Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Tren ETS ditambah sempena Tahun Baru Cina bagi perjalanan 7 Feb-10 Mac, jualan tiket mulai 15 Jan

    Tren ETS ditambah sempena Tahun Baru Cina bagi perjalanan 7 Feb-10 Mac, jualan tiket mulai 15 Jan

    KTM Berhad (KTMB) telah mengumumkan akan menambah empat tren tambahan bagi perkhidmatan ETS sempena Tahun Baru Cina yang bakal disambut bulan hadapan.

    Ia adalah bagi perjalanan dari laluan KL Sentral – Ipoh – KL Sentral pada 7 hingga 13 Februari 2024. Selain itu, dua ETS turut ditambah bagi laluan KL Sentral – Padang Besar – KL Sentral pada 7 Februari sehingga 10 Mac ini.

    Menurut KTMB lagi, dua daripada empat perkhidmatan tambahan KL Sentral – Ipoh – KL Sentral merupakan tren ekspres yang hanya akan mengambil masa dua jam sehala, berbanding masa perjalanan biasa iaitu dua jam 40 minit.

    Jualan tiket akan dibuka mulai 15 Januari 2024 (Isnin ini), jam 12 tengah hari, manakala sebanyak 29,526 tiket akan ditawarkan untuk perkhidmatan ETS bersama tren tambahan bagi tempoh yang dinyatakan ini. Tiket-tiket boleh dibeli menerusi aplikasi KTMB Mobile atau kios tiket di stesen KTMB.

     
     
  • Toyota GR Yaris facelift 2024 didedah di TAS – 304 PS/400Nm, pilihan 8AT, kabin lebih fokus pemandu

    Toyota GR Yaris facelift 2024 didedah  di TAS – 304 PS/400Nm, pilihan 8AT, kabin lebih fokus pemandu

    Selepas didedahkan secara rasmi pada Tokyo Auto Salon (TAS) 2020, GR Yaris hari ini sekali lagi menjadi tajuk besar dalam acara ubahsuai terulung di Jepun itu – ini dia GR Yaris facelift membuat kemunculan sulungnya di TAS 2024 pagi tadi!

    Model yang disegarkan kali ini bukan hanya melibatkan perubahan kosmetik pada sebelah luar, ia turut menampilkan rombakan drastik pada kabin, menerima tingkat taraf kuasa, malah turut menerima pilihan kotak gear automatik berbanding hanya ditawarkan dengan transmisi manual sebelum ini.

    Menurut Toyota, pembangunan GR Yaris ini tidak terhenti selepas ia dilancarkan empat tahun lalu. Model produksi tersebut dibawa untuk berlumba bukan hanya dalam disiplin rali, malah pelbagai lagi format perlumbaan membolehkan ia terus dibangunkan menerusi kaedah “pembangunan-kereta mengutamakan-pemandu” dalam persekitaran ekstrem “rosak dan baiki semula” berulang kali.

    Malah proses berkenaan turut disertai oleh pengerusi Toyota yang juga “Toyota Master Driver”, Akio Toyoda – atau lebih dikenali dengan nama alter ego Morizo ketika berlumba – bagi “menambahbaik prestasi kenderaan secara komprehensif”.

    Toyota GR Yaris facelift 2024 didedah  di TAS – 304 PS/400Nm, pilihan 8AT, kabin lebih fokus pemandu

    GR Yaris facelift 2024 ini masih dijana oleh enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga silinder turbo yang sama seperti sebelum ini. Namun kuasa 272 PS dan tork maksima 370 Nm pada versi sebelumnya kini sudah dipertingkat bagi menghasilkan 304 PS dan tork maksima 400 Nm, atau 32 PS/30 Nm lebih berkuasa dari sebelum ini.

    Toyota tidak memperincikan bagaimana kuasa berkenaan dicapai, namun angka kuasa kuda tersebut jelas menyamai bekalan kuasa yang sama seperti abangnya GR Corolla, malah tork GR Yaris facelift ini juga adalah 30 Nm lebih tinggi!

    Dengan tenaga yang lebih tinggi dihasilkan oleh enjin, Toyota turut menawarkan opsyen Cooling Package. Bagi pelanggan yang memilih pakej ini, unit sub-radiator, kit ambilan udara sejuk (CAI) dan juga penyembur air untuk unit intercooler akan dipasangkan di kilang ketika kereta ini diproduksi di GR Factory.

    Bagi model manual, ia masih menerima kotak gear manual enam-kelajuan. Manakala bagi pilihan versi transmisi automatik yang baru ditawarkan menerusi model facelift ini, ia dibekalkan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik yang diberi nama Gazoo Racing Direct Automatic Transmission.

    Toyota GR Yaris facelift 2024 didedah  di TAS – 304 PS/400Nm, pilihan 8AT, kabin lebih fokus pemandu

    Seperti namanya, kotak gear ini dibina oleh sayap perlumbaan rasminya, Toyota Gazoo Racing (TGR). Menurut TGR, kotak gear ini mempunyai “kelajuan transmisi dan ketahanan yang boleh dinikmati oleh pelbagai jenis orang”, dan perisian kawalan transmisi tersebut telah dioptimakan untuk pemanduan sporty.

    Kotak gear ini akan “belajar” bagaimana rentak pemandu memijak pedal brek dan pedal pendikit bagi membolehkan ia membuat anggaran lebih tepat bila gear perlu ditukar walaupun sebelum perubahan dalam tingkah laku kenderaan berlaku. Dengan itu gear akan ditukar secara automatik dalam tempoh masa hampir sama ketika pemandu berniat menukar gear tersebut, seterusnya akan memberikan tukaran gear yang hampir sama bagaimana pemandu profesional menukar gear, dakwa TGR.

    Kotak gear AT ini didatangkan dengan penyejuk minyak ATF secara standard. Ia juga menggunakan material geseran yang sangat tahan panas pada klac penukar gear, bersama penambahbaikkan dibuat pada perisian kawalan transmisi bagi memberikan ‘tukaran gear berkelas-dunia’, dakwa TGR lagi.

    Dengan jumlah gear yang lebih banyak berbanding versi manual, kotak gear automatik 8AT ini juga dapat memastikan enjin sentiasa berada pada lengkuk kuasa. Bagi varian RZ “High performance”, LSD jenis torsen dipadankan secara standard.

    GR Yaris facelift ini juga menerima satu lagi perincian pemanduan baharu yang digelar Drive Mode Select. Menerusi fungsi ini, sistem stereng kuasa elektrik (EPS), penghawa dingin dan unit rangkaian kuasa (enjin dan kotak gear) akan menerima talaan spesifik Sport, Normal atau Eco yang boleh dipilih oleh pemandu. Manakala fungsi pemilih mod 4WD pula adalah sama seperti sebelum ini.

    Casis asal GR Yaris yang sememangnya sangat tegar diberikan lebih penambahbaikkan pada model facelift ini. Jumlah bolt yang mengikat badan kereta kepada penyerap hentak telah ditambah dari hanya satu kepada tiga bagi mengelakkan jajaran roda berubah ketika pemanduan, seterusnya meningkatkan input stereng serta memberikan kestabilan kawalan lebih baik.

    TGR turut menambah bilangan titik kimpalan (spot weld) sekitar 13% lebih banyak dan menambah jumlah kawasan di mana perekat sturktur digunakan sekitar 24% lebih banyak bagi memberikan ketegaran badan lebih tinggi, seterusnya memberikan pengendalian dan keselesaan ketika memandu.

    Satu lagi ciri baharu pada GR Yaris facelift ini adalah Circuit Mode. Menerusi mod ini, ia akan memberikan talaan paling optima bagi pemanduan di litar dengan memberikan fungsi termasuk kawalan anti-lag, pengehad kelajuan dikurangkan sebaik sahaja kereta memasuki litar (dikesan melalui GPS), kipas enjin yang berpusing pada kelajuan penuh dan juga penunjuk penukar gear diberikan pada paparan instrumen. Setiap fungsi ini turut boleh diubah menerusi aplikasi telefon pintar.

    Sekali tengok bahagian luaran GR Yaris ini memang menerima banyak perubahan. Dan perubahan-perubahan ini sebenarnya bukan hanya bersifat kosmetik kerana ia berfungsi bagi meningkatkan prestasi. Pada bahagian hadapan, gril pada bahagian bawah menampilkan mesh logam yang sangat nipis bagi mengurangkan beratnya, namun ia masih sangat kuat serta menyerlahkan tulisan “GR Four” pada elemen sarang lebah tersebut.

    Manakala kemasan pada bahagian bawah kedua-dua sisi bampar hadapan direka agar ia boleh diasingkan dari bahagian utama, bagi memudahkan sebarang pembaikan atau restorasi dibuat dengan lebih mudah. Liang aliran udara juga direka lebih besar untuk penyejukkan yang lebih baik.

    Terdapat juga liang udara pada bahagian sisi bagi mengeluarkan haba dari unit sub-radiator dan penyejuk minyak ATF. Liang udara pada bahagian bawah bampar belakang direka bagi membebaskan aliran udara bawah lantai, membolehkan daya seretan dikurangkan dan haba dari peredam bunyi juga dialir keluar.

    Kluster lampu belakang baharu pada GR Yaris ini juga direka bukan hanya untuk rupa semata-mata. Menurut TGR, bahagian atas dan bawah lampu tersebut menampilkan rekaan yang boleh mengurangkan risiko kerosakan serta memberikan penglihatan lebih baik. Lampu brek ketiga juga tidak lagi diletak pada spoiler belakang, sebaliknya diasingkan bagi membolehkan spoiler tersebut direka lebih baik. Logo Toyota juga tidak lagi dilekat pada pintu hatch GR Yaris facelift ini.

    Toyota GR Yaris facelift 2024 didedah  di TAS – 304 PS/400Nm, pilihan 8AT, kabin lebih fokus pemandu

    Masuk ke kabin pula, perubahan lebih drastik diberikan terutamanya pada bahagian papan pemuka. Jika anda rasa papan pemuka GR Yaris facelift ini pelik, ia sebenarnya lebih mengutamakan pemandu dan direka diinspirasikan dari jentera lumba GR Yaris yang digunakan dalam perlumbaan Super Taikyu Endurance dan dan juga Kejohanan Rali Jepun.

    Bahagian konsol tengah papan pemukan berkenaan telah dipalingkan 15 darjah menghadap pemandu, bagi memudahkan segala paparan dilihat dan juga suis pada bahagian tersebut mudah dicapai oleh pemandu. Bagi model manual, tombol gear telah dinaikkan 75 mm lebih tinggi berbanding tombol gear pada model CVT sebelumnya. Toyota turut menawarkan opsyen tuil brek tangan yang terletak bersebelahan tombol gear seakan brek tangan jentera WRC sebenar untuk varian RC yang dijual untuk diubah menjadi kereta lumba.

    Berbeza dari versi pre-facelift yang hanya menampilkan paparan meter analog, model kemaskini ini menerima paparan instrument digital penuh dengan skrin 12.3-inci. Skrin berkenaan memberikan lebih banyak maklumat seperti suhu ATF bagi model automatik, penunjuk posisi gear dengan amaran tukaran gear, rekaan susunan meter berbeza mengikut mod pemanduan dan pelbagai lagi.

    Rekaan tempat duduk hadapan GR Yaris baharu ini mungkin nampak sama seperti sebelum ini. Namun sebenarnya Toyota telah merendahkan posisi duduk sebanyak 25 mm, selari dengan kedudukan roda stereng yang juga kini lebih rendah.
    Sudut pandangan pada cermin depan juga kini lebih baik kerana kedudukan cermin pandang hadapan di tengah telah dialih lebih ke atas serta konsol tengah telah direndahkan lagi 50 mm.

    Segala kelengkapan pada GR Yaris facelift ini membolehkan ia menampilkan spesifikasi yang lebih baik dari model hardcore Yaris GRMN yang didedahkan tahun lalu. Namun bagi pemilik GR Yaris sedia ada yang mahukan prestasi sama seperti GR Yaris baharu ini, Gazoo Racing turut menawarkan kit prestasi bagi membolehkan kereta anda mencapai angka kuasa menyamai model kemaskini ini, lengkap dengan emblem khas bagi menandakan ia telah menerima tingkat taraf tersebut.

    Ketika berlangsungnya TAS 2024 ini, Toyota turut mengumumkan model konsep GR Yaris RZ “High performance・Sébastien Ogier Edition” dan GR Yaris RZ “High performance・Kalle Rovanperä Edition” disahkan akan diproduksi diasaskan dari model facelift ini. Versi sebenar kedua-dua model edisi khas tersebut akan didedahkan di pusingan pertama WRC tahun ini iaitu Rally Monte Carlo 2024 yang akan berlangsung pada hujung bulan ini.

    GALERI: Toyota GR Yaris RZ High Performance facelift 2024

    GALERI: Toyota GR Yaris facelift 2024 RR x Grow Concept

     
     
  • Tiada lagi pelancaran kempen keselamatan jalan raya setiap musim perayaan mulai tahun ini – Loke

    Tiada lagi pelancaran kempen keselamatan jalan raya setiap musim perayaan mulai tahun ini – Loke

    Mulai tahun 2024, Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak akan menganjurkan lagi majlis pelancaran kempen keselamatan jalan raya bagi setiap musim perayaan seperti kelaziman tahun-tahun sebelum ini. Menurut menterinya, Anthony Loke, keputusan itu dibuat bagi menjimatkan kos yang menelan antara RM100,000 ke RM200,000 bagi setiap majlis, laporan Bernama.

    Tegasnya, peruntukan tersebut boleh disalurkan untuk menambah baik kempen keselamatan sedia ada yang boleh memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

    “Mulai tahun ini, tiada lagi majlis pelancaran kerana tanpa majlis pelancaran itu pun, operasi JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) tetap berjalan. Operasi bersepadu pun tetap diadakan dan undang-undang tetap dikuatkuasakan.

    Tiada lagi pelancaran kempen keselamatan jalan raya setiap musim perayaan mulai tahun ini – Loke

    “Namun, jika ada syarikat swasta nak buat kempen, itu terpulang kepada mereka. Yang saya hentikan ialah bajet kementerian sebab kita akan guna untuk tujuan lebih baik. Mungkin berikan topi keledar percuma bernilai RM55 setiap satunya kerana kami dapati masih ada yang menggunakan topi keledar lusuh,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat 2024 bagi kementeriannya pagi tadi.

    Dalam hal lain, Loke turut menyampaikan amanat memaklumkan bahawa MOT akan memberikan tumpuan terhadap empat fokus utama tahun ini. Fokus pertama bagi memperkasa jaringan ketersambungan dan kebolehcapaian sistem pengangkutan awam dan logistik. Di mana ia sejajar dengan anjakan besar Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dalam mencapai status negara berpendapatan tinggi.

    Manakala fokus kedua pula ialah membudayakan aspek keselamatan sektor darat, udara dan maritim. “Tahun lalu, hampir 7,000 terkorban dalam nahas jalan raya, jadi isu keselamatan pengguna ini menjadi keutamaan Kementerian Pengangkutan dan memastikan program yang bakal dilaksanakan kelak, perlu mencapai tujuannya,” jelasnya.

    Untuk fokus ketiga pula mengoptimumkan budaya penyelenggaraan infrastruktur, perkhidmatan dan rangkaian pengangkutan dan terakhir ialah memacu intervensi dasar berdasarkan inovasi pendigitalan dan pengukuhan keupayaan penggunaan data.

     
     
  • Lesen memandu , cukai jalan digital — bagaimana jika bateri telefon habis? Macam mana nak tunjuk?

    Lesen memandu , cukai jalan digital — bagaimana jika bateri telefon habis? Macam mana nak tunjuk?

    Peralihan kepada penggunaan lesen memandu digital menjadi antara langkah pendigitalan terkini yang dilakukan oleh kerajaan, selepas pengenalan cukai jalan digital, yang juga boleh diperbaharui melalui aplikasi mudah alih MyJPJ bermula 1 Februari nanti.

    Dalam satu wawancara bersama Nasional FM (klik untuk video) yang dirakam pada Khamis, 11 Januari 2024, Pengarah Perlesenan Kenderaan JPJ, Abdul Rahman Emang Anyie menjelaskan perubahan yang bakal berlaku disebabkan pelaksanaan cukai jalan dan lesen memandu digital berkenaan.

    Antara situasi yang dibangkitkan adalah ketika pemandu ditahan di sekatan jalan. Dalam keadaan itu, lesen digital sudah memadai, dan sekiranya pengguna lebih senang menggunakan salinan fizikal lesen memandu, mereka perlu menunjukkan format baru lesen berkenaan dalam bentuk slip bercetak, bersama dengan lesen memandu kad yang telah tamat tempoh.

    Lesen memandu , cukai jalan digital — bagaimana jika bateri telefon habis? Macam mana nak tunjuk?

    Bagaimana pula jika di hujung hari dan bateri telefon habis atau telefon rosak? Pegawai JPJ yang bertugas akan mempunyai peranti khas yang boleh memeriksa kesahihan lesen dan cukai jalan ini dengan hanya memasukkan nombor kad penganalan, jelas Abdul Rahman.

    Untuk cukai jalan, tidak lagi perlu untuk mempamerkan salinan fizikal di cermin kereta anda sejak 10 Februari tahun lalu. Dalam keadaan yang diperlukan, misalnya ketika sekatan jalan, hanya nombor pendaftaran kereta diperlukan untuk pengesahan, sama seperti pengesahan lesen memandu melalui nombor kad pengenalan, tambah Abdul Rahman lagi.

    Kerisauan orang awam berkaitan kesepaduan antara agensi, seperti JPJ dan PDRM dalam penguatkuasaan pula menurut Abdul Rahman, telah dibincangkan bersama dan disepakati dalam kalangan agensi yang terlibat itu.

    Lesen memandu , cukai jalan digital — bagaimana jika bateri telefon habis? Macam mana nak tunjuk?

    Peralihan kepada bentuk digital bagi cukai jalan juga adalah disebabkan oleh maklum balas sebelum ini, terutamanya yang merujuk kepada penggantian pelekat cukai jalan yang bagi kebanyakan orang dirasakan susah untuk ditanggalkan dan meninggalkan kesan di cermin.

    Pendigitalan perkhidmatan juga membantu memudahkan lagi proses keseluruhan, dan pengguna tidak perlu lagi bersesak di kaunter JPJ. Ia juga memberikan manfaat kewangan kepada JPJ; ia mampu menjimatkan sebanyak RM96 juta setahun, seperti dijelaskan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Februari tahun lalu.

    Sudah gunakan cukai jalan dan lesen memandu digital ini? Bagaimana pengalaman anda?

     
     
  • Kymco AK550 Premium dilancar untuk pasaran M’sia – unit CBU dari Taiwan, enjin 550 cc, harga RM65,600

    Kymco AK550 Premium dilancar untuk pasaran M’sia – unit CBU dari Taiwan, enjin 550 cc, harga RM65,600

    Modenas selaku pengedar eksklusif motosikal jenama Kymco di Malaysia hari ini melancarkan AK550 Premium untuk pasaran, pada harga RM65,600 tidak termasuk insurans. Ia adalah unit yang diimport (CBU) dari Taiwan dan ditawarkan dalam dua warna iaitu hitam dan coklat matte.

    Skuter ini dipacu oleh enjin dua silinder selari crossplane DOHC 550.4 cc yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 50.9 hp pada 7,500 rpm dan tork 52 Nm pada 6,000 rpm, dihantar ke roda belakang melalui transmisi automatik CVT dan sistem tali sawat. Untuk menyesuaikan tunggangan dengan keadaan, penunggang boleh memilih dua mod, sama ada Power atau Rain.

    Memegang skuter seberat 238 kg ini ke atas jalan adalah suspensi yang terdiri daripada fork USD di hadapan (tanpa pelarasan) dan monoshock melintang dengan pelarasan pra beban di belakang. Kedua-dua rim adalah bersaiz 15 inci, dengan tayar 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang.

    Brek AK550 menggunakan set cakera berkembar 270 mm dengan angkup Brembo empat piston di hadapan, sementara di belakang terdapat cakera 260 mm dengan angkup dua piston. Selain fungsi brek parkir, sistem brek skuter ini juga datang dengan sistem Cornering ABS pintar yang dikatakan mempunyai sensor dan boleh mengawal kuasa brek pada setiap tayar mengikut keadaan.

    Sebagai sebuah skuter maxi, AK550 datang pelbagai kemudahan antaranya penghadang angin boleh laras secara elektrik, cruise control, sistem kunci pintar serta ruang simpanan bawah tempat duduk yang dikatakan boleh menempatkan satu helmet fullface dan satu helmet open face.

    Untuk paparan informasi, ia dilaksanakan oleh skrin digital dengan unit TFT bulat di bahagian tengah serta sistem Noodoe yang membolehkan ia disambung kepada telefon untuk kawalan fungsi navigasi, musik dan telefon. Tangki bahan api AK550 berkapasiti 14.5 liter dan tinggi tempat duduknya adalah 785 mm.


     
     
  • Tukar-Je CAR-nival di myTukar Puchong South 12-14 Jan – diskaun, hadiah bernilai RM1j menanti anda!

    Tukar-Je CAR-nival di myTukar Puchong South 12-14 Jan – diskaun, hadiah bernilai RM1j menanti anda!

    Jika tahun 2024 antara azam anda adalah untuk memiliki kenderaan baharu, inilah masa yang paling bersesuaian untuk direalisasikan. Apatah lagi tak lama lagi kita bakal menyambut Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri, jadi seronok jugalah kalau dapat bergaya dengan kenderaan baharu. Jika ingin membeli kenderaan baharu yang baru keluar kilang, di luar bajet anda, apa kata anda kenderaan yang dijual oleh myTukar. Mulai hari ini (12 Jan) hingga Ahad, 14 Jan 2024, MYTukar menganjurkan Tukar-Je CARnival yang berlangsung di di Puchong South Retail Experience Centre.

    Model kenderaan apa yang ada di Tukar-Je CARnival? Macam-macam model kenderaan yang sesuai untuk golongan B40 hinggalah ke T20. Ikut saja bajet, keperluan dan kemahuan anda. Paling menarik, sepanjang penganjuran acara ini, pelbagai tawaran menarik disediakan khas.

    Apa tawaran menarik yang menanti anda? Hah! Sekiranya membeli kereta dari myTukar, anda bakal nikmati diskaun sehingga RM8,888 untuk kereta terpilih. Selain itu, myTukar juga menawarkan banyak ganjaran menarik, termasuk baucar diskaun 30% untuk Pakej Badan dan Cat oleh Carro Care, diskaun 10% untuk pakej Penyelenggaraan Kenderaan Carro Care, diskaun 10% untuk memperbaharui insurans serta kad Touch n Go kustom bernilai RM50.

    Bukan setakat itu sahaja, anda juga berpeluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah seperti Sony Playstation 5, Nintendo Switch, Apple Watch, Apple Airpod, dash-cam dalaman kenderaan dan banyak lagi ketika membeli kenderaan myTukar Certified yang akan diserahkan dalam masa 14 hari.Fuh! Memang banyak ganjaran menarik yang ditawarkan oleh myTukar dan ia bernilai lebih RM1 juta!

    Jika anda berkunjung ke Tukar-Je CARnival bersama keluarga, banyak juga aktiviti menarik yang disediakan, termasuklah konsert mini yang menampilkan beberapa artis tempatan, khemah gergasi yang menempatkan pelbagai aktiviti untuk anak-anak anda termasuk Sekolah Memandu Kanak-kanak myTukar dan mereka boleh memandu kenderaan elektrifikasi dalam litar khas dan akan diberikan lesen memandu eksklusif!

    Bila dah penat ‘mencuci mata’ dengan deretan kenderaan yang dipamerkan, sambil-sambil anda fikirkan kereta mana yang paling sesuai untuk dibeli, anda seisi keluarga juga boleh menjamu selera dengan pelbagai hidangan yang disediakan menerusi food truck yang mengambil bahagian.

    Selain apa yang ditawarkan menerusi Tukar-Je CARnival ini, jika anda berkunjung ke mana-mana cawangan myTukar untuk menjual kereta anda, banyak juga tawaran yang diberikan. Termasuklah baucar diskaun 30% untuk pakej Badan dan Cat Carro Care, diskaun 10% untuk pakej Penyelenggaraan Kenderaan Carro Care, diskaun 10% untuk memperbaharui insurans.

    Anda juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah seperti Sony Playstation 5, Nintendo Switch, Apple Watch, Apple Airpod, dash-cam dalaman kenderaan dan banyak lagi ketika anda menyerahkan kenderaan untuk diperiksan dan menjualnya dalam masa 24 jam selepas diberi sebut harga.

    Kalau anda menghantar kereta untuk diservis melalui jenama Carro Care pula, anda bakal menerima diskaun
    30% untuk pakej Badan dan Cat berserta baucar kredit RM100 dan diskaun 10% untuk pakej Penyelenggaraan Kenderaan, serta minyak enjin dan penapis minyak percuma.

    Untuk yang ingin memperbaharui insurans pula, nikmati diskaun 10% tambahan dengan myTukar Insurans. Dapatkan sebut harga segera melalui servis insurans baru myTukar, yang membolehkan anda untuk mencari dan membandingkan sebut harga oleh pelbagai penyedia insurans seperti Takaful Ikhlas, Takaful Malaysia, MSIG, Allianz, Zurich dan AIA.

    Servis berkenaan termasuklah pembaharuan cukai jalan segera serta pengiraan NCB (No Claim Bonus). Dengan platform insurans myTukar, anda boleh merancang pelan insurans yang bersesuaian dengan keperluan anda.

    Untuk yang berkelapangan pada hujung minggu ini, jom berkunjung ke Tukar-Je CARnival myTukar di myTukar Puchong South Retail Experience Centre yang berlangsung sehingga Ahad ini (14 Jan), dari 10 pagi hingga 7 malam setiap hari. Untuk maklumat lanjut, layari laman web myTukar.

    myTukar Puchong South Retail Experience Centre
    Lot 14225, KM 3.8
    Lebuhraya Damansara–Puchong
    47100 Puchong, Selangor.

    Google Maps
    Waze

    Nota kaki: Semua promosi tertakluk kepada terma dan syarat.

     
     
  • Kilang NMSB di Rembau bakal beroperasi pada 2025 – kilang khas EV pertama di M’sia, pasang Neta V dll

    Kilang NMSB di Rembau bakal beroperasi  pada 2025 – kilang khas EV pertama di M’sia, pasang Neta V dll

    NexV Manufacturing Sdn Bhd (NMSB), syarikat usaha sama di antara Kumpulan Careplus Berhad dan Kumpulan Go Auto hari ini secara rasmi memulakan pembinaan kilangnya yang terletak di Chembong Industrial Area, Rembau, Negeri Sembilan.

    Menurut syarikat tersebut, ini merupakan kilang pertama di Malaysia yang dibina khas bagi memproduksi kenderaan tenaga baharu (NEV), dan ia dijangka bakal beroperasi pada awal suku pertama 2025. Majlis pecah tanah bagi pembinaan kilang berkenaan telah berlangsung pagi tadi dan perasmiannya disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Haji Aminuddin bin Harun.

    Kilang berkenaan bakal mempunyai kapasiti permulaan sebanyak 30,000 unit setahun, dan ia bukan sahaja menghasilkan EV dalam bentuk kereta-kereta penumpang, malah turut bakal memasang kenderaan-kenderaan komersil serta motosikal yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.

    Dari keseluruhan produksi, satu pertiga model yang akan dipasang di kilang ini adalah dari jenama Neta, termasuk Neta V yang telah pun dilancarkan dalam pasaran tempatan tahun lalu dan buat masa sekarang ia diimport sepenuhnya dari China. Manakala dua pertiga selebihnya ia dibuka untuk jenama-jenama lain yang berminat untuk menghasilkan model-model pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia.

    Kilang NMSB di Rembau bakal beroperasi  pada 2025 – kilang khas EV pertama di M’sia, pasang Neta V dll

    Antara jenama yang sudah mengesahkan untuk memasang EV mereka di kilang baharu ini termasuk pengeluar kenderaan komersil dari China iaitu Higer dan Yutong. Kedua-dua jenama berkenaan diedarkan di Malaysia oleh GVT Sdn. Bhd iaitu syarikat usaha sama antara W&R Resources Sdn Bhd dan Kumpulan Careplus Berhad. Buat masa sekarang kedua-dua jenama tersebut menghasilkan model-model CKD mereka menerusi kilang Go Automobile Manufacturing yang terletak di Gurun, Kedah.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, NMSB menyatakan pembinaan kilang tersebut bakal menjana peluang pekerjaan dan pelaburan baharu di Negeri Sembilan serta kawasan-kawasan berhampiran. Fasa pertama projek ini merangkumi pembangunan kilang pemasangan, yang dijangka bermula pada suku pertama tahun 2024.

    Sementara itu, fasa kedua dan ketiga akan bermula pada tahun 2026 dan 2028, bagi meluaskan kapasiti pengeluaran kepada 50,000 unit setahun. Jumlah pelaburan bagi pembangunan kilang ini adalah sekitar RM600,000,000.

    Fasa ini juga akan mewujudkan lebih 600 pekerjaan mahir dan separa mahir dengan pengkhususan pembuatan EV, terutamanya dalam penggunaan teknologi pembuatan pintar, termasuk automasi, integrasi sistem (system integration), robotik, pengurusan kilang berasaskan awan, IoT industri dan teknologi-teknologi lain seiring Revolusi Industri Ke-empat.

    Kilang NMSB di Rembau bakal beroperasi  pada 2025 – kilang khas EV pertama di M’sia, pasang Neta V dll

    NMSB turut mengumumkan bahawa proses pengambilan dan latihan tenaga kerja bagi kilang ini akan bermula seawal bulan Ogos 2024 kerana ia dijangka mula beroperasi pada awal 2025.

    Bagi memastikan proses pembuatan dalam kilang ini selari dengan visi bagi mengurangkan tapak karbon, NMSB akan menggunakan pelbagai penyelesaian mesra alam bagi operasinya termasuk teknologi pelepasan air sisa sifar, pencemaran bunyi sifar, dan sisa pepejal diproses melalui pusat kitar semula yang terletak di dalam kawasan kilang. Sebahagian besar tenaga yang digunakan di kilang ini dikuasakan oleh panel solar yang dipasang di bumbung kilang.

    Menurut Pengerusi Go Auto, Dato’ SM Azli SM Nasimuddin Kamal, kilang ini turut akan menjalankan beberapa proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) khusus bagi penyimpanan bateri EV di kilang berkenaan. Ia adalah bagi memastikan setiap kakitangan mampu mengendalikan bateri-bateri tersebut seiring dengan pengenalan teknologi-teknologi baharu yang akan diperkenalkan selepas ini.

    “Kami berbangga dengan sokongan meluas yang diberikan kepada projek ini, dari kerajaan negeri dan juga persekutuan, yang menyumbang kepada kemajuan pemasangan tempatan dan lokalisasi yang pesat di dalam negara. Kami percaya ini adalah satu langkah signifikan ke arah menjana penerimaan dan kesedaran mengenai kenderaan elektrik di masa hadapan”, katanya.

    Majlis yang sama turut menyaksikan pertukaran perjanjian CKD di antara Intro Synergy dan pemilik jenama Neta, Hozon New Energy Automobile Co. Ltd., sebagai kolaborasi bagi operasi CKD di Malaysia. NMSB juga menukar Persefahaman bersama Qingdao Huayue Guotai New Energy Car Co. Ltd. bagi meneroka peluang baharu bagi Kenderaan Tenaga Baharu di Malaysia dan ASEAN.

    “Kami ucapkan terima kasih kepada semua pemegang taruh termasuk pihak berkuasa pusat dan tempatan, penduduk tempatan dah juga semua rakan perniagaan kami. Kami berharap dengan pemasangan model Neta V ini lebih ramai rakyat Malaysia dapat menerima dan menyokong produk keluaran dari Chembong ini”, kata Ketua Pegawai Eksekutif Careplus, Lim Kwee Shyan.

    NMSB menyatakan bahawa ia kini telahpun memperolehi Lesen Pengilangan sementara dari Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada Oktober 2023. Baru-baru ini syarikat itu juga telah menerima Kebenaran Merancang bagi memulakan pembinaan kilang pembuatan ini dari Majlis Daerah Rembau.

     
     
  • Honda 0 Series diperkenalkan melalui rekaan konsep Saloon, Space Hub — ada logo H baru untuk EV

    Honda 0 Series diperkenalkan melalui rekaan konsep Saloon, Space Hub — ada logo H baru untuk EV

    Honda baru saja memperkenalkan model Honda 0 Series, barisan model elektrik yang akan dikeluarkan di peringkat global bermula pada 2026 nanti. Dua model konsep dipertontonkan terlebih dahulu — Saloon dan Space Hub — ketika pameran CES 2024 di Las Vegas, AS.

    Honda 0 Series akan menjadi arah tuju dan pendekatan baru bagi syarikat itu bagi rekaan dan kejuruteraan, dengan prinsip yang mengatasi kekangan tradisional bagi pembangunan kenderaan bateri elektrik sebelum ini. Antara yang dimaksudkan ialah lantai lebih rendah, pemanduan autonomous, teknologi ketersambungan, prestasi dan kecekapan bateri.

    Honda 0 Series diperkenalkan melalui rekaan konsep Saloon, Space Hub — ada logo H baru untuk EV

    Konsep Saloon bakal menjadi rekaan flagship, dengan mensasarkan konsep yang mana rekaan rendah dan lebar kereta tersebut memberikan ruang dalaman yang maksimum. Di dalam, panel instrumennya menampilkan antaramuka manusia-mesin (HMI) yang bertujuan menawarkan operasi mudah dan ringkas, dengan bahagian dalaman lain memberikan “penglihatan cemerlang” dan posisi memandu sport.

    Ia juga dilengkapi dengan penambahbaikan ciri steer-by-wire serta sistem kawalan pergerakan, dan dalam masa sama membolehkan kawalan kedudukan badan untuk pemandu menikmati gaya pemanduan EV yang lebih cekap. Model produksi bagi rekaan Saloon ini dijangka akan diperkenalkan pada 2026.

    Honda 0 Series diperkenalkan melalui rekaan konsep Saloon, Space Hub — ada logo H baru untuk EV

    Space Hub konsep pula dibangunkan dengan matlamat untuk memperkaya kehidupan harian pengguna. Ini dapat dilihat pada ruang kabinnya yang sangat luas dan terbuka untuk penglihatan yang lebih baik, dengan rekaan yang anjal dan bolehubah untuk disesuaikan oleh penumpang.

    Semua model Honda 0 Series juga akan dilengkapi dengan sistem ADAS, yang memanfaatkan teknologi dalam Honda Sensing Elite seperti yang diberikan kepada model Honda Legend 2021 untuk pasaran Jepun, dengan pemanduan autonomous tahap 3. Selain itu, Honda juga sedang membangunkan perisian sistem operasi baru untuk Honda 0 Series.

    Honda 0 Series diperkenalkan melalui rekaan konsep Saloon, Space Hub — ada logo H baru untuk EV

    Untuk janaan kuasa, Honda 0 Series akan menggunakan e-Axles (terdiri daripada motor, inverter dan kotak gear) yang memaksimumkan kecekapan tenaga. Model terawal siri ini akan dilengkapi bateri pengecasan pantas yang mampu mengecas dari 15%-80% dalam masa hanya 10 hingga 15 minit.

    Tidak lupa, melalui model konsep ini, Honda juga memperkenalkan logo H baru yang akan digunakan untuk barisan kenderaan elektriknya nanti. Berbanding logo H sedia ada, logo untuk EV ini menampilkan bahagian atas H dengan kaki yang lebih terbuka.

     
     
  • Mitsubishi buka pusat pameran 3S baharu di Nilai, N9

    Mitsubishi buka pusat pameran 3S baharu di Nilai, N9

    Sebuah pusat 3S (pameran, jualan dan servis) baru Mitsubishi dibuka oleh Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) dan pengedarnya, Ban Lee Heng Motor di Lot 27447, Jalan BBN 5/1a, Bandar Nilai Utama. Ia terletak di atas kawasan berkeluasan 6,400 kaki persegi dan menempatkan tiga ruang servis serta identiti jenama terkini Mitsubishi.

    “Selari dengan rancangan perniagaan Mitsubishi Motors dan sambil kami berusaha secara progresif untuk memperkenalkan model baru Mitsubishi Motors di Malaysia, kami akan terus mengembangkan rangkaian pengedar untuk kebaikan pelanggan. Melalui langkah strategik ini, kami meletakkan sasaran untuk meliputi lokasi yang masih belum diterokai dan mengembangkan jualan serta servis kami untuk memenuhi keperluan pelanggan jenama Mitsubishi yang semakin bertambah,” kata CEO MMM, Shinya Ikeda.

    “Ban Lee Heng Motor sudah berada dalam perniagaan automotif sejak tahun 1976, dan sangat berpengalaman dalam industri. Kami mengalu-alukan kemasukan mereka dan kami yakin pusat pameran baru ini akan meningkatkan keberadaan Mitsubishi di Nilai untuk menyampaikan pengalaman pemilikan menyenangkan yang melebih jangkaan,” tambah beliau.

    Dengan tambahan pusat 3S baru ini, sekarang terdapat 59 pusat pameran Mitsubishi Motors di seluruh Malaysia.

     
     
  • Kunjungi Porsche Open House 2024 di Ara Damansara dan JB pada 13-14 Januari, Penang pada 20-21 Januari

    Kunjungi Porsche Open House 2024 di Ara Damansara dan JB pada 13-14 Januari, Penang pada 20-21 Januari

    Sambut ketibaan Tahun Naga dengan memenuhi impian anda untuk memiliki sebuah kereta Porsche melalui tawaran eksklusif di semua Porsche Centre, yang bakal menganjurkan Porsche Open House 2024. Bagi Porsche Centre Ara Damansara dan Porsche Centre Johor Bahru, sambutan berkenaan akan diraikan pada 13-14 Januari 2024, sementara bagi Porsche Centre Penang pula acara berkenaan akan berlangsung pada 20-21 Januari 2024.

    Menampilkan pelbagai kereta lumba Porsche, dari 911 yang ikonik hinggalah kepada 718 serta kereta lumba untuk semua seperti Cayenne dan Panamera, acara berkenaan bakal membawakan pilihan yang cukup mengujakan untuk anda dekati.

    Kunjungi Porsche Open House 2024 di Ara Damansara dan JB pada 13-14 Januari, Penang pada 20-21 Januari

    Jika anda masih mempertimbangkan sebuah kenderaan elektrik (EV), sekaranglah masanya untuk memiliki unit baharu mahupun terpakai Porsche Taycan dan dapatkan perlindungan insurans percuma selama setahun* jika anda membuat tempahannya ketika acara berlangsung.

    Mengembara dengan penuh gaya dan nikmati beg bagasi Porsche Design jika anda menempah model 911 baharu, model 718 termasuk 718 Boxster Spyder dan Panamera sepanjang tempoh acara.

    Serlahkan juga gaya dengan Porsche Lifestyle sempena Tahun Baru Cina ini dan nikmati 30% penjimatan dan lebih banyak tawaran menarik bagi Porsche Lifestyle merchandise sepanjang tawaran tempoh terhad ini.

    Kunjungi Porsche Centre Ara Damansara dan Porsche Centre Johor Bahru hujung minggu ini pada 13-14 Januari 2024, dan Porsche Centre Penang pada 20-21 Januari 2024 untuk mendekati sendiri barisan kereta lumba idaman anda dan raikan Tahun Baru Cina bersama Porsche.

    *Tertakluk kepada terma dan syarat.

     
     
  • Hyundai sertai Tokyo Auto Salon 2024 – NPX1 bakal didedahkan; Ioniq 5 N yang diubahsuai lebih agresif

    Hyundai sertai Tokyo Auto Salon 2024 – NPX1 bakal didedahkan; Ioniq 5 N yang diubahsuai lebih agresif

    Hyundai bukanlah satu jenama yang kuat di Jepun – pembuat automotif dari Korea itu pernah mencuba nasib masuk ke pasaran negara matahari terbit berkenaan pada tahun 2001, namun terpaksa gulung tikar pada 2009 kerana jualan yang tidak memberangsangkan.

    Namun apabila masuk ke era kenderaan elektrik penuh (EV), Hyundai sekali lagi masuk semula ke Jepun pada 2022 dengan memperkenalkan EV Hyundai Ioniq 5 di sana. Jepun merupakan negara yang mempunyai pengikut dunia modifikasi kenderaan yang ramai, dan nampaknya Hyundai berminat untuk menggunakan platform berkenaan bagi memperkenalkan jenamanya. Oleh itu Hyundai mengumumkan ia bakal menyertai acara budaya ubahsuai kenderaan terbesar di Jepun tahun ini iaitu Tokyo Auto Salon (TAS) 2024!

    Seperti biasa, TAS berlangsung di Makuhari Messe dan tahun ini ia akan bermula dari 12 hingga 14 Januari ini. Untuk Hyundai, acara ini digunakan bagi mendedahkan sebuah EV prestasi tinggi yang dikenali sebagai NPX1, iaitu Hyundai Ioniq 5 N yang menerima ubahsuai yang jauh lebih agresif dari versi asal.

    Dalam keadaan standard, Ioniq 5 N yang dihasilkan oleh badan penala dan sukan permotoran rasmi Hyundai N ini sudahpun menampilkan spesifikasi yang sangat mengujakan. Ia digerakkan oleh dua buah motor elektrik bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 609 PS, dan meningkat kepada 650 PS bersama tork maksima 770 Nm apabila mod N Grin Boost (NGB) diaktifkan. Ini membolehkan Ioniq 5 N tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.4 saat (3.5 saat jika NGB tidak digunakan), sebelum mencapai kelajuan maksima 260 km/j (Ioniq 5 biasa hanya mampu dipandu sehingga 185 km/j).

    Hyundai sertai Tokyo Auto Salon 2024 – NPX1 bakal didedahkan; Ioniq 5 N yang diubahsuai lebih agresif

    Bukan itu sahaja, Hyundai N turut memberikan bunyi enjin palsu berserta pop & bang pada EV ini, bersama rasa tukaran gear palsu seakan ia mempunyai transmisi DCT. Malah pacuan semua roda yang dihasilkan dari dua motor berkenaan turut diberikan talaan yang dipelajari dari kereta lumba Hyundai i20 yang berlumba dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC), serta diberikan mod Drift.

    Hyundai belum mendedahkan sebarang perincian berkenaan NPX1 ini, namun menerusi imej dan video teaser yang disiarkan, ia dilengkapi dengan kit aerodinamik yang jauh lebih agresif diperbuat dari bahan gentian karbon, serta diberikan sistem brek yang lebih besar.

    Ini bukan kali pertama Hyundai N menggunakan hype JDM dalam kempen pemasarannya. Tahun lalu Hyundai menjemput ikon JDM paling berpengaruh, “The Drift King” Keiichi Tsuchiya untuk mencuba Ioniq 5 N ini di Sydney Motorsport Park, sempena pendedahan sulung model berkenaan di Australia ketika berlangsungnya perlumbaan World Time Attack Challenge di litar berkenaan.

    Malah sewaktu berlangsungnya pusingan terakhir WRC tahun lalu iaitu di Rally Japan 2023, Keiichi Tsuchiya sekali lagi dijemput untuk bertandang ke kem Hyundai.



     
     
  • CFMoto TR-G 1250 tiba di Malaysia – enjin 1,279 cc daripada KTM, pelbagai ciri premium, RM88,888

    CFMoto TR-G 1250 tiba di Malaysia – enjin 1,279 cc daripada KTM, pelbagai ciri premium, RM88,888

    CFMoto Malaysia hari ini melancarkan sebuah grand tourer baru untuk pasaran Malaysia, iaitu TR-G 1250. Ia ditawarkan dalam dua warna, iaitu biru dan putih, pada harga RM88,888 tidak termasuk insurans, bersama jaminan dua tahun tanpa had batuan.

    Motosikal ini dipacu oleh enjin dua silinder V 1,279 cc, yang sebenarnya diambil daripada KTM, dan turut digunakan pada model 1290 seperti Adventure 1290 dan Super Duke 1290. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 140 hp pada 8,500 rpm dan tork 120 Nm pada 7,000 rpm.

    Enjin ini dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, dan quickshifter diberikan secara standard. Bagi mod tunggangan, tiga pilihan disediakan, iaitu Sport, Comfort dan Rain, manakala sistem bantuan lain yang disediakan adalah termasuk cruise control, Hill Hold Control, Traction Control, Cornering ABS dan Tyre Pressure Monitoring System.

    CFMoto TR-G 1250 tiba di Malaysia – enjin 1,279 cc daripada KTM, pelbagai ciri premium, RM88,888

    Memegang motosikal seberat 304 kg ini adalah suspensi yang terdiri daripada fork USD 48 mm boleh laras sepenuhnya daripada Marzocchi di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang. Kedua-dua rim motosikal ini bersaiz 17 inci dan dibalut tayar 120/70 di hadapan dan 190/55 di belakang.

    Dengan harga yang disebutkan tadi juga, pemilik dapat menikmati pelbagai barangan berprestasi dan premium, antaranya seperti brek cakera berkembar 320 mm dengan angkup empat piston Brembo Sylema di hadapan, cakera tunggal 270 mm dengan angkup Brembo dua piston di belakang serta penghadang angin yang boleh dilaras secara elektronik.

    Di bahagian kokpit terdapat skrin TFT sebesar 12.3 inci yang boleh disambung kepada telefon pintar menggunakan bluetooth dan memaparkan pelbagai informasi termasuk peta navigasi. Turut diberi secara standard adalah sistem kunci pintar serta beg barangan di setiap sisi.

    Kelengkapan lain yang diberi pada TR-G 1250 adalah termasuk tangki bahan api 22.7 liter, cermin sisi kawalan elektronik, pembesar suara JBL serta semua lampu jenis LED.

     
     
  • Honda CR-V e:HEV RS 2024 dijual dengan harga RM196k — RM14k lebih mahal berbanding 1.5L V AWD

    Honda CR-V e:HEV RS 2024 dijual dengan harga RM196k — RM14k lebih mahal berbanding 1.5L V AWD

    Ketika Honda Malaysia melancarkan SUV CR-V generasi keenam Disember tahun lalu, harga bagi varian paling tingginya, CR-V 2.0L e:HEV RS tidak diumumkan, dan akan melakukannya di masa yang lain. Kini, harga berkenaan sudah pun diumumkan secara rasmi: varian hibrid bagi CR-V untuk pasaran tempatan akan dijual pada harga RM195,900 atas jalan tidak termasuk insurans.

    Berbanding varian dengan enjin biasa bagi CR-V 1.5L Turbo V AWD yang dijual dengan harga RM181,900, versi hibrid ini RM14k lebih mahal. Varian lain bagi model terbabit adalah seperti berikut: 1.5L Turbo E dengan harga RM169,900, sementara 1.5L Turbo S bermula dari RM159,900. 750 unit pertama varian S juga dijual dengan harga lebih rendah, RM157,900, sempena meraikan ulangtahun ke-20 pengeluaran CKD model terbabit di Malaysia.

    Varian hibrid ini menggunakan janaan sistem Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) yang sama seperti model Civic e:HEV RS, yang menggabungkan janaan motor elektrik dengan enjin petrol. Unit enjin pula menggunakan 2.0 liter NA kitaran Atkinson empat silinder, yang bertindak selaku generator utama.

    Enjin berkenaan menghasilkan sebanyak 148 PS dan 190 Nm tork pada 4,500 rpm. Walaupun enjin ini boleh menyediakan pacuan terus melalui kekunci klac pada kelajuan tinggi untuk lebih cekap, motor elektriknya menjadi pemacu kuasa yang utama. Ia menghasilkan 184 PS dan 335 Nm dari sifar ke 2,000 rpm, dengan 20 Nm lebih tinggi berbanding Civic Hybrid.

    Prestasinya mampu memberikan pecutan 0-100 km/j paling pantas, dalam 9.0 saat (varian S dengan 9.7 saat). Perincian kemasan RS juga menjadikannya tampil lebih ranggi dan agresif, dengan perincian hitam misalnya untuk perumah cermin sisi dan gril. Rim 18-inci dengan kemasan hitam berkilat dan berfungsi juga untuk mengurangkan bunyi bising dari jalan.

    Khusus untuk varian hibrid ini adalah ciri seperti paparan instrumen digital 10.25-inci, sistem audio Bose dengan 12 pembesar suara serta Adaptive Driving Beam untuk lampu utama. Untuk maklumat lanjut mengenai Honda CR-V terbaru, rujuk laporan pelancarannya di sini.

     
     
  • Mercedes-Benz EQB terbakar: Syarikat pengendali stesen pengecas didapati beroperasi tanpa lesen – ST

    Mercedes-Benz EQB terbakar: Syarikat pengendali stesen pengecas didapati beroperasi tanpa lesen – ST

    Syarikat yang mengendalikan stesen pengecas kenderaan elektrik (EVCS) di Johor yang terbakar pada 31 Disember 2023 didapati beroperasi tanpa lesen daripada Suruhanjaya Tenaga (ST).

    ST memaklumkan Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) dan Peraturan-Peraturan Elektrik 1994 memperuntukkan bahawa aktiviti pembekalan tenaga daripada mana-mana pemasangan hendaklah dilaksanakan dengan lesen yang sah daripada ST, laporan FMT.

    “Pihak bertanggungjawab dan syarikat berkenaan akan dipanggil untuk membantu siasatan,” menurut ST dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, turut menambah siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. ST memaklumkan kejadian itu tidak melibatkan kecederaan terhadap individu atau anggota bomba.

    Pada 31 Disember lalu, sebuah kenderaan elektrik (EV) model Mercedes-Benz EQB didapati terbakar ketika sedang dicas di pusat pengecas wakil pengedar jenama terbabit yang terletak di Tampoi. Insiden itu turut menyebabkan menyebabkan 90% kereta mewah itu hangus dan ruang pameran premis terbabit turut terbakar hampir 5%, selain memusnahkan 20% ruang pengecasan EV.

     
     
  • Projek RTS Link antara M’sia-S’pura ‘disambung’ secara simbolik, tahap kemajuan pembinaan kini 65%

    Projek RTS Link antara M’sia-S’pura ‘disambung’ secara simbolik, tahap kemajuan pembinaan kini 65%

    Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) Malaysia-Singapura ‘disambungkan’ secara simboliknya antara kedua-dua negara ini, dengan disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong, laporan Bernama.

    Penyambungan itu membabitkan penyempurnaan span, iaitu titik pertemuan jejambat marin projek berkenaan antara Malaysia dan Singapura. Ini merupakan kali pertama buat kedua-dua pemimpin tertinggi itu bertemu di tapak projek berkenaan. Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan dan Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura Chee Hong Tat serta Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

    Dijangkakan siap pada Disember 2026, RTS link kini mencapai tahap kemajuan mencecah 65%, setakat 31 Disember 2023, seperti yang dijadualkan. Menurut Loke, Kerajaan Malaysia yakin RTS Link ini boleh beroperasi sepenuhnya mulai 1 Januari 2027.

    Projek RTS Link antara M’sia-S’pura ‘disambung’ secara simbolik, tahap kemajuan pembinaan kini 65%

    Dilancarkan pada tahunn 2018, projek RT Link ini adalah perkhidmatan rel rentas sempadan sepanjang empat kilometer, yang mampu memuatkan kapasiti 10,000 penumpang sejam untuk setiap arah, dengan masa perjalanan sekitar lima minit antara dua stesen, satu di Bukit Chagar di Johor dan satu lagi di Woodlands di Singapura.

    Mengikut perancangan asalnya, pembinaan yang bermula pada 2019 sepatutnya siap pada hujung Disember 2024, walau bagaimana pun projek RTS Link digantung pada April 2019 atas permintaan Malaysia kerana kerajaan ketika itu menyemak semua projek besar. Pada Julai 2021, Perdana Menteri Malaysia ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin menandatangani perjanjian dengan rakan sejawatannya, Lee untuk menyambung semula projek itu.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025