Sayap perlumbaan dan prestasi Hyundai N secara rasmi memperkenalkan jentera elektrik penuh (EV) kedua yang mendapat talaan penuhnya – ini dia Hyundai Ioniq 6 N yang membuat kemunculan sulung di acara Goodwood Festival of Speed (GFOS) 2025!
Seperti hatchback Ioniq 5 N yang turut membuat penampilan pertamanya di GFOS dua tahun lalu, sedan Ioniq 6 N ini juga menerima unit rangkaian kuasa yang sama iaitu satu motor elektrik berkuasa 226 PS (166 kW) memacu roda hadapan dan satu lagi motor berkuasa 383 PS (282 kW) memacu roda belakang, menjadikan kuasa keseluruhan pacuan semua roda 609 PS/740 Nm.
Ia turut dibekalkan dengan N Grin Boost (NGB) menerusi satu butang merah pada roda stereng, membolehkan kuasa maksima 650 PS/770 Nm dicapai dan dibekalkan dalam masa 10 saat dengan menekan butang berkenaan. Ini membolehkan Ioniq 6 N ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.2 saat (0.2 saat lebih pantas dari Ioniq 5 N) sebelum mencapai kelajuan maksima 257 km/j.
Walaupun kuasa yang dihasilkan dilihat sama, Ioniq 6 N ini sebenarnya menerima beberapa penambahbaikkan berbanding Ioniq 5 N bagi memberikan prestasi pemanduan di litar yang lebih baik. Motor elektrik pada sedan ini diberikan magnet yang dipertingkat serta struktur penyejukkan pada rotor bagi melambatkan nyahkadaran.
Bateri nikel mangan kobalt (NMC) 84 kWj yang dibekalkan masih lagi sama, tetapi perisian kawalan pengurusan bateri tersebut dipertingkat dengan penambahan fungsi N Battery bagi memastikan suhu operasi berada pada tahap optimum.
Fungsi ini beroperasi sekali dengan fungsi sedia ada seperti N Race dan N Battery Conditioning, bagi memastikan kuasa puncak dapat diberikan lebih tinggi, dalam masa lebih lama. Kawalan pada bateri ini membolehkan beberapa mod dihasilkan iaitu Endurance, Drag dan Sprint.
Fungsi lain yang dikongsi dari Ioniq 5 N termasuk N Drift Optimiser yang membantu mengagihkan tork pada roda menggunakan kawalan kestabilan supaya pemandu mudah melakukan aksi drift. Sistem ini turut diperkemas dengan tambahan fungsi yang membolehkan pemandu melaras bagaimana untuk memulakan drift serta tahap penghasilan gelinciran pada tayar mengikut kesesuaian kemahiran serta gaya pemanduan masing-masing. Ia juga menerima N Torque Distribution yang membolehkan agihan tork antara gandar hadapan dan belakang dilaras.
Fungsi ikonik Ioniq 5 N iaitu N e-Shift dan N Active Sound + yang menghasilkan bunyi enjin serta rasa tukaran gear palsu turut dibawa ke Ioniq 6 N. Namun ia menerima pelarasan semula bagi memberikan rasa nisbah gear yang lebih pendek untuk pecutan yang lebih pantas. Kedua-dua fungsi ini juga kini telah disepadukan dengan fungsi lain seperti launch control, N Drift Optimiser dan N Torque Distribution. Manakala fungsi shift light bukan hanya diberikan pada paparan instrumen, malah ia turut dipancarkan ke paparan head-up dan berkelip sekali dengan lampu suasana kabin.
Manakala untuk fungsi N Active Sound +, bunyi Supersonic seperti bunyi jet pejuang telah digantikan dengan bunyi Lightspeed, disifatkan sebagai bunyi “fiksyen sains futuristik”. Bunyi-bunyi palsu ini juga kini lebih baik dengan Acoustic Design Processor (ADP) yang lebih berkuasa, dibantu dengan pembesar suara luar yang lebih kuat membolehkan pejalan kaki mendengar “bunyi enjin” EV ini dengan lebih kuat.
Sistem N Track Manager yang membolehkan prestasi anda di litar dianalisa juga dikemaskini. Fungsi ini sekarang membolehkan antara mencipta litar sendiri dan kemudian mencatatkan masa lap secara automatik. Kemudian data tersebut boleh dilihat semula, malah turut ada fungsi ghost car untuk melihat tayangan semula catatan masa tersebut seperti dalam permainan video.
Rupa luaran Ioniq 6 N ini dengan Ioniq 6 biasa mungkin nampak hampir sama, namun ia menampilkan banyak perubahan disebaliknya. Hyundai N telah merombak semula sepenuhnya geometri suspensi sedan ini dengan mengalihkan kawasan-kawasan utama ke pusat graviti lebih rendah.
Sudut caster suspensi hadapan ditambah bagi memberikan pelbagai kesan termasuk tindak balas stereng dan juga kestabilan pada kelajuan tinggi. Casis kereta ini juga telah diperkuat menerusi penambahan cross bar pada bahagian bulkhead belakang, penutup lantai bawah lebih keras serta penambahan pendakap-pendakap pada cagak suspensi, lantai belakang dan panel suku.
Ia kemudiannya dilengkapkan dengan set bushing suspensi yang lebih keras bersama penyerap hentak adaptif yang mengesan strok dengan pelarasan serapan hentakan yang lebih luas.
Pada bahagian luaran, rekaan Ioniq 6 N ini banyak dipengaruhi oleh model konsep “makmal bergerak” RN22e, di mana model konsep tersebut juga sebenarnya diasaskan dari Ioniq 6. Ia masih lagi mengekalkan asas muka Ioniq 6 facelift dengan lampu nyalaan siang yang begitu nipis terletak di atas.
Lampu utama pula berada pada bampar, namun versi lebih agresif ini menampilkan liang ambilan udara yang lebih besar. Manakala di belakang versi N penuh ini menerima spoiler dengan sayap yang dipegang oleh ‘leher angsa’.
Sama seperi Ioniq 5 N, Ioniq 6 N ini juga menampilkan badan lebih lebar, khususnya pada bahagian fender untuk memuatkan set rim aloi forged 20-inci yang lebih besar dan lebar, dibalut dengan tayar Pirelli P Zero yang didakwa dibangunkan khas untuk model ini. Seperti biasa, model ini juga tampil dengan warna badan Performance Blue sebagai warna hero sebuah model N penuh.
Sistem brek yang dibekalkan bukan sahaja lebih besar, malah turut dibantu oleh sistem regenarative braking dengan daya sehingga 0.6 g. Sistem itu juga dipertingkat bagi membolehkan brek regen tersebut berfungsi sehingga 0.35 g walaupun ABS sedang diaktifkan, mengelakkan brek utama menjadi terlalu panas dan kehilangan fungsi ketika digunakan di litar.
Ia juga mempunyai fungsi N Pedal, di mana ia akan membantu berat dialih kehadapan sebaik pedal pendikit diangkat dengan menggunakan brek regen sehingga 0.3 g, memudahkan bahagian hadapan masuk ke selekoh yang lebih tajam.
Dalam kabin pula antara perincian N yang diberikan termasuk roda stereng tiga jejari dengan dua butang N yang boleh disusun atur fungsinya, tempat duduk bucket dengan logo N dan juga serlahan-serlahan warna Performance Blue termasuk pada tali pinggang keledar, serta cagak khas pada bumbung untuk meletakkan kamera aksi.
Tidak pasti sama ada Hyundai Ioniq 6 N ini akan tiba di Malaysia atau tidak, kerana Ioniq 5 N yang sebelum ini nampak bakal dilancarkan juga seperti sudah dibatalkan. Baru-baru ini Hyundai Motor Malaysia (HMY) iaitu syarikat prinsipal terus dari Hyundai Motor telah mengambil alih hak pengedaran jenama Korea Selatan itu di Malaysia dari Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM), dan antara perancangan yang diumumkan adalah untuk tidak mengutamakan pelancaran model-model EV baharu ke pasaran tempatan.