskan untuk membekalkan komponen automotif, pemindahan teknologi dan juga pelaburan bersama. Ketika berlangsungnya Malaysia Autoshow 2025 juga pada bulan lalu, Chery telah mendedahkan model Tiggo 7 CSH PHEV, Tiggo Cross dan Tiggo 8 CSH PHEV yang diumum bakal dilancarkan pada pasaran tempatan tahun ini.

     
     
  • Rapid KL On-Demand diperluas ke 5 zon baharu mulai 16 Jun – Subang Skypark, Menara DBKL, Cyberjaya dll

    Rapid KL On-Demand diperluas ke 5 zon baharu mulai 16 Jun – Subang Skypark, Menara DBKL, Cyberjaya dll

    Rapid Bus Sdn Bhd selaku pengendali bas Rapid KL dan bas perantara MRT bakal melancarkan lima lagi zon operasi baharu bagi perkhidmatan van Rapid KL On-Demand bermula 16 Jun 2025.

    Lima zon terbabit ialah MRT Kwasa Sentral–Subang Bestari/Subang Skypark Terminal, MRT Semantan–Menara DBKL, MRT Metro Prima–Taman Beringin, MRT Putrajaya Sentral–Presint 1 dan MRT Cyberjaya City Centre–Cyberjaya. Tempah tempat duduk untuk Rapid KL On-Demand bagi lima zon ini boleh dibuat menerusi aplikasi dalam talian Rapid On-Demand.

    “Dengan pengenalan lima zon kali ini, Rapid KL On-Demand yang menjadi sambungan ke Laluan Kajang dan Putrajaya adalah sebanyak 16 zon melibatkan 46 buah van. Secara keseluruhan di Lembah Klang pula, Rapid KL On-Demand telah beroperasi di 60 buah zon dengan 162 buah van.

    Rapid KL On-Demand diperluas ke 5 zon baharu mulai 16 Jun – Subang Skypark, Menara DBKL, Cyberjaya dll

    “Selaras dengan komitmen kami terhadap mobiliti lestari serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam yang lebih menyeluruh, kami akan terus berusaha untuk memastikan perkhidmatan Rapid KL On-Demand ini lebih efisien dan menepati permintaan para pengguna,” ujar Amir Hamdan, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi), Prasarana.

    Selain memberikan sokongan kepada perkhidmatan tren Rapid KL, inisiatif peluasan zon kali ini juga bertumpu kepada kawasan yang mempunyai jumlah kepadatan penduduk yang tinggi serta kawasan urbanisasi yang semakin berkembang. Ini adalah langkah Rapid Bus dalam menyediakan penyelesaian perjalanan “first-mile, last-mile” yang lebih fleksibel dan mudah.

    Menawarkan jaminan tempat duduk yang boleh ditempah setiap hari dari jam 6 pagi sehingga 11.30 malam, dengan tambang promosi RM1.00 untuk setiap perjalanan. Pengguna boleh membuat pembayaran menggunakan Kad Touch ‘n Go, kad debit atau kredit, kad Konsesi MyRapid, pas Perjalanan OKU Smile dan pas Perjalanan Tanpa Had (My50, MyCity & Pas Famili).

     
     
  • Kerajaan umum penguatkuasaan peranti had kelajuan bagi kenderaan perdagangan mulai 1 Jan 2026

    Kerajaan umum penguatkuasaan peranti had kelajuan bagi kenderaan perdagangan mulai 1 Jan 2026

    Kementerian Pengangkutan telah mengumumkan bahawa semua pengendali kenderaan berat dan bas perlu mengaktifkan peranti had laju sedia ada (Speed Limit Device, SLD) pada kenderaan mereka, kerana penggunaannya akan diwajibkan mulai 1 Januari 2026. Bagi kenderaan yang belum dilengkapi dengan SLD, peranti ini perlu dipasang selewat-lewatnya pada Julai tahun hadapan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

    SLD merupakan sistem kawalan had laju yang direka untuk mengehadkan kelajuan maksimum sesuatu kenderaan. Ia akan menghalang jenis-jenis kenderaan komersial tertentu daripada dipandu melebihi had yang ditetapkan, iaitu 90 km/j untuk kenderaan berat dan bas. Peranti ini memainkan peranan penting dalam mengelakkan pemanduan melebihi had laju yang ditetapkan, terutamanya bagi kenderaan yang membawa muatan berat atau penumpang.

    “Pengilang diwajibkan untuk mengaktifkan SLD mereka agar hanya membolehkan kelajuan maksimum 90 km/j. Walaupun had laju jalan lebih tinggi, contohnya 110 km/j di lebuhraya, SLD masih akan mengehadkan kelajuan kenderaan kepada 90 km/j,” katanya dalam sidang media di Scania Malaysia Sdn Bhd di Bukit Jelutung, Shah Alam pagi tadi. Walau bagaimana pun, beliau menambah bahawa bagi jalan yang mempunyai had laju lebih rendah, seperti zon 60 km/j, pemandu sendiri perlu mematuhi had laju yang ditetapkan.

    Kerajaan umum penguatkuasaan peranti had kelajuan bagi kenderaan perdagangan mulai 1 Jan 2026

    Beliau berkata penggunaan SLD, yang akan dihubungkan terus ke unit kawalan elektronik (ECU) kenderaan, adalah wajib bagi kenderaan barangan (berat maksimum melebihi 3,500 kg) dan kenderaan penumpang (membawa lebih daripada lapan orang dan berat maksimum melebihi 5,000 kg) yang didaftarkan sebelum 1 Januari 2015.

    Peraturan ini juga terpakai kepada kenderaan ‘rebuild’ (atau bina semula) dan kenderaan barangan import terpakai (berat maksimum melebihi 3,500 kg). Penguatkuasaan pengaktifan SLD dalam ECU untuk semua kenderaan ini akan bermula pada 1 Januari 2026.

    Loke turut menjelaskan bahawa bagi kenderaan sedia ada yang tidak dilengkapi dengan sistem SLD, pemasangan SLD retrofit yang diluluskan oleh JPJ adalah diwajibkan. Pemasangan ini perlu dilakukan di bengkel dan fasiliti servis teknikal yang diiktiraf oleh JPJ. Penguatkuasaan pemasangan retrofit ini akan bermula pada 1 Julai 2026.

    Bagi tujuan pemantauan, setiap SLD perlu disahkan fungsinya melalui dokumen pengesahan fungsi dan laporan SLD yang boleh disediakan oleh pengeluar kenderaan, bengkel, fasiliti teknikal, atau badan pensijilan yang diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia dan diiktiraf oleh JPJ. Tarikh akhir penyediaan dokumen ini ialah 1 Oktober 2025.

    Dokumen ini perlu diperbaharui setiap dua tahun dan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Bermotor (PPKM) serta semasa memohon atau memperbaharui permit daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). Loke menegaskan bahawa dokumen ini perlu sentiasa dibawa dalam kenderaan untuk tujuan penguatkuasaan oleh JPJ.

    Untuk pemasangan atau pun pengaktifan SLD, pemilik kenderaan berat perlu membawa kenderaan masing-masing ke kilang pengeluaran kenderaan terbabit. Pihak teknikal kilang pengeluaran akan ‘plug in’ peranti yang diperlukan untuk disambung ke ECU kenderaan bagi mengaktifkan SLD ini. Apabila selesai pengaktifan, pemilik dan pemandu kenderaan boleh mengakses data yang berkaitan menerusi perisian yang dibekalkan. Di mana data berkenaan boleh dilihat secara terus dengan bantuan isyarat GPS secara 24 jam, sekaligus boleh memantau pergerakan kenderaan di jalan raya.

     
     
  • Sistem demerit gagal, KEJARA perlu dirombak! – Loke

    Sistem demerit gagal, KEJARA perlu dirombak! – Loke

    Memang kerap berlakunya kemalangan melibatkan kenderaan berat iaitu lori dan bas hingga menyebabkan banyak nyawa menjadi korban. Beberapa hari selepas kejadian, pasti ada media melaporkan pemandu kenderaan berkenaan memiliki sejumlah saman trafik. Ini mendorong ramai di antara rakyat Malaysia yang mempersoalkan bagaimana pemandu berkenaan masih ‘terlepas’ dan boleh terus memandu.

    Beberapa hari selepas berlakunya kemalangan maut yang melibatkan bas yang membawa sekumpulan pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris yang berlaku di Jalan Gerik berhampiran Tasik Banding, Perak, isu ini sekali lagi dibangkitkan. Ia selepas pihak polis mengesahkan pemandu bas terbabit mempunyai 18 saman trafik yang kesemuanya masih belum dilangsaikan. Di mana 13 saman yang dikeluarkan atas kesalahan memandu laju, satu kesalahan kemalangan, tiga kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar dan satu kesalahan tiada lampu brek ketiga.

    Malah ada mengaitkan isu ‘terlepas’ ini dengan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) yang dikatakan kurang berkesan. Di mana mata demerit terbabit hanya diberikan sekiranya pesalah trafik berkenaan melangsaikan samannya atau dijatuhkan hukuman bersalah oleh mahkamah. Tetapi jika ia tidak dilangsaikan, maka tiada mata demerit yang diperoleh dan dia akan terus selamba memandu tanpa risau dikenakan tindakan tertentu dari pihak berkuasa melainkan hanya dikeluarkan saman.

    Isu ini turut mendapat perhatian Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang mengakui sistem demerit ini gagal dan KEJARA perlu dirombak semula. Perkara ini dinyatakan menerusi sidang media dalam kunjungan beliau ke kilang pengeluar bas Scania di Shah Alam pagi tadi.

    Sistem demerit gagal, KEJARA perlu dirombak! – Loke

    “Sistem yang direka untuk menolak mata demerit daripada pemandu yang melakukan kesalahan trafik, tetapi tidak berfungsi seperti yang dimaksudkan. Ia gagal menolak mata daripada pemandu yang mempunyai saman apabila pemandu berkenaan tidak membayar samannya.

    “Penambahbaikan (rombakan semula) ini bertujuan untuk menangani kelemahan sedia ada, di mana ramai pemandu mengelak daripada dikenakan tindakan hanya dengan tidak membayar saman mereka. Rombakan ini akan memastikan penguatkuasaan yang cepat dan konsisten supaya pemandu yang melakukan kesalahan dipertanggungjawabkan tanpa kelewatan yang tidak perlu,” katanya dengan nada tegas.

    Menerusi laman web rasmi JPJ, mengikut sistem Kejara yang mula dilaksanakan sejak 15 April 2017, pengiraan mata demerit tidak bermula ketika OKS (orang kena saman) menerima notis saman dari JPJ atau PDRM. Sebaliknya permulaan pengiraan mata demerit apabila OKS membayar kompaun atau denda bagi kesalahan yang tersenarai di dalam Jadual Kesalahan Mata Demerit.

    JPJ turut menyatakan bahawa lesen memandu OKS akan DIBATAL sekiranya lesen memandu OKS digantung menerusi sistem demerit sebanyak tiga kali dalam tempoh lima tahun. Selain itu, setelah tamat tempoh penggantungan lesen memandu (12 bulan), OKS boleh memohon semula lesen memandu dan perlu bermula dari awal proses mendapatkan lesen memandu yang disyaratkan oleh JPJ.

     
     
  • Subaru Rex terima varian hibrid di Jepun — kembar Perodua Ativa ada motor elektrik 106 PS; dari RM66k

    Subaru Rex terima varian hibrid di Jepun — kembar Perodua Ativa ada motor elektrik 106 PS; dari RM66k

    Subaru Rex kini didatangkan sebagai model hibrid di Jepun, dengan dua varian ditawarkan (G Hybrid dan Z Hybrid), dengan harga antara 2,216,500 dan 2,608,100 yen (sekitar RM66k dan RM77k). Model bukan hibrid sebelum ini pula dijual antara 1,910,700 yen (RM57k) bagi versi G yang paling asas, dan 2,274,500 yen (RM67k) bagi varian Z.

    Rex pertama kali dilancarkan di Jepun pada November 2022 sebagai model rebadge daripada Daihatsu Rocky, yang turut merupakan kembar bagi model Toyota Raize dan Perodua Ativa — Rex juga dibekalkan oleh Daihatsu.

    Bagi model hibrid ini, Rex menggunakan sistem e-Smart Hybrid oleh Daihatsu yang menggunakan elektrik yang dijana daripada enjin ICE untuk memacu motor elektriknya. Enjin berkenaan yang tertindak sebagai generator merupakan unit WA-VEX 1.2 liter kitaran Atkinson tiga-silinder petrol yang menjana sebanyak 82 PS (80 hp atau 60 kW) pada 5,600 rpm dan 105 Nm tork dari 3,200 rpm hingga 5,200 rpm.

    Subaru Rex terima varian hibrid di Jepun — kembar Perodua Ativa ada motor elektrik 106 PS; dari RM66k

    Tenaga itu disalurkan kepada bateri lithium-ion 4.3 Ah yang memacu sebuah motor elektrik E1A di depan dengan janaan 106 PS (105 hp atau 78 kW) dan 170 Nm. Dengan piawaian WLTP, penggunaan minyak didakwa serenah 28 km/l atau 3.6 l/100 km.

    Rex versi hibrid bagaimanapun diberikan rekaan berbeza untuk gril depannya, yang tidak jauh berbeza daripada Rocky Hybrid dan Ativa Hybrid. Khusus untuknya ialah lencana, paparan kluster instrumen khas hibrid, sistem bunyi amaran pejalan kaki dan outlet kuasa 1.5 kW AC juga ada. Rim sama menggunakan saiz 16-inci (G Hybrid) atau 17-inci (Z Hybrid).

     
     
  • Bermaz dakwa kebanjiran kereta China di Malaysia sebabkan untung suku ke-4 jatuh sehingga 76.51%

    Bermaz dakwa kebanjiran kereta China di Malaysia sebabkan untung suku ke-4 jatuh sehingga 76.51%

    Pengedar jenama Mazda dan Kia di Malaysia iaitu Bermaz Auto Berhad mencatatkan keuntungan hanya RM21.2 juta pada suku ke-4 Tahun Kewangan 2025 (S4TK2025) yang berakhir 30 April lalu, atau jatuh sehingga 76.51% berbanding RM90.2 juta yang dicatatkan tempoh sama tahun sebelumnya.

    Ini merupakan rekod pendapatan suku tahun paling rendah pernah dicatatkan oleh Bermaz sejak S2TK2022 kerana pendapatannya yang berkurangan sebanyak 43.61% kepada RM528.65 juta dari RM937.53. Menurut laporan The Edge, Bermaz mendakwa kejatuhan keuntungan ini adalah disebabkan kemasukan yang banyak secara berterusan kereta-kereta dari jenama China ke pasaran tempatan yang dijual pada harga yang sangat kompetitif.

    “Lembaga syarikat menjangkakan prestasi kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2026 akan mencabar,” kata syarikat itu dalam pemfailan keputusan suku tahunan terbarunya. Bermaz turut memberi amaran bahawa sektor automotif tempatan dijangka mencatat pertumbuhan yang lebih rendah kerana tekanan inflasi, pertumbuhan global yang lebih lemah daripada ketidaktentuan geopolitik dan hasil rundingan tarif perdagangan dijangka memberi kesan kepada ekonomi tempatan.

    Laporan ini turut memetik data dari Persatuan Automotif Malaysia (MAA) yang menunjukkan jualan keseluruhan kenderaan di Malaysia bagi empat bulan pertama 2025 jatuh 5.4% kepada 248,730 unit dari 263,050 unit pada tempoh sama tahun lalu.

    “Kemasukan berterusan kenderaan jenama China juga telah memberi kesan kepada jualan jenama lain di negara ini. Pelancaran model facelift baharu dan/atau baharu dari jenama kenderaan sedia ada dan baharu kumpulan masih sangat bergantung kepada sentimen pasaran dan keadaan ekonomi,” kata Bermaz Auto.

    Dengan jualan kenderaan Mazda dan Kia yang lebih rendah, keuntungan bersih kumpulan itu untuk TK2025 penuh turun lebih separuh kepada RM155.91 juta daripada RM345.58 juta berikutan pendapatannya menyusut hampir 30% kepada RM2.62 bilion daripada RM3.9 bilion, lapor akhbar tersebut.

    Oleh itu Bermaz mengisytiharkan dividen interim keempat sebanyak 1.5 sen sesaham, turun daripada 11.75 sen dalam tempoh yang sama tahun lepas. Ia menjadikan pembayaran dividennya untuk TK2025 kepada 16.75 sen, berbanding 26 sen untuk TK2024. Saham Bermaz Auto susut 1.5 sen atau 1.6% untuk ditutup pada RM1.04 pada Khamis, dengan penilaian syarikat itu pada RM1.09 bilion, lapor The Edge lagi.

    Selain dari Mazda dan Kia, Bermaz kini turut menjadi pengedar tunggal untuk jenama kenderaan elektrik (EV) dari China iaitu Xpeng. Selain itu Bermaz Auto juga telah mewujudkan satu lagi subsidiari dengan pegangan sebanyak 85% yang dikenali sebagai Bermaz Changan, di mana ia bakal ia dijadualkan akan mula menjual satu lagi jenama EV China iaitu Deepal ke pasaran tempatan bermula tahun ini.

     
     
  • Proton eMas 5 dilihat lagi di USJ 1 — lancar Q4 2025

    Proton eMas 5 dilihat lagi di USJ 1 — lancar Q4 2025

    Proton eMas 5 sekali lagi dilihat atas jalan umum, kali ini oleh seorang pembaca paultan.org, Syed Abdul Wafi, berdekatan Da Men Mall di USJ 1, Subang Jaya. Sama seperti ketika dilihat awal bulan ini, EV kedua Proton ini mengenakan pelekat samaran hitam-putih walaupun trade plate-nya berbeza.

    Kali ini, rimnya juga lebih jelas kelihatan: unit 16-inci dengan rekaan empat jejari seperti yang digunakan untuk Geely Star Wish/Xingyuan — asas yang sama untuk eMas 5. Proton belum kongsikan perincian eMas 5, tetapi Star Wish/Xingyuan di China menggunakan motor elektrik di belakang yang menjana sebanyak 79 PS (78 hp atau 58 kW) dengan 130 Nm tork.

    Ini dipadankan dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) 30.12 kWh yang memberikan jarak 310 km CLTC. EV berkenaan turut ditawarkan dengan bateri berkapasiti lebih besar, 40.16-kWh LFP untuk memberikan jarak 410 km CLTC, dengan janaan kuasa yang juga lebih tinggi 116 PS (114 hp atau 85 kW) dan 150 Nm. Di China, Star Wish/Xingyuan dijual dengan harga antara 68,800 dan 97,800 yuan (sekitar RM40k hingga RM58k).

    Untuk kelengkapan, Star Wish/Xingyuan datang dengan paparan instrumen digital 8.8-inci, skrin sentuh infotainmen 14.6-inci, lampu ambient 256 warna, papan pemuka dan panel pintu dengan lampu, pendingin automatik dengan corong di belakang, kerusi depan larasan kuasa, pengecas tanpa wayat Qi 50 watt, fungsi vehicle-to-load (V2L) 3.3 kW serta fungsi ADAS. Unit ujian ini menggunakan rim 16-inci.

    eMas 5 dijangka tiba dalam bentuk CBU terlebih dahulu, memandangkan kilang EV Proton di Tanjung Malim hanya akan memasang eMas 7 terlebih dahulu sebaik mula beroperasi hujung tahun ini. Melihat kepada posisinya, eMas 5 akan dijual lebih murah berbanding eMas 7 yang ketika ini bermula dari RM105,800. Ketika ini, EV CBU tidak boleh dijual di bawah RM100k hingga akhir 2025.

     
     
  • WCE: Kutipan tol di Persimpangan SKVE-Persimpangan KESAS dilaksana mulai 13 Jun 2025

    WCE: Kutipan tol di Persimpangan SKVE-Persimpangan KESAS dilaksana mulai 13 Jun 2025

    West Coast Expressway (WCE) telah mengumumkan bahawa kutipan tol bagi Jajaran Seksyen 2, yang menghubungkan Persimpangan Bertingkat Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) ke Persimpangan Bertingkat Lebuhraya Shah Alam (KESAS), akan bermula jam 12.01 tengah malam ini, 13 Jun 2025 (Jumaat).

    Menurut pengendali lebuhraya ini, kutipan tol akan dilaksanakan secara elektronik sepenuhnya dan berintegrasi dengan sistem tol Lebuhraya SKVE. Bagi memastikan perjalanan yang lancar, pengguna dinasihati supaya memastikan baki kad Touch n Go atau e-wallet mencukupi serta menggunakan lorong pembayaran yang betul.

    Kadar tol yang ditetapkan untuk laluan terbabit adalah seperti foto di bawah:

    WCE: Kutipan tol di Persimpangan SKVE-Persimpangan KESAS dilaksana mulai 13 Jun 2025

    WCE: Kutipan tol di Persimpangan SKVE-Persimpangan KESAS dilaksana mulai 13 Jun 2025

    Jajaran laluan yang menghubungkan Persimpangan Bertingkat SKVE ke Persimpangan Bertingkat KESAS ini mula dibuka sejak 22 Januari 2025 dan diberi pengecualian kadar tol sehingga jam 11.59 malam ini, 12 Jun 2025. Laluan ini melibatkan jajaran sepanjang 7.2 kilometer dan pengguna kini mempunyai laluan alternatif yang lebih mudah dari Banting menuju ke Shah Alam, Klang, Putrajaya, Kajang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sebaliknya dengan sambungan terus ke Lebuhraya SKVE dan Lebuhraya KESAS.

     
     
  • BMW M4 Competition Coupe xDrive 2025 di Malaysia – 530 hp, 650 Nm, 0-100km/j dalam 3.5s, dari RM879k

    BMW M4 Competition Coupe xDrive 2025 di Malaysia – 530 hp, 650 Nm, 0-100km/j dalam 3.5s, dari RM879k

    Menerusi penganjuran acara MY BMW World yang berlangsung di Sentul Depot, yang akan dibuka kepada orang ramai mulai esok, BMW Malaysia turut mempamerkan barisan model M seperti M2, M5 dan juga M4 Competition Coupe xDrive facelift 2025.

    Diumumkan pada Ogos 2024, ini merupakan penampilan khalayak pertama bagi G82 M4 Competition Coupe M xDrive, yang kini berada dalam era facelift LCI bersama model 4 Series Coupe biasa. Ia diberikan lampu utama LED adaptif, serta grafik hud (bonet) yang menonjol, yang ditawarkan dalam warna merah atau hitam seperti yang dipamerkan di sini.

    Turut kelihatan ialah pakej M Lights Shadowline dan M High-Gloss Shadowline, kombinasi rim staggered 19-inci di depan dan 20-inci di belakang, rim tempaan M gaya jejari-berkembar 826 M berwarna hitam, brek M Compound merah berkilat, dan bumbung gentian karbon. Lampu belakang laser, yang pertama kali diperkenalkan pada BMW M4 CSL edisi terhad, turut ditawarkan sebagai pilihan untuk M4 Competition Coupe xDrive 2025 ini.

    Jika anda rasa warna luaran neon Sao Paolo Yellow sudah cukup garang, anda perlu lihat tempat duduk kereta ini gabungan biru dan kuning. Stereng kulit M tiga-jejari yang telah diperbaharui kini menampilkan bahagian bawah yang rata, tetapi cara paling mudah untuk membezakan model LCI adalah melalui BMW Curved Display – komponen utama kokpit ini menggabungkan kluster instrumen 12.3-inci dan skrin tengah 14.9-inci, yang dikuasakan oleh BMW Operating System 8.5 dengan antara muka spesifik M.

    Turut ditampilkan ialah kemasan gentian karbon M, pelapik bumbung M kemasan anthracite dan hiasan galvanic untuk elemen kawalan.

    Di bawah bonetnya, ia menampilkan enjin 3.0 liter turbo sebaris enam-silinder yang menghasilkan 530 hp dan 650 Nm tork dari 2,750 hingga 5,730 rpm. Angka spesifikasi Competition ini termasuk peningkatan kuasa sebanyak 20 hp yang eksklusif untuk versi pacuan semua-roda xDrive. Pecutan 0-100 km/j mampu dicapai dalam 3.5 saat, manakala 0-200 km/j dicapai dalam 11.8 saat. Enjin biturbo S58 ini dipadankan dengan transmisi lapan-kelajuan M Steptronic Sport dan M Sport differential.

    Untuk pasaran Malaysia, BMW M4 Competition Coupe xDrive facelift ditawarkan pada harga RM878,800 atas jalan tanpa insurans, atau RM930,900 dengan pakej jaminan lanjutan dan servis lima tahun daripada BMW.

    Klik untuk besarkan

     
     
  • BMW M2 G87 2025 dilancar di Malaysia – bermula RM651k, kini 480 PS/600 Nm, 0-100 km/j dalam 4 saat

    BMW M2 G87 2025 dilancar di Malaysia – bermula RM651k, kini 480 PS/600 Nm, 0-100 km/j dalam 4 saat

    Setelah setahun diperkenalkan pada pasaran global, hari ini secara rasmi BMW Malaysia melancarkan versi kemaskini BMW M2 generasi G87 ke pasaran tempatan. Ia dijual pada harga RM650,800 sekiranya anda cukup dengan waranti selama dua tahun, atau RM693,100 dengan waranti selama lima tahun dan pakej servis.

    Model kemaskini ini masih menggunakan enjin petrol S58 3.0 liter enam-silinder sebaris dengan pengecas turbo, namun kuasanya kini ditala untuk mencapai 480 PS pada takat 6,250 rpm dan tork maksima 600 Nm bermula 2,650 rpm hingga 6,130 rpm, atau 20 PS lebih berkuasa dari versi terdahulu.

    M2 G87 2025 ini masih jentera pacuan roda belakang sepenuhnya dengan nisbah agihan berat hadapan dan belakang 50:50, di mana kuasa dari enjin dialirkan menerusi kotak gear automatik lapan-kelajuan M Steptronic. Manakala pada gandar belakang ia disertakan dengan M Sport Differential secara standard bagi memberikan lebih cengkaman dan kawalan pada kedua-dua roda belakang.

    BMW M2 G87 2025 dilancar di Malaysia – bermula RM651k, kini 480 PS/600 Nm, 0-100 km/j dalam 4 saat

    Gandingan semua ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dibuat dalam masa 4 saat, atau 0.1 saat lebih pantas dari versi sebelum ini. Manakala kelajuan maksima masih kekal 250 km/j.

    Untuk pengendalian, BMW M2 2025 pasaran Malaysia ini datang standard dengan suspensi adaptif M, dan sistem brek M Compound dengan angkup berwarna merah. Respon pendikit coupe ini juga didakwa telah ditala dengan lebih halus. Ia menerima set rim 930 M dalam kemasan perak yang masih menampilkan diameter 19-inci di hadapan dan 20-inci di belakang.

    BMW M2 2025 pasaran Malaysia ini menerima perincian luaran lain seperti lampu hadapan LED adaptif yang dilengkapi teknologi Matrix, tip ekzos baharu kemasan hitam. Ia juga diberikan bumbung karbon M dan pakej Shadownline berkilat.

    BMW M2 G87 2025 dilancar di Malaysia – bermula RM651k, kini 480 PS/600 Nm, 0-100 km/j dalam 4 saat

    Pada bahagian dalaman, M2 2025 ini menerima kabin yang dibalut upholsteri kulit Vernasca berwarna hitam, karpet lantai velour, kemasan-kemasan gentian karbon dan juga pelapik bumbung M dalam kemasan anthracite. Ia turut diberikan roda stereng M rata di bawah dengan balutan kulit dan penanda pukul 12 berwarna merah, tempat duduk M Sport larasan elektrik dan juga tali pinggang keledar M.

    Rekaan papan pemuka pada asasnya masih lagi sama dengan menampilkan skrin berkembar yang melengkung, dengan skrin 12.3-inci untuk paparan instrumen digital dan skrin sesentuh 14.9-inci untuk sistem infotainmen. Skrin berkenaan dikuasakan oleh Sistem Operasi BMW 8.5 dengan grafik khas M, dan disambungkan kepada sistem bunyi sekeliling Harman Kardon dengan 14 pembesar suara, amplifier 464W dan sembilan saluran audio.

     
     
  • Leapmotor C10 pasaran Malaysia diberi kemas kini, harga diturunkan dari RM159,000 ke RM125,000

    Leapmotor C10 pasaran Malaysia diberi kemas kini, harga diturunkan dari RM159,000 ke RM125,000

    Stellantis Malaysia memberikan kemas kini untuk model SUV elektrik Leapmotor C10, yang bersamanya, turut menyaksikan penurunan harga dari RM159,000 menjadi RM125,000 tidak termasuk insurans. Untuk makluman, semasa dilancarkan pada Oktober 2024, ia dijual pada harga RM149,000 untuk tempoh terhad sehingga 30 November 2024.

    Antara penambahbaikan utama pada model C10 ini ialah pemberian pengecas AC berkuasa 11 kW, menggantikan unit 6.6 kW sebelum ini. Dengan pengecas baru ini, masa pengecasan bateri dari 30% ke 80% melalui pengecasan AC dipendekkan daripada enam jam kepada empat jam. Keupayaan pengecasan pantas DC masih tidak berubah, di mana pengecas DC 84 kW mampu mengecas bateri LFP berkapasiti 69.9 kWh dari 30% ke 80% dalam masa hanya 30 minit.

    Sistem penggerak Leapmotor C10 ini tidak mengalami sebarang perubahan, dengan masih menggunakan tetapan motor tunggal yang menghasilkan 218 PS dan 320 Nm untuk memacu roda belakang. Kenderaan ini mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat dan mencapai kelajuan maksimum 170 km/j.

    Leapmotor C10 pasaran Malaysia diberi kemas kini, harga diturunkan dari RM159,000 ke RM125,000

    Dari aspek kelengkapan, model terkini C10 turut dilengkapi sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) secara langsung bagi memaparkan maklumat tekanan tayar waktu sebenar, serta kit pam angin automatik untuk tayar. Turut ditambah ialah penutup ruang barangan belakang (tonneau cover), di mana kapasiti ruang simpanan belakang adalah 435 liter dengan tempat duduk belakang ditegakkan, dan sehingga 1,410 liter apabila tempat duduk dilipat. Ruang simpanan tambahan di bahagian hadapan (frunk) menyediakan 32 liter lagi ruang.

    Bahagian dalam kini menampilkan kemasan upholsteri hitam, menggantikan warna Midnight Aurora bagi varian dengan warna luaran Pearly White, Canopy Grey dan Tundra Grey. Bagi model berwarna Glazed Green pula, upholsteri kini hadir dalam warna Camel Brown menggantikan Criollo Brown. Bahan upholsteri masih menggunakan tekstil silikon Oeko-Tex.

    Bagi sistem hiburan, Leapmotor C10 mengekalkan panel instrumen bersaiz 10.25 inci dengan resolusi 1920 x 720, serta skrin tengah bersaiz 14.6 inci berdefinisi tinggi dengan resolusi 2560 x 1440. Sistem audio pula terdiri daripada 12 pembesar suara berkuasa 840 watt dengan bunyi keliling, lengkap dengan fungsi navigasi satelit, Wi-Fi dan Bluetooth.

    Leapmotor C10 dijual pada harga bermula RM125,000 dan hadir bersama jaminan selama enam tahun atau 150,000 km (terdiri daripada jaminan pengeluar empat tahun dan jaminan lanjutan dua tahun), serta jaminan bateri selama lapan tahun atau 160,000 km.

     
     
  • BMW X3 20 xDrive M Sport 2025 dilancar di M’sia – hibrid ringkas, 208 PS/330 Nm; dijangka dari RM349k

    BMW X3 20 xDrive M Sport 2025 dilancar di M’sia – hibrid ringkas, 208 PS/330 Nm; dijangka dari RM349k

    BMW Malaysia hari ini turut memperkenalkan BMW X3 20 xDrive M Sport 2025 untuk pasaran tempatan. SAV (Sports Activity Vehicle) saiz sederhana ini dijangka bakal ditawarkan dengan harga atas jalan bermula RM349,000 tanpa insurans.

    Dari sudut rekaan, BMW X3 20 xDrive M Sport 2025 menampilkan bonet tinggi yang menjadi ciri rekaan tipikal SAV, dengan gril ‘kidney’ dalam kemasan Pearl Chrome yang terdiri daripada dua elemen individu dengan BMW Iconic Glow.

    Lampu utama LED baharu dengan grafik L menyerlah wajah depannya. Profil sisi nampak sporty dengan bahagian bonet dan jarak roda yang panjang, dan overhang bahagian depan yang pendek, dan diperkemas dengan rekaan bahagian tingkap yang tinggi dari tengah ke belakang, dengan kesan lengkung Hofmeister.

    Model ini datang rim aloi M standard bersaiz 19-inci dalam gaya jejari-Y dengan kemasan dwitona 1035 M , diserlahkan lagi oleh lengkungan roda yang besar. Menariknya, lengkungan roda kini tampil dengan rekaan yang lebih kemas tanpa lapisan plastik hitam seperti model terdahulu, dan direka dengan sudut condong sedikit ke hadapan.

    BMW X3 20 xDrive M Sport 2025 dilancar di M’sia – hibrid ringkas, 208 PS/330 Nm; dijangka dari RM349k

    Di bahagian belakang, lampunya direka semula dan menampilkan bentuk dwi-L, dengan lampu isyarat membelok yang disepadukan kemas di antara dua elemen pencahayaan tersebut.

    Ciri luaran standard lain termasuk kemasan luaran aluminium satin, perumah cermin warna badan, tapak dan bilah cermin aluminium satin, bingkai tingkap sisi hitam berkilat, kemasan tiang-B aluminium hitam berkilat dan kemasan paip ekzos.

    Di bahagian dalam, BMW X3 20 xDrive M Sport baharu menampilkan ruang yang minimalis, rekaan yang kemas, moden serta penggunaan bahan berkualiti tinggi. Di tengah-tengah terletak BMW Curved Display tanpa bingkai, menggabungkan kluster instrumen 12.3-inci dan paparan kawalan 14.9-inci yang condong sedikit ke arah pemandu. Ia turut digabungkan dengan BMW Heads-Up Display yang membolehkan pemandu menerima maklumat kenderaan yang relevan semasa pemanduan.

    Di bawah BMW Curved Display, BMW Interaction Bar menawarkan kawalan sentuhan dinamik untuk pelbagai fungsi serta lampu ambient dengan 15 pilihan warna. Dua elemen kemasan berbentuk segi tiga memanjang dari panel instrumen ke bahagian pintu mewujudkan kesan yang harmoni.

    Ia turut menampilkan stereng kulit M tiga-jejari yang boleh dilaras dengan bahagian bawah yang rata, tempat duduk sport dengan pelarasan secara elektrik dan fungsi memori, konsol tengah yang direka semula termasuk menampilkan alas pengecasan tanpa wayar dengan kuasa sehingga 15W serta pencahayaan LED.

    BMW X3 20 xDrive M Sport 2025 dilancar di M’sia – hibrid ringkas, 208 PS/330 Nm; dijangka dari RM349k

    Operasi digitalnya dikendalikan oleh BMW Operating System 9 dengan QuickSelect yang dioptimumkan untuk operasi intuitif melalui skrin sesentuh, kawalan suara atau BMW Controller. Aspek infotianmen kereta ini juga lengkap dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay dalam mod skrin penuh, live widgets, serta akses terus kepada hiburan, navigasi dan tetapan kenderaan.

    BMW Digital Premium pula meningkatkan pengalaman berhubung dengan akses kepada penstriman, muzik, berita dan aplikasi permainan melalui BMW ConnectedDrive Store. Manakala BMW Intelligent Personal Assistant yang baharu menyokong arahan suara semula jadi, dengan ketersambungan Apple Siri dan Google Assistant. BMW Digital Key dan Digital Key Plus pula menawarkan kemudahan dan ketersambungan tambahan melalui telefon pintar atau jam tangan pintar.

    Bahagian kabinnya turut digandingkan dengan balutan Veganza berliang dalam warna Espresso Brown atau hitam serta kemasan Fine-Brushed Aluminium. Ciri dalaman standard lain termasuk sistem akses yang selesa, kamera dalaman, pendingin hawa automatik tiga-zon, pelapik bumbung M dalam sentuhan anthracite, dan alas lantai jenis velour.

    Kapasiti ruang bagasi yang tersedia seluas 570 liter dan boleh mencapai sehingga 1,700 liter jika tempat duduk belakang dibaring rata.

    Bagi aspek mekanikal, SAV ini dijanakan oleh enjin 2.0 liter empat-silinder petrol dengan teknologi hibrid ringkas 48-voltan, yang memberikan hamburan kuasa hingga 190 PS (140 kw atau 190 hp) dari 4,400 hingga 6,500 rpm dan tork 310 Nm dari 1,500 hingga 6,500 rpm.

    Ini dipadankan dengan transmisi Steptronic lapan-kelajuan, dengan penambahan sistem xDrive secara standard bagi menggantikan pacuan roda-belakang yang ada pada model terdahulu. Semua ini membolehkannya memecut dari 0-100km/j dalam hanya 8.5 saat dan mencapai kelajuan maksimum cecah 215 km/j.

    Selain itu, sistem suspensi standard kini ditala untuk ketepatan yang lebih tinggi, memberikan kawalan yang lebih tajam dan kualiti pengendalian yang dipertingkatkan. Jejak permukaan roda belakang kini ditambah 45 mm dan kestabilan yang diperkemas.

    Bagi sistem bantuan pemandu termaju, ia dilengkapi dengan ciri standard termasuk Driving Assistant Plus, yang merangkumi Amaran Pertukaran Lorong dengan campur tangan stereng aktif, Amaran Perlanggaran Hadapan dengan campur tangan brek dan Bantuan Mengelak kenderaan, penunggang basikal dan pejalan kaki, Amaran Belok Ke Kiri dengan fungsi brek, Paparan Had Laju dengan penunjuk larangan memotong dan pra-amaran, Bantuan Tahap Kepekaan Pemandu, Amaran Trafik di Belakang dengan campur tangan brek, Amaran Keluar Kenderaan, dan Pencegahan Perlanggaran Belakang.

    Turut disertakan ialah Kawalan Kelajuan Aktif dengan fungsi Stop & Go serta Bantuan Stereng dan Kawalan Lorong yang memberikan sokongan intuitif dalam situasi pemanduan harian. Sementara itu, Parking Assistant Plus disediakan dengan sistem berasaskan kamera dan ultrabunyi yang merangkumi Bantuan Parkir, Bantuan Undur, Kawalan Jarak Parkir Aktif, Sistem Pandangan Sekeliling, Pandangan 3D Jarak Jauh (Remote 3D View), Perakam BMW Drive, Perakam Anti-Kecurian, dan keseluruhan fungsi lengkap Bantuan Parkir.

    BMW X3 20 xDrive M Sport baharu ini ditawarkan dengan pilihan warna luaran seperti Alpine White, Black Sapphire, Dune Grey dan Tanzanite Blue. Untuk bahagian kabin, ia hadir dengan upholsteri Verganza Perforated dalam rona hitam dan Espresso Brown.

     
     
  • BMW 3 Series 2025 dipertingkatkan di Malaysia; BMW 330i M Sport dari RM340k, RM290k untuk 320i Sport

    BMW 3 Series 2025 dipertingkatkan di Malaysia; BMW 330i M Sport dari RM340k, RM290k untuk 320i Sport

    Sempena meraikan ulangtahun ke-50 BMW 3 Series, BMW Malaysia melancarkan BMW 3 Series 2025 yang dipertingkatkan untuk pasaran tempatan. Ia membabitkan model BMW 330i M Sport baharu dan 320i Sport baharu yang kini menyertai 330Li M Sport yang sebelum ini telah diperkenalkan. Kedua-dua model baharu yang dipertingkatkan ini adalah unit pemasangan tempatan (CKD). Untuk 330i M Sport, ia ditawarkan pada harga bermula RM340,200 (dengan waranti lanjutan dan pakej servis), manakala 320i Sport pula berharga dari RM290,000, kedua-duanya harga atas jalan tanpa insurans.

    Bagi BMW 330i M Sport, pastinya ia diserikan dengan elemen rekaan M Sport yang serba bergaya dengan profil aerodinamik. Ia juga menampilkan gaya yang lebih elegan berorientasikan-bisnes, dengan garisan yang lebih kemas dan mencerminkan eksekutif moden. Ia tampil dengan gril ‘kidney’ dalam rona hitam untuk gaya yang lebih maskulin. Ia juga diberikan roda aloi ringan M bersaiz 19-inci dengan gaya jejari berganda dan 996 M Bicolour dengan tayar run flat. Model ini juga menerima ciri eksklusif termasuk pakej M Aerodynamics, spoiler belakang M, dan M high-gloss Shadowline.

    BMW 320i Sport baharu pula menampilkan gaya yang lebih halus dan elegan berorientasikan perniagaan, dengan garisan yang kemas bagi mencerminkan penampilan eksekutif moden. Ia dipadankan dengan gril dalam kemasan Krom Mutiara dan serlahan luaran dalam aluminium satin. Ia juga menerima roda aloi ringan 18-inci dengan gaya jejari-V 780 Bicolour juga bersama tayar run flat dan Exterior Line Satin Aluminium.

    BMW 3 Series 2025 dipertingkatkan di Malaysia; BMW 330i M Sport dari RM340k, RM290k untuk 320i Sport

    Kedua-dua model ini turut menampilkan ciri standard yang sama iaitu lampu utama LED dengan bantuan lampu tinggi. Pencahayaan ambien juga memberikan pencahayaan pada bahagian hadapan pintu, menampilkan unjuran baharu yang dibangunkan khusus untuk BMW 3 Series baharu ini. Selain itu, pintu tailgate dengan operasi automatik diberikan untuk kemudahan yang lebih optimum.

    Untuk bahagian dalamnya, kedua-dua model dipersembahkan dengan rekaan kabin serba model termasuk menampilkan rekaan semula panel instrumen yang lebih langsing disepadukan bersama corong udara sempit, manakala konsep kawalan intuitif dengan butang galvanic moden meningkatkan kemudahan penggunaan terutamanya untuk sistem pengudaraan.

    Ciri elemen standard yang diberikan termasuk BMW Curved Display yang merangkumi kluster instrumen dengan paparan kawalan sentral 14.9-inci. Selain itu, ia juga dikuasakan dengan BMW Operating System 8.5 bersama fungsi QuickSelect di mana sistem ini membolehkan akses yang lebih pantas kepada fungsi utama termasuk navigasi, hiburan, dan tetapan kenderaan. BMW Live Cockpit Professional juga diberikan secara standard, dengan menambah BMW Head-Up Display warna-penuh dan navigasi Augmented View bagi meningkatkan kepekaan pemanduan.

    BMW 3 Series 2025 dipertingkatkan di Malaysia; BMW 330i M Sport dari RM340k, RM290k untuk 320i Sport

    Kedua-dua model juga menerima sistem akses yang lebih selesa, pakej cermin dalaman dan luaran, cermin pandang belakang dalaman dengan sistem anti-silau automatik, sistem muatan terus, tempat duduk sport untuk pemandu dan penumpang hadapan, pakej ruang penyimpanan, lampu ambien, dan pendingin hawa automatik.

    Ciri tambahan bagi BMW 330i M Sport baharu pula ialah stereng sport boleh-ubah, menawarkan ketepatan dan respons yang dipertingkatkan sebagai sebahagian daripada kejuruteraan M Sport. Selain itu, ia turut menerima kemasan dalaman Aluminium Rhombicle Anthracite M, panel instrumen mewah, hiasan galvanic untuk kawalan, sistem pembesar suara HiFi, dan roda stereng kulit M serta pelapik bumbung M dalam sentuhan anthracite. Manakala BMW 320i Sport dibezakan dengan kemasan dalaman dalam “Dark Graphite” dan roda stereng sport.

    Di bawah hudnya, BMW 330i M Sport baharu dijana oleh enjin 2.0 liter BMW TwinPower Turbo empat-silinder dengan hamburan kuasa 258 PS (190 kW atau 258 hp) dari 5,000 hingga 6,500 rpm dan tork 400 Nm dari 1,550 hingga 4,400 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik Steptronic Sport lapan-kelajuan yang memacu roda belakang, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.8 saat, dengan kelajuan tertinggi cecah 250 km/j.

    BMW 320i Sport baharu juga diberikan enjin yang sama tetapi dengan hamburan kuasa yang berbeza iaitu 183 PS (135 kW atau 184 hp) dari 5,000 hingga 6,500 rpm dan tork 300 Nm dari 1,350 hingga 4,000 rpm. Juga dipadankan dengan transmisi yang sama tetapi pecutan 0-100 km/j dapat dicapai dalam 7.4 saat dengan kelajuan tertinggi cecah 235 km/j.

    Untuk bantuan pemanduan, kedua-dua model dilengkapi dengan ciri standard termasuk Kawalan Kelajuan Aktif dengan Stop & Go, serta Bantuan Pemanduan yang merangkumi Amaran Menukar Lorong, Info Had Kelajuan, Kepekaan Trafik Belakang dengan campur tangan brek, dan Amaran Keluar. Selain itu, ia juga dilengkapi Parking Assistant Plus yang menampilkan sistem berasaskan ultrabunyi dan kamera yang terdiri daripada Bantuan Parkir, Bantuan mengundur, Kawalan Jarak Parkir Aktif, Sistem Pandangan Sekeliling, Remote 3D View, Perakam BMW Drive, Perakam Anti-Kecurian, dan fungsi penuh Bantuan Parkir.

    Untuk warna luaran, kedua-dua model diberikan pilihan Alpine White, Black Sapphire dan Arctic Race Bluem dengan BMW 330i M Sport turut menerima warna eksklusif M Brooklyn Grey dan Skyscraper Grey buat BMW 320i Sport. Bagi rona di dalam kabin, kedua-dua model diberikan Sensatec Perforated upholstery berwarna hitam.

    BMW 330i M Sport 2025

    BMW 320i Sport 2025

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Jul 10, 2025