Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • JPJ eBid: Siri TCU dan VLF dibuka untuk bidaan

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari WP Kuala Lumpur, VLF, telah pun dibuka bidaan mulai hari ini 25 Ogos 2023. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 29 Ogos ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 30 Ogos 2023. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Terengganu pula, TCU, bidaannya pula bakal dibuka mulai esok, 26 Ogos ini dan akan berakhir jam 10 malam pada 30 Ogos 2023. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 31 Ogos 2023.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Rapid KL lanjutkan waktu operasi perkhidmatan rel, bas hingga 2 pagi pada 31 Ogos sempena Merdeka

    Bagi yang ingin memeriahkan acara Ambang Merdeka 2023 di Dataran Merdeka atau pun menyaksikan perarakan Merdeka di Putrajaya, dengan menaiki pengangkutan awam, jangan risau, Rapid KL telah mengumumkan waktu tambahan bagi operasinya.

    Untuk LRT, MRT dan Monorel, Rapid KL memaklumkan perkhidmatan rel terbabit akan dilanjutkan waktu operasinya di beberapa stesen terpilih sehingga jam 2 pagi pada 31 Ogos ini. Bagi perkhidmatan LRT, stesen yang terlibat ialah Pasar Seni, Masjid Jamek, KLCC dan Ampang Park bagi Laluan Kelana Jaya dan untuk Laluan Ampang/Sri Petaling pula melibatkan stesen Masjid Jamek.

    Untuk pengguna MRT pula, waktu operasi yang dilanjutkan melibatkan Laluan MRT Kajang iaitu stesen Pasar Seni dan Bukit Bintang. Bagi Laluan MRT Putrajaya pula, ia melibatkan stesen Ampang Park dan KLCC. Jika ingin menggunakan perkhidmatan monorel pula, stesen Bukit Bintang terlibat dengan waktu operasi yang dilanjutkan ini.

    Menurut Rapid KL, stesen sambungan juga akan turut dilanjutkan waktu operasinya bagi membawa penumpang ke destinasi terakhir. Manakala lain-lain stesen akan menamatkan operasinya seperti biasa tetapi penumpang masih boleh keluar dari stesen berkenaan untuk meneruskan perjalanan.

    Manakala untuk sambutan Hari Merdeka pula, semua operasi rel LRT, MRT dan Monorel akan mula beroperasi pada jam 4 pagi pada 31 Ogos. Dalam masa yang sama, Rapid KL turut memaklumkan 50 bas perantara percuma disediakan dari Stesen MRT Putrajaya Sentral ke Dataran Putrajaya yang turut akan beroperasi bermula 4 pagi.

    Selain perkhidmatan rel, Rapid KL turut memaklumkan waktu operasi laluan perkhidmatan bas Rapid KL terpilih juga akan dilanjutkan sehingga 2 pagi pda 31 Ogos ini. Ia melibatkan sebanyak 22 laluan bas, termasuklah Sentul, Desa Sri Hartamas, Titiwangsa, Ayer Panas, Kota Damansara, Damai Perdana, Desa Petaling, Taman Desa, Puchong, Pandan Indah, Maluri, Sri Muda, PJ Old Town dan USJ 1. Senarai penuh adalah seperti di atas.

     
     
  • QJMotor SRK600RC tiba di Malaysia – sportsbike 600 cc dengan brek Brembo, suspensi Marzocchi, RM40k

    QJMotor SRK600RC tiba di Malaysia – sportsbike 600 cc dengan brek Brembo, suspensi Marzocchi, RM40k

    QJMotor yang juga berada di bawah pengurusan MForce Bike Holdings Sdn Bhd turut melancarkan sebuah model baru di Kuala Lumpur Bike Show (KLBS) 2023, iaitu SRK600RC. Model sports dengan inspirasi lumba ini dijual pada harga RM39,888 tidak termasuk insurans, dalam pilihan warna hitam atau biru.

    Menggerakkan SRK600RC adalah enjin empat silinder DOHC 600 cc bersama padanan transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa maksimum 80 hp pada 11,000 rpm dan tork 51 Nm pada 10,500 rpm. Berat keseluruhannya adalah 225 kg.

    Meningkatkan lagi prestasi motosikal ini adalah kelengkapan yang lebih berkualiti, termasuk brek cakera hadapan 320 mm dengan angkup Brembo empat piston serta cakera 260 mm tunggal dengan angkup Brembo satu piston di belakang, lengkap dengan sistem ABS.

    Kemudiannya pada bahagian suspensi, ia didatangkan perkakas daripada Marzocchi boleh laras, yang terdiri daripada fork USD di hadapan dan monoshock di belakang. Rim 17 inci motosikal ini dibalut tayar Maxxis bersaiz 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada motosikal ini adalah termasuk panel meter TFT, semua lampu jenis LED, tangki bahan api 16.4 liter, pam brek (atas) Brembo serta panel aerodinamik seperti winglet pada fairing hadapan.

     
     
  • Sime Darby ambil alih 61.2% saham Perodua, Toyota dari UMW; bentuk kumpulan auto terbesar M’sia

    Sime Darby ambil alih 61.2% saham Perodua, Toyota dari UMW; bentuk kumpulan auto terbesar M’sia

    Hari ini, Sime Darby Berhad mengumumkan bahawa pihaknya telah memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk memperoleh 61.2% pegangan dalam UMW Holdings Berhad bernilai RM3.57 bilion tunai, atau RM5.00 sesaham. Langkah seterusnya adalah Sime Darby akan membuat tawaran am mandatori untuk baki 38.8% pegangan yang bukan pegangannya, dengan tujuan mengeluarkan UMW daripada senarai Bursa Malaysia.

    Menurut CEO Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson, ia adalah langkah strategik untuk memperluas dan mengukuhkan kehadiran kumpulan dalam sektor automotif Malaysia.

    “Urusniaga ini akan mengukuhkan kedudukan Sime Darby sebagai pemain automotif utama Malaysia. Sebagai rakan pilihan kepada jenama automotid yang paling dikagumi di dunia, kami sangat teruja untuk berpeluang untuk bekerjasama dengan Toyota, salah satu pengeluar kereta terbesar dan paling dipercayai di dunia,” katanya.

    Beliau berkata pihaknya menjangkakan pembelian ke atas UMW Holdings dapat diselesaikan pada akhir Februari 2024.

    UMW memiliki 51% kepentingan menerusi UMW Toyota Motor dan 38% pegangan sahan dalam Perodua. Manakala PNB pula memiliki 10% kepentingan menerusi Perodua, yang mana pemegang saham lain termasuk rakan kongsi teknikal Daihatsu, MBM Resources dan Mitsui & Co. Untuk rekod, Sime Darby dan UMW Holdings adalah sebahagian daripada kumpulan Syarikat Strategik Permodalan Nasional Bhd (PNB).

     
     
  • Denda RM100k, penjara 3-tahun jika pengusaha bengkel tidak pamer senarai mekanik dan kelayakan

    Denda RM100k, penjara 3-tahun jika pengusaha bengkel tidak pamer senarai mekanik dan kelayakan

    Selepas dikuatkuasakan pada 1 Julai lalu, kini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) bakal mengambil tindakan terhadap pengusaha-pengusaha bengkel yang gagal untuk mempamerkan senarai nama mekanik dan juga kelayakan masing-masing di premis mereka.

    Dalam laporan The Star, Pengarah Penguatkuasa kementerian tersebut Datuk Azman Adam menegaskan bahawa pengusaha-pengusaha bengkel ini telah diberi masa yang cukup selama setahun bagi bersedia dengan penguatkuasaan baharu ini.

    Menurutnya pengusaha-pengusaha bengkel yang gagal mematuhi undang-undang ini akan dikenakan penalti di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) dengan denda sebanyak RM100,000 untuk syarikat dan RM50,000 untuk individu, atau penjara selama tiga-tahun, sekiranya didapati bersalah.

    “Buat masa ini, bengkel yang diperiksa oleh unit penguat kuasa kementerian akan dinasihatkan supaya mematuhi peraturan itu. Kami akan memantau perkara ini dari semasa ke semasa. Kegagalan mematuhi akan dikenakan penalti,” kata Azman.

    Denda RM100k, penjara 3-tahun jika pengusaha bengkel tidak pamer senarai mekanik dan kelayakan

    Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) (Pindaan) 2022 telah diwartakan pada 22 Jun 2022, manakala perlaksanaannya dirancang akan bermula pada 1 Julai tahun yang sama. Walau bagaimanapun penguatkuasaannya ditangguhkan selama setahun bagi membolehkan pihak industri membuat persiapan sebelum penguatkuasaan ke atas peraturan itu dibuat sepenuhnya bermula pada 1 Julai 2023.

    Menurut Azman lagi, Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) (Pindaan) 2022 bukan hanya untk menggalakkan pengusaha-pengusaha bengkel untuk menggajikan mekanik yang berkelayakan dan meningkatkan kemahiran mereka, malah turut membolehkan pelanggan memastikan kenderaan mereka diselenggara oleh mekanik yang berkelayakan.

    “Secara tidak langsung ini akan meningkatkan kualiti servis yang diberikan dalam masa yang sama meningkatkan produktiviti perniagaan”, jelasnya.

    Selain dari memaparkan nama dan kelayakan mekanik yang berkerja, pengendali bengkel turut perlu menyatakan dengan jelas sama ada alat ganti yang ditawarkan adalah baharu, terpakai atau direstorasi; menyediakan dokumen bertulis sama ada diberikan jaminan untuk alat ganti yang digunakan; serta perlu dinyatakan sama ada jaminan diberikan untuk kerja-kerja baik pulih yang dibuat oleh bengkel.

    Denda RM100k, penjara 3-tahun jika pengusaha bengkel tidak pamer senarai mekanik dan kelayakan

    Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) Prof Dr Wong Shaw Voon pula memberitahu The Star langkah ini adalah untuk memastikan akauntabiliti dari bengkel.

    “Jika bengkel tidak melakukan kerja yang betul, sekurang-kurangnya akan ada mekanisma dan saluran untuk orang ramai mengambil tindakan. Juga adalah penting untuk membuat kerja yang betul bagi mengelakkan sebarang perkara yang tragik dari berlaku, yang boleh menyebabkan kehilangan harta benda atau nyawa,” katanya.

    “Pada masa lalu, orang ramai mungkin terpaksa bergantung kepada rujukan untuk mengetahui mekanik mana yang mampu melakukan pembaikan atau kerja-kerja yang diperlukan, tidak kira sama ada mereka mempunyai pensijilan atau tidak. Mereka akan bimbang tentang keselamatan kenderaan mereka dari segi penyelenggaraan dan kesediaan berikutan kerja yang dilakukan ke atas kereta mereka. Dengan mekanik yang bertauliah dan berkelayakan akan menimbulkan keyakinan di kalangan pemilik kenderaan dan mereka dapat memastikan kecekapan kerja yang dibuat pada kenderaan mereka,” tambahnya.

    Wong turut menegaskan bahawa bengkel perlu memaklumkan kepada pelanggan tentang jenis alat ganti yang digunakan. “Apa sahaja alat ganti yang dimasukkan mesti direkodkan. Jika ia digunakan, ia mesti dicaj sewajarnya dan bukan sebagai item baharu. Bukannya alat ganti terpakai tidak boleh digunakan, tetapi tidak adil untuk pengguna membayarnya seolah-olah ia baru,” katanya.

     
     
  • Brixton Crossfire 150 XS tiba di Malaysia – RM8,788

    Brixton Crossfire 150 XS tiba di Malaysia – RM8,788

    Satu lagi model baru yang dilancarkan oleh MForce Bike Holdings di Kuala Lumpur Bike Show 2023 adalah daripada jenama Brixton, iaitu Crossfire 150 XS. Motosikal dengan saiz mini ini ditawarkan dalam pilihan tiga warna iaitu hitam, oren atau hijau, pada harga RM8,788 tidak termasuk insurans.

    Menggerakkan motosikal ini adalah enjin satu silinder 150 cc suntikan bahan api, dengan sistem penyejukan udara, dan dipadankan bersama transmisi lima kelajuan dengan tuil klac di tangan, mampu menghasilkan kuasa 13 hp pada 9,500 rpm dan tork 10.5 Nm pada 3,100 rpm.

    Selain saiz badan yang kecil, turut membantu memudahkan pengendalian Crossfire 150 XS adalah rim 12 inci (tayar 120/70 di hadapan dan 130/70 di belakang) serta pemegang yang terletak tinggi. Tetapan roda ini kemudiannya dipegang oleh fork USD di hadapan dan monoshock di belakang.

    Brek cakera dengan saiz 220 mm di hadapan dan 190 mm di belakang pada motosikal ini tidak dilengkapi ABS, manakala bahagian meter pula menggunakan unit ringkas berbentuk bulat yang menggabungkan paparan analog serta digital.

    Perincian lain Crossfire 150 XS adalah termasuk tangki bahan api 11 liter, berat keseluruhan 111 kg, tinggi tempat duduk 770 mm serta semua lampu jenis LED. Jaminan yang diberikan adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • Suzuki V-Strom 250 SX dipertonton – bakal dilancar hujung tahun ini, harga anggaran bawah RM20k

    Suzuki V-Strom 250 SX dipertonton – bakal dilancar hujung tahun ini, harga anggaran bawah RM20k

    Suzuki Malaysia membawa beberapa model baru untuk pra tonton awal ke Kuala Lumpur Bike Show (KLBS) yang bermula hari ini, dengan salah satunya adalah V-Strom 250 SX. Unit pameran ini menggunakan warna kuning bersama rim hitam dan jalur biru.

    Tarikh pelancaran serta harga sebenar model kembara permulaan ini masih belum disiarkan secara rasmi, tetapi menurut maklumat yang kami dapat, ia mungkin dapat dijual ke pasaran pada hujung tahun ini, dengan harga antara RM18k ke RM20k.

    Menggerakkan V-Strom 250 SX adalah enjin satu silinder 249 cc SOHC dengan sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa 26.5 PS pada 9,300 rpm dan 22.2 Nm tork pada 7,300 rpm.

    Sebagai sebuah motosikal yang boleh digunakan bukan sahaja di atas jalan biasa, tetapi juga offroad ringan, V-Strom 250 SX diberikan dengan rim aluminium yang bersaiz 19 inci di hadapan dengan tayar 100/90, dan 17 inci dengan tayar 140/70 di belakang.

    Suspensi biasa yang terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang digunakan pada motosikal ini, menghasilkan kelegaan dari tanah 205 mm dan tinggi tempat duduk 835 mm. Berat keseluruhannya adalah 167 kg.

    Melihat kepada pasaran lain yang sudah menerima model ini, ia didatangkan secara standard dengan penghadang tangan, tangki bahan api 12 liter, lampu hadapan dan belakang LED, soket pengecas USB, panel meter digital, brek cakera depan dan belakang dengan fungsi ABS, pelindung bawah enjin, peletak kaki dengan alas getah serta tapak beg barangan yang sudah tersedia di belakang.

     
     
  • CFMoto 800NK tiba di Malaysia – 799 cc, RM38,888

    CFMoto 800NK tiba di Malaysia – 799 cc, RM38,888

    Selain hadir ke Kuala Lumpur Bike Show (KLBS) 2023 dengan pameran pelbagai model motosikal, CFMoto turut melancarkan sebuah model baru iaitu 800NK. Ia ditawarkan dalam pilihan dua warna, iaitu Zircon Black dan Nebula
    White, pada harga RM38,888 tidak termasuk insurans.

    Hadir dengan bentuk naked, 800NK diberikan dengan kelengkapan berteknologi seperti lampu LED hadapan dengan fungsi automatik dan DRL, sistem kunci pintar serta skrin TFT lapan inci dengan fungsi sambungan kepada telefon pintar melalui bluetooth.

    Menggerakkan motosikal ini adalah enjin dua silinder DOHC berkapasiti 799 cc, yang dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slipper, mampu menghasilkan kuasa 99 hp pada 9,500 rpm dan tork 81 Nm pada 8,000 rpm.

    Rim 17 inci 800NK dipegang oleh suspensi daripada Kayaba, terdiri daripada unit fork USD boleh laras di hadapan dan monoshock boleh laras di belakang. Tugas membrek pula dijalankan oleh unit cakera berkembar 320 mm dengan angkup J Juan empat piston di hadapan dan cakera 260 mm tunggal dengan angkup J Juan satu piston di belakang.

    Kelengkapan lain yang disediakan pada 800NK adalah termasuk quickshifter, tiga mod tunggangan, tayar Maxxis saiz 120/60 di hadapan dan 180/55 di belakang, tangki bahan api 15 liter, brek ABS dual-channel, cruise control serta berat keseluruhan 186 kg.

     
     
  • Mercedes buka Autohaus Langkawi melalui Asbenz

    Mercedes buka Autohaus Langkawi melalui Asbenz

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) dan Asbenz kini membuka bilik pameran Autohaus terbaru di Langkawi. Premis di pulau bebas cukai itu menampilkan standard imej mewah terbaru jenama berkenaan.

    “Autohaus terbaru di Langkawi menjadi bukti terhadap dedikasi bersama kami dengan rakan niaga, Asbenz, untuk memberikan pengalaman yang luar biasa kepada pelanggan. Perhatian terperinci terhadap rekaan dan fungsi yang ada di Autohaus ini mencerminkan komitmen Mercedes-Benz untuk kemewahan dan inovasi,” ujar Amanda Zhang, Presiden dan CEO baru MBM.

    “Asbenz dengan konsisten telah menunjukkan kemampuan untuk mewujudkan ruang yang menawarkan bukan hanya kenderaan, tetapi juga gaya hidup. Dengan tambahan terbaru ini, pelanggan di Langkawi akan mengenali dunia mewah Mercedes-Benz, di mana kecanggihan, teknologi dan servis terperinci diberikan untuk membawa pengalaman mereka ke tahap yang lain,” tambah beliau.

    Mercedes buka Autohaus Langkawi melalui Asbenz

    Terletak di Kampung Batu Asah, Kuah, Autohaus ini melibatkan keluasan 15,696 kaki persegi di atas tanah seluas 38,323 kaki persegi. Ia menawarkan banyak kemudahan seperti Star Lounge dan ruang pamer barangan gaya hidup Mercedes-Benz. Ada juga pengecas untuk pelanggan Mercedes-EQ, Express Service 2.0, servis dari pintu ke pintu, Drop & Go dan tempahan online.

    Asbenz merupakan nama yang tidak asing lagi untuk pemilik kenderaan Mercedes-Benz di Utara dan Timur Semenanjung Malaysia, yang mengendalikan empat Autohaus di Kedah, Pahang dan Terengganu. Setakat ini, kumpulan pengedar itu telah melaburkan sebanyak RM15 juta, termasuk RM2 juta untuk Langkawi Autohaus.

     
     
  • Tesla Supercharger dipasang oleh tenaga tempatan dari EV Connection, selesai dalam tempoh dua minggu

    Tesla Supercharger dipasang oleh tenaga tempatan dari EV Connection, selesai dalam tempoh dua minggu

    Kemudahan Tesla Supercharger yang telah dibuka di Pavilion Kuala Lumpur menyaksikan ramai tenaga tempatan dari EV Connection, sebuah syarikat penyedia perkhidmatan pemasangan stesen pengecas EV, yang terlibat dalam pemasangannya.

    Syarikat itu memaklumkan, pasukan dari EV Connection bersama dengan Tesla telah menyelesaikan pemasangan kemudahan itu dalam tempoh dua minggu. Penyedia penyelesaian tenaga, Gentari memiliki 33.52% kepentingan dalam EV Connection, sementara ACO Group memegang 6.98% saham melalui ACO Holdings, menurut The Edge.

    Dipasang di lokasi berkenaan sebelum pengenalan rasmi jenama Tesla di Malaysia, stesen Tesla Supercharger terdiri daripada lapan unit Supercharger, yang mampu memberikan output maksimum pengecasan sehingga 250 kW.

    Tesla Supercharger dipasang oleh tenaga tempatan dari EV Connection, selesai dalam tempoh dua minggu

    Minggu ini juga, berita tentang Tesla Supercharger mula beroperasi di Pavilion Kuala Lumpur mula kedengaran, dengan kadar bayaran yang dikenakan ialah RM1.25 per kWh dengan bayaran membiarkan kenderaan di ruang itu sebanyak RM4 seminit — ini bagi mengelakkan ruang berkenaan disalah guna untuk tujuan lain selain pengecasan.

    Bayaran membiarkan kenderaan yang di parkir itu akan dibatalkan sekiranya kenderaan dialihkan dalam tempoh lima minit selepas sesi pengecasan tamat, dan akan dikenakan dua kali ganda sekiranya stesen Supercharger sedang dalam kapasiti penuh.

    Buat masa ini, kemudahan Supercharger ini hanya untuk dimanfaatkan oleh kenderaan Tesla sahaja, walaupun ada lokasi lain nanti yang akan membolehkan EV jenama lain turut menggunakannya, selari dengan syarat BEV Global Leaders Programme oleh MITI.

     
     
  • SYM Tuscany 150 tiba di Malaysia – harga RM8,888

    SYM Tuscany 150 tiba di Malaysia – harga RM8,888

    Hari pertama Kuala Lumpur Bike Show (KLBS) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur menyaksikan SYM Tuscany 150 dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada harga RM8,888 tidak termasuk insurans. Ia ditawarkan dalam pilihan tiga warna iaitu merah, kelabu dan putih.

    Datang dari Vietnam, Tuscany 150 ini mengikuti rekaan klasik skuter Itali, dan diberikan dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km. Menggerakkannya adalah enjin satu silinder suntikan bahan api, penyejukan udara berkapasiti 149 cc, mampu menghasilkan kuasa 14.74 hp pada 8,000 rpm dan tork 11.4 Nm pada 5,500 rpm.

    Sebagai sebuah skuter, kuasa daripada enjin dihantar kepada roda belakang melalui transmisi automatik CVT dan sistem tali sawat. Kedua-dua rim skuter ini menggunakan unit 12 inci, dibalut tayar 110/70 di hadapan dan 120/70 di belakang.

    Brek skuter ini menggunakan unit cakera di hadapan dan belakang, dengan saiz masing-masing 226 mm dan 220 mm, dan didatangkan dengan sistem Combined Brake System. Memegang rodanya adalah fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang.

    Informasi penting skuter ini dipaparkan pada panel digital di hadapan penunggang, sementara tangki bahan apinya pula berkapasiti 5.7 liter. Berat keseluruhan Tuscany 150 adalah 150 kg dan semua lampunya adalah unit LED.

     
     
  • Penutupan lorong, pengaktifan aliran kontra di KM14.9 dan KM16.2 di NKVE – 26-28 Ogos, 11 malam-5 pagi

    Penutupan lorong, pengaktifan aliran kontra di KM14.9 dan KM16.2 di NKVE – 26-28 Ogos, 11 malam-5 pagi

    Setia Utama LRT 3, selaku kontraktor utama projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), telah mengumumkan terdapat penutupan lorong dan pengaktifan aliran kontra di Lebuhraya Baharu Lembah Klang (NKVE) bagi kelancaran kerja-kerja pembinaan LRT3 di lokasi berkenaan.

    Ia dijadualkan bakal dilaksanakan pada Sabtu ini (26 Ogos 2023) sehingga Isnin (28 Ogos 2023), antara jam 11 malam hingga 5 pagi yang melibatkan lalaun di KM14.9 hingga KM16.2 di NKVE.

    Bagi yang datang dari arah Shah Alam/Subang menghala ke Kuala Lumpur/Sungai Buloh, akan dilencongkan di laluan bertentangan di NKVE menerusi trafik aliran kontra. Terdapat tiga lorong akan disediakan untuk pemandu yang bergerak ke arah bertentangan dari Kuala Lumpur/Sungai Buloh menuju ke Shah Alam/Subang.

    Penutupan lorong, pengaktifan aliran kontra di KM14.9 dan KM16.2 di NKVE – 26-28 Ogos, 11 malam-5 pagi

    Sementara itu, pengguna lebuhraya yang datang dari arah Shah Alam/Subang menghala ke stesen Petronas dan Shell, akan dilencongkan ke lorong paling kanan berhampiran Apartment Vista Subang. Sekiranya anda menuju ke Kuala Lumpur/Sungai Buloh dari stesen Petronas, anda juga akan dilencongkan ke lorong paling kiri dan memasuki semula NKVE.

    Bagi pengguna yang datang dari arah Kuala Lumpur/Sungai Buloh melalui lorong paling kanan akan dilencongkan ke lorong tengah di NKVE apabila menghampiri petugas kawalan di aliran kontra berkenaan. Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan itu, Setia Utama LRT 3 turut memohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi oleh para pengguna NKVE sepanjang pelaksanaan penutupan lorong dan pengaktifan aliran kontra berkenaan.

     
     
  • Persimpangan masuk Bentong Barat di LPT ditutup hingga 25 Ogos 2023 untuk kerja penyelenggaran

    Persimpangan masuk Bentong Barat di LPT ditutup hingga 25 Ogos 2023 untuk kerja penyelenggaran

    ANIH Berhad selaku pengendali Lebuhraya Pantai Timur (LPT) telah mengumumkan persimpangan masuk Bentong Barat ditutup hari ini dan esok (24-25 Ogos 2023).

    Penutupan persimpangan tersebut bagi kelancaran kerja-kerja penyelenggaran di laluan berkenaan. Oleh itu, para pengguna LPT diminta menggunakan laluan alternatif untuk memasuki Bentong iaitu di persimpangan Bentong Timur, tidak jauh dari persimpangan Bentong Barat.

    Dalam masa yang sama, ANIH turut memaklumkan pengaktifan laluan alternatif di KM124.5 hingga KM123.5 arah barat (Temerloh-Lanchang) sedang dilaksanakan sehingga jam 5 petang ini. Ia juga bagi memberi laluan untuk kerja-kerja penyelenggaran.

    Semua pengguna LPT yang melalui lokasi terbabit diminta untuk memandu dengan lebih berhati-hati dan patuhi isyarat papan tanda sementara serta arahan petugas.

     
     
  • Sarawak mula laksana ujian pemanduan trem pintar prototaip ART berkuasa hidrogen pertama di dunia

    Sarawak mula laksana ujian pemanduan trem pintar prototaip ART berkuasa hidrogen pertama di dunia

    Kerajaan Negeri Sarawak menerusi Sarawak Metro Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), telah memulakan ujian pemanduan trem pintar prototaip Transit Aliran Autonomi (ART) yang diberi nama Bulan di Kuching Isthmus sejak semalam. Ia merupakan latihan kejuruteraan yang akan dilaksanakan sehingga 31 Oktober 2023.

    Trem ART tiga gerabak berkuasa hidrogen ini adalah untuk kegunaan projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) yang bernilai RM6 bilion bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas di kawasan Kuching dan Samarahan.

    Dalam masa yang sama, kerja-kerja pembinaan laluan untuk trem terbabit sedang giat dijalankan dengan Laluan Biru sepanjang 27.6 km menghubungkan Rembus di Kota Samarahan ke stesen pertukaran Hikmah di pusat bandar raya. Manakala Laluan Merah sepanjang 12.3 km pula bagi perjalanan dari Kuching Sentral ke Pending manakala Laluan Hijau sepanjang 30km bagi perjalanan dari Pending ke Damai di Santubong.

    Sarawak mula laksana ujian pemanduan trem pintar prototaip ART berkuasa hidrogen pertama di dunia

    TRem ART ini dibangunkan oleh China Railway Rolling Stock Corporation (CRRC) Zhuzhou Electric Locomotive Research Institute Co Ltd. Ia merupakan trem pertama yang menggunakan sistem kuasa tenaga hidrogen.

    Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata prototaip itu telah dipasang sepenuhnya dalam tempoh dua minggu selepas tiba di Terminal Senari di sini pada 5 Ogos dari Pelabuhan Shanghai. Tambahnya, trem pintar itu akan menjalani latihan kejuruteraan dari 4 September hingga 31 Oktober di satu lingkaran di Jalan Keruing yang melepasi Menara LCDA, Menara SEDC, Menara Sarawak Energy dan Pusat Konvensyen Borneo Kuching.

    Tambahnya lagi, kenderaan prototaip itu akan diletakkan di Terminal Pending Lembaga Pelabuhan Kuching sehingga tamat tempoh latihan kejuruteraan pada Oktober. Pada November, kenderaan prototaip itu akan dipindahkan ke Kota Samarahan untuk latihan POC selama sebulan di lorong khusus tetap sepanjang tiga kilometer di Kuching-Samarahan Expressway, laporan Borneo Post.

    Sarawak mula laksana ujian pemanduan trem pintar prototaip ART berkuasa hidrogen pertama di dunia

    Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, menamakan trem tersebut sebagai ‘Bulan’, sempena dengan nama keretapi pertama Sarawak yang beroperasi mulai 1841 hingga 1946, sebelum perkhidmatannya ditamatkan ketika zaman penjajahan Jepun.

    Sarawak Metro telah memaklumkan bagi menyajayakan latihan kejuruteraan prototaip ART ini, beberapa jalan di sekitar Ishtmus Kuching akan ditutup hingga 31 Oktober ini. Sehubungan itu, Sarawak Metro menasihatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati semasa memandu di dalam kawasan Isthmus, selain mematuhi semua arahan pengurusan trafik sepanjang tempoh prototaip kejuruteraan ART dijalankan untuk memastikan keselamatan masing-masing.

     
     
  • Polis Selangor tawar 50% diskaun saman trafik terpilih pada 26 Ogos di tapak karnival Stadium Shah Alam

    Polis Selangor tawar 50% diskaun saman trafik terpilih pada 26 Ogos di tapak karnival Stadium Shah Alam

    Sempena dengan acara PDRM Selangor Merdeka Ride, Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor bakal menawarkan pengurangan saman trafik terpilih sebanyak 50% pada Sabtu ini, 26 Ogos 2023. Program berkenaan akan berlangsung di tapak karnival Stadium Shah Alam, dari jam 8 pagi hingga 4 petang.

    Walau bagaimana pun, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya dan saman memotong di garisan kembar

    Ini termasuk juga dengan saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman Ops Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di Shah Alam atau daerah sekitarnya, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Jangan peram lama saman trafik yang diterima itu, jadilah rakyat yang lebih bertanggungjawab.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025