Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Triumph Thruxton 400 diperkenalkan di India – gaya cafe racer dengan kuasa yang bertambah, 398 cc

    Triumph Thruxton 400 diperkenalkan di India – gaya cafe racer dengan kuasa yang bertambah, 398 cc

    Triumph mengembangkan lagi penawaran motosikal kelas permulaan mereka dengan pengenalan Thruxton 400, yang kini sudah dilancarkan di pasaran India. Seperti yang boleh dilihat pada namanya, model ini membawa penggayaan cafe racer, tetapi kali ini dengan penggerak yang lebih kecil, seperti Speed 400 dan Scrambler 400.

    Secara asasnya, enjin siri TR satu silinder itu masih sama, dengan kapasiti 398 cc dan padanan transmisi enam kelajuan, tetapi sedikit pelarasan dibuat untuk meningkatkan kuasanya menjadi 42 PS (berbanding 40 PS pada Speed dan Scrambler 400) pada 9,000 rpm, sementara tork masih kekal 37.5 Nm pada 6,500 rpm.

    Ditambah dengan fairing separuh sebagai perumah lampu, Thruxton 400 ini mencatat berat 183 kg, menjadikannya empat kilogram lebih berat berbanding Speed 400 dan dua kilogram lebih ringan berbanding Scrambler 400. Tangki bahan api masih mempunyai bentuk sama dan berkapasiti 13 liter.

    Selain penambahan fairing, Thruxton 400 juga diberikan perkakasan yang bersesuaian dengan penampilannya termasuk cermin sisi di bahagian hujung pemegang serta penutup tempat duduk belakang yang dicat warna sama dengan panel badan lain. Kedudukan menunggang juga dijadikan lebih agresif dengan penggunaan pemegang jenis clip-on serta peletak kaki yang lebih ke belakang.

    Bahagian lain kebanyakannya adalah sama dengan Speed 400, termasuk suspensi, yang terdiri daripada fork USD 43 mm di hadapan, monoshock di belakang, brek cakera tunggal 300 mm dengan angkup Bybre empat piston di hadapan, cakera 230 mm dengan angkup satu piston di belakang serta rim aluminium 17 inci.

    Thruxton 400 menggunakan sistem pendikit ride-by-wire dan datang dengan sistem elektronik lain termasuk ABS dual-channel serta kawalan cengkaman yang boleh ditutup. Paparan meter menggunakan unit gabungan analog dan LCD.

     
     
  • Bolt Business dilancarkan di Malaysia – bantu syarikat uruskan pekerja ride-hailing, mudahkan tuntutan

    Bolt Business dilancarkan di Malaysia – bantu syarikat uruskan pekerja ride-hailing, mudahkan tuntutan

    Syarikat e-hailing Bolt yang berpangkalan di Estonia melancarkan perkhidmatan terbarunya, Bolt Business, di Malaysia. Inisiatif ini diperkenalkan bagi membantu syarikat menguruskan perjalanan pekerja dengan lebih cekap dan sistematik.

    Melalui platform ini, Bolt Business menawarkan ruang pengurusan perjalanan berpusat, lengkap dengan alat pelaporan automatik tanpa sebarang yuran pendaftaran. Ia direka bagi menghapuskan keperluan proses tuntutan manual bagi perjalanan yang dilakukan oleh pekerja untuk tujuan kerja harian, mesyuarat atau tugasan operasi di lapangan.

    Dengan satu akaun sahaja, syarikat boleh menetapkan had perjalanan, menetapkan pusat kos, memantau penggunaan serta mengakses laporan masa sebenar. Ciri-ciri ini membolehkan pasukan kewangan dan sumber manusia menyusun semula pengurusan perbelanjaan, mengurangkan penggunaan kertas dan membuat keputusan berdasarkan data berkenaan mobiliti syarikat.

    Bolt Business dilancarkan di Malaysia – bantu syarikat uruskan pekerja ride-hailing, mudahkan tuntutan

    Selain itu, integrasi dengan platform pihak ketiga seperti Zoho, SAP Concur, Rydoo dan Expensify turut disediakan, membolehkan Bolt Business disepadukan dengan mudah ke dalam sistem pengurusan perbelanjaan sedia ada.

    Menurut Pengurus Besar Bolt Malaysia, Afzan Lutfi, Bolt Business dibangunkan untuk memudahkan urusan perjalanan syarikat dan pekerja. Beliau berkata ramai pihak masih bergelut dengan tuntutan yang rumit dan proses manual untuk sesuatu yang sepatutnya semudah perjalanan menaiki kenderaan.

    Bolt Business dilancarkan di Malaysia – bantu syarikat uruskan pekerja ride-hailing, mudahkan tuntutan

    Dengan pelancaran ini, beliau berkata lagi, syarikat diberikan penyelesaian yang lebih bijak dan telus dalam pengurusan perjalanan, sambil membuka lebih banyak peluang pendapatan kepada rakan pemandu tempatan. Beliau turut menegaskan bahawa langkah ini bukan sahaja memajukan mobiliti perniagaan, malah mencerminkan komitmen berterusan Bolt terhadap pasaran Malaysia.

    Bolt yang dilesenkan sepenuhnya oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), mula beroperasi di Lembah Klang sejak pelancarannya pada November 2024. Dalam tempoh hanya tiga bulan, platform itu mencatatkan peningkatan sebanyak 540% dalam bilangan rakan pemandu, manakala jumlah penumpang berdaftar meningkat sebanyak 280%

     
     
  • PDRM gesa semakan keselamatan terhadap pemandu 60 tahun ke atas – catat 6,733 kematian sejak 2019

    PDRM gesa semakan keselamatan terhadap pemandu 60 tahun ke atas – catat 6,733 kematian sejak 2019

    Ini bukanlah kali pertama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mencadangkan agar penelitian lebih mendalam dilakukan terhadap cara menangani keselamatan jalan raya yang melibatkan pemandu warga emas berusia 61 tahun ke atas, memandangkan jumlah kematian yang tinggi dalam kalangan golongan itu akibat kemalangan jalan raya bagi tempoh enam tahun.

    Menurut pihak polis, berdasarkan data kemalangan jalan raya yang direkodkan, seramai 19,812 pemandu dalam lingkungan umur tersebut terlibat dalam kemalangan jalan raya antara tahun 2019 hingga 2014. Daripada jumlah itu, 6,733 direkodkan meninggal dunia, manakala 2,132 mengalami kecederaan parah dan 10,947 cedera ringan.

    Maka disebabkan statistik itulah yang mendorong pihak polis untuk menggesa agar satu kajian dilakukan bagi melihat bagaimana isu keselamatan jalan raya dalam kalangan pemandu warga emas dapat ditangani, seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia.

    Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri menjelaskan bahawa tujuan cadangan ini bukanlah untuk menghalang warga emas daripada memandu, tetapi untuk mewujudkan satu mekanisme bagi menilai tahap kesihatan pengguna jalan raya berusia supaya keselamatan di jalan raya terjamin untuk semua pihak.

    PDRM gesa semakan keselamatan terhadap pemandu 60 tahun ke atas – catat 6,733 kematian sejak 2019

    Beliau menambah bahawa pendekatan itu perlu diseimbangkan dengan penilaian terhadap tahap kesihatan dan keupayaan memandu seseorang, dan bukan semata-mata berdasarkan faktor umur. “Umur bukanlah halangan untuk memandu dengan berhemah, namun JSPT percaya bahawa aspek keselamatan yang melibatkan pemandu warga emas perlu diambil kira,” katanya.

    Tambahnya, adalah wajar bagi semua pihak berkepentingan menjalankan kajian menyeluruh mengenai isu ini sebelum sebarang keputusan dibuat, terutamanya oleh Kementerian Pengangkutan. “Kami faham bahawa untuk menghentikan golongan ini daripada memandu bukanlah perkara mudah kerana faktor budaya di Malaysia. Ada yang menggunakan kenderaan untuk ke surau, mengambil cucu dari sekolah dan sebagainya,” ujarnya.

    Gesaan terbaharu untuk meneliti perkara ini susulan cadangan yang dibuat oleh JSPT pada tahun 2021, apabila ia mencadangkan supaya syarat khas dikenakan bagi mengehadkan pengeluaran Lesen Memandu Malaysia (LMM) kepada warga emas serta mewajibkan mereka menjalani pemeriksaan doktor bagi memastikan mereka berada dalam keadaan sihat untuk memandu.

    PDRM gesa semakan keselamatan terhadap pemandu 60 tahun ke atas – catat 6,733 kematian sejak 2019

    Antara cadangan yang dikemukakan adalah pemandu warga emas hanya dibenarkan memperbaharui lesen sekiranya mereka mendapat pengesahan daripada doktor bahawa mereka layak memandu dari segi mental dan fizikal, serta tempoh pembaharuan lesen bagi pemandu warga emas perlu dipendekkan.

    Bagaimanapun, tiada sebarang tindakan susulan diambil, walaupun Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) turut menyuarakan perkara yang sama tahun lalu, iaitu mencadangkan agar warga emas berusia 65 tahun ke atas menjalani penilaian kecekapan dan kesihatan sebelum lesen mereka boleh diperbaharui.

    Perkara ini akhirnya menimbulkan khabar angin bahawa pemeriksaan fizikal akan diwajibkan kepada pemandu warga emas sebelum mereka dibenarkan memperbaharui LMM, sehingga mendorong Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan kenyataan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar, dan tiada syarat tambahan dikenakan kepada pemandu warga emas semasa proses pembaharuan LMM mereka.

     
     
  • Kamera AwAS diselenggara dengan kos keseluruhan hampir RM15.5 juta dalam setahun – Menteri MoT

    Kamera AwAS diselenggara dengan kos keseluruhan hampir RM15.5 juta dalam setahun – Menteri MoT

    Kerajaan membelanjakan sebanyak RM15,491,876.58 setahun bagi kos keseluruhan penyelenggaraan sistem Automated Awareness Safety System (AwAS), kata Menteri Pengangkutan (MoT) Anthony Loke. Di mana kos tersebut merangkumi perkhidmatan dan penyelenggaraan kamera, sistem back office dan cetakan saman AwAS.

    “Berdasarkan kajian yang telah dijalankan pihak MIROS bagi tempoh 2014 hingga 2018, impak pemasangan kamera Awas telah meningkatkan kadar pematuhan (Perception Of Being Caught – POBC) sehingga 99% di lokasi-lokasi yang dipasang dan dikuatkuasakan dengan kamera AwAS,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan dikemukakan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) di Dewan Rakyat semalam yang ingin mengetahui jumlah perbelanjaan keseluruhan bagi pelaksanaan dan penyelenggaraan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan dengan kos yang telah dibelanjakan.

    Selain itu, Mohd Hasnizan juga ingin mengetahui sejauh mana impaknya benar-benar berkesan dalam mengurangkan kesalahan lalu lintas sama ada hanya terhad di lokasi pemasangan atau memberi kesan menyeluruh.

    Pada awal Januari lalu, Loke berkata kamera AwAS akan ditambah baik dengan melaksanakan kaedah point-to-point berbanding kaedah statik yang dilaksanakan sebelum ini. Di mana pelaksanaan tersebut bagi membolehkan pemantauan kelajuan kenderaan dilakukan secara lebih menyeluruh dengan mengukur kelajuan purata kenderaan antara dua titik kamera berdasarkan jarak dan masa perjalanan.

     
     
  • Tokyo Auto Salon KL 2025 – lebih banyak jentera terkini dan ikon-ikon JDM, tarik 100,000 pengunjung!

    Tokyo Auto Salon KL 2025 – lebih banyak jentera terkini dan ikon-ikon JDM, tarik 100,000 pengunjung!

    Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL) 2025 telahpun melabuhkan tirainya hujung minggu lalu, dengan edisi ketiga acara berkenaan yang diadakan dari 8-10 Ogos di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) itu merekodkan seramai 100,000 pengunjung.

    Bagi edisi tahun ini, TASKL menyajikan lebih banyak jentera-jentera ubahsuai terkini yang dibawa dari Jepun, serta menampilkan lebih banyak gerai-gerai jualan yang menampilkan pelbagai barangan eksklusif, peralatan prestasi dan komponen alat ganti dan juga kereta-kereta skala kecil ditawarkan pada harga istimewa.

    Antara kereta ubahsuai yang menarik pengunjung ke acara ini termasuk penampilan dua buah jentera dari Liberty Walk yang membuat penampilan sulungnya di luar Jepun iaitu Ferrari F40 yang penuh kontroversi dengan dipadankan kit badan lebar LB Walk, dan juga Super Silhouette ER34 iaitu Nissan Skyline R34 yang diberi imej seakan jentera lumba ikonik Nissan Skyline R30 Super Silhouette Group 5 yang dipandu lagenda Nissan, Masahiro Hasemi ketika era Japan GP 80’an.

    Selain dari penampilan dua jentara ini, reruai Liberty Walk di TASKL 2025 ini juga diserbu oleh pengunjung untuk membeli pelbagai barangan eksklusif jenama itu, serta mendapatkan tandatangan pengasasnya Wataru Kato dan anaknya Hyuma Kato.

    Tokyo Auto Salon KL 2025 – lebih banyak jentera terkini dan ikon-ikon JDM, tarik 100,000 pengunjung!

    Pakar ubahsuai enjin rotary sensasi, RE Amemiya turut membawa ‘demo car’ terbaharunya iaitu Matsukiyo Kizami 3ROTOR NA-7 yang baru didedahkan di Tokyo Auto Salon 2025 Januari lalu. Kereta yang diasaskan dari Mazda RX-7 FD3S berkenaan kini menerima muka dan bahagian belakang baharu rekaan RE Amemiya, dan ia menerima enjin wankel rotary dengan tiga rotor menghasilkan kapasiti 1.962 liter, dan mampu menghembuskan 435 hp tanpa sebarang pengecas turbo. Reruai RE Amemiya ini turut diserikan dengan penampilan Ken Amemiya, iaitu anak pengasas syarikat, Isami Amemiya.

    Pengasas badan penala Top Secret, Smokey Nagata juga turun ke MITEC buat tahun ketiga berturut-turut sempena TASKL. Tahun ini beliau hadir dengan membawa antara jentera paling sukar pernah dihasilkan sendiri olehnya iaitu Top Secret VR32 Stealth Nissan GT-R, iaitu Nissan Skyline GT-R R32 yang disumbatkan dengan enjin VR38DETT V6 3.8 liter berkuasa 1,072 hp bersama kotak gear klac berkembar automatik enam kelajuan, sistem pacuan semua Attesa ET-S dari Nissan GT-R R35, lengkap dengan dengan bahagian dalaman yang juga diambil dari R35.

    Antara jentera ubahsuai baharu lain yang dibawa terus dari Jepun termasuk Crewch Delusion GT-R R356C yang merupakan Nissan GT-R dengan rupa diinpirasikan dari model konsep Nissan Hyper Force serta model edisi terhad GT-R50 Italdesign, dan juga ‘Rolls Royce Jepun’ iaitu Toyota Century yang diubahsuai oleh Aless dan diberi nama Aless Century Complete WL, di mana enjin V8 5.0 liter sedan mewah tersebut kini bernafas dengan kuasa 518 hp.

    Selain itu ‘Father of the modern GT-R’ Hiroshi Tamura turut datang ke TASKL buat kali kedua. Malah pelumba lagenda Jepun ‘dari jalanan ke litar lumba’ Manabu ‘Max’ Orido turut membuat penampilan di TASKL 2025 bersama anak perempuannya, Maaya Orido yang kini juga telah bergelar pelumba serta duta untuk jenama Alpharex.

    Tokyo Auto Salon KL 2025 – lebih banyak jentera terkini dan ikon-ikon JDM, tarik 100,000 pengunjung!

    Ikon-ikon JDM lain yang turut membuat penampilan ke TASKL tahun ini termasuk drifter lagenda dan juga pengasas jenama kit badan dan peralatan prestasi Vertex iaitu Takahiro Ueno, pengasas KUHL Racing Takahiro Kataoka dan juga presiden ALESS Takamasa Ueyama.

    “Daripada senyuman lebar, gelak tawa, keterujaan dan paparan tenaga yang luar biasa oleh pengunjung di pameran itu, yang kemudiannya dicerminkan dalam beribu-ribu siaran media sosial yang menggambarkan detik gembira bertemu dengan legenda talaan mereka dan melihat barisan kereta yang luar biasa, kerja keras yang kami lakukan telah membuahkan hasil!” kata Jason Yap, Ketua Pegawai Eksekutif Element X Strategies, Pemegang Lesen Rasmi Tunggal Tokyo Auto Salon di Malaysia. TASKL diadakan dengan kerjasama San Ei Corporation sebagai pemilik harta intelek Tokyo Auto Salon, dan Persatuan Salon Auto Tokyo.

    “Kejayaan mana-mana acara bukan semata-mata meninggalkan anda berdasarkan angka, dan malah lebih gembira kerana mereka berpuas hati. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang datang ke acara ini, sokongan berterusan dan semangat anda yang berkongsi adalah yang menyemarakkan acara ini sambil kami berusaha untuk menjadikannya lebih besar, lebih baik dan lebih menarik setiap tahun,” tambah Jason.

    GALERI: Gambar rasmi TASKL 2025

     
     
  • Terowong SMART tawar Pas Perjalanan Tanpa Had RM68 sebulan mulai 16 Ogos hingga 16 September

    Terowong SMART tawar Pas Perjalanan Tanpa Had RM68 sebulan mulai 16 Ogos hingga 16 September

    Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR), selaku pengendali Terowong SMART telah melancarkan Pas Perjalanan Tol Tanpa Had (2P2TH) SMART atau Merdeka Unlimited Travel Pass (MUTP) bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68. Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, semalam.

    Menurut ALR, tawaran MUTP ini berkuatkuasa selama sebulan iaitu dari 16 Ogos hingga 16 September 2025 dengan bayaran hanya sekali bernilai RM68. Di mana tawaran ini memberikan penjimatan sehingga RM64 iaitu hampir 50% bagi yang menggunakan Tol SMART setiap hari.

    “MUTP merupakan penzahiran rasa terima kasih dan penghargaan kepada semua pengguna tegar Terowong SMART yang telah turut sama-sama mempromosi aspirasi mobiliti bandar yang lebih cekap, selamat dan berdaya tahan. Ia juga merupakan sebahagian daripada usaha ALR menyokong aspirasi Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk menyediakan infrastruktur tol yang mesra rakyat dan inklusif,” kata ALR menerusi kenyataan media yang dikeluarkan.

    Menteri KKR pula berkata, “Melalui program MUTP ini, pengguna yang menggunakan SMART untuk berulang-alik ke tempat kerja setiap hari (44 kali sebulan), akan menikmati penjimatan sehingga RM64, memandangkan purata bayaran tol bulanan boleh mencecah RM132. Selain itu, ia memberi akses pantas ke pusat bandar melalui lebuh raya yang menampung purata 19,000 kenderaan sehari, sambil menyokong operasi satu-satunya terowong dwi-fungsi di dunia yang menggabungkan laluan trafik dan saliran banjir.

    “Inisiatif ini membuktikan bagaimana pemain industri, khususnya di sektor infrastruktur, mampu mengambil pendekatan proaktif dalam membantu rakyat mengurus kos kehidupan harian, terutamanya di kawasan bandar.”

    Tambah beliau, perkhidmatan Terowong SMART adalah antara kemudahan kejuruteraan terbaik negara yang memberi impak besar dalam pengurusan banjir dan meningkatkan mobiliti bandar. Ia bukan sekadar projek infrastruktur, malah menjadi lambang inovasi tempatan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Antaranya UN Habitat Scroll of Honour Award, British Construction Industry Award; ASEAN Outstanding Engineering Achievement Award serta disenaraikan oleh CNN sebagai antara ‘Most Impressive Tunnels in the World’.

    “Saya yakin bahawa apabila infrastruktur diurus secara holistik – dari aspek kejuruteraan, nilai sosial, dan tadbir urus – hasilnya akan memberi manfaat berganda kepada rakyat dan negara, seterusnya mengukuhkan semangat keterjaminan dan kelestarian seperti yang dihasratkan dalam Malaysia MADANI,” katanya.

    Bagi pengguna Terowong SMART yang ingin mendapatkan kad MUTP, ia boleh dibeli di lokasi di bawah ini:

    • Lorong tol Lebuhraya SMART (12 lorong) dari KL (Arah Utara) dan Sg. Besi (Arah Selatan)
    • Kaunter Jualan Plaza Tol SMART
    • Kawasan Rehat & Rawat (RSA) Lebuhraya KESAS – Kinrara dan Awan Besar
    • Kaunter Jualan Plaza Tol KESAS – Kemuning, Sunway, Awan Besar Barat dan Awan Besar Timur
    • Kaunter Jualan Lebuhraya SPRINT – Plaza Tol Bukit Kiara
    • Kaunter Jualan Lebuhraya LDP – Kawasan Rehat Petaling Jaya Utara (Hentian Sebelah)
     
     
  • Proton sudah hantar 2,000 unit X50 facelift 2025 kepada pelanggan tak sampai sebulan dilancarkan

    Proton sudah hantar 2,000 unit X50 facelift 2025 kepada pelanggan tak sampai sebulan dilancarkan

    Ketika mengumumkan kerjasama strategik untuk mengintegrasikan teknologi RFID Touch ‘n Go pada Proton X50 dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Proton turut memberitahu bahawa X50 facelift 2025 kini sudahpun terjual sebanyak 2,000 unit tak sampai sebulan selepas ia dilancarkan pada 24 Julai lalu.

    Sebelum ini Proton telahpun menyatakan bahawa 999 unit X50 facelift ini telahpun diserahkan kepada pelanggan pada akhir bulan lalu, atau tak sampai lima hari bekerja selepas ia dilancarkan. Dalam pengumuman berkenaan prestasi jualannya bagi Julai yang dikeluarkan semalam, Proton menyatakan bahawa tempahan bagi X50 2025 ini telahpun mencapai lima digit, dengan sasaran 5,000 unit akan disiapkan menjelang akhir bulan ini.

    Proton X50 facelift 2025 ini ditawarkan dalam tiga varian, dijual pada harga atas jalan bermula RM89,800 untuk varian 1.5TD Executive, diikuti RM101,800 untuk varian 1.5TD Premium, manakala varian tertinggi 1.5TD Flagship berharga RM113,300

    Ketika pelancarannya Proton turut menawarkan harga pengenalan dengan rebat tunai sebanyak RM4,000 untuk 10,000 unit terawal, menjadikan harga jualan hanya RM85,800 untuk Executive, RM97,800 untuk Premium dan RM109,300 untuk Flagship sebelum 31 Oktober 2025.

    Selain menerima rombakan besar dari segi rupa pada bahagian luaran dan dalaman, X50 facelift ini juga menerima unit rangkaian kuasa baharu yang menampilkan enjin i-GT 1.5TD empat-silinder berkuasa 181 PS/290 Nm bagi menggantikan enjin 1.5 liter tiga selinder turbo sebelum ini. Enjin baru ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dibuat dalam masa 7.6 saat, iaitu 0.3 saat lebih pantas berbanding sebelumnya. Menurut Proton, kadar penggunaan bahan apinya juga 4.7% lebih jimat.

     
     
  • Harga minyak 14-20 Ogos – diesel untuk semenanjung dan RON97 diturunkan masing-masing 4 sen seliter

    Harga minyak 14-20 Ogos – diesel untuk semenanjung dan RON97 diturunkan masing-masing 4 sen seliter

    Bagi minggu bertarikh 14 hingga 20 Ogos 2025, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bahawa harga runcit petrol RON97 diturunkan sebanyak 4 sen seliter, menjadi RM3.13 seliter berbanding RM3.17 seliter pada minggu sebelum ini. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling, masih dikekalkan pada RM2.05 seliter.

    Bagi diesel yang dijual di Semenanjung Malaysia, ia turut diturunkan juga sebanyak 4 sen seliter, kini menjadi RM2.90 seliter, berbanding RM2.94 seliter pada minggu sebelumnya. Manakala harga diesel untuk Sabah dan Sarawak terus dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga runcit bagi petrol RON 95 akan diturunkan ke RM1.99 seliter apabila penyasaran subsidi dilaksanakan kelak. Perincian penuh mengenai penyasaran subsidi bahan api itu bakal diumumkan menjelang akhir September 2025, katanya menerusi ucapan ‘Penghargaan Buat Rakyat Malaysia’.

    Walau bagaimana pun, menurut beliau, pada masa yang sama, warganegara asing perlu membayar harga petrol RON95 mengikut harga pasaran tanpa subsidi iaitu RM2.50 seliter.

     
     
  • iCaur Malaysia umum sudah buka hab alat ganti di Shah Alam sebelum model pertama dilancarkan di sini

    iCaur Malaysia umum sudah buka hab alat ganti di Shah Alam sebelum model pertama dilancarkan di sini

    Sub-jenama Chery, iCaur hari ini telah mengumumkan bahawa ia telahpun membuka hab komponen alat ganti untuk kenderaan jenama itu di Shah Alam Hicom Industrial Estate. Fasiliti dengan keluasan 88,000 kaki persegi tersebut diuruskan oleh Chery Corporate Malaysia dan dikongsi bersama satu lagi sub-jenama gergasi automotif China tersebut iaitu Omoda | Jaecoo Malaysia.

    Jenama iCaur ini telahpun dilancarkan di Malaysia pada Mei lalu, namun model pertamanya yang akan ditawarkan ke pasaran tempatan iaitu SUV EV iCaur 03 hanya akan dilancarkan pada suku ketiga tahun ini.

    “Gudang Chery Corporate Malaysia yang terletak di tengah adalah penting dalam menyokong rangkaian pengedar iCaur yang semakin berkembang, di mana ia tidak lama lagi akan merangkumi tidak kurang daripada 16 rakan kongsi pengedar di seluruh negara, dengan pengembangan selanjutnya dirancang pada 2026,” kata naib presiden iCaur Malaysia, Emily Lek.

    “Semangat falsafah ‘Born to Play’ iCaur bermakna kami juga dilahirkan bersedia. Dengan membina portfolio alat ganti dan komponen kami secara berterusan dan disokong oleh pemain automotif global dengan rantaian bekalan yang mantap, iCaur Malaysia bersedia untuk berkembang bersama rangkaian kami dalam masa yang sama mengukuhkan standard perkhidmatan selepas jualan premium yang diharapkan oleh pelanggan kami yang bijak,” tambahnya.

    iCaur Malaysia memberitahu bahawa sudah terdapat lebih dari 10,000 alat ganti dan komponen dalam inventori hab berkenaan bagi mengukuhkan kesediaannya terhadap servis selepas jualan yang responsif dan cekap menjelang pelancaran iCaur 03 ke pasaran tempatan.

    Kenyataan yang dikeluarkan turut menyebut bahawa fasiliti ini berada di landasan yang betul bagi menyokong servis-servis selepas jualan serantau kerana Chery International sedang berusaha untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pusat bagi model-model pemanduan sebelah kanan (RHD) di ASEAN.

    “Ia turut selari dengan sasaran mobiliti Malaysia di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 – memajukan teknologi kenderaan generasi seterusnya (NxGV) dan memupuk inovasi dalam ekosistem automotif,” kata kenyataan itu lagi.

     
     
  • Hyundai Ioniq 2 dilapor akan buat penampilan di Munich Motor Show bulan depan – kembar Kia EV2

    Hyundai Ioniq 2 dilapor akan buat penampilan di Munich Motor Show bulan depan – kembar Kia EV2

    Hyundai dilapor sedang membangunkan sebuah kenderaan elektrik (EV) kompak dan mampu milik yang dijangka akan dikenali sebagai Ioniq 2 – Autocar UK. Model ini dijangka akan membuat kemunculan sulungnya pada pameran IAA Mobility bulan depan di Munich, yang juga dikenali sebagai Munich Motor Show. Ia dikatakan akan diperkenalkan sebagai kembar kepada model Kia EV2, yang juga sekarang sedang dibangunkan.

    Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha Hyundai untuk memperluaskan barisan EV mereka di pasaran Eropah. Kehadiran Ioniq 2 bukan sahaja akan membuka jalan kepada kemasukan ke segmen baru, tetapi juga akan mengisi ruang kosong dalam barisan model sedia ada — khususnya di antara Hyundai Inster dan Kona Electric.

    Berdasarkan imej intip yang tular setakat ini, Ioniq 2 dijangka mempunyai saiz hampir sama dengan Hyundai Bayon, menjadikannya pesaing langsung kepada model seperti Renault 4, Volkswagen ID.2X dan Skoda Epiq yang akan tiba tidak lama lagi. Reka bentuknya dikatakan menyerupai gaya hatchback yang dinaikkan, dengan garis bumbung condong serta jalur lampu LED seakan model Ioniq 6 terkini.

    Hyundai Ioniq 2 dilapor akan buat penampilan di Munich Motor Show bulan depan – kembar Kia EV2

    Setakat ini, maklumat teknikal mengenai sistem janaan kuasa masih terhad. Namun, laporan awal menyatakan bahawa Ioniq 2 akan dibina menggunakan platform E-GMP yang sama seperti model EV lain keluaran Hyundai-Kia. Ini memberi petunjuk bahawa Ioniq 2 mungkin akan hadir dengan konfigurasi pacuan roda hadapan, serta pilihan pek bateri berkapasiti 58.3 kWh atau 81.4 kWh, sama seperti model EV3 yang sedikit lebih besar.

    Hyundai dijangka akan mula menjual Ioniq 2 sekitar suku ketiga tahun 2026, iaitu beberapa bulan selepas pelancaran Kia EV2. Dari segi harga, Ioniq 2 dijangka akan ditawarkan pada paras harga sekitar £25,000, atau kira-kira RM142,000, menjadikannya antara EV paling mampu milik dalam barisan Hyundai setakat ini.

     
     
  • Proton dan Touch ‘N Go tandatangan perjanjian – X50 facelift jadi model pertama terima RFID dari kilang

    Proton dan Touch ‘N Go tandatangan perjanjian – X50 facelift jadi model pertama terima RFID dari kilang

    Kalau anda perasan untuk setiap unit Proton X50 facelift 2025 yang baru dilancarkan Julai lalu telah dipasangkan dengan tag RFID dari kilang pada bahagian atas kiri cermin hadapan. Tag tersebut sememangnya tag RFID Touch ‘N Go untuk tujuan pembayaran tol, dan kerjasama strategik untuk mengintegrasikan teknologi RFID Touch ‘n Go ke dalam Proton X50 telah diumumkan secara rasmi oleh kedua-dua syarikat berkenaan hari ini.

    Kerjasama ini dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU), di mana di bawah perjanjian ini setiap Proton X50 baharu akan dilengkapi dengan tag RFID Touch ‘n Go terus di barisan pengeluaran di kilang, membolehkan akses lancar ke rangkaian lebuh raya yang menggunakan teknologi RFID di seluruh Malaysia.

    “Ini tentang kepuasan segera,” kata Praba Sangarajoo, Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go Sdn. Bhd. ketika berlangsungnya majlis menandatangani perjanjian tersebut yang berlangsung di ibu pejabat Proton Centre of Excellence di Shah Alam.

    Proton dan Touch ‘N Go tandatangan perjanjian – X50 facelift jadi model pertama terima RFID dari kilang

    “Anda memandu keluar Proton X50 baharu dari bilik pameran dengan RFID yang sudah siap dipasang — begitu sahaja. Ini bukan sekadar mengenai mobiliti pintar; ia mengenai membawa nilai sebenar dan keseronokan ke dalam perjalanan harian.

    “Sebagai dua syarikat tempatan yang dibanggakan, kerjasama ini adalah satu bentuk penghargaan terhadap potensi apabila juara tempatan bekerjasama. Ia digerakkan dengan tujuan untuk mencipta pengalaman yang lebih lancar bagi masyarakat yang menerima perkhidmatan kami, menjadikan mobiliti harian lebih mudah, pantas dan intuitif. Touch ‘n Go berbangga untuk sama-sama mencipta pencapaian ini bersama Proton — untuk rakyat Malaysia, oleh rakyat Malaysia,” tambahnya.

    Proton dan Touch ‘N Go tandatangan perjanjian – X50 facelift jadi model pertama terima RFID dari kilang

    Selain X50, Proton turut merancang untuk memasang tag RFID berkenaan pada model-model keluarannya yang lain.

    “Dengan pelancaran model baharu lain yang sedang dirancang, Proton bercadang untuk memperluaskan pemasangan tag RFID Touch ‘n Go kepada model lain bagi menawarkan tahap kemudahan yang lebih baik kepada pelanggan. Matlamat kami adalah untuk meningkatkan tahap kepuasan pelanggan, dan kami percaya ini adalah salah satu langkah ke arah mencapai matlamat tersebut,” timbalan CEO Proton Edar, Zhang Qiang.

     
     
  • Lotus Emeya diberi kemas kini, harga lebih rendah di Malaysia – Emeya 600 bermula RM459k, 900 RM699k

    Lotus Emeya diberi kemas kini, harga lebih rendah di Malaysia – Emeya 600 bermula RM459k, 900 RM699k

    Lotus Cars Malaysia secara rasmi melancarkan barisan model Lotus Emeya 2026 untuk pasaran tempatan, dengan memperkenalkan semula lima varian serta penjenamaan baru untuk model EV berprestasi tinggi ini. Model asas, iaitu Emeya 600, ditawarkan pada harga bermula RM459,000, menjadikannya RM96,000 lebih murah berbanding harga pelancaran model tahun lalu yang bermula pada RM555,000. Varian tertinggi, Emeya 900 Sport Carbon pula ditetapkan pada RM729,000 — RM78,000 lebih rendah berbanding model terdahulu, Emeya R.

    Kelima-lima varian Emeya 2026 hadir dengan sistem pacuan semua roda menerusi konfigurasi dua motor elektrik. Nombor “600” dan “900” pada nama model merujuk kepada kuasa kuda yang ditawarkan setiap varian. Untuk varian Emeya 600, sistem kuasanya menghasilkan 603 hp dan 710 Nm tork, membolehkan kereta ini memecut dari 0 ke 100 km/j dalam hanya 4.15 saat. Kelajuan maksimumnya ialah 250 km/j. Ia juga dilengkapi pek bateri 102 kWh yang mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 610 km mengikut kitaran WLTP.

    Sementara itu, varian lebih berkuasa iaitu Emeya 900 pula menawarkan sehingga 905 hp dan 985 Nm tork. Dengan transmisi dua kelajuan, model ini mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa hanya 2.78 saat. Kelajuan maksimumnya ialah 256 km/j, manakala jarak pemanduan pula dianggarkan sehingga 485 km. Kedua-dua varian 900 turut menggunakan bateri 102 kWh yang sama seperti varian 600.

    Lotus Emeya diberi kemas kini, harga lebih rendah di Malaysia – Emeya 600 bermula RM459k, 900 RM699k

    Satu lagi kelebihan penting yang dikongsi semua varian Emeya 2026 ialah sistem pengecasan pantas. Dengan struktur binaan 800 volt, model ini menyokong pengecasan DC sehingga 420 kW, membolehkan pengecasan dari 10% hingga 80% dalam masa hanya 15 minit. Ia juga boleh menerima pengecasan AC sehingga 22 kW.

    Dari aspek kelengkapan, Emeya 600 sebagai model asas didatangkan dengan suspensi udara aktif bersama sistem kawalan redaman berterusan (CDC), rim bersaiz 20 inci, sistem tork vectoring menggunakan brek, dan lampu utama LED Matrix. Bahagian dalamannya dilengkapi sistem bunyi premium KEF dengan 15 pembesar suara, head-up display 29 inci, kawalan suhu empat zon serta kemasan fabrik prestasi LotusWear.

    Varian Emeya 600 GT SE pula menambah pakej bantuan parkir automatik dan kawalan parkir jauh, rim aloi 21 inci, sistem brek dengan angkup enam piston, bumbung kaca pintar, but belakang bebas tangan, lampu suasana boleh laras serta plet tepi pintu bercahaya.

    Lotus Emeya diberi kemas kini, harga lebih rendah di Malaysia – Emeya 600 bermula RM459k, 900 RM699k

    Bagi mereka yang mahukan lebih prestasi dinamik, Emeya 600 Sport SE menawarkan pakej pengendalian dinamik Lotus yang merangkumi anti-roll bar dan sistem stereng roda belakang aktif. Ia juga dilengkapi spoiler belakang, diffuser belakang dan dam udara hadapan aktif. Bahagian dalaman menampilkan tempat duduk hadapan dengan fungsi urut dan pengudaraan, serta pintu dengan sistem tutup lembut (soft-close).

    Beralih ke varian Emeya 900 Sport, model ini menerima transmisi dua kelajuan serta pakej pengendalian dinamik yang sama seperti varian 600 Sport SE. Ia juga dilengkapi spoiler belakang aktif, manakala ruang dalamannya hadir dengan tema fabrik Quartz daripada LotusWear Performance.

    Varian tertinggi dalam barisan ini, Emeya 900 Sport Carbon, tampil lebih agresif dengan pakej gentian karbon luaran merangkumi panel bonet, bahagian tengah dan bawah bampar hadapan, pelapik roda, pintu serta bampar belakang.

    Lotus Emeya diberi kemas kini, harga lebih rendah di Malaysia – Emeya 600 bermula RM459k, 900 RM699k

    Ia turut menerima pakej gentian karbon dalaman yang melibatkan konsol tengah, panel suis pintu, lampu dalaman serta bahagian belakang kerusi. Model ini juga menambah pakej aerodinamik aktif yang merangkumi diffuser belakang dan dam udara hadapan aktif, selain tempat duduk hadapan dengan fungsi urut dan pengudaraan.

    Lotus Cars Malaysia kini menerima tempahan bagi model Lotus Emeya 2026 menerusi cawangan mereka di Glenmarie, Pavilion Damansara Heights dan Pulau Pinang. Penghantaran pertama dijangka akan bermula seawal bulan September ini.

     
     
  • Ford bakal lancar Ranger Wildtrak 3.0L V6 turbodiesel berkuasa 250 PS/600 Nm di Malaysia tak lama lagi?

    Ford bakal lancar Ranger Wildtrak 3.0L V6 turbodiesel berkuasa 250 PS/600 Nm di Malaysia tak lama lagi?

    Laman sesawang Ford Malaysia baru sahaja menyiarkan teaser bahawa ada satu lagi varian trak pikap Ford Ranger akan dilancarkan pada pasaran tempatan tidak lama lagi. Berdasarkan kira undur yang dipaparkan pada teaser tersebut, pelancaran tersebut akan dibuat pada lewat bulan ini.

    Teaser tersebut turut memaparkan kapsyen “Kuasa Ditakrifkan Semula”, memberikan gambaran bahawa varian baharu ini akan menampilkan kuasa yang besar. Jadi sekiranya pasaran Thailand dijadikan panduan, ada satu varian Ranger dengan kuasa tinggi yang belum dilancarkan di Malaysia iaitu Ranger Wildtrak V6.

    Bagi varian ini ia menampilkan badan dual-cab dan dipadankan dengan enjin 3.0 liter V6 turbodiesel berkuasa 250 PS pada takat 3,250 rpm dan tork maksima 600 Nm bermula 1,750 rpm. Ia turut digandingkan dengan kotak gear 10-kelajuan automatik serta sistem pacuan empat roda kawalan elektronik, bersama differential tengah aktif bagi mengagihkan tork antara gandar hadapan dan belakang, serta locking differential pada gandar belakang.

    Kawalan elektronik berkenaan menawarkan enam mod pemanduan termasuk Normal, Eco (hanya memacu roda belakang), Tow/Haul, Slippery, Mud/Ruts dan juga Sand.

    Di Thailand Ranger Wildtrak V6 dijual pada harga 1,519,000 baht (RM197,118). Ia menerima kelengkapan seperti lampu hadapan adaptif LED matriks dengan lampu tinggi automatik, lampu kabus dan lampu belakang LED, pemijik sisi, bar sports, rel bumbung, tray kargo dengan soket kuasa 12-volt dan 230 volt, rim 20-inci dua-tona dengan tayar 255/65R20 dan pelbagai lagi.

    Manakala pada kabin Ranger Wildtrak V6 di Thailand ini diberikan perincian termasuk tempat duduk hadapan larasan elektrik lapan-hala, upholsteri kulit sintetik, sistem pendingin udara automatik dua-zon untuk hadapan dan zon tunggal manual di belakang, serta paparan instrumen digital dengan skrin TFT 12.4-inci.

    Buat masa sekarang Ranger pasaran Malaysia belum menerima varian yang digerakkan oleh enjin V6 turbodiesel ini. Bagi varian-varian yang menggunakan bahan bakar diesel, ia masih menerima enjin 2.0 liter empat-silinder sebaris EcoBlue turbodiesel sama ada dalam versi turbo tunggal atau turbo berkembar, dengan kuasa bermula 170 PS/405 Nm dan juga 210 Nm/500 Nm.

    GALERI: Ford Ranger Wildtrak V6 3.0L turbodiesel 2024 pasaran Thailand

     
     
  • Xpeng G6 facelift dikesan lagi di Malaysia, kali ini dengan trade plates – model CKD pertama jenama ini?

    Xpeng G6 facelift dikesan lagi di Malaysia, kali ini dengan <em>trade plates</em> – model CKD pertama jenama ini?

    Xpeng G6 Facelift sekali lagi telah dilihat di Malaysia, kali ini dikesan oleh pembaca paultan.org, Najmi Afiq. Masih dibaluti penyamaran tetapi kini menggunakan nombor pendaftaran perdagangan (trade plates), SUV elektrik yang diberi suntikan lebih segar ini dilihat berhampiran Ampang Waterfront dan memberikan petanda kuat bahawa pelancarannya di pasaran tempatan bakal tiba tidak lama lagi.

    Kami telah berpeluang melihat dengan dekat G6 versi facelift ini di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) tahun ini, yang turut menjadi lokasi Xpeng mendedahkan X9 buatan Indonesia. G6 juga dijangka menjadi model pemasangan tempatan (CKD) seterusnya di negara tersebut, seperti yang dinyatakan oleh pengeluar kereta dari China itu awal tahun ini.

    Bagi pasaran Malaysia, kami dimaklumkan pada bulan Mac lalu, selepas pelancaran X9, sebarang rancangan CKD masih dalam peringkat perbincangan. Ketika itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bermaz Auto, Datuk Francis Lee Kok Chuan, berkata Bermaz Xpeng selaku pengedar rasmi jenama itu di Malaysia sedang bekerjasama dengan Xpeng untuk membangunkan program CKD, namun tidak mendedahkan model mana yang pertama dipasang di sini.

    Buat masa ini, kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU) dikecualikan daripada duti import dan eksais sehingga akhir 2025, manakala EV CKD menikmati pengecualian duti eksais dan cukai jualan sehingga 31 Disember 2027. G6 pada masa ini ialah EV CBU yang berharga antara RM168,820 hingga RM188,820 (masing-masing naik RM3,000 atas jalan tanpa insurans), jadi agak relevan model CKD yang bakal dilancarkan itu akan kekal dengan harga yang lebih kompetitif. Apa pun, adakah G6 akan menjadi model Xpeng versi CKD pertama yang dijual di sini? Buat masa ini, kita hanya mampu membuat spekulasi.

    Xpeng G6 facelift dikesan lagi di Malaysia, kali ini dengan <em>trade plates</em> – model CKD pertama jenama ini?

    Di China, G6 facelift ditawarkan dalam tiga varian dengan harga bermula dari RMB176,800 (RM105,000) hingga RMB198,800 (RM118,000). Dua varian pertama dilengkapi bateri 68.5 kWh dengan jarak gerak CLTC sehingga 625 km, manakala varian tertinggi menggunakan bateri 80.8 kWh yang mampu memberikan jarak 725 km.

    Ketiga-tiga varian menggunakan motor elektrik tunggal berkuasa 296 PS dan tork 450 Nm yang memacu roda belakang dan menghasilkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.3 saat. Jika dibandingkan dengan model sebelum facelift, jarak pemanduan juga berubah seiring dengan kapasiti bateri – sebelum ini 66 kWh dengan jarak 580 km dan 87.5 kWh dengan jarak 755 km.

    Perubahan paling ketara pada G6 facelift adalah pada sistem pengecasannya di mana ia masih menggunakan struktur 800 volt. Namun kadar pengecasan dipertingkat daripada 3C ke 5C yang membolehkan pengecasan penuh dilakukan dalam masa hanya sekitar 12 minit dari 10% ke 80%. Buat masa ini, belum dapat dipastikan sama ada versi pacuan semua roda (AWD) akan diperkenalkan di Malaysia atau tidak. Sebagai rujukan, model AWD sebelum ini hadir dengan kuasa 487 PS, tork 660 Nm dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat, tetapi masih belum masuk ke Malaysia.

    Selain daripada model keluarannya, Xpeng turut berusaha mengukuhkan pasukan lokal di Malaysia, apabila menyiarkan iklan jawatan kosong di LinkedIn tiga minggu lalu untuk jawatan sebagai country manager. Walaupun penerangan kerja tersebut tidak menyebut apa-apa berkaitan pemasangan tempatan, ia menyatakan bahawa banyak kerja di peringkat serantau diperlukan.

     
     
  • KKR mohon peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2026 bagi baikpulih, selenggara jalan di seluruh negara

    KKR mohon peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2026 bagi baikpulih, selenggara jalan di seluruh negara

    Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memohon peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkan Oktober ini bagi menambahbaik infrastruktur jalan di seluruh negara terutamanya lebuhraya utama dan jalan persekutuan, laporan Bernama.

    “… itu bukan pertimbangan lagi, boleh dikatakan teras utama yang kami mohon untuk pertambahan peruntukan (dalam Belanjawan) sejak tahun-tahun sudah, sebab memang kita dah buat kajian dan kita memerlukan lebih besar daripada yang kita selalu dapat.

    “Memang kami mengharapkan peruntukan untuk baik pulih, memperbaiki jalan yang sudah rosak dan usang… bukan hanya jalan persekutuan, tetapi juga jalan di seluruh negara perlu diberi perhatian serius,” kata Datuk Seri Alexander Nanta Linggi selaku Menteri KKR.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Dialog Belanjawan 2026 KKR bersama 200 Penggiat Industri Pembinaan di Kompleks Kerja Raya semalam.

    Turut mengulas perancangan kementerian itu dalam menambah baik lebuhraya dan jalan-jalan rosak di seluruh negara termasuk Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), beliau berkata berdasarkan kajian yang dijalankan juga, laluan berkenaan yang menghubungkan Gerik dengan Jeli paling memerlukan peruntukan yang lebih untuk memastikan jalan berkenaan sentiasa dalam keadaan baik. Ini bermakna setiap tahun KKR memerlukan peruntukan tambahan kerana peruntukan yang diberikan tidak mencukupi.

    “Setiap tahun di dalam Belanjawan perkara ini memang sentiasa ditegaskan kerana KKR memang berharap peruntukan baiki dan selenggara jalan persekutuan seluruh negara diberi perhatian serius. Ini termasuk memberi peruntukan lebih supaya dapat tingkat usaha pulih keadaan jalan rosak,” katanya.

    Selain itu, beliau juga menjelaskan pihaknya turut menerima pelbagai pandangan, teguran dan cabaran. Ia termasuk cabaran kos pembinaan yang semakin meningkat dan akan kemukakan perkara itu kepada Kementerian Kewangan untuk tindakan selanjutnya.

    “KKR komited untuk memastikan pembangunan infrastruktur negara terus diperkasakan selaras aspirasi kerajaan dan keperluan rakyat. Input daripada pelbagai pihak berkepentingan adalah penting untuk memastikan Belanjawan 2026 dapat menangani cabaran dan memacu pertumbuhan sektor pembinaan ke arah lebih lestari dan berdaya saing,” katanya yang dijangka bertemu Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, pada 22 Ogos ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025