PANDU UJI: Ferrari California T mudah dikendali

CaliforniaT_Ext_05

Mendengar jenamanya sahaja sudah menjadi kegusaran bagi sesetengah orang untuk memandu jenama ini. Kegusaran tersebut bukan sahaja datang dari angka kuasa kuda yang dihasilkan dan harganya yang boleh membuatkan mata terbeliak setelah diberitahu, ia juga datang dari cerita dari mulut ke mulut yang biasanya berbunyi “kau kena pergi Itali dulu berlatih pandu kereta ni, baru boleh beli”, membayangkan betapa liarnya kereta ini untuk dikendali.

Untuk membuktikan bukan semua Ferrari bersifat liar, kami mengujinya bagi mengubah persepsi skeptikal orang ramai terhadap jenama tersebut. Ikuti ulasan ini untuk mengetahui soal prestasi dan pengendaliannya.

Ferrari membina kereta mereka dengan dua rangka asas iaitu casis Sports sebenar menampilkan kedudukan enjin di bahagian tengah, dan juga casis Grand Touring (GT) yang biasanya menempatkan enjin di bahagian hadapan. Malah ia direka seimbang untuk kegunaan harian dan juga pemanduan berprestasi tinggi jika diperlukan.

California T dihasilkan menerusi konsep GT convertible 2+2. Ia sebenarnya versi tingkat taraf Ferrari California terdahulu di mana abjad T pada model baharu ini bermaksud Turbo (California terdahulu dijana enjin NA 4.3 liter). Pada bahagian hadapan California T menampilkan gril hadapan yang lebih besar, lampu hadapan seiras dengan Ferrari 458, liang udara berkembar pada bonet hadapan dan liang pada fender yang direka semula.

Di bahagian belakang pula, lampu belakang berbentuk bulat tunggal direka dengan lebih kemas. Bampar belakang turut dilengkapi diffuser yang dibahagi dengan tiga pemisah serta tip ekzos berkembar yang diletakkan di setiap sisi bampar menjadikan empat tip secara keseluruhan.

Sistem convertible pada California T ini membolehkan ia bertukar dari bentuk hard top kepada bentuk roadster dalam masa 14 saat dengan hanya menekan satu butang sahaja. Walau bagaimana pun, untuk tujuan keselamatan, transformasi tersebut hanya boleh dilakukan semasa kereta ini berhenti sahaja.

Pada bahagian dalaman, California T menampilkan rekaan tipikal Ferrari terkini. Paparan takometer analog yang besar diletakkan pada bahagian tengah panel instrumen disertakan dengan penunjuk posisi gear. Meter kelajuan pula diletakan di sebelah kanan, manakala di sebalah kiri ditempatkan paparan skrin TFT yang memberi maklumat mod pemanduan, suhu air, suhu minyak pelincir, bacaan jumlah petrol di dalam tangki, meter kelajuan digital dan juga meter trip.

Tiada sebarang tuil dapat disaksikan didalam kabin California T ini. Pemilihan gear hanya dilakukan dengan pedal penukar gear yang terletak di belakang stereng dan mod gear automatik dan gear undur boleh dipilih dengan menekan butang yang terletak di konsol tengah yang mana turut menempatkan butang “Launch Control”. Tuil suis lampu, penggilap cermin dan isyarat membelok juga digantikan dengan suis-suis yang ditempatkan pada roda stereng.

Kedudukan suis-suis tersebut disusun dengan cukup ergonomik menjadikan penggunaan dan capaiannya lebih mudah berbanding tuil konvensional. Paparan skrin 6.5-inci untuk sistem infotainmen diletakkan di bahagian tengah papan pemuka, sementara di bahagian atas pula diletakkan unit Turbo Performance Engineer (TPE) iaitu sebuah unit meter yang memberi bacaan boost dan pretasi pengecas turbo California T, yang diapit oleh liang penghawa dingin tengah.

Agak menarik, tempat duduk belakang California T ini walaupun bersaiz agak kecil, ia turut dilengkapi dengan cagak Isofix bagi memenuhi syarat sebahagian pasaran terutamanya di Eropah. Untuk kemasan trim dan balutan pula, bakal pembeli boleh memilih sendiri material, saiz benang sulaman, dan warna semasa proses tempahan kereta ini.

Enjin V8 3.9 liter turbo berkembar diletakkan di bahagian hadapan kereta ini. Ini merupakan enjin dengan pendesak turbo pertama Ferrari setelah kali terakhir teknologi tersebut digunakan 29 tahun lalu pada Ferrari F40. Enjin ini mampu menghasilkan output 552 hp pada takat 7,500 rpm dan tork gergasi 775 Nm pada takat 4,750 rpm.

Kuasa dari enjin ini dihantar ke permukaan jalan menerusi kotak gear klac-berkembar tujuh-kelajuan automatik dan dialirkan terus ke gandar dan roda belakang. Gabungan tersebut membolehkan Califronia T memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat dengan “G-force” yang cukup membuatkan anda melekat di tempat duduk tanpa boleh berbuat apa-apa. Kereta ini juga mampu mencapai kelajuan maksimum 316 km/j.

CaliforniaT_Ext_29

Walaupun California T dijana dengan enjin bantuan pendesak turbo, Ferrari telah menala penjana kuasa tersebut agar ia mempunyai karekteristik seperti sebuah enjin tanpa induksi paksaan yang mempunyai sesaran yang lebih besar. Unit turbin twin-scroll yang dilengkapi perisian tekanan boost turbo bervariasi membuatkan “turbo lag” pada enjin ini hampir tidak terasa serta kuasa maksima yang dicapai pada rpm tinggi iaitu 7,500 rpm menghasilkan respon enjin seperti enjin berkapasiti besar tanpa induksi paksaan sebenar.

Kuasa yang dihasilkan adalah linear dan mengikut tujahan yang diberikan pada pedal pendikit oleh pemandu dan tiada kuasa liar yang datang secara tiba-tiba seketika selepas pedal pendikit ditekan dengan lebih agresif.

Terdapat dua mod pemanduan yang boleh dipilih semasa memandu kereta ini iaitu mod Sport dan Comfort. Dalam mod Sport, enjin ditala untuk memberikan kuasa sepenuhnya kepada pemandu. Kotak gear juga turut memberikan penukaran gear yang sangat agresif, di mana sensasi penukaran gear ini bukan hanya disumbang oleh penukaran gear yang sangat pantas oleh kotak gear itu sahaja. Malah rekaan penukar gear itu sendiri yang memberikan capaian dan respons yang sangat baik seolah-olah sentiasa memanggil-manggil untuk menggunakannya berbanding hanya menggunakan mod auto.

Mod Sport ini juga memberikan talaan suspensi yang lebih keras bagi membolehkan pemandu meredah selekoh dengan kelajuan tinggi. Apa yang menarik, terdapat lagi satu butang talaan suspensi di roda stereng. Butang yang ditandakan dengan imej penyerap hentak tersebut akan menala semula sistem suspensi dalam mod Sport menjadikan kereta ini kekal melekat pada permukaan jalan yang tidak rata dan beralun dalam kelajuan tinggi tanpa melembutkan suspensi tersebut – diuji sangat efektif pada permukaan jalan raya Malaysia.

CaliforniaT_Ext_38

Mod Comfort juga telah memberikan impak pada penulis. Dalam mod ini, kuasa enjin masih lagi dalam keadaan sangat berkuasa jika pedal pendikit ditekan sepenuhnya. Tetapi jika kereta ini dipandu santai, penukaran gear ditala untuk menjadi sangat selesa tanpa terasa langsung kejutan ketika gear ditukar secara automatik. Talaan suspensi juga memberikan perasaan seolah-olah anda sedang memandu sedan mewah.

Penulis turut menguji kereta ini meredah kesesakan jalan raya di tengah bandaraya Kuala Lumpur. Walaupun mempunyai bekalan kuasa lebih dari 500 hp di hujung kaki, kereta ini amat mudah dipandu dalam keadaan ‘merangkak’ di tengah kesesakan jalan raya – lebih mudah dari memandu sebuah Kancil 660 manual. Kepada mereka yang berkemampuan dan berhajat untuk menggunakan sebuah Ferrari sebagai kenderaan harian atau dihadiahkan kepada ahli keluarga wanita hanya untuk menunjukkan status, California T adalah jawapannya.

Jadi benarkah dakwaan semua Ferrari itu susah dipandu dan memerlukan anda terbang ke Itali terlebih dahulu untuk dilatih memandu jentera ini? Naib Presiden Bersekutu 2 Naza Italia, Ethan Woo memberitahu, dakwaan tersebut sama sekali tidak benar. Menurut beliau lagi, memang ada kursus yang disertai oleh pemilik Ferrari untuk dilatih oleh pemandu profesional bertauliah dari Ferrari di Itali, tetapi ia bukanlah wajib untuk setiap pemilik sebaliknya ia adalah pakej tambahan untuk keseronokan pemilik Ferrari itu sendiri.

California T dijual pada harga bermula RM888,800 sebelum cukai. Setiap pembelian kereta ini adalah standard bersama program penyelenggaraan berjadual tujuh tahun dengan jarak antara servis 20,000 km atau setahun sekali. Dengan pembelian menerusi pengedar rasmi ini juga, California T masih lagi boleh dilindungi menerusi pakej waranti Ferrari Power setelah ia dijual kepada pemilik lain kelak.

Pendapat Izwaashura Sadali (sebagai pemandu wanita) yang turut memandu uji Ferrari California T

Ini kali pertama saya berpeluang memandu uji Ferrari, jentera idaman sejak sekian lama (saya terjebak jadi wartawan automotif pun kerana minat saya terhadap jenama ini). Keterujaan yang dirasai sampai tak tidur malam dibuatnya. Bukan sebab tak pernah memandu jentera berprestasi tinggi sebelum ini, tapi kerana Ferrari! Ok jangan muntah hijau dengan statement ‘syok sendiri’ saya ini ya.

Bila Naib Presiden Bersekutu 2 Naza Italia, Ethan Woo, memberitahu Ferrari California T ini paling sesuai untuk wanita dan juga sesiapa yang baru pertama kali mahu membeli model Ferrari, keterujaan untuk mengujinya kian meledak. Namun menurut Ethan, ini bukan bermakna California T model yang paling rendah dalam barisan model Ferrari. Katanya, California T mempunyai sifat yang lebih mudah dikendalikan (walau pun masih memiliki ledakan kuasa luar biasa), malah ia juga sesuai untuk kegunaan harian. Jadi bagi sesiapa yang ingin memiliki model Ferrari buat pertama kali, California T ini cukup sesuai. Malah ia juga sesuai untuk pemandu wanita.

“Tetapi untuk individu yang berketinggian di bawah 150 cm, mungkin perlukan kusyen ekstra untuk melapik punggung dan belakang badan,” seloroh Ethan yang membuatkan saya sedikit terkedu, bimbang kaki tak sampai nak memijak pedal pendikit/brek dan tak nampak pula pandangan hadapan. Jadi perkara pertama yang saya laku, test dahulu (untuk buat sedar diri!) adakah kaki dapat memijak pedal pendikit/brek dan dapat lihat pandangan hadapan. Ya, nasib baik ngam-ngam ho kerana mujur juga tempat duduk pemandu boleh dilaraskan hadapan belakang dan ketinggiannya (tetapi cukup minimum untuk membuatkan saya nampak hadapan).

California T ini mungkin kelihatan besar jika dilihat dari luar, tetapi bila masuk ke dalam kabinnya, ia seperti sedan premium lain. Mungkin dalam 10 ke 15 minit untuk menyesuaikan diri mengendalikannya, kemudian ia pantas ‘masuk’ untuk sama-sama bergandingan ‘membelah’ jalan raya. Seperti yang Farid ulaskan di atas, kuasa lebih 500 hp memang berada di hujung jari kaki, terasa mahu sentiasa memecutnya. Tetapi bila meredah laluan di kawasan bandar mahu pun lebuh raya yang sentiasa sibuk (dan sesak) seperti Lebuhraya Persekutuan, memadailah ikut saja keadaan.

Bila sampai di laluan yang bersesuaian untuk menguji jentera ini (pastinya di lebuhraya yang kurang sesak), California T dapat dilenjan sepuasnya. Deruman bunyinya memang mencabar, lantas tekanan lebih pada pedal pendikit memuntahkan kuasanya tanpa teragak-agak. Melepasi plaza tol, pedal pendikit sengaja ditekan secara maksimum. Ledakan turbonya kian terasa, memberikan kuasa G-Force yang mampu membuatkan penumpang di sebelah ‘melekat’ di tempat duduknya. Walau pun bimbang jentera mungkin akan ‘meliar’ namun kegusaran itu dapat disingkirkan kerana Califirnia T memang mudah dikawal.

Tetapi bila melalui jalan berselokoh, kaki sudah bersedia di pedal brek dan tekanan di pedal pendikit dilepaskan, membiarkan jentera meluncur dengan lebihan kuasa yang ada. Tetapi dengan adanya elemen tambahan termasuk F1-Trac Traction Control, dengan program kestabilan dan cengkaman elektronik yang telah dipertingkatkan, hamburan tork terbaik mudah diperoleh dan dalam masa yang sama jentera masih stabil dikawal. Malah ia turut meningkatkan 8.5% kuasa pacuan jentera ketika dipacu di selekoh sekitar.

CaliforniaT_Ext_41

Ada masanya ketika jentera sedang dipecut laju, tiba-tiba ada halangan di hadapan, sistem brek memang memberikan respons yang pantas ketika ditagih. Seperti mana model Ferrari yang lain, California T turut digandingkan dengan sistem brek karbon-seramik Brembo sebagai standard. Ia turut menampilkan material pad baharu yang mampu memberikan kesan cengkaman lebih padu tidak kira apa jua keadaan jalan.

Sistem brek ini juga dikatakan memiliki jangka hayat yang lebih panjang (atau boleh digunakan sepanjang hayat jentera terbabit). Ia juga telah dipertingkatkan dengan versi ABS ESP 8.0 Premium, dan mampu memberhentikan kenderaan dalam jarak yang terpendek iaitu dari 100 ke 0 km/j dalam jarak 34 meter. Walau pun mempunyai sistem brek yang boleh dikatakan sebagai terbaik, pemanduan tetap perlu berhati-hati.

Malah California T juga didatangkan dengan sistem peredam (damper) baharu iaitu Magnetorheological SCM3 iaitu evolusi terkini bagi memodifikasi kuasa magnetik pada peredam. Manakala bagi kawalan yang lebih efisien, batang omboh (piston rod) baharu turut ditampilkan bagi mengurangkan daya geseran ketika pemanduan.

Dengan adanya sistem sebegini, olengan badan juga dapat diminimakan terutamanya ketika jentera dipecut atau pun melakui permukaan jalan yang beralun atau tidak rata. Ia juga adalah hasil kerjasama sistem suspensi double wishbone di hadapan dan multi-link di belakang yang kedua-duanya turut hadir dengan coil spring, gas peredam dan palang anti olengan, sekali gus membantu menambahkan kestabilan jentera.

Satu lagi sifat yang mengagumkan bagi jentera hebat ini ialah jejari pusingannya terutamanya ketika mahu membuat pusingan-U atau ketika memarkir. Dengan ukuran kerangka 1,380 mm tinggi, 4,563 mm panjang, 1,902 mm lebar dengan jarak roda 2,670 mm, tidaklah sukar untuk mengendalikan jentera ini biar pun ia kelihatan besar pada pandangan mata kasar.

Tetapi kalau senang nak cerita, ia mengikut meter dan kawalan stereng bagi menentukan kedudukan maksimum jentera bagi menentukan jejari pusingannya. Saya sempat cuba membuat pusingan U di satu kawasan perumahan dengan lebar jalan yang standard, mudah. Tidak perlu mengundurkan jentera selepas membelok dan tidak risau terlanggar pembahagi jalan. Seperti membawa Perodua Myvi pula, setakat nak buat pusingan-U…no problema!

CaliforniaT_01 copy

Bagi penggunaan bahan apinya pula, mengikut risalah tercatat anggaran sekitar 10.5 liter bagi setiap 100 km. Dan model ini boleh diisi dengan bahan api RON 95 (sekurang-kurangnya), tetapi jika inginkan prestasi yang lebih mengagumkan sudah pasti bahan api RON 97 atau lebih tinggi dari itu, lebih bersesuaian.

Konklusi, California T ini bukan setakat sesuai sebagai jentera pengangkutan seharian, tetapi kalau hendak pergi bercuti atau pun membeli-belah, ia juga sesuai kerana mempunyai ruangan but berkapasiti 340 liter (tetapi tak bolehlah hendak membawa barang banyak-banyak, kalau ada anak kecil, tak boleh nak memuatkan stroller). Jadi, kalau rasa-rasa berkemampuan, bolehlah mendapatkan California T sebagai Ferrari pertama dimiliki. Amacam? Ada berani? (Saya tak…belum mampu!)

Galeri: Ferrari California T di Phuket, Thailand

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required