BMW Group Malaysia memperkenalkan BMW X1 dan BMW X4 serba baharu versi pemasangan tempatan

BMW-X1-Malaysia-4

BMW Group Malaysia hari ini turut memperkenalkan dua model pemasangan tempatan yang baharu iaitu BMW X1 dan BMW X4 serba baharu. Menjadikannya sebagai model ke-sembilan dan ke-sepuluh yang menyertai portfolio kenderaan BMW yang dipasang di Malaysia. Ia akan dipasang di Kilang Pemasangan BMW yang terletak di Kulim, Kedah, mulai pertengahan tahun ini.

Walau bagaimana pun, buat masa ini, harga bagi kedua-dua varian berkenaan masih belum diumumkan. Namun dijangkakan ia akan mengalami penurunan harga antara 8% hingga 9% berbanding varian CBU.

BMW X1 baharu pemasangan tempatan ini masih ditampilkan dengan rekaan luaran dan dalaman model Kenderaan Aktiviti Sports (SAV) yang paling sporty dalam kelasnya. Ia turut diserlahkan dengan imej yang rugged dan atletik melalui bentuk baji yang dinamik, sudut arca roda dan posisi sel penumpang yang lebih ke tengah.

BMW X1 Malaysia-5

Bahagian hadapannya dipadankan dengan lampu utama, lampu nyalaan siang dan lampu parkir LED, lampu membelok dan lampu agihan adaptif. Manakala di bahagian belakang pula menampilkan lampu LED berbentuk-L yang lebar.

Walau bagaimana pun, menurut BMW Group Malaysia, ia telah dipertingkatkan dari segi fungsi, keselamatan dan keselesaannya. Antaranya, posisi duduk yang dinaikkan sebanyak 40mm memberikan pemandu dan penumpang beberapa faedah. Antaranya pandangan sekeliling yang lebih baik, sekali gus memberi keselamatan tambahan ketika berada di atas jalan raya.

Urusan akses juga semakin mudah untuk semua penumpang, hasil kombinasi posisi panel instrumen yang direndahkan dan permukaan tingkap yang besar. Di mana secara tidak langsung memberikan ruang dalaman yang lebih luas.

Tiada perubahan dari sudut mekanikal, ia masih mengekalkan enjin 2.0 liter dengan teknologi BMW TwinPower Turbo yang mampu menjana 192 hp dan tork puncak 280 Nm. Ia mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 7.7 saat dengan pecutan maksimum 225 km/j. Purata penggunaan bahan api ialah sekitar 5.9 kilometer bagi setiap 100km. Manakala emisi C02 berada pada 136 grams bagi setiap kilometer.

Ia turut digabungkan dengan ciri BMW EfficientLightweight dan aerodinamik yang sofistikated untuk meminimumkan seretan serta meningkatkan penjimatan bahan apinya. Selain itu, ia turut sarat dengan beberapa teknologi lain termasuk BMW ConnectedDrive yang merangkumi Panggilan Kecemasan Pintar, Khidmat Concierge dan Remote Services. Sementara sistem Bantuan Pemandu BMW ConnectedDrive ialah Parkir Pintar dan BMW Navigation Professional.

BMW X1 versi CKD ini didatangkan dalam warna Alpine White, Black Sapphire, Mineral Grey dan Sparkling Storm.

BMW X4 Malaysia-3

Manakala bagi BMW X4 diperkenalkan buat pertama kali sebagai penerus inovasi BMW dalam segmen Coupe Aktiviti Sport (SAC) bersaiz sederhana. Ia hadir dengan reka bentuk hadapan yang maskular dan lincah, garis bumbung rendah gaya coupé serta garis signatur gerumit (swage).

BMW X4 CKD ini juga tidak ada perubahan daripada sudut mekanikal. Ia masih dijanakan oleh enjin 2.0 liter yang berupaya menghasilkan kuasa sehingga 245hp dan tork puncak 350Nm itu dipadankan dengan transmisi Steptronic lapan-kelajuan. Pecutan dari 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa hanya 6.4 saat. Manakala purata penggunaan bahan api dianggarkan sekitar 7.3 liter bagi setiap 100 km dan emisi CO2 sebanyak 169 gram untuk setiap satu kilometer.

Ia turut menampilkan sistem pacuan semua-roda pintar BMW xDrive dan Performance Control. Kedua-duanya didatangkan sebagai ciri standard untuk menawarkan cengkaman optimum dan kemampuan mengambil selekoh yang luar biasa dalam apa jua keadaan.

Selain itu, ia turut memiliki ciri BMW ConnectedDrive yang komprehensif yang merangkumi rangkaian pelbagai sistem Bantuan Pemandu, Perkhidmatan serta Aplikasi. Antaranya ialah Intelligent Emergency Call, Concierge Services dan Remote Services yang mendahului industri.

Warna-warna yang ditawarkan untuk BMW X4 pemasangan tempatan ialah Alpine White, Carbon Black, Sophisto Grey, Glacier Silver dan Melbourne Red. Pilihan upholsteri dalaman pula ialah kulit berwarna Leather Nevada Mocha dan Leather Nevada Black.

GALERI: F48 BMW X1 sDrive20i

GALERI: BMW X4 xDrive28i

GALERI: BMW X4 xDrive28i M Sport

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required