PLUS guna teknologi Turapan Anti-Gelincir di 10 laluan susur – kurangkan 50% risiko kemalangan sejak 2010

PLUS_BM3

Penggunaan teknologi Turapan Anti-Gelincir (Anti-Skid Pavement) di beberapa laluan susur di persimpangan bertingkat serta lain-lain lokasi di lebuh raya PLUS berjaya mengurangkan risiko kemalangan di kawasaan tersebut sebanyak 50%.

Menurut CEO PLUS, Mohammad Fuad Khusairi, teknologi ini telah diaplikasikan sejak tahun 2010 lalu dan sehingga kini 10 lokasi telah pun diaplikasikan teknologi Turapan Anti-Gelincir ini. Buat setakat ini, lokasi terbabit ialah persimpangan Rawang, persimpangan Bangi, persimpangan Kajang, persimpangan Bertam, persimpangan USJ KM9.0, persimpangan Seafield KM5.4 (Ramp B), persimpangan Seafield KM5.4 (arah selatan), persimpangan Shah Alam (Ramp D), persimpangan Ayer Hitam KM80.22 dan persimpangan Yong Peng KM94.50.

“Ia diperkenalkan di laluan yang kritikal dan sejak digunakan, kami berjaya mengurangkan jumlah kemalangan di kawasan-kawasan terbabit sebanyak 50%,” ujar Fuad.

Menurut Fuad, penggunaan bahan Turapan Anti-Gelincir tersebut meningkatkan lagi kadar geseran di antara permukaan jalan dan tayar kenderaan. Kadar geseran yang tinggi memberikan lebih cengkaman dan seterusnya mampu mengelakkan kenderaan tergelincir apabila mengambil selekoh di laluan susur teruta,anya ketika hujan.

Beliau berkata demikian dalam satu taklimat kepada wakil-wakil media di Persimpangan Bertingkat Kajang hari ini.

“Sehingga kini PLUS telah membelanjakan kiri-kira RM5.5 juta untuk mengaplikasikan teknologi Turapan Anti-Gelincir ini. Berdasarkan kajian dan rekod kami, teknologi dari Jerman ini boleh diyakini dan akan terus membantu mengurangkan jumlah kemalangan di lokasi-lokasi tertentu,” ujar Fuad.

Turapan Anti-Gelincir ini merupakan sejenis lapisan khas ‘sealant coating’ untuk memperkuatkan lagi cengkaman antara agregat (batu baur) di atas permukaan jalan. Fuad berkata, lebih tinggi Nilai Anti Gelinciran (SRV) bagi material ini, ia akan membuatkan permukaan jalan lebih kesat.

Tambah Fuad lagi, “Walau pun lapisan khas ini kelihatan berkilat seolah-olah terdapat tumpahan minyak dan licin. namun sebenarnya ia membantu menguatkan lagi kadar cengkaman dan mampu mengelakkan kenderaan tergelincir ketika melalui selekoh.”

Ketika ditanya media, adakah turapan ini akan kekal, Fuad menjawab, “Setiap lima tahun kami perlu menurapnya semula, ini kerana percikan air mampu mengurangkan kesan geseran. Malah kami akan memantaunya dari masa ke masa bagi memastikan turapan ini berfungsi dengan baik. Jika terdapat rekahan pada bahagian turapan, biasanya kami akan menggunakan serbuk kayu untuk menutupinya terlebih dahulu sebelum menurapnya semula dengan teknologi ini.”

Fuad turut berkata, teknologi ini juga mungkin akan diperluaskan di beberapa lokasi lain jika diperlukan. Tetapi PLUS juga mungkin akan menggunakan teknologi lain selain Turapan Anti-Gelincir ini. “Kena ikut kesesuaian keadaan, mungkin teknologi atau material lain akan digunakan,” ujarnya.

Teknologi Turapan Anti-Gelincir ini turut digunakan secara meluas di Jerman, Jepun, Korea, Australia, Switzerland dan beberapa negara lain. Selain lebuh raya, ia turut digunakan pada permukaan jambatan dan landasan kapal terbang.

Walau bagaimana pun, Fuad turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya amalkan pemanduan berhemah dan mengikut had kelajuan yang ditetapkan, selain memastikan kenderaan berada dalam keadaan yang baik, bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required