
Bermaz Motor telah mula membuka tempahan untuk Mazda 3 1.5L High Plus, yang akan menawarkan bentuk badan sedan dan hatchback (atau Liftback), kedua-duanya dijangka berharga atas jalan sekitar RM119,620 tanpa insurans. Ia juga mengembalikan pilihan 1.5L, selepas digugurkan sewaktu Mazda 3 diberi peningkatan pada Oktober 2023.
Seperti namanya, 1.5L High Plus merupakan varian di atas 1.5L Mid, walau bagaimana pun kami masih belum mendapat risalah spesifikasi penuhnya buat masa sekarang. Tapi merujuk kepada posting oleh pengedar tempatan, penghantaran bagi varian baharu ini akan bermula pada September. Ia dikatakan akan ditampilkan dengan roda aloi 18-inci, pencahayaan signitur LED, penderia parkir hadapan dan belakang, bilah pengelap cermin dengan penderia hujan serta keyless entry and start (dengan fungsi walk-away auto lock).
Di dalamnya, antara ciri yang diberikan termasuklah paparan kluster instumen tujuh-inci, pedal penukar gearm kawalan suhu dwi-zon (dengan corong di belakang), tempat duduk pemandu larasan kuasa (dengan fungsi memori), tempat duduk upholstery kulit, paparan instrumen 10.25-inci, sokongan Apple CarPlay tanpa wayar (dan Android Auto yang mungkin dengan wayar), lapan pembesar suara dan pad pengecasan tanpa wayar. Ciri lain termasuk kamera undur, tujuh beg udara dan G-Vectoring Control Plus (GVC Plus).
Kelengkapan penuh ADAS juga diberikan dan ini termasuklah steering-responsive headlamps (AFS), lampu tinggi autpmatik (HBC), pemantauan titik buta, kepekaan trafik belakang, amaran ketibaan lorong, bantuan kekal lorong, kepekaan perhatian pemandu, brek kecemasan sendiri hadapan dan belakang (Smart Brake Support), Mazda Radar Cruise Control (MRCC) dan Cruising & Traffic Support (CTS).
Mazda 3 2.0L High Plus Sedan 2023
Di bawah bonetnya, 1.5L High Plus diberikan enjin yang sama dengan 1.5 Mid iaitu Skyactiv-G 1.5 liter naturally-aspirated empat-silinder sebaris petrol yang mampu menghamburkan kuasa sebanyak 118 hp dan tork 153 Nm. Turut diberikan transmisi automatik Skyactiv-Drive enam-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan.
Pada Oktober 2023, peningkatan yang dibuat untuk varian tanpa Ignite Edition termasuklah port USB-C berbanding USB-A, paparan infotainmen 10-25-inci, pad pengecas tanpa wayar, sokongan Apple CarPlay tanpa wayar, dan fungsi stop and go.
Jika risalah spesifikasi yang diiklankan oleh pengedar tempatan ini sahih, varian 1.5L High Plus dilihat sebagai satu pilihan yang berbaloi jika anda sedang mempertimbangkan untuk membeli Mazda 3 – yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun – dan mahukan ciri-ciri pada varian High Plus, tetapi boleh menerima tanpa enjin petrol 2.0 liter NA empat-silinder dengan 162 hp dan 213 Nm.
Varian Mazda 3 2.0L yang paling mampu milik ketika ini ialah 2.0L High, yang hanya ditawarkan dalam bentuk sedan pada harga RM156,059. Oleh itu, 1.5L High Plus adalah RM36,439 lebih murah dan dilengkapi dengan lebih banyak ciri berbanding 2.0L High, dengan satu-satunya kekurangan (jika anda kisah) ialah enjin berkapasiti lebih kecil.

Dari segi kelengkapan, varian 1.5L High Plus dilihat setanding dengan varian 2.0L High Plus, yang turut ditawarkan dalam dua bentuk badan. Varian 2.0L High Plus dijual pada harga RM166,059, iaitu RM46,439 lebih mahal berbanding 1.5L High Plus, tetapi sekali lagi, ia hadir dengan enjin 2.0 liter. Turut menarik perhatian, anggaran harga bagi 1.5L High Plus ini adalah lebih rendah daripada harga pelancaran 1.5 Mid yang diperkenalkan pada Julai 2019 iaitu RM139,620.
Seperti kebanyakan model Mazda lain, 1.5L High Plus didatangkan dengan waranti lima-tahun atau 100,000 km berserta pakej penyelenggaraan percuma. Turut disertakan adalah filem penapis haba tingkap Activ-e, dan pembeli boleh memilih daripada tujuh warna badan iaitu Machine Grey, Soul Red Crystal, Polymetal Grey, Deep Crystal Blue, Snowflake White Pearl, Jet Black dan Platinum Quartz.
Maklumat lanjut akan dikongsikan apabila 1.5L High Plus ini dilancarkan secara rasmi. Buat masa ini, anda boleh mendaftar minat dan kongsikan pandangan anda sama ada varian baharu ini berbaloi atau tidak di ruangan komen di bawah.