Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Lexus LM diberi kemas kini di Jepun – kurang bunyi dan gegaran, buka pintu belakang lebih mudah

    Lexus LM diberi kemas kini di Jepun – kurang bunyi dan gegaran, buka pintu belakang lebih mudah

    Di Jepun, Lexus mengumumkan beberapa pembaharuan untuk model MPV mewah mereka, LM dan ia akan mula ditawarkan di pasaran Jepun bermula 1 Ogos 2025. Model ini hanya ditawarkan dalam versi LM 500h dan hadir dalam dua konfigurasi tempat duduk — empat tempat duduk (varian Executive) dengan harga 20.1 juta yen (sekitar RM578,000) dan enam tempat duduk (Version L) pada harga 15 juta yen (sekitar RM432,000). Harga ini termasuk cukai penggunaan tempatan.

    Antara peningkatan utama yang diumumkan termasuk penggunaan bahan penebat bunyi dan penyerap getaran yang ditambah dan diperluaskan di bahagian rumah roda belakang serta pintu belakang. Tujuannya adalah untuk mengurangkan bunyi jalan dari tayar belakang dan getaran dari pintu belakang.

    Untuk varian Executive, Lexus kini memindahkan butang kawalan pintu gelungsur automatik dari bahagian atas kepada konsol tengah di bahagian tempat duduk belakang. Ini membolehkan penumpang mengakses suis pintu dengan lebih mudah tanpa perlu mengangkat tangan ke atas. Ruang asal butang kawalan itu kini diganti dengan lampu bawah (downlight) untuk pencahayaan tambahan dan turut disediakan sebuah dulang kecil untuk menyimpan telefon pintar dan barangan peribadi.

    Lexus LM diberi kemas kini di Jepun – kurang bunyi dan gegaran, buka pintu belakang lebih mudah

    Pencahayaan dalam kabin turut ditambah baik. Kedua-dua varian Executive dan Version L kini hadir dengan tahap kecerahan maksimum yang lebih tinggi, membolehkan penumpang melaras pencahayaan mengikut keselesaan masing-masing.

    Dari segi mekanikal, tiada perubahan dilakukan. LM 500h masih menggunakan enjin petrol 2.4 liter turbo empat silinder sebaris (T24A-FTS) yang menghasilkan 275 PS dan 460 Nm tork. Enjin ini digabungkan dengan motor elektrik hadapan (1ZM) berkuasa 87 PS dan 292 Nm dan digerakkan menerusi transmisi automatik Direct Shift enam kelajuan.

    Lexus LM diberi kemas kini di Jepun – kurang bunyi dan gegaran, buka pintu belakang lebih mudah

    Satu lagi motor elektrik diletakkan di bahagian belakang (1YM) dengan kuasa 103 PS dan 169 Nm, menjadikan sistem pacuan semua roda (AWD) dengan jumlah kuasa keseluruhan 371 PS dan 550 Nm. Sistem hibrid ini disokong oleh bateri nickel metal hydride berkapasiti 28.8 volt dan 5 Ah.

    Generasi kedua bagi Lexus LM ini pertama kali diperkenalkan pada April 2023 dan dilancarkan di Malaysia pada Mei 2024. Pasaran tempatan menerima dua varian — LM 500h empat tempat duduk pada harga RM1.468 juta dan LM 350h tujuh tempat duduk pada harga RM1.228 juta, kedua-duanya tanpa insurans.

     
     
  • Kadar tol melibatkan 10 lebuhraya dikekalkan untuk tahun ini – kerajaan tanggung kos lebih RM500j

    Kadar tol melibatkan 10 lebuhraya dikekalkan untuk tahun ini – kerajaan tanggung kos lebih RM500j

    Dalam pengumuman ‘Penghargaan Buat Rakyat Malaysia’ sebentar tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) mengesahkan, kerajaan bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol yang sepatutnya dilaksanakan untuk 10 lebuhraya pada tahun ini.

    “Tahun ini, 10 lebuhraya dijadual untuk kenaikan kadar tol sepertimana perjanjian. Bagaimana pun, kerajaan bersetuju menangguh kenaikan tersebut supaya rakyat terus menikmati kadar tol yang sama. Susulan itu, kerajaan akan menanggung kos lebih RM500 juta.

    “Ini antaranya melibatkan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX),” katanya.

    Kerajaan sebelum ini berjaya mengelakkan kenaikan kadar tol pada tahun 2022 apabila ia mengambil alih empat lebuhraya di bawah kendalian Kumpulan Gamuda bagi menjimatkan subsidi sebanyak RM4.3 bilion dan mengelakkan kenaikan kadar tol. Kerajaan kemudiannya menetapkan kadar tol semasa bagi lebuhraya tersebut untuk tempoh sepuluh tahun akan datang. Pada tahun 2023, dilaporkan bahawa Malaysia sedang mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh konsesi lebuh raya kepada 30 tahun bagi mengekalkan kadar tol sedia ada, walaupun tiada pengumuman rasmi telah dibuat setakat ini.

     
     
  • Mitsubishi Motor Malaysia bawa acara “Live the Drive” ke Kota Bharu; rasai kebolehan Triton, menang hadiah!

    Mitsubishi Motor Malaysia bawa acara “Live the Drive” ke Kota Bharu; rasai kebolehan Triton, menang hadiah!

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) bakal membawakan acara “Live the Drive” ke Kota Bharu Kelantan bagi memberikan peluang kepada orang ramai di kawasan sekitar merasai sendiri kebolehan trak pikap Mitsubishi Triton. Acara tersebut akan berlangsung dari 25 hingga 26 Julai bermula 10 pagi hingga 10 petang di tempat parkir luar AEON Kota Bharu.

    Dalam acara berkenaan, pengunjung akan diberikan peluang untuk memandu Triton di satu laluan yang direka khas dengan lima situasi mencabar, bagi menunjukkan kebolehan trak pikap yang dibina menerusi casis ladder frame baharu yang lebih tegar serta dilengkapi sistem Super Select 4WD-II dan tujuh mod pemanduan pintar.

    Mitsubishi Motor Malaysia bawa acara “Live the Drive” ke Kota Bharu; rasai kebolehan Triton, menang hadiah!

    Lima cabaran yang disediakan dalam laluan tersebut adalah:

    Uneven Rocky Terrain

    Cabaran ini mensimulasikan permukaan laluan seperti di tapak pembinaan atau ladang pertanian, dan akan memberikan peluang kepada pemandu merasi cengkaman yang diberikan menerusi sistem Super Select 4WD-II dan tujuh mod pemanduan. Ia juga akan menunjukkan tahap keselesaan yang diberikan pada tempat duduk Triton ini walaupun sedang melalui permukaan jalan mencabar.

    Elephant Steps

    Laluan Elephant Steps ini menampilkan tiga ramp tinggi yang disusun supaya kenderaan tidak dapat dipandu dengan kesemua empat tayar berada pada permukaan jalan. Laluan ini akan menunjukkan dengan gear rendah 4LLC pada sistem Super Select 4WD-II dapat menggerakkan trak pikap ini walaupun ada roda yang langsung tidak ada cengkaman jalan.

    Side Ramp

    Untuk halangan ini, ia menampilkan sebuah ramp dengan sudut condong 45-darjah. Laluan ini akan menunjukkan dengan casis tegar Triton, ia masih boleh dipandu dengan stabil walaupun dalam kecondongan sedemikian.

    Water Wading Challenge

    Laluan ini mendemonstrasikan senario seperti berlakunya banjir, di mana Triton boleh meredah air dengan kedalaman 700 mm.

    U-Turn Obstacle Course

    Halangan ini pula akan mendemonstrasikan mod 4WD sepenuh masa (4H) Triton di mana ia boleh membuat pusingan-U pada permukaan tar dengan lancar seperti sebuah SUV.

    Selain itu pengunjung juga boleh mempertaruhkan kebolehan kemahiran pemanduan masing-masing dengan menyertai Cabaran Water Bucket Test Drive. Dalam cabaran ini peserta perlu memandu meredah laluan yang disediakan sambil memastikan air dalam baldi yang disediakan sentiasa dalam keadaan stabil.

    Pemandu yang paling lancar akan akan menerima hadiah menarik termasuk Naturehike Camping Wagon berharga RM500, Kotak boleh lipat Naturehike 50L berharga RM400 dan juga kipas mudah alih berharga RM200.

    Buat masa sekarang varian tertinggi trak pikap ini iaitu Mitsubishi Triton Athlete dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM159,980. Sebagai meraikan ulangtahun dua dekad MMM menerusi Mitsubishi Motors Malaysia’s 20 th Anniversary Rewards, pelanggan akan menerima penjimatan sehingga RM18,000 untuk pembelian Triton dalam masa terhad.

    Bagi pengunjung Live the Drive Kota Bharu yang menyertai pandu uji, mereka akan menerima satu Foldable Bucket Bag secara percuma. Manakala pelanggan yang membuat tempahan mana-mana model Mitsubishi pada acara berkenaan akan membawa pulang Naturehike Cooler Box secara percuma.

     
     
  • Harga petrol RON 95 diturunkan ke RM1.99 seliter apabila penyasaran subsidi dilaksanakan kelak – PMX

    Harga petrol RON 95 diturunkan ke RM1.99 seliter apabila penyasaran subsidi dilaksanakan kelak – PMX

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) mengumumkan harga runcit bagi petrol RON 95 akan diturunkan ke RM1.99 seliter apabila penyasaran subsidi dilaksanakan kelak. Perincian penuh mengenai penyasaran subsidi bahan api itu bakal diumumkan menjelang akhir September 2025, katanya menerusi ucapan ‘Penghargaan Buat Rakyat Malaysia’ sebentar tadi.

    Buat masa ini, harga runcit petrol RON95 yang telah mencapai harga siling ditetapkan pada kadar RM2.05 seliter. Penurunan harga yang baru diumumkan oleh PMX ini bermakna harganya dikurangkan sebanyak enam sen seliter,

    Menurut PMX, kerajaan komited menyasarkan perbelanjaan subsidi negara dengan rakyat biasa kekal menikmati subsidi sementara menangani ketirisan kepada mereka yang tidak layak.

    “Apa yang pasti, sepertimana pendekatan penyasaran subsidi elektrik, kerajaan beri jaminan rakyat biasa tidak akan terjejas. Bahkan, sukacita saya umumkan harga petrol RON95 akan turun untuk rakyat.

    Harga petrol RON 95 diturunkan ke RM1.99 seliter apabila penyasaran subsidi dilaksanakan kelak – PMX

    “Apabila penyasaran subsidi RON95 dilaksanakan nanti, rakyat Malaysia akan menikmati harga RON95 lebih rendah iaitu RM1.99 seliter. Ini tentunya beri manfaat sekitar 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig,” katanya.

    Tambah beliau, pendekatan bersasar ini sejajar dengan ikhtiar kerajaan untuk mengoptimum sumber negara bagi manfaat rakyat dan mengurangkan pembaziran subsidi.

    “Bagi tahun 2023 dan 2024, subsidi RON95 sahaja dianggarkan menelan belanja hampir RM20 bilion setahun—sungguhpun tahun ini harga minyak dunia mengalami penyusutan, harga petrol RON95 tanpa subsidi masih sekitar RM2.50 seliter jauh lebih tinggi daripada harga bersubsidi untuk rakyat,” katanya lagi.

    Walau bagaimana pun, menurut beliau, pada masa yang sama, warganegara asing perlu membayar harga petrol RON95 mengikut harga pasaran tanpa subsidi iaitu RM2.50 seliter.

     
     
  • JPJ eBid: Siri VPN dan SMT bakal dibuka bidaan

    Kenderaan yang anda tempah bakal diperoleh tidak lama lagi, pasti anda teruja tercari-cari plat nombor pendaftaran yang sesuai kan. Ini ada dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor terkini dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, VPN, bidaannya dibuka mulai 25 Julai 2025. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir pada 29 Julai, jam 10 malam. Keputusannya akan dikeluarkan keesokan harinya, 30 Julai 2025. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Sabah pula, SMT, bidaannya pula bakal dibuka mulai 27 Julai dan akan berakhir jam 10 malam pada 31 Julai. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 1 Ogos 2025.

    Jadi, jika anda mengingini mana-mana siri yang ditawarkan ini, anda boleh membidanya menerusi JPJ eBid tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa.

     
     
  • Honda ADV 350 pasaran Malaysia terima skrin TFT, RoadSync, penyerap larasan pra beban, RM34k

    Honda ADV 350 pasaran Malaysia terima skrin TFT, RoadSync, penyerap larasan pra beban, RM34k

    Dilancarkan kali pertama untuk pasaran Malaysia tahun lepas, Honda ADV 350 kini diberi beberapa peningkatan, tetapi masih mengekalkan harga sama, iaitu RM33,999 tidak termasuk insurans. Pilihan warna untuk model baru ini adalah Moscato Red Metallic, Matte Pearl Agile Blue dan Matte Gun Powder Black Metallic.

    Naik taraf utama bagi model tahun 2025 ini adalah di bahagian meter, di mana ia sekarang mendapat unit TFT lima inci yang boleh disambung kepada telefon melalui bluetooth dan aplikasi RoadSync, seterusnya membenarkan pengguna mengawal fungsi panggilan, muzik dan navigasi melalui butang di bahagian kiri pemegang.

    Menambahkan ciri praktikalitinya, ruang simpanan 48 liter di bawah tempat duduk kini dipasang dengan lampu supaya memudahkan pengguna melihat barangan yang disimpan. Dalam poket barangan di bawah pemegang pula terdapat soket pengecas USB-C.

    Bukan itu sahaja, suspensi belakang yang terdiri daripada dua penyerap hentak Showa dengan tabung kini dilengkapi dengan spring yang boleh dilaras (pra beban) manakala lampu penunjuk arah kini mempunyai fungsi padam sendiri.

    Bahagian lain tidak berubah termasuk enjin, yang menggunakan unit satu silinder SOHC suntikan bahan api PGM-Fi 330 cc, bersama transmisi automatik CVT dan sistem pacuan tali sawat, menghasilkan kuasa 28.8 hp pada 7,500 rpm dan 31.8 Nm tork pada 5,250 rpm.

    Kelengkapan lain ADV 350 adalah termasuk rim 15 inci di hadapan dan 14 inci di belakang, fork USD 37 mm di hadapan, brek cakera hadapan dan belakang dengan ABS dual-channel, penghadang angin hadapan boleh laras, sistem kunci pintar, tangki bahan api 11.7 liter dan sistem keselamatan Honda Selectable Torque Control (HSTC).

     
     
  • UMW Toyota Motor jadi rakan mobiliti JDT — jenama Toyota akan tampil di kelengkapan musim 2025/26

    UMW Toyota Motor jadi rakan mobiliti JDT — jenama Toyota akan tampil di kelengkapan musim 2025/26

    Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan bahawa UMW Toyota Motor (UMWT) kini merupakan rakan mobiliti rasmi pasukan itu hasil daripada kerjasama strategik yang dijalin.

    Dalam satu kenyataan, JDT memaklumkan kelab itu akan mempamerkan jenama Toyota bagi kelengkapan musim 2025/26 pasukan itu, yang dijangka akan diumumkan menjelang musim Liga Super Malaysia yang akan bermula pada 8 Ogos 2025. “Bersama-sama, kami melangkah ke musim baharu dengan penuh kekuatan dan azam. Luaskan Kuasamu Johor. Move Your World.” jelas kenyataan itu.

    JDT sebelum ini pernah mengumumkan kerjasama dengan Aston Martin Racing Asia pada 2021, yang mana kelab itu menyatakan Aston Martin di UK bersetuju untuk mengeluarkan kereta bertemakan ‘JDT Edition’ yang akan dijual, dan keuntungannya akan dikongsi oleh kedua-dua pihak.

     
     
  • Jalan Raya Timur-Barat selamat digunakan; pelan jangka pendek dan panjang disediakan — Nanta

    Jalan Raya Timur-Barat selamat digunakan; pelan jangka pendek dan panjang disediakan — Nanta

    Jalan Raya Timur-Barat, atau JRTB (Gerik-Jeli) berada dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan. Itu dijelaskan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi seperti dilaporkan Bernama.

    “Secara fizikalnya, JRTB berada dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan,” jelas Alexander dalam satu kenyataan, dan menjelaskan bahawa laluan itu dikategorikan sebagai permukaan berbukit, dan jajarannya direka untuk mengikut bentuk permukaan Banjaran Titiwangsa.

    Kenyataan oleh Menteri Kerja Raya itu adalah susulan kemalangan bas di Gerik yang meragut nyawa 15 nyawa siswa sebelum ini, dan menarik tumpuan umum terhadap laluan itu yang dikritik kerana banyak kemalangan berlaku.

    Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menyatakan lebih 80% kemalangan jalan raya adalah disebabkan oleh sikap manusia — laporan awal kejadian bas di Gerik mendapati ia dipandu laju, yang menjadi antara faktor penyumbang — sementara intrastruktur dan keadaan jalan hanya menyumbang kepada 13% kemalangan. Alexander berkata, kementeriannya tidak pernah mengabaikan aspek penyelenggaraan jalan dan kemudahan lain yang berada di bawah bidang kuasanya.

    Jalan Raya Timur-Barat selamat digunakan; pelan jangka pendek dan panjang disediakan — Nanta

    JRTB merupakan sebahagian daripada Laluan 4 Persekutuan (FT4), yang menghubungan Gerik, Perak dan Jeli, Kelantan. Berdasarkan maklumbalas trafik tahun lalu, laluan dengan dua lorong itu kekal berada dalam keadaan servis yang baik, dan keadaan semasanya mampu menampung kadar trafik semasa, ujar beliau.

    Dibuka kepada umum pada 1982, JRTB mempunyai jumlah purata trafik harian sebanyak 1,409 kenderaan, termasuk 751 kenderaan berat yang menyumbang sebanyak 31.2% daripada jumlah tersebut.

    Kementerian Kerja Raya telah membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang bagi memastikan penyelenggaraan JRTB boleh dilakukan secara berperingkat, jelas Alexander. Peruntukan khas juga telah disediakan di bawah belanjawan negara untuk kerja-kerja naik taraf JRTB, dengan keutamaan diberikan antaranya terhadap lampu jalan, permukaan jalan serta peningkatan sistem keselamatan terutama di kawasan berisiko tinggi.

    Jalan Raya Timur-Barat selamat digunakan; pelan jangka pendek dan panjang disediakan — Nanta

    Untuk perancangan jangka pendek, RM55 juta telah diperuntukkan untuk membaiki JRTB, dan pelaksanaannya sudah bermula sejak April lalu, dan dijangka siap sepenuhnya awal November nanti.

    Daripada jumlah tersebut, RM35 juta telah diluluskan untuk memperbaiki permukaan jalan di lokasi kritikal, sementara RM14.5 juta diperuntukan untuk kerja-kerja lain seperti mengganti pagar penghadang, pemasangan papan tanda amaran di selekoh berbahaya, pembinaan parit dan mengecat semula garis dan penghadang jambatan, jelas beliau.

    Sejumlah RM3.59 juta pula diperuntukan untuk naik taraf lampu jalan dengan pemasangan lampu kuasa solar di kawasan gelap dan berisiko tinggi. RM4 juta lagi diperuntukkan untuk penilaian permukaan jalan yang akan dijalankan di sepanjang seksyen FT4 di Perak.

     
     
  • Meta Bright ambil alih projek stesen pengecas EV daripada ChargeSini, fasa seterusnya akan diteruskan

    Meta Bright ambil alih projek stesen pengecas EV daripada ChargeSini, fasa seterusnya akan diteruskan

    Meta Bright Group (Meta Bright) mengumumkan bahawa anak syarikat yang dimilikinya sebanyak 51%, iaitu Meta Bright ChargeSini (MBC), telah memeterai perjanjian novasi dengan ChargeHere EV Solution (ChargeHere) bagi mengambil alih hak, operasi dan aliran pendapatan daripada empat projek utama stesen pengecas kenderaan elektrik (EV).

    Langkah ini mempercepatkan kemasukan Meta Bright ke dalam sektor pengecasan EV dengan memanfaatkan asas yang telah dibina oleh rakan usaha samanya, ChargeHere. Hasrat untuk bekerjasama antara kedua-dua pihak telah diumumkan pada Mei lalu, sebelum perjanjian usaha sama dimuktamadkan pada 11 Julai.

    ChargeHere, yang mengendalikan infrastruktur dan penyelesaian pengecasan EV di bawah jenama ‘ChargeSini’ kini memiliki sebanyak 935 tempat mengecas di seluruh Malaysia dan didakwa sebagai pengendali titik pengecasan terkemuka di negara ini.

    Meta Bright ambil alih projek stesen pengecas EV daripada ChargeSini, fasa seterusnya akan diteruskan

    Dalam kenyataan rasmi, Meta Bright menyatakan bahawa pihaknya akan meneruskan rundingan untuk memperoleh lokasi strategik bagi pembangunan stesen pengecas EV fasa seterusnya. Menurut Derek Phang, pengarah eksekutif perancangan korporat dan strategik Meta Bright Group, perjanjian novasi ini merupakan langkah taktikal penting yang mempercepatkan kemasukan syarikat ke dalam pasaran EV. Melalui pengambilalihan ini, mereka tidak perlu membangunkan infrastruktur dari awal kerana telah berjaya mendapatkan lokasi pengecas EV yang berprofil tinggi dan strategik.

    Beliau turut menambah bahawa langkah ini mengukuhkan komitmen Meta Bright dalam mengembangkan perniagaan tenaga boleh diperbaharui serta meletakkan syarikat sebagai pemain aktif dan dipercayai dalam peralihan mobiliti hijau negara. Meta Bright bukan sekadar memasuki pasaran, malah sedang mempercepatkan penyertaannya dengan menambah sumber pendapatan berulang serta memperkukuh kedudukan untuk pertumbuhan masa depan. Perjanjian novasi ini juga dilihat sebagai lanjutan strategik kepada kerjasama usaha sama yang dimeterai sebelum ini dan berpotensi memperkuatkan lagi kedudukan Meta Bright dalam pasaran pengendali pengecas EV (CPO).

     
     
  • Geely Galaxy E5 2026 mula dijual di China 24 Julai – kembar eMas 7 dengan jarak gerak CLTC 610 km

    Geely Galaxy E5 2026 mula dijual di China 24 Julai – kembar eMas 7 dengan jarak gerak CLTC 610 km

    Geely Galaxy E5 bakal menerima kemas kini di pasaran China, dengan jualan awal model SUV elektrik yang diperbaharui itu dijadualkan bermula pada 24 Julai ini – lapor CarNewsChina. Model ini pertama kali dilancarkan di China pada Ogos 2024 dan sejak itu ia dinamakan semula sebagai Geely EX5 untuk pasaran global. Di Malaysia, ia dikenali sebagai Proton eMas 7.

    Bagi model tahun 2026, Galaxy E5 akan ditawarkan dalam dua warna luaran baru iaitu Dawn Blue dan Evening Forest Green. Dari aspek reka bentuk, model ini tidak mengalami sebarang perubahan ketara dan mengekalkan dimensi yang sama seperti versi sebelum ini.

    Perubahan utama terletak pada penggunaan bateri baru jenis lithium iron phosphate (LFP) yang dinamakan Aegis. Bateri ini mempunyai kapasiti tenaga yang lebih tinggi, iaitu 68.39 kWh dan terus membekalkan kuasa kepada motor elektrik pacuan hadapan yang menghasilkan 218 PS (bersamaan 215 hp atau 160 kW) dan tork 320 Nm. Dengan kapasiti bateri yang lebih besar, jarak pemanduan turut meningkat kepada 610 km mengikut piawaian CLTC.

    Geely Galaxy E5 2026 mula dijual di China 24 Julai – kembar eMas 7 dengan jarak gerak CLTC 610 km

    Di pasaran China ketika ini, Galaxy E5 ditawarkan dalam dua pilihan bateri LFP iaitu 49.52 kWh untuk jarak 440 km dan 60.22 kWh untuk 530 km. Bateri baru ini menawarkan peningkatan kapasiti sekitar 13.6% berbanding bateri 60.22 kWh dan memberikan tambahan jarak sekitar 15.1%.

    Di China, harga semasa untuk Galaxy E5 adalah antara 107,800 hingga 179,800 yuan, iaitu sekitar RM64,000 hingga RM106,000. Buat masa ini, harga rasmi bagi model versi kemas kini masih belum diumumkan, namun dijangka akan diketahui dalam beberapa hari lagi.

     
     
  • Omoda C7 dijumpai di Lebuh Raya Utara Selatan – enjin petrol 1.6L turbo, pelancaran semakin hampir?

    Omoda C7 dijumpai di Lebuh Raya Utara Selatan – enjin petrol 1.6L turbo, pelancaran semakin hampir?

    Sebuah unit ujian Omoda C7 telah dilihat sedang bergerak di Lebuhraya Utara-Selatan, seperti yang dikongsi oleh Iman Hakeem dalam kumpulan Facebook paultan.org Automotive/Car Discussion Group. Model ini pertama kali dipertonton pada Mei lalu dan dijangka menjadi model pertama yang dilancarkan menggunakan jenama Omoda sendiri.

    Omoda C7 yang ditemui ini merupakan versi enjin petrol, dapat dikenal pasti melalui penutup tangki minyak tunggal di bahagian tepi. Ia dijana oleh enjin empat silinder 1.6 liter turbo yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 197 PS dan tork 290 Nm. Enjin ini digandingkan bersama transmisi automatik klac berkembar basah tujuh kelajuan serta pilihan pacuan roda hadapan (FWD) atau semua roda (AWD).

    Selain varian petrol, Omoda C7 turut akan ditawarkan dalam versi hibrid menggunakan sistem Super Hybrid seperti yang digunakan pada model J7 PHEV. Versi ini menampilkan enjin 1.5 liter turbo khas untuk hibrid dengan output 156 PS dan 220 Nm, digabungkan dengan motor elektrik berkuasa 204 PS dan tork 310 Nm. Transmisi juga adalah jenis khas untuk hibrid dengan satu kelajuan (DHT). Secara keseluruhan, gabungan sistem ini mampu menghasilkan 360 PS dan 530 Nm — peningkatan sebanyak 13 PS dan 5 Nm berbanding J7 PHEV.

    Omoda C7 dijumpai di Lebuh Raya Utara Selatan – enjin petrol 1.6L turbo, pelancaran semakin hampir?

    Untuk kuasa elektrik, sistem hibrid ini dilengkapi bateri Blade LFP berkapasiti 18.3 kWh yang dibekalkan oleh BYD. Ia mampu memberi jarak pemanduan sehingga 95 km menggunakan kuasa bateri sepenuhnya, manakala jarak keseluruhan mencecah 1,250 km apabila tangki bahan api penuh digunakan bersama sistem hibrid.

    Bahagian dalaman Omoda C7 hadir dengan pelbagai ciri moden, antaranya skrin infotainmen bersaiz 15.6 inci yang boleh digerakkan dari tengah papan pemuka ke bahagian penumpang. Sistem audio pula menggunakan tetapan “12+2” pembesar suara daripada Sony lengkap dengan sistem pembatalan bunyi aktif.

    Rekaan papan pemuka tampil dengan pendekatan minimalis seperti kebiasaan pada model-model terkini, manakala sterengnya berbentuk bujur. Tempat duduk hadapan direka menyerupai kerusi permainan video, yang asalnya diinspirasikan daripada tempat duduk kereta lumba dan menggunakan balutan kulit nubuck.

    Pada masa ini, pendaftaran minat untuk Omoda C7 telah dibuka di laman web rasmi Omoda Jaecoo, menandakan bahawa pelancaran rasminya untuk pasaran Malaysia dijangka berlaku tidak lama lagi.

    GALERI: Omoda C7 yang dipertonton di Malaysia

     
     
  • Jaecoo Malaysia rai ulangtahun pertama – lebih 17,000 unit terjual, kini ada 50 wakil pengedar seluruh negara

    Jaecoo Malaysia rai ulangtahun pertama – lebih 17,000 unit terjual, kini ada 50 wakil pengedar seluruh negara

    Pada hari model J8 dilancarkan iaitu Jumaat lalu, adalah genap setahun Jaecoo Malaysia memperkenalkan model pertamanya di sini iaitu J7. Sejak dari itu, jenama ini telah menjual lebih 17,000 unit kenderaannya di Malaysia, melebihi jumlah yang terjual oleh Mitsubishi pada tahun lalu.

    Menakjubkan apabila sebahagian besar daripada jumlah tersebut adalah model J7, yang serta-merta muncul sebagai pesaing terhebat buat Honda HR-V dan Toyota Corolla Cross. Kemudian model yang lebih besar iaitu Omoda C9 pula mengikut rapat jejak crossover J7, yang pada awalnya menggunakan tambahan nama “by Jaecoo” di Malaysia sehinggalah syarikat berkenaan secara rasmi mengumumkan nama Omoda | Jaecoo Malaysia di dalam acara Malaysia Autoshow pada bulan Mei lalu.

    Jaecoo Malaysia rai ulangtahun pertama – lebih 17,000 unit terjual, kini ada 50 wakil pengedar seluruh negara

    Pada akhir Februari lalu pula, ia melancarkan model plug-in hybrid pertamanya iaitu J7 PHEV. Dengan enjin 1.6 liter empat-silinder turbo, kuasa keseluruhan yang terhasil mencecah 347 PS dan mampu memberikan jarak jerak elektrik hingga 88 km mengikut kitaran WLTP. Satu tangki petrolnya pula didakwa mampu memberikan jarak hingga 1,200 km.

    Satu lagi perkembangannya di Malaysia ialah Jaecoo juga menerima Super Hybrid System (SHS) menerusi jenama induknya, Chery, yang dipertontonkan dalam acara Chery Super Hybrid (CHS) semalam.

    Jaecoo Malaysia rai ulangtahun pertama – lebih 17,000 unit terjual, kini ada 50 wakil pengedar seluruh negara

    Selain itu, jenama ini juga kini telah memiliki 50 wakil pengedaran di seluruh Malaysia dan ia adalah berasingan dengan rangkaian pengedaran Chery walau pun berada di bawah induk yang sama.

    Model terkini yang dilancarkan oleh Omoda | Jaecoo Malaysia iaitu J8 ditawarkan dalam dua varian iaitu varian 2WD lima-tempat duduk dijual dengan harga RM178,800, dan diikuti dengan varian tertinggi AWD enam-tempat duduk dengan harga RM198,800. Perincian penuh boleh dibaca DI SINI.

     
     
  • Lexus RX 500h F Sport Special Edition di Malaysia – RM512,888; hanya 50 unit; sentuhan rekaan eksklusif

    Lexus RX 500h F Sport Special Edition di Malaysia – RM512,888; hanya 50 unit; sentuhan rekaan eksklusif

    Dalam diam-diam Lexus Malaysia memperkenalkan RX 500h F Sport Special Edition baharu, di mana ia ditawarkan dengan harga atas jalan RM512,888 tanpa insurans. Angka ini adalah RM4,000 lebih mahal berbanding RX 500h F Sport yang diperkenalkan pada Ogos 2023 dengan harga RM499,888, tetapi kemudian harganya telah disemak semula dan mengalami peningkatan sebanyak RM10,000 menjadi RM508,888. Namun varian asas bagi RX 350 Luxury masih kekal berharga RM468,888.

    Menurut laman media sosial syarikat terbabit, RX 500h F Sport Special Edition ini hanya ditawarkan sebanyak 50 unit sahaja dan ia menampilkan beberapa kemasan yang menonjol. Ia juga diberikan warna luaran Titanium Carbide Gray serta Black Sport Package eksklusif. Pakej ini merangkumi pelapik bampar hadapan dan belakang dalam kemasan piano black, yang turut digunakan pada panel sisi bawah kenderaan. Di bahagian lain, lampu puddle kini dilengkapi dengan logo F Sport.

    Lexus Malaysia turut mempromosikan sistem suspensi yang telah dinaik taraf, walaupun tidak memberikan butiran lanjut mengenainya. Kami menjangkakan ia melibatkan penalaan semula pada Adaptive Variable Suspension (AVS), yang sememangnya sudah tersedia pada RX 500h F Sport. Roda 21-inci matte black hitam masih mengekalkan saiz yang sama seperti varian sebelum ini dan masih dipadankan dengan tayar profil 235/50, tetapi kini dengan rekaan lima-jejari berkembar yang diperbaharui.

    Lexus RX 500h F Sport Special Edition di Malaysia – RM512,888; hanya 50 unit; sentuhan rekaan eksklusif

    Selain daripada perubahan yang disebut di atas, ciri lain untuk model edisi istimewa ini masih sama seperti
    RX 500h F Sport. Penjana kuasanya masih menggunakan unit T24A-FTS 2.4 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris yang mampu menghamburkan output hingga 275 PS (271 hp) dan tork 460 Nm. Tujahan hibridnya pula diperoleh dari motor elektrik hadapan dengan kuasa 87 PS (86 hp) dan 292 Nm yang diposisikan antara enjin dan transmisi automatik enam-kelajuan.

    Sementara itu, sebuah lagi motor elektrik eAxle belakang memberikan sebanyak 103 PS (102 hp) dan tork 169 Nm yang menjanakan sistem pacuan semua-roda Direct4. Jumlah keselurahan kuasa yang terhasil ialah 371 PS (366 hp) dan 550 Nm, membolehkan ia dipecut dari 0-100 km/j dalam 6.2 saat.

    Ciri kelengkapan kabin termasuk kemasan F Sport Dark Spin Aluminium, suede upholstery dengan paten timbul Kageri L, roda stereng F Sport tiga-jejari, kluster instrumen digital 12.3-inci, kawalan suhu tiga-zon, cermin pandangan belakang digital, skrin sesentuh infotainmen 14-inci, sokongan Android Autodan Apple CarPlay, sistem bunyi Mark Levinson dengan 21-pembesar suara serta tempat duduk hadapan larasan kuasa bersama fungsi pengudaraan.

    Bagi ciri keselamatan aktif, moodel ini menerima kelengkapan penuh Lexus Safety System+ (LSS+) yang merangkumi Pre-Collision System, Dynamic Radar Cruise Control dengan Stop & Go Function, Lane Departure Alert (LDA), Lane Tracing Assist (LTA), Adaptive High-beam System (AHS) dengan BladeScanTM dan Road Sign Assist (RSA). Juga diberikan Blind Spot Monitor dengan Safe Exit Assist, Rear Traffic Cross Alert (RTCA) dan pemantauan pemandangan panoramik dengan imej 3D.

    GALERI: Lexus RX 500h F Sport

     
     
  • JPJ cadang penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar dalam bas milik IPT, sekolah berasrama penuh

    JPJ cadang penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar dalam bas milik IPT, sekolah berasrama penuh

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bercadang untuk memperluaskan penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar dalam bas milik institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah berasrama penuh (SBP), laporan Bernama.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, pihaknya. akan menggerakan pasukan teknikal dan penguatkuasaan JPJ negeri mulai Ogos ini untuk berkolaborasi dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan untuk melakukan pemeriksaan secara berperingkat.

    “Boleh dikatakan semua IPT dan sekolah berasrama penuh mempunyai bas sendiri tetapi kita ingin memastikan bas yang diselenggara sendiri juga mematuhi spesifikasi dan pemandu juga mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.

    Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata, penumpang bas digalakkan untuk membuat aduan (disertakan dengan bukti bergambar atau video serta butiran perjalanan bas) kepada JPJ melalui aplikasi MyJPJ atau e-mel sekiranya terdapat sebarang masalah dengan tali pinggang keledar di dalam kenderaan berkenaan, seperti jika ia tiada, rosak atau tidak berfungsi.

     
     
  • Lorong kanan D’sara-Bkt Lanjan di KM19.30-KM20.00 di NKVE ditutup, lencongan diaktifkan hingga 14 Okt

    Lorong kanan D’sara-Bkt Lanjan di KM19.30-KM20.00 di NKVE ditutup, lencongan diaktifkan hingga 14 Okt

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan lorong kanan laluan Damansara ke Bukit Lanjan di KM19.30 – KM20.00 (kedua-dua arah) di Lebuhraya NKVE ditutup hingga 14 Oktober 2025. Penutupan laluan di lokasi terbabit berlangsung 24 jam dan lencongan jalan diaktifkan bagi kelancaran trafik.

    Menurut PLUS, ia adalah bagi kelancaran kerja-kerja penyelenggaraan jalan yang dilaksanakan sejak 19 Julai lalu.

    Sehubungan itu, para pengguna lebuhraya dinasihatkan agar merancang perjalanan serta mematuhi semua papan tanda trafik dan arahan yang diberikan oleh petugas PLUS semasa melalui kawasan kerja.

    Untuk mendapatkan maklumat trafik terkini, pengguna digalakkan untuk merujuk aplikasi PLUS. Bagi sebarang bantuan kecemasan, sila hubungi talian PLUSLine di 1800-88-0000.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025