Berbasikal di lebuhraya tanpa kebenaran polis dan LLM, boleh didenda maksimum RM5k, penjara setahun

Berbasikal di lebuhraya tanpa kebenaran polis dan LLM, boleh didenda maksimum RM5k, penjara setahun

Sejak kebelakangan ini, aktiviti berbasikal kian menjadi sebutan, bukan kerana semakin ramai yang menggemarinya, tetapi beberapa pendedahan yang tular mengenai aksi individu berbasikal yang boleh dikatakan berbahaya di jalan utama, termasuk di lebuhraya. Antaranya berbasikal mengekori rapat lori dan menggunakan lorong kanan di laluan utama. Mungkin ada yang ingin menunjukkan ‘jaguh jalanan’ namun sedarkan anda, tindakan itu mampu mengundang bahaya dan kecelakaan.

Perkara ini turut mendapat perhatian Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang telah mengeluarkan larangan sebarang aktiviti berbasikal di lebuhraya tanpa kebenaran pihaknya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim, penunggang basikal yang melanggar undang-undang boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

“Tindakan akan diambil mengikut Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu yang memperuntukkan hukuman denda RM1,000 hingga RM5,000 atau penjara sehingga 12 bulan. Gagal mematuhi papan tanda lalu lintas yang melarang berbasikal di lebuhraya boleh menyebabkan individu itu dikenakan tindakan mengikut Seksyen 79(2) akta sama, manakala Seksyen 112(3) pula membolehkan basikal disita jika melakukan mana-mana kesalahan berbasikal,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

Selain itu, beliau berkata, penunggang yang didapati tidak memasang lampu depan dan belakang pada basikal boleh dikenakan tindakan mengikut Kaedah 35 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan.

Tambahnya, Kaedah 42 yang membawa hukuman sama boleh dikenakan jika basikal tiada brek dan loceng sebagai ciri keselamatan serta menunggang secara berkumpulan iaitu tidak berada dalam satu deretan.

“JSPT setakat hari ini hanya mengambil tindakan advokasi terhadap penunggang basikal yang berkayuh secara berkelompok di jalan raya. Polis tidak menghalang aktiviti berbasikal namun harus mematuhi aspek keselamatan ditetapkan,” katanya lagi.

Klik untuk besarkan imej

Tambah beliau, berdasarkan rekod sebanyak 150 kes kemalangan membabitkan penunggang basikal sejak Januari hingga September tahun ini. Daripada jumlah itu, sebanyak 71 kes kematian, manakala 24 cedera parah dan 55 lagi cedera ringan.

Justeru, beliau menasihati penunggang basikal supaya sentiasa patuh kepada peraturan dan undang-undang demi keselamatan mereka dan pengguna jalan raya lain. Selain itu, penunggang basikal juga dinasihati supaya memilih lokasi dan masa sesuai iaitu di luar waktu puncak dan mengelak tempat sesak dengan kenderaan yang boleh mengganggu kelancaran lalu lintas serta mengundang risiko kemalangan.

Sementara itu, pemandu kenderaan diingatkan bertimbang rasa dan berhati-hati kerana penunggang basikal amat terdedah kepada bahaya semasa berada di atas jalan raya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required