Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Remaja lelaki mengaku salah atas tuduhan memandu berbahaya di Kuching, bapa dikenakan denda RM15k

    Remaja lelaki mengaku salah atas tuduhan memandu berbahaya di Kuching, bapa dikenakan denda RM15k

    Gara-gara membiarkan anak lelaki berusia 15 tahun memandu, seorang bapa yang mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 telah dijatuhkan hukuman denda RM15,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda. Dia juga diarah menjalankan kerja-kerja kemasyarakatan selama 100 jam dalam tempoh enam bulan.

    Malah anak lelakinya yang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuching atas tuduhan memandu berbahaya hingga menyebabkan lima kematian di Jalan Teo Kui Seng-Stutong Baru di bandaraya berkenaan pula dibenarkan diikat jamin RM5,000 dengan ibu bapanya sebagai penjamin, laporan Harian Metro.

    Mahkamah kemudian menetapkan 17 Jun 2025 untuk sebutan semula kes bagi laporan akhlak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Tertuduh menghadapi dua pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu atau membahayakan dan Seksyen 39(1) APJ 1987 kerana memandu kenderaan semasa berumur kurang daripada 16 tahun.

    Remaja lelaki mengaku salah atas tuduhan memandu berbahaya di Kuching, bapa dikenakan denda RM15k

    Pada 14 Januari lalu, remaja berkenaan dipercayai memandu kereta tanpa lesen dan mengakibatkan kemalangan yang meragut lima nyawa. Di mana kenderaan yang dipandu remaja itu telah hilang kawalan sebelum terbabas ke jalan bertentangan dan merempuh dua motosikal serta dua kereta. Empat lagi kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu ialah sebuah Toyota Altis, Proton Saga serta dua motosikal iaitu Yamaha dan Modenas.

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pernah mengeluarkan kenyataan bahawa kesemua kes yang melibatkan pemandu di bawah umur disiasat mengikut Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan jika disabit kesalahan, si ibu atau bapa boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya serta hilang kelayakan daripada memandu atau mendapatkan mana-mana lesen memandu.

    Selain itu, siasatan juga dijalankan di bawah Sekesyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa maksud pengabaian atau mendedahkan kanak-kanak secara cuai dengan cara yang mungkin boleh menyebabkan mengalami kecederaan fizikal atau emosi. Jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

     
     
  • MARii perkenal Skim Pelabelan Kenderaan Generasi Baharu (NxGV) — tahap autonomous, emisi, bahan api

    MARii perkenal Skim Pelabelan Kenderaan Generasi Baharu (NxGV) — tahap autonomous, emisi, bahan api

    Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) kini dengan secara rasmi telah memperkenalkan Voluntary Next Generation Vehicle (NxGV) Labelling Scheme.

    Disifatkan sebagai satu usaha penting di bawah Dasar Automotif Negara 2020, ia disasarkan untuk merancakkan peralihan Malaysia ke arah mobiliti pintar dan hijau. Ia merupakan pelekat khas untuk kereta baru yang menyatakan nama model, tahap autonomous, kadar penggunaan minyak dan pembebasan karbon. Ia merupakan lanjutan daripada label EEV yang digunakan untuk kereta sejak 2020.

    MARii menjelaskan yang label NxGV ini diposisikan sebagai pematuhan sukarela dan kerangka inovatif, dan meletakkan tanda aras baru untuk kenderaan yang menepati kriteria maju bagi kecekapan tenaga, automasi (minimum Tahap 3) dan ketersambungan. Ia menyediakan kaedah berguna kepada OEM untuk membezakan teknologi mereka dalam pasaran yang semakin sengit, baik di sini mahu pun peringkat global.

    “Label NxGV ini lebih daripada sekadar lencana pematuhan, tetapi juga isyarat strategik untuk inovasi, kemapanan dan kepimpinan ASEAN. Di bawah kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, kami berbangga untuk menyelaraskan cita-cita mobiliti nasional dengan kepentingan serantau, dengan mewujudkan masa depan bersama yang mana kenderaan generasi akan datang akan memacu pertumbuhan melangkaui sempadan,” jelas, CEO MARii, Azrul Reza Aziz.

    “Pelabelan kenderaan hari ini perlu melangkaui sekadar emisi, ia perlu mewakili kepintaran, keterhubungan dan automasi. Skim Pelabelan NxGV Malaysia ini menetapkan standardnya. Ia mencerminkan kesungguhan kami untuk memposisikan Malaysia, dan juga ASEAN, di titik tengah peralihan global ke arah mobiliti mampan dan berteknologi tinggi,” jelas Timbalan Ketua Setiausaha MITI, Datuk Hanafi Sakri.

     
     
  • Nissan akan berhentikan 20,000 pekerja, tutup lebih banyak kilang selepas catat kerugian RM19.6 bilion

    Nissan akan berhentikan 20,000 pekerja, tutup lebih banyak kilang selepas catat kerugian RM19.6 bilion

    Nampaknya situasi krisis kewangan Nissan kini semakin meruncing – jenama automotif Jepun berkenaan telah mencatatkan kerugian bersih 670.9 bilion yen (RM19.6 bilion) untuk Tahun Kewangan (TK) 2024 yang berakhir 31 Mac 2025. Untuk suku keempat tahun kewangan itu sahaja kerugian Nissan meningkat dari sembilan bilion yen (RM262.6 juta) pada suku sebelumnya kepada 676 bilion yen (RM19.7 bilion)

    Oleh itu di bawah pengurusan baharu yang kini diterajui oleh CEO baharu Ivan Espinosa, Nissan bakal membuat lebih banyak langkah pengurangan kos dengan sasaran bagi menjimatkan sebanyak 500 bilion yen (RM14.6 bilion) bagi membolehkan ia kembali mendapat untung pada tahun kewangan 2026.

    Antara langkah berkenaan adalah menghentikan 20,000 tenaga kerja yang akan dibuat antara TK24 hingga TK27, termasuk 9,000 tenaga kerja yang telah diumumkan sebelum ini. Ia meliputi jawatan terus, tidak terus dan juga kontrak dalam pembuatan, jualan, am dan pentadbiran dan juga penyelidikan dan pembangunan (R&D).

    Pengurangan tenaga kerja untuk pembuatan dijangka akan dibuat kerana Nissan turut akan menutup lebih banyak kilang, untuk mengurangkan fasiliti tersebut dari 17 kepada hanya 10 buah kilang sahaja. Nissan turut akan memperkemas kemudahan rangkaian kuasanya dan mengurangkan perbelanjaan modal, termasuk membatalkan pembinaan kilang bateri litium besi fosfat (LFP) yang dirancang di Kyushu, Jepun. Semua ini akan membolehkan pengurangan kos tetap yang disasarkan sebanyak 250 bilion yen (RM7.3 bilion).

    Nissan akan berhentikan 20,000 pekerja, tutup lebih banyak kilang selepas catat kerugian RM19.6 bilion

    250 bilion yen yang lain akan datang daripada pengurangan kos bervariasi melalui “mempercepatkan kejuruteraan dan kecekapan kos sambil melaksanakan model tadbir urus yang ketat,” dengan 300 pejabat transformasi merentas fungsi berdedikasi di bawah apa yang dipanggil ketua pegawai kos penghantaran (TdC) yang diberi kuasa untuk membuat keputusan mengurangkan kos.

    Pada masa yang sama, Nissan menghentikan sementara semua aktiviti produk lanjutan dan selepas TK26 dan mengalihkan 3,000 tenaga kerjanya ke arah inisiatif pengurangan kos. Ia juga akan menilai semula rantaian bekalannya, memesan lebih banyak bahagian daripada vendor yang lebih sedikit untuk menghapuskan ketidakcekapan.

    Selain itu Nissan juga akan memendekkan masa pembangunan sesebuah model baharu kepada hanya 37 bulan (dan setiap ‘model sama keluarga’ kepada hanya 30 bulan) untuk mengurangkan lagi kos operasinya. Ini akan memastikan tiada penangguhan pelancaran produk baharu, serta selari dengan pengurangan 70% kerumitan komponen dan mengurangkan jumlah platform dari 13 kepada hanya 7 pada TK35.

     
     
  • Harga minyak 15-21 Mei – diesel untuk semenanjung dan RON97 masing-masing diturunkan 3 sen seliter

    Harga minyak 15-21 Mei – diesel untuk semenanjung dan RON97 masing-masing diturunkan 3 sen seliter

    Kementerian Kewangan mengumumkan bagi minggu bertarikh 15 hingga 21 Mei 2025, harga runcit bagi petrol RON 97 diturunkan sebanyak 3 sen seliter, menjadi RM3.07 seliter berbanding RM3.10 seliter pada minggu lalu.

    Walau bagaimana pun, harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Bukan itu sahaja, harga runcit bagi diesel yang dijual di Semenanjung Malaysia juga diturunkan sebanyak 3 sen seliter iaitu kini RM2.77 seliter berbanding RM2.80 seliter pada minggu sebelumnya. Manakala harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata kriteria kelayakan subsidi RON95 serta kaedah pelaksanaannya akan diumumkan dalam tempoh terdekat. Menurut beliau, kementeriannya akan membentangkan hal-hal berkaitan kepada Kabinet dalam masa terdekat untuk mendapatkan kelulusan sebelum diumumkan kepada umum.

    Pengumuman ini juga akan meliputi peralihan kelayakan dari set sedia ada yang berasaskan pendapatan kasar, yang dikelaskan mengikut segmen B40, M40 dan T20, kepada berdasarkan pendapatan boleh dibelanjakan (disposable income).

     
     
  • Pemilik Proton Satria R3 berkumpul di Putrajaya raikan ulangtahun ke-20 bersama bekas ahli-ahli pasukan R3

    Pemilik Proton Satria R3 berkumpul di Putrajaya raikan ulangtahun ke-20 bersama bekas ahli-ahli pasukan R3

    Baru-baru ini masa depan sayap perlumbaan dan prestasi Proton iaitu Race.Rally.Research (R3) dikhabarkan tidak menentu, dan ia mungkin akan dijual oleh pembuat kereta nasional berkenaan. Ini memang perkembangan menyedihkan, namun ia tidak menghalang pemilik Proton Satria R3 untuk berkumpul hujung minggu lalu bagi meraikan ulangtahun ke-20 hot-hatch lagenda berkenaan.

    Satria R3 merupakan model lengkap pertama yang dihasilkan oleh Proton R3, membuktikan bahawa mereka bukan sahaja hebat sebagai pasukan lumba dan menjana keuntungan sebagai pengeluar peralatan prestasi aftermarket untuk Proton, malah berkemampuan untuk menghasilkan jentera prestasi dengan pengetahuan diperolehi dari litar yang boleh dibeli di bilik pameran serta sah digunakan di atas jalan raya.

    Sejumlah 10-unit Satria R3 berjaya dihimpunkan pada acara kali ini yang berlangsung di Putrajaya. Menurut Devan Gunaseelan, pemilik Satria R3 dari Ipoh yang menghimpunkan komuniti pemilik berkenaan, dari 150-unit yang keluar dari fasiliti R3 pada penghujung 2005 dan awal 2005 dahulu kini dia berjaya berhubung dengan kira-kira lebih 50 pemilik Satria R3 yang masih wujud.

    Manakala 10-unit yang hadir kali datang dengan pelbagai ‘karekter’ yang diberikan oleh pemilik masing-masing; ada yang masih standard seperti baru keluar kilang, ada yang telah diubahsuai untuk prestasi lebih berkuasa, malah ada juga yang telah menjadi sebuah kereta lumba sebenar. Namun semuanya masih mengekalkan warna hitam asal dengan jalur sisi merah yang dikenali sebagai ‘blood stripe’ untuk dikenali sebagai Satria R3 sebenar.

    Acara kali ini juga agak istimewa kerana ia dihadiri oleh beberapa ahli pasukan R3 antaranya bekas eksekutif pembangunan produk Proton R3 yang juga ketua projek pembangunan Satria R3 ini sendiri iaitu Faisal Asri, pelumba serta pakar pembangunan suspensi yang kini pemilik jenama suspensi Fawster iaitu Faidzil Alang, bekas prinsipal pasukan lumba R3 Gary Lee, pengasas bersama Dream Street Restoration (DSR) yang pernah bertugas sebagai ketua projek Satria Neo R3 Lotus Racing Suriya Sankaran dan jurutera kos BOM Fadhlan Zahari.

    Jadi pertemuan ini memberikan peluang untuk pemilik-pemilik Satria R3 berkenaan mengetahui lebih mendalam berkenaan jentera masing-masing dengan mendengar sendiri cerita bagaimana model tersebut dibangunkan termasuklah bagaimana kerangka Satria ini dipasang dengan proses cantuman dua kali lebih banyak dari kerangka Satria GTi, mengapa warna hitam dipilih sebagai warna badan dan kenapa ia digelar Incognito Black, bagaimana talaan suspensi dibuat dan ujian yang lakukan dan banyak lagi.

    Bagi mereka yang belum mengetahui, Satria R3 ini merupakan versi ‘Type R’ untuk Satria di mana kerangka badannya bukan sahaja lebih tegar, malah ia juga lebih ringan tanpa sebarang bahan penebat bunyi diberikan, membolehkan berat keseluruhan ditimbang hanya 995kg.

    Ia kemudiannya disumbat dengan enjin 4G93P 1.8 liter yang tala semula bagi menghasilkan kuasa 140 hp dan tork maksima 148 Nm, membolehkan pecutan dari 0-100 km/j dibuat dalam masa 8.6 saat. Ia juga menerima pelbagai perincian yang mengujakan seperti tempat duduk bucket Recaro SR4, roda stereng Momo Tuner, spoiler belakang gentian karbon dan banyak lagi. Untuk lebih mengetahui berkenaan Proton Satria R3 anda boleh baca pada PAUTAN INI.

    Proton Satria R3 dan juga beberapa model penuh R3 yang lain telah membuktikan kemampuan R3 – ia bukan hanya menjadi platform untuk peminat Proton bersorak di litar lumba dan SS rali di Malaysia serta peringkat antarabangsa, malah turut mampu untuk menjana keuntungan dengan pelbagai cara menerusi sukan bermotor dan juga budaya berkereta pemilik-pemiliknya.

    Platform dah ada, peminat juga dah lama tertunggu-tunggu. Tapi bila Proton dah mula bangkit semula dengan jualan yang memberangsangkan, jenama R3 seakan tidak penting. Mungkin Proton akan mula menjadi jenama yang bosan dan kehilangan ‘Fanboys’ sekiranya R3 benar-benar dijual selepas ini?

     
     
  • Zontes 703F tiba di Malaysia – harga bawah RM40k

    Zontes 703F tiba di Malaysia – harga bawah RM40k

    Selain 368D dan 368E, Zontes juga membawa sebuah model adventure, 703F ke Malaysia Autoshow 2025, dengan ia sudah boleh ditempah dengan harga yang dianggarkan tidak melebihi RM40k. Ini adalah model paling besar daripada Zontes sekarang dan ia datang dengan pelbagai kelengkapan dan teknologi.

    Bermula pada enjin, 703F dipacu oleh unit tiga silinder 699 cc DOHC, digabungkan bersama transmisi enam kelajuan dengan quickshifter secara standard, mampu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 97 hp pada 10,000 rpm dan tork 76 Nm pada 7,500 rpm. Dua mod tunggangan disediakan iaitu Comfort dan Sport.

    Demi menjadikan motosikal ini lebih sesuai dengan tunggangan lasak, ia dilengkapi dengan rim 21 inci di hadapan, dibalut tauar 90/90 dan 18 ini di belakang, dengan tayar 150/70. Suspensi juga boleh dilaras sepenuhnya untuk hadapan dan belakang, dengan unit yang dibekalkan oleh Marzocchi.

    Tugas menghentikan motosikal dijalankan oleh sistem brek cakera berkembar di hadapan, dan tunggal di belakang, dengan angkup jenama J.Juan (empat piston di hadapan). Tangki bahan api berkapasiti 22 liter dan berat keseluruhan motosikal ini adalah 236 kg.

    Pelbagai lagi kelengkapan disediakan pada 703F, termasuk skrin TFT 6.75 inci dengan sambungan bluetooth dan boleh memaparkan navigasi, bateri 12V lithium ion, perakam video hadapan dan belakang, penghadang angin larasan elektronik, sistem tanpa kunci, lampu LED projector automatik, lampu kabus LED, pemanas tangan, soket pengecas USB, kawalan cengkaman dan ABS dual-channel. Tinggi tempat duduk adalah 845 mm.

     
     
  • MOT nilai semula laluan babitkan jalan raya dan rel yang berisiko tinggi untuk hidupan liar dan manusia

    MOT nilai semula laluan babitkan jalan raya dan rel yang berisiko tinggi untuk hidupan liar dan manusia

    Menteri Pengangkutan (MOT) Anthony Loke mengesahkan pihaknya membuat keputusan untuk menilai semula laluan membabitkan jalan raya dan rel kereta api yang dilihat berisiko tinggi untuk hidupan liar dan manusia, laporan Berita Harian.

    Katanya, kerajaan ketika ini berusaha melindungi hidupan liar supaya laluan dibina tidak memberi ancaman kepada haiwan itu dan pada masa sama melindungi pengguna pengangkutan kereta api dan jalan raya. Antara laluan sedang dilihat semula adalah rel kereta api di Gemas–Johor Bahru yang pernah mempunyai ancaman hidupan liar seperti gajah, tambahnya lagi.

    “MOT sudah pun mengambil langkah untuk menjaga keselamatan orang ramai serta melindungi hidupan liar termasuklah di projek-projek rel. Seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kita sudah mempunyai langkah-langkah mitigasi termasuklah laluan dan terowong yang dibina khas untuk pergerakan hidupan liar.

    MOT nilai semula laluan babitkan jalan raya dan rel yang berisiko tinggi untuk hidupan liar dan manusia

    “Kita juga akan melihat perkara ini di laluan (kereta api) Gemas–Johor Bahru kerana terdapat insiden gajah melintas landasan di situ. Kita ambil serius perkara ini bukan hanya untuk melindungi hidupan liar tetapi nyawa manusia kerana kita tahu apa yang akan berlaku sekiranya gajah melintas ketika kereta api sedang laju,” katanya.

    Loke turut berkata, langkah berkenaan akan mendapat kerjasama daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

    Perkara ini semakin serius diperkatakan susulan kes kemalangan yang menyebabkan sekor ibu gajah kehilangan anaknya yang terperosok di bawah lori dalam kejadian di Gerik, kelmarin. Aksi ibu gajah yang tidak mahu beredar dari tepi lori berkenaan mengundang simpati dan kesedihan ramai netizen yang mendesak supaya pihak kerajaan agar mengambil langkah yang lebih progresif dalam mempertingkatkan aspek keselamatan di jalan raya khususnya di lokasi lintasan haiwan liar.

    MOT nilai semula laluan babitkan jalan raya dan rel yang berisiko tinggi untuk hidupan liar dan manusia

    kelmarin, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah berkongsi kenyataan di Facebook rasminya bahawa pihaknya telah bekerjasama dengan Perhilitan telah memasang lampu jalan di 39 lokasi hotspot lintasan gajah liar di sekitar Pahang, Kelantan, Kedah, Perak dan Johor, yang melibatkan kos sebanyak RM4 juta.

    Semalam, Menteri KKR, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pula berkata, pihaknya turut mengusahakan beberapa inisiatif termasuklah pembinaan wildlife crossings (laluan lintasan hidupan liar) seperti eco-viaducts dan underpass tunnels di lokasi-lokasi panas (hotspot) yang dikenal pasti sebagai laluan migrasi gajah dan hidupan liar lain termasuk di Lebuhraya WCE, LPT2 dan beberapa lagi.

     
     
  • 20 jenama EV terlaris pada April 2025 — BYD dahului Proton; Denza atasi Xpeng; Dongfeng masuk senarai

    20 jenama EV terlaris pada April 2025 — BYD dahului Proton; Denza atasi Xpeng; Dongfeng masuk senarai

    Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh JPJ, BYD menjadi jenama EV paling laris di Malaysia bagi April 2025. Dengan semua model EV yang dijual ketika ini, BYD mencatatkan sebanyak 1,048 pendaftaran bulan lalu, menjadikan jumlah year-to-date (YTD) setakat ini kepada 3,207 unit.

    Di tempat kedua ialah Proton dengan YTD sebanyak 2,537 unit setakat hujung April 2024 — ini merupakan satu perkembangan yang menarik memandangkan Proton hanya mempunyai sebuah model EV ketika ini, eMas 7, dengan jualan sebanyak 799 unit sepanjang April.

    Jenama EV ketiga terlaris di Malaysia untuk April pula ialah Denza (157 unit untuk April, 395 unit YTD), dan diikut rapat oleh Xpeng (153 unit, 380 unit YTD), BMW (119 unit, 587 unit YTD) dan Tesla (108 unit, 735 YTD) — semua ini jenama yang berjaya mencatat angka jualan tiga digit.

    Seterusnya adalah Zeekr (91 unit, 360 unit YTD), diikuti Chery (45 unit, 97 unit YTD) dan Porsche (45 unit, 208 YTD) dengan angka Porsche termasuk kereta recon yang dikira oleh JPJ.

    Di tangga ke-10 ialah GWM (44 unit, 145 YTD) yang berada di depan Mercedes-Benz (40 unit, 129 unit YTD) di tempat ke-11. Berikutnya ada MG (37 unit, 192 unit YTD) di tempat ke-12, Volvo (37 unit, 122 unit YTD) di tempat ke-13, Hyundai (36 unit, 100 unit YTD) di tempat ke-14, MINI (34 unit, 154 unit YTD) di tempat ke-15, Dongfeng (24 unit, 45 unit YTD) di tempat ke-16, Neta (17 unit, 50 unit YTD) di tempat ke-17 dan smart (17 unit, 101 YTD) di tempat ke-18.

     
     
  • Malaysia kian padat dengan kenderaan, 38.7 juta kenderaan berdaftar setakat 2024 – Zahid Hamidi

    Malaysia kian padat dengan kenderaan, 38.7 juta kenderaan berdaftar setakat 2024 – Zahid Hamidi

    Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia kini berdepan realiti kepadatan kenderaan di dalam negara yang menyaksikan sehingga hujung 2024, terdapat 38.7 juta kenderaan berdaftar di Malaysia bersamaan 727 kenderaan bagi setiap 1,000 penduduk.

    Menurut beliau, perkara ini melebihi jumlah penduduk negara yang hanya 34.1 juta dan angka ini terus meningkat didorong oleh jumlah jualan kenderaan baharu (TIV) yang mencecah 816,747 unit iaitu tertinggi dalam sejarah negara.

    “Trend ini bukan sahaja membebankan infrastruktur sedia ada, malah meningkatkan risiko keselamatan jalan raya serta menjejaskan kualiti hidup rakyat,” katanya.

    Adakah atas faktor kemampuan memiliki kenderaan persendirian, mendorong rakyat untuk kurang menggunakan pengangkutan awam sedia ada walau pun sistem jaringannya kian meluas?

    Ini kerana, menurut beliau kadar penggunaan pengangkutan awam di Malaysia masih rendah iaitu sekitar 25%, jauh berbeza jika dibandingkan dengan beberapa negara maju.

    “Saya sentiasa percaya bahawa sistem pengangkutan awam yang cekap bukan sahaja dapat melancarkan pergerakan harian rakyat, malah turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial, serta mobiliti yang inklusif di bandar mahupun di desa.

    “Namun, kadar penggunaan pengangkutan awam di negara kita masih rendah, sekitar 25%, jauh berbeza berbanding Singapura (67%), Tokyo (73%) dan Seoul (63%). Perubahan ini memerlukan anjakan sikap yang hanya boleh dicapai melalui gabungan antara sistem yang boleh dipercayai dan kempen kesedaran yang menyeluruh,” katanya menerusi perkongsian di Facebook rasminya.

    Walau bagaimana pun, beliau yakin dengan gerak kerja berterusan oleh agensi seperti syarikat penyedia pengangkutan awam Prasarana dan kerjasama semua pemegang taruh, mampu membentuk masa depan pengangkutan awam negara yang lebih mesra rakyat, lestari dan efisien.

    “Insya-Allah, kita akan keluar daripada belenggu kesesakan dan kebergantungan kepada kenderaan persendirian,” tambahnya.

     
     
  • Puspakom turut beroperasi setiap Sabtu pada bulan ini

    Puspakom turut beroperasi setiap Sabtu pada bulan ini

    Syarikat pemeriksa kenderaan Puspakom melanjutkan operasinya untuk setiap hari Sabtu sepanjang bulan ini. Ia adalah bagi memudahkan orang ramai yang mungkin sibuk pada hari biasa untuk mendapatkan perkhidmatan yang diperlukan.

    Lanjutan operasi tersebut dijadualkan untuk 10,17,24 dan 31 Mei, untuk cawangan terpilih di seluruh negara, yang dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Semua pelanggan perlu membuat tempahan temujanji secara dalam talian iaitu menerusi MyPuspakom sebelum pergi ke cawangan yang dipilih. Tiada kunjungan secara walk-in dibenarkan.

    Di bawah ini adalah cawangan yang terlibat dengan waktu lanjutan operasi pada Sabtu:

      Lembah Klang

    • Wangsa Maju
    • Cheras
    • Taman Bukit Maluri
    • Glenmarie
    • Bangi
    • Batu Caves
    • Pandan Mewah
    • Shah Alam
    • Padang Jawa
    • Sungai Besar
    • Banting
    • Utara

    • Sungai Petani
    • Alor Setar
    • Teluk Kumbar
    • Mak Mandin
    • Taiping
    • Gopeng
    • Selatan

    • Alor Gajah
    • Seremban
    • Johor Bahru
    • Pasir Gudang
    • Senai
    • Taman Daya
    • Muar
    • Kluang
    • Batu Pahat
    • Segamat
    • Pantai Timur

    • Kota Bharu
    • Kuantan
    • Temerloh
    • Malaysia Timur (tetapi ditutup pada 31 Mei)

    • Kota Kinabalu
    • Kota Samarahan
     
     
  • Zontes 368D dan 368E dipamer di Malaysia – harga jangkaan bawah RM25k dan RM27k, enjin 368 cc

    Zontes 368D dan 368E dipamer di Malaysia – harga jangkaan bawah RM25k dan RM27k, enjin 368 cc

    Semasa Malaysia Autoshow 2025, Zontes mempamerkan beberapa model baru yang belum dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia dan dua daripadanya adalah 368D dan 368E. Tempahan sudah dibuka untuk dua model ini, tetapi cuma harga jangkaan yang diberi iaitu bawah RM25k untuk 368D dan bawah RM27k untuk 368E.

    Dua model ini adalah pengganti kepada versi 350 yang dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada tahun 2023, dengan membawa pelbagai peningkatan termasuk yang utama adalah enjin sama seperti 368G, iaitu unit satu silinder 368 cc DOHC berkuasa 39 PS pada 7,500 rpm dan tork 40 Nm pada 6,000 rpm.

    Transmisi adalah unit automatik CVT dan penghantaran kuasa kepada roda belakang dibuat melalui sistem tali sawat. 368D yang dibuat lebih untuk penggunaan urban dilihat mempunyai saiz yang lebih kecil berbanding 368E yang lebih bersesuaian untuk perjalanan jauh, dan berat kering masing-masing juga berbeza – 175 kg untuk 368D dan 193 kg untuk 368E.

    Disasarkan untuk pengguna yang lebih meluas, dua skuter ini menawarkan kedudukan tempat duduk yang lebih rendah, iaitu 760 mm untuk 368D dan 770 mm untuk 368E, berbanding 795 mm pada 368G yang dijadikan sebagai sebuah skuter adventure.

    Kelengkapan lain 368D dan 368E juga kebanyakannya adalah sama termasuk rim aluminium 15 inci di hadapan dan 14 inci di belakang, brek cakera tunggal dengan angkup J.Juan empat piston di hadapan, brek cakera tunggal di belakang, sistem pemerhati tekanan angin tayar, skrin TFT 6.75 inci dengan sambungan kepada telefon pintar, ABS dual-channel, kawalan cengkaman, pengecas USB dan lampu LED.

    Dengan harga yang lebih tinggi, 368E mempunyai tambahan kelengkapan seperti perakam video hadapan dan belakang, tangki bahan api lebih besar (17 liter, berbanding 12 liter pada 368D), penghadang angin kawalan elektronik serta ruang simpanan yang lebih besar.

    GALERI: Zontes 368D

    GALERI: Zontes 368E

     
     
  • Moda Shifter 400X di MAS 2025 – lancar tahun ini?

    Moda Shifter 400X di MAS 2025 – lancar tahun ini?

    Sebelum motosikal jenama Moda melancarkan model pertama mereka untuk pasaran Malaysia, iaitu Sporter S, sebenarnya sebuah lagi model telah ditunjukkan lebih awal kepada orang ramai pada tahun 2023. Ia adalah Shifter 400X, dan tahun ini sekali lagi ia membuat penampilan di Malaysia Autoshow 2025.

    Maklumat terkini yang kami terima, Shifter 400X ini dalam perancangan untuk pelancaran pada hujung tahun ini, dengan pihak Moda sedang membuat penyesuaian terhadap skuter tersebut, sama seperti Sporter S. Ini bermakna, kita boleh menjangkakan pelarasan semula bahagian seperti suspensi dan penyampaian kuasa.

    Shifter 400X adalah sebuah skuter yang dipacu oleh enjin satu silinder 333 cc SOHC penyejukan cecair, mampu menghasilkan kuasa maksimum 29 hp pada 7,000 rpm dan tork 33.5 Nm pada 5,500 rpm. Transmisi menggunakan unit automatik CVT dan kuasa disampaikan kepada roda belakang melalui sistem tali sawat.

    Bahagian roda skuter ini menggunakan rim 14 inci di hadapan, dibalut tayar 120/70 manakala di belakang menggunakan rim 13 inci dengan tayar 150/70. Ia kemudiannya dipegang oleh masing-masing fork teleskopik dan dua penyerap hentak dengan tabung gas di belakang.

    Brek di kedua-dua roda menggunakan unit cakera dan sistem ABS dual-channel diberikan secara standard. Menambah lagi keselamatannya adalah sistek kawalan cengkaman (boleh ditutup dengan butang di bahagian kanan pemegang).

    Kelengkapan lain Shifter 400X adalah termasuk tangki bahan api 13.1 liter, meter TFT, soket pengecas USB, sistem tanpa kunci, ruang barangan di bawah tempat duduk dengan dua poket di bahagian bawah pemegang serta penghadang angin larasan manual.

     
     
  • Pembinaan ‘Wildlife Crossings’ terdapat di beberapa lokasi panas – Lebuhraya WCE, KLK, LPT2, CSR

    Pembinaan ‘Wildlife Crossings’ terdapat di beberapa lokasi panas  – Lebuhraya WCE, KLK, LPT2, CSR

    Kejadian kemalangan yang menyebabkan seekor anak gajah mati terperosok di bawah lori yang melanggarnya di Gerik, Perak pada pagi Sabtu lalu turut mengundang rasa dukacita Menteri Kerja Raya (KRR) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

    Menerusi laman Facebook rasminya, beliau berkata, insiden seperti ini bukan sahaja menyayat hati, tetapi juga mengingatkan kita akan kepentingan menyeimbangkan pembangunan infrastruktur dengan pemeliharaan alam sekitar dan hidupan liar.

    “Sebagai Menteri Kerja Raya, saya ingin menegaskan bahawa keselamatan pengguna jalan raya dan perlindungan hidupan liar sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap projek pembangunan jalan yang dilaksanakan oleh KKR bersama agensi pelaksana seperti JKR dan syarikat konsesi lebuhraya.

    “Antara usaha yang telah dan sedang dilaksanakan oleh KKR termasuklah pembinaan ‘Wildlife Crossings’ (laluan lintasan hidupan liar) seperti eco-viaducts dan underpass tunnels di lokasi-lokasi panas (hotspot) yang dikenal pasti sebagai laluan migrasi gajah dan hidupan liar lain,” katanya.

    Menurut beliau, seperti di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK yang sebenarnya mempunyai beberapa lintasan bawah tanah (underpass) di antara KM33-37 dan di KM39 yang direka khusus untuk pergerakan hidupan liar. Di mana lokasi ini berdekatan dengan Hutan Simpan Ulu Gombak, menjadikannya penting untuk hidupan liar bergerak dengan selamat.

    Pembinaan ‘Wildlife Crossings’ terdapat di beberapa lokasi panas  – Lebuhraya WCE, KLK, LPT2, CSR

    “Di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) juga terdapat jambatan hijau (eco-viaduct) di Terengganu yang berfungsi sebagai laluan selamat untuk hidupan liar melintasi lebuh raya. Begitu juga dengan Jalan Kuala Berang – FELDA Aring (Hulu Terengganu) di mana Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membina tiga laluan khas hidupan liar berbentuk terowong di bawah jalan di Seksyen 66, 70 dan 73 jalan ini,”katanya lagi.

    Selain itu, tambahnya, projek pembinaan Lebuhraya Central Spine Road (CSR) juga merangkumi pembinaan beberapa eco-viaduct, termasuklah Sungai Yu Eco-Viaduct yang merupakan yang terpanjang dengan anggaran 900 meter. Laluan ini penting untuk menghubungkan kawasan hutan yang terpisah akibat pembangunan.

    Bukan itu sahaja, di Lebuhraya West Coast Expressway (WCE) iaitu di jajaran Taiping Selatan-Bruas, turut dibina terowong hidupan liar (underpass) sebagai laluan selamat untuk haiwan melintasi lebuh raya.

    “Bagi Lebuhraya Timur-Barat (Gerik-Jeli), walaupun belum ada lintasan khusus yang meluas, kawasan ini dikenali sebagai kawasan lintasan hidupan liar dan papan tanda amaran sering dipasang. Pemasangan papan tanda amaran lintasan hidupan liar di kawasan berisiko, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati,” sambungnya.

    Beliau turut menjelaskan, KKR melalui agensinya seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memastikan elemen lintasan hidupan liar dimasukkan dalam reka bentuk dan pembinaan jalan raya dan lebuhraya baharu, termasuk menambah jumlah Culvert Animal Crossing sedia ada.

    “Kerjasama rapat bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam bagi mengenal pasti kawasan tumpuan fauna, serta melibatkan mereka dalam penilaian impak alam sekitar (EIA) sebelum sesuatu projek jalan dilaksanakan. Sebanyak 39 lintasan gajah di seluruh negara turut dilengkapi lampu jalan bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya dan melindungi haiwan liar. Pelaksanaan Kajian Impak Sosial dan Alam Sekitar (SIA & EIA) yang menyeluruh bagi setiap projek baru, serta pelan mitigasi yang wajib dipatuhi kontraktor.

    “Kementerian akan terus menilai dan mempertingkatkan pendekatan kami dari masa ke masa. Dalam masa terdekat, saya akan mengarahkan satu semakan semula terhadap semua kawasan berisiko tinggi lintasan hidupan liar di seluruh negara agar tindakan lanjut boleh diambil, termasuk mempertimbangkan penggunaan teknologi dalam pemasangan kemudahan tambahan seperti ‘sensor’ pergerakan haiwan,”tambahnya lagi.

    Dalam masa yang sama, beliau menyeru semua pihak termasuk pengguna jalan raya dan komuniti setempat untuk bersama-sama menjaga keselamatan dan kelestarian alam sekitar negara kita. Hidupan liar juga adalah sebahagian daripada khazanah negara yang tidak ternilai.

    “Pembangunan mampan bukan sekadar membina jalan, tetapi memastikan kita tidak kehilangan warisan semula jadi dalam prosesnya,”tegasnya.

     
     
  • 20 Jenama paling laris di Malaysia untuk April 2025 – Perodua mendahului jauh, Proton ke-2, BYD kini ke-6

    20 Jenama paling laris di Malaysia untuk April 2025 – Perodua mendahului jauh, Proton ke-2, BYD kini ke-6

    Berdasarkan data yang baru disiarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkenaan pendaftaran kenderaan baharu untuk April 2025, Perodua dilihat masih lagi merupakan jenama automotif paling laris di Malaysia. Sepanjang bulan lalu, pengeluar kenderaan dari Rawang tersebut telah berjaya merekodkan jualan sebanyak 27,371 unit. Ini membolehkan angka jualan tahunan Perodua melepasi angka 100,000 unit, atau secara spesifiknya 112,155 unit hanya dalam masa empat bulan pertama tahun ini.

    Seperti biasa, tangga kedua masih dihuni satu lagi jenama automotif tempatan iaitu Proton yang berjaya menjual sebanyak 12,155 unit kenderaan bulan lalu, membolehkan jualan tahunan terkumpulnya kini berjumlah 46,283 unit. Tempat ketiga pula adalah milik Toyota dengan jualan April sebanyak 10,066 unit (tahunan 36,241 unit), diikuti satu lagi jenama Jepun iaitu Honda dengan 4,439 unit (tahunan 24,911 unit).

    Manakala tangga kelima adalah milik jenama China, Jaecoo dengan jualan sebanyak 1,545 unit menjadikan jualan tahunan empat bulan pertama kini adalah 5,798 unit. Satu lagi jenama China iaitu BYD yang hanya menjual kenderaan elektrik (EV) berjaya berada di tempat ke enam dengan mencatatkan jualan empat digit untuk bulan April iaitu 1,048 unit. Jumlah jualan empat bulan pertama BYD bagi tahun ini telah pun mencapai 3,207 unit.

    20 Jenama paling laris di Malaysia untuk April 2025 – Perodua mendahului jauh, Proton ke-2, BYD kini ke-6

    Tangga ke tujuh dihuni oleh Mitsubishi dengan jualan bulanan 1,000 unit menjadikan jualan tahunan berjumlah 4,725 unit. Manakala syarikat induk Jaecoo iaitu Chery berada di tempat ke lapan dengan jualan bulanan 740 unit (tahunan 3,313 unit).

    Mercedes-Benz berada di tempat ke sembilan membolehkan ia menjadi jenama Eropah dan premium paling laris bulan lalu dengan jualan 682 unit (tahunan 2,871 unit), diikuti Mazda di tempat ke-10 dengan 682 unit (tahunan 2,871 unit). Namun rekod jualan bagi kedua-dua jenama ini sebenarnya dilihat menurun berbanding bulan sebelumnya iaitu Mac.

    Nissan berada di tempat ke-11 (634 unit, tahunan 2,390 unit), diikuti Lexus di tempat ke-12 yang mencatatkan jualan bulanan tertinggi tahun ini iaitu 612 unit bagi membolehkan jumlah jualan tahunan mencapai 1,671 unit. BMW ke-13 dengan 556 unit (tahunan 2,418) dan Isuzu ke-14 dengan 465 unit (tahunan 2,039 unit).

    20 Jenama paling laris di Malaysia untuk April 2025 – Perodua mendahului jauh, Proton ke-2, BYD kini ke-6

    GWM menjadi jenama China kelima berada dalam senarai 20 terlaris dengan jualan 372 unit sepanjang April untuk berada di tangga ke-15, dan jualan tahunan terkumpul kini berjumlah 1,430 unit. Seterusnya Ford berada di tempat ke-16 (359 unit, tahunan 1,584 unit, diikuti MG ke-17 (255 unit, tahunan 839 unit), Hyundai ke-18 (186 unit, tahunan 425 unit).

    Porsche berada di tempat ke-19 dengan pendaftaran sebanayak 171 unit (tahunan 894 unit), namun data ini adalah sekali dengan unit-unit yang dibawa masuk secara recond. Tempat ke-20 pula adalah divisi mewah BYD iaitu Denza yang mencatatkan jualan bulanan 157 unit, menjadikan jumlah jualan tahunan berjumpal 395 unit.

     
     
  • Pelaksanaan subsidi bersasar RON95 turut dibuat berdasarkan keadaan ekonomi semasa – Hanifah

    Pelaksanaan subsidi bersasar RON95 turut dibuat berdasarkan keadaan ekonomi semasa – Hanifah

    Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib mengesahkan kerajaan akan mengambil kira keadaan ekonomi semasa dalam membuat sebarang keputusan mengenai pelaksanaan subsidi bersasar RON95, laporan Berita Harian

    Ujar beliau lagi, pelaksanaan perlu melalui pertimbangan teliti di peringkat Kabinet, termasuk mengambil maklum balas daripada kementerian berkaitan.

    “Sejujurnya, saya tidak tahu dari segi maklumat terkini, tetapi kita mesti sebagai tanggungjawab kerajaan melihat juga keadaan ekonomi. Kita perlu melihatkan keadaan ekonomi dan dari segi apa yang akan dicadangkan akan dibentangkan di bahagian Kabinet dulu.

    “Kabinet akan melihat melalui maklum balas setiap kementerian bersesuaian atau tidak untuk melaksanakan atau pun tidak,” katanya bagi mengulas sama ada pelaksanaan subsidi bersasar RON95 yang dijadualkan dilaksanakan pertengahan tahun ini berkemungkinan ditangguhkan.

    Pelaksanaan subsidi bersasar RON95 turut dibuat berdasarkan keadaan ekonomi semasa – Hanifah

    Pada akhir Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata unjuran rakyat terutama pengguna kenderaan yang tidak terkesan dengan penyasaran subsidi RON95 kini meningkat kepada 90% berbanding 85% sebelum ini. Justeru, kata beliau, rakyat tidak perlu runsing dengan keputusan kerajaan untuk melaksana penyasaran subsidi ke atas bahan bakar itu.

    Anwar turut berkata, kerajaan sudah mengenalpasti golongan yang tidak akan menikmati penyasaran subsidi RON95, sama seperti yang dilaksana ke atas penyasaran elektrik sebelum ini.

    Terdahulu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata, kerajaan akan mengumumkan mekanisme lengkap bagi pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 kepada rakyat selepas separuh pertama tahun ini. Di mana mekanisme tersebut menggunakan sistem pengenalan diri MyKad dan dua kadar harga.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025