Hyundai sertai Tokyo Auto Salon 2024 – NPX1 bakal didedahkan; Ioniq 5 N yang diubahsuai lebih agresif

Hyundai sertai Tokyo Auto Salon 2024 – NPX1 bakal didedahkan; Ioniq 5 N yang diubahsuai lebih agresif

Hyundai bukanlah satu jenama yang kuat di Jepun – pembuat automotif dari Korea itu pernah mencuba nasib masuk ke pasaran negara matahari terbit berkenaan pada tahun 2001, namun terpaksa gulung tikar pada 2009 kerana jualan yang tidak memberangsangkan.

Namun apabila masuk ke era kenderaan elektrik penuh (EV), Hyundai sekali lagi masuk semula ke Jepun pada 2022 dengan memperkenalkan EV Hyundai Ioniq 5 di sana. Jepun merupakan negara yang mempunyai pengikut dunia modifikasi kenderaan yang ramai, dan nampaknya Hyundai berminat untuk menggunakan platform berkenaan bagi memperkenalkan jenamanya. Oleh itu Hyundai mengumumkan ia bakal menyertai acara budaya ubahsuai kenderaan terbesar di Jepun tahun ini iaitu Tokyo Auto Salon (TAS) 2024!

Seperti biasa, TAS berlangsung di Makuhari Messe dan tahun ini ia akan bermula dari 12 hingga 14 Januari ini. Untuk Hyundai, acara ini digunakan bagi mendedahkan sebuah EV prestasi tinggi yang dikenali sebagai NPX1, iaitu Hyundai Ioniq 5 N yang menerima ubahsuai yang jauh lebih agresif dari versi asal.

Dalam keadaan standard, Ioniq 5 N yang dihasilkan oleh badan penala dan sukan permotoran rasmi Hyundai N ini sudahpun menampilkan spesifikasi yang sangat mengujakan. Ia digerakkan oleh dua buah motor elektrik bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 609 PS, dan meningkat kepada 650 PS bersama tork maksima 770 Nm apabila mod N Grin Boost (NGB) diaktifkan. Ini membolehkan Ioniq 5 N tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.4 saat (3.5 saat jika NGB tidak digunakan), sebelum mencapai kelajuan maksima 260 km/j (Ioniq 5 biasa hanya mampu dipandu sehingga 185 km/j).

Hyundai sertai Tokyo Auto Salon 2024 – NPX1 bakal didedahkan; Ioniq 5 N yang diubahsuai lebih agresif

Bukan itu sahaja, Hyundai N turut memberikan bunyi enjin palsu berserta pop & bang pada EV ini, bersama rasa tukaran gear palsu seakan ia mempunyai transmisi DCT. Malah pacuan semua roda yang dihasilkan dari dua motor berkenaan turut diberikan talaan yang dipelajari dari kereta lumba Hyundai i20 yang berlumba dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC), serta diberikan mod Drift.

Hyundai belum mendedahkan sebarang perincian berkenaan NPX1 ini, namun menerusi imej dan video teaser yang disiarkan, ia dilengkapi dengan kit aerodinamik yang jauh lebih agresif diperbuat dari bahan gentian karbon, serta diberikan sistem brek yang lebih besar.

Ini bukan kali pertama Hyundai N menggunakan hype JDM dalam kempen pemasarannya. Tahun lalu Hyundai menjemput ikon JDM paling berpengaruh, “The Drift King” Keiichi Tsuchiya untuk mencuba Ioniq 5 N ini di Sydney Motorsport Park, sempena pendedahan sulung model berkenaan di Australia ketika berlangsungnya perlumbaan World Time Attack Challenge di litar berkenaan.

Malah sewaktu berlangsungnya pusingan terakhir WRC tahun lalu iaitu di Rally Japan 2023, Keiichi Tsuchiya sekali lagi dijemput untuk bertandang ke kem Hyundai.



Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required