Outlander_Ext_03

Sesuai dengan tagline yang diberikan oleh Mitsubishi Motors Malaysia. Outclass. Outsmart. Outshine. Umpama memberikan jaminan kepada bakal pemiliknya bahawa SUV ini adalah pilihan yang terbaik berbanding pesaingnya yang lain. Itulah janji manis yang tercetus dengan kehadiran Mitsubishi Outlander.

SUV di bawah segmen-C ini telah pun dilancarkan secara rasminya di pasaran Malaysia. Walau pun SUV yang berada di bawah segmen yang sama mempunyai nama yang boleh dikatakan kuat termasuk Honda CR-V yang kredibilitinya tidak dapat disangkal, Nissan X-Trail nampak lebih mantap dengan keterampilan yang menyerlah selepas diberi suntikan lebih segar dan juga Mazda CX-5 yang mampu menarik perhatian ramai. Namun pasti ada kelainan yang boleh ditonjolkan oleh Outlander untuk menyaingi tiga model utama tersebut.

Outlander kelihatan tampil dengan serba sempurna. Daripada pandangan fizikalnya, mengagumkan. Dengan 4,695 mm panjang, Outlander ini 55 mm lebih panjang berbanding X-Trail dan 105 mm lebih panjang dari C-RV, walau pun lebarnya 1,810 mm iaitu kurang 10 mm berbanding kedua-dua pesaing itu.

Outlander_Ext_12

Namun saiz jarak roda Outlander iaitu 2,670 mm terletak di tengah-tengah antara Honda (2,620 mm) dan Nissan (2,705 mm). Tetapi ruang dalaman CR-V lebih luas, jadi jarak roda hanya sebagai panduan dan penyusunan elemen dalaman turut diambil kira.

Malah Mitsubishi turut mendakwa, Outlander memiliki kapasiti ruang kargo yang terbaik dalam kelasnya iaitu 1,608 liter selepas tempat duduk barisan kedua (60:40) dan barisan ketiga (50:50) dibaringkan sepenuhnya. Ia mampu memuatkan empat buah beg golf, tilam bujang atau beg-beg membeli-belah anda. Bagi T32 X-Trail yang juga SUV tujuh-tempat duduk, ia hanya memiliki 1,520 liter ruang kapasiti sekiranya semua tempat duduknya dibaringkan.

Outlander hadir dengan satu varian enjin sahaja iaitu 2.4 liter empat-silinder MIVEC yang mampu memberikan persaingan pada CR-V (2.4L, 190 PS dan 222 Nm), X-Trail (2.5L, 171 PS dan 233 Nm) dan Mazda CX-5 (2.5L, 184 hp dan 250 Nm).

Outlander_Ext_32

Unit DOHC aspirasi-natural Mitsubishi ini mampu menghamburkan kuasa 167 PS pada 6,000 rpm dan tork 222 Nm pada 4,100 rpm. Ia juga dipadankan dengan kotak gear automatic INVECS-III CVT dengan pedal penukar gear di belakang stereng.

Malah bagi pacuan yang lebih mantap dan lasak, Outlander turut didatangkan dengan system Multi-Select 4WD dengan tiga mod iaitu 4WD Eco (pacuan akan disalurkan menerusi gandar belakang apabila diperlukan), 4WD Auto (akan memisahkan tork ke dua-dua gandar, termasuk pacuan belakang) dan 4WD Lock untuk keadaan yang lebih mencabar.

Bagi mod 4WD Eco, Mitsubishi Motors Malaysia telah melakukan ujian dalaman dan mendapati ia mampu mencatat penggunaan bahan api sekitar 12.8 km/l.

Untuk pengetahuan anda, sebenarnya Outlander bukanlah model yang baharu. Masih ingatkan anda pada Mitsubishi Airtrek dan “Evo SUV” Airtrek Turbo yang pernah dibawa masuk oleh USF-Hicom suatu ketika dahulu?

Ia adalah model JDM. Nama Outlander digunakan untuk kebanyakan pasaran ekport dan telah menggantikan model Airtrek apabila SUV generasi kedua itu diperkenalkan pada tahun 2005. Manakala Outlander generasi ketiga muncul pada tahun 2012 dan model yang kita terima ini adalah model facelift besar-besaran yang pernah dipertontonkan di New York Auto Show tahun lalu.

Outlander_Ext_22

Facelift atau menaik taraf ini dilakukan kepada Outlander secara besar-besaran, malah ia menggunakan imej terkini yang ditonjolkan oleh Mitsubishi iaitu “Dynamic Shield”, seperti mana yang ditampilkan pada model konsep XR-PHEV dan eX, juga Pajero Sport terbaharu.

Imej yang lebih berkarakteristik ini ditonjolkan menerusi elemen krom yang ada pada bahagian badan Outlander. Termasuklah pada lampu utama yang bersambung pada lampu kabus. Malah bahagian sisi dan belakang Outlander juga dihiasi dengan bentangan krom yang menampakkan imej agak ‘sarat’ di situ.

Walau bagaimana pun, bahagian belakang kelihatan tidak banyak perubahan, namun lampunya tidak bersambungan, sebaliknya ditampilkan bersama tiga bar LED yang membuatkannya kelihatan lebih bergaya. Malah ia kelihatan sedikit mirip dengan model Pajero Sport sedia ada. Ia juga menampil pintu tailgate yang berfungsi secara elektronik.

Bagi warna badannya, ia ditawarkan dengan tiga pilihan iaitu putih, kelabu dan pastinya merah yang sungguh menawan kalbu. Tidak dinafikan, tidak semua SUV sesuai dengan warna merah (X-Trail pun ada pilihan warna ini), tetapi bagi Outlander, ia membangkitkan lebih rasa macho dan penuh maskulin. Apatah lagi digandingkan dengan rim aloi dua-tona bersaiz 18-inci.

Malah ia turut menampilkan bumbung matahari yang menyerlahkan lagi sifat elegan SUV ini (walau pun ia bagai kurang berfungsi di Malaysia khususnya dalam cuaca yang panas terik pada waktu siang).

Outlander_Int_23

Namun imej luaran yang dipersembahkan oleh Outlander ini, tidak meresap jiwanya hingga ke bahagian kabin. Memasuki bahagian kabinnya, bentangan rekaannya biasa-biasa sahaja. Seakan kurang pembaharuan atau kelainan yang ditonjolkan. Malah masih menerapkan imej konvensional dan seakan tidak seiring sejalan dengan imej luarannya yang nampak cukup segak bergaya dan lebih moden.

Papan pemulanya tampil dengan kekemasan kayuan gelap termasuk pada panel pintu depan dengan sentuhan tekstur plastik lembut. Tiada rasa premium pada bahagian tersebut.

Ia tetap ditampilkan sistem infotainmen dengan skrin sesentuh, dan butang kawalan penghawa dingin dua-zon diletakkan di bahagian tengah papan pemuka. Pada roda stereng juga terdapat butang kawalan sistem infotainmen, telefon dan kawalan kelajuan.

Bagi pengendalian yang lebih sporty, pedal penukar gear turut ditampilkan. Tiada sistem brek parkir elektronik ditampilkan pada model ini, Outlander masih lagi menggunakan tuil brek tangan konvensional.

Malah tempat duduk balutan kulit rona hitam juga menjadi pilihan. Jika pasal tempat duduk ini, penulis memilih keselesaan yang ada pada X-Trail (untung kerana memiliki tempat duduk ‘zero gravity’). Tempat duduk Outlander sedikit keras dengan balutan kulit yang biasa-biasa sahaja. Malah jika melibatkan perjalanan jauh, keselesaannya sederhana sahaja.

Manakala tempat duduk barisan ketiga bagi Outlander lebih luas berbanding yang ada pada X-Trail. Bagi penumpang kanak-kanak atau pun yang bersaiz kecil, bolehlah duduk di bahagian tersebut. Ruang kaki agak terhad dan ngam-ngam ho untuk yang bersaiz lebih kurang 150 cm (seperti penulis!).

Namun ketiadaan corong penghawa dingin pada tempat duduk barisan kedua dan ketiga mungkin dianggap sebagai satu kelemahan Outlander. Jadi corong penghawa dingin yang ada pada kokpit harus dilaraskan elok-elok untuk penumpang di belakang terasa kedinginan penghawa dingin tersebut.

Outlander juga dilengkapi dengan lapisan filem Konica Minolta (syarikat yang mengeluarkan kamera), pada cermin hadapan, belakang dan keempat-empat pintunya, malah ia juga mengikut kadar telus cahaya seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan ia adalah elemen standard untuk Outlander.

20160329_0355

Untuk aspek keselamatan, ia dilengkapi dengan semua ciri terkini termasuk tujuh-beg udara, Kawalan Stabiliti Aktif (ASC),Kawalan Aktif Mula Terjahan (ASTC) Bantuan Mula Mendaki (HSA), ABS berserta EBD dan Bantuan Brek (BA).

SUV ini juga dilengkapi sistem kunci pintar yang membolehkan pengguna membuka kunci pintu dan menghidupkan enjin dengan butang penghidup tanpa mengeluarkan kunci dari poket.

Bercerita mengenai pemanduan dan pengendaliannya, tidak sukar untuk mengendalikan Outlander ini. Walau pun ia kelihatan besar, namun pemanduannya masih mirip pada sedan. Walau bagaimana pun, lonjakan kuasanya agak ‘malu-malu’ apabila hendak SUV ini dipacu laju selepas bergerak perlahan. Lantas memerlukan kerahan tenaga dengan tekanan lebih pada pedal pendikit.

Malah kuasa pendikitnya juga terasa lebih lancar dan proses transmisinya tidak disedari jika hendak dibandingkan dengan X-Trail 2.5 4WD. Bukan itu sahaja, bunyi enjinnya juga kurang membingit (enjin X-Trail 2.5L lebih bising berbanding model-model pesaingnya).

20160329_0484

Malah penguasaan penukaran gear lebih menyeronokkan jika memilih kawalan pedal penukar gear. Anjakan gearnya lebih optimum dalam membantu enjin meledakkan lagi kuasanya dengan lebih pantas.

Walau pun kelihatan lasak, namun Outlander ini sebenarnya lebih cenderung pada kegunaan pengangkutan seisi keluarga. Maka ia tidak terdorong oleh pemanduan agresif. Penulis cuba memacunya selaju 180 km/j di lebuhraya, terasa kawalan roda sterengnya sedikit ‘terganggu’ ke kanan. Namun jika dalam kelajuan sederhana, tidak masalah dalam kawalannya.

Bagi penulis yang mudah terkena ‘car sickness’ (melainkan duduk di tempat duduk pemandu), agak cuak juga jika duduk di barisan kedua atau ketiga. Tetapi penulis sengaja ingin mencuba. Mujur tidak terkena ‘penyakit’ itu walau pun rakan sepasukan, Danny Tan, memandu agak agresif sewaktu melalui kawasan kampung yang banyak jalan berliku dan selekoh. Penulis masih terasa selesa duduk di bahagian itu. Selalunya dalam keadaan sebegini, penulis cepat berasa ‘mabuk’ terutamanya jika menaiki SUV atau MPV. Tetapi bernasib baik kerana Outlander masih mampu memberikan keselesaan yang diharapkan.

Outlander ini adalah model import sepenuhnya (CBU) dari Jepun dan ia ditawarkan dengan harga atas jalan RM166,720 tanpa insurans (harga pengenalan untuk tempahan dan pendaftaran sebelum 31 Mei). Di mana harganya adalah pertengahan di antara X-Trail 2.5L (RM159,164) dan CR-V 2.4L (RM167,620) yang kedua-duanya adalah unit pemasangan tempatan (CKD).

MMM turut menawarkan waranti pengilang selama lima tahun atau 100,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu). Malah MMM turut mendakwa anggaran kos penyelenggaran Outlander untuk 100,000 km ialah lebih rendah berbanding X-Trail 2.5 iaitu hanya RM5,239 berbanding RM6,727.

Jika dilihat dari segi tag harganya, pasti Outlander lebih murah berbanding CR-V 2.4L. Tetapi dari segi prestasi dan pengendalian yang lebih mantap, CR-V mendahului persaingnya. Namun imej yang ditampilkan pada X-Trail 2.5L lebih menarik perhatian dan ia lebih murah berbanding dua pesaingnya itu, namun ia mungkin kalah pada keselesaan pemanduan yang ditonjolkan oleh Outlander. Dan jika ditanya, mana satu menjadi pilihan penulis, CR-V adalah jawapannya walau pun kurang berkenan dengan imej luaran yang dipertaruhkan.