Toyota Hilux 2016 dilancar untuk pasaran M’sia

Toyota_Hilux_Fortuner_Launch-10_BM

Setelah sekian lama menunggu, akhirnya UMW Toyota melancarkan Toyota Hilux 2016 serba baharu hari ini. Generasi terbaharu trak pikap ikonik ini hadir dengan dua pilihan enjin, dua pilihan sistem transmisi, dua pilihan bentuk badan dan dua pilihan pacuan yang dipakejkan dalam enam pilihan varian.

Model single cab hanya hadir dengan varian 2.4 manual 4X4. Manakala untuk model double cab pembeli boleh memilih lima varian yang terdiri daripada 2.4 Standard manual 4×4, 2.4 manual 2×4, 2.4G manual 4×4, 2.4G automatik 4×4 dan 2.8G automatik 4×4.

Badan model double cab generasi baharu ini diukur 70 mm lebih panjang dan 20 mm lebih lebar berbanding model terdahulu menjadikan dimensinya diukur dengan 5,330 mm panjang, 1,855 mm lebar, 1,815 mm tinggi dan jarak roda keseluruhan 3,085 mm. Untuk model single cab, ketinggian keseluruhannya diukur rendah sedikit berbanding model double cab iaitu 1,795mm.

Dimensi bahagian kargo untuk model double cab ini pula diukur dengan 1,525mm dan 1,540mm lebar. Manakala untuk model single cab pula bahagian kargonya diukur lebih panjang 790 mm daripada model double cab iaitu 2,315mm.

Hilux generasi kelapan ini dibina di atas platform FIRM (Frame with Intergrated Rigidity Mechanism) serba baharu yang jauh lebih kukuh. Binaan kerangka ladder frame tersebut terdiri dari logam high-tensile yang lebih kuat dan dikimpal dengan lebih banyak spot weld. Kekuatan asas yang dipertingkat ini dikatakan dapat mengurangkan bunyi, getaran dan gangguan (NVH) keseluruhan trak pikap ini.

Pada bahagian luaran, kesemua varian 2.4 liter dibekalkan lampu hadapan halogen pelbagai-reflektor automatik dengan fungsi Follow Me Home dan lampu nyalaan siang biasa. Lampu kabus, gril krom, bampar belakang krom, cermin sisi krom berkuasa elektrik berserta lampu isyarat membelok dan pemegang pintu krom hanya dilengkapi pada model 2.4G (manual dan auto). Varian tertinggi 2.8G pula ditambah dengan lampu hadapan projektor LED dan juga lampu nyalaan siang LED.

Profil sisi trak pikap ini menyaksikan varian single cab dilengkapi dengan roda besi berdiameter 16-inci, varian double cab 2.4 2×4 dan 4×4 standard dilengkapi dengan roda besi berdiameter 17-inci dan varian G pula dilengkapi dengan roda aloi berdiameter 17-inci. Kesemua roda berdiameter 17-inci dibaluti tayar All-Terrain bersaiz 265/65R17. Manakala untuk varian 2.8G pula ia dilengkapi dengan roda aloi berdiameter 18-inci dibaluti tayar Highway Terrain bersaiz 265/60R18.

Beralih ke bahagian dalaman, Hilux tampil dengan rekaan yang lebih segar. Untuk tiga varian terbawah, ia hanya dilengkapi dengan unit pemain CD dan MP3 2-DIN. Varian 2×4 pula dilengkapi dengan sistem kunci pintar tetapi tanpa butang penghidup enjin, tingkap kuasa untuk semua tingkat (fungsi auto untuk bahagian pemandu).

Untuk varian G dan keatas, ia dilengkapi dengan ciri-ciri lebih premium meliputi paparan pelbagai informasi (MID), unit infotaimen dengan skrin sesentuh 6.1 inci dengan sambungan AUX, USB, SD card dan Bluetooth dihubungkan kepada enam unit pembesar suara, roda stereng pelbagai fungsi balutan kulit, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, tingkap kuasa dengan fungsi auto untuk semua tingkap, tuil gear balutan kulit.

Varian tertinggi 2.4G automatik pula dibekalkan dengan tempat duduk pemandu larasan berkuasa lapan hala dan balutan kulit untuk semua tempat duduk. Manakala untuk varian 2.8G automatik, ia dilengkapi dengan paparan instrumen Optitron dengan skrin TFT MID bersaiz 4.2 inci mirip Toyota Camry.

Trak pikap ini dijana dengan dua pilihan enjin turbo diesel baharu iaitu enjin 2GD-FTV 2.4 liter dan 1GD-FTV 2.8 liter, menggantikan enjin turbo diesel 2.5 liter 2KD-FTV dan juga enjin 3.0 liter 1KD-FTV. Walaupun berkapasiti lebih kecil, enjin siri GD baharu ini dilengkapi dengan sistem pancitan bahan api terus common-rail dan sistem turbo VNT bertekanan lebih tinggi, membolehkan ia mengekstrak lebih kuasa disamping menggunakan bahan api dengan lebih cekap.

Enjin turbo diesel 2.8 liter berupaya menjana 177 PS pada takat 3,400 rpm dan tork maksima 450 Nm bermula 1,600 hingga 2,400 rpm. Manakala untuk enjin turbo diesel 2.4 liter pula, ia berupaya menjana 150 PS pada takat 3,400 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 1,600 hingga 2,000 rpm.

Penyampaian kuasa dari enjin ke gandar ini diselia oleh dua pilihan transmisi baharu sama ada enam-kelajuan manual atau enam-kelajuan automatik. Kotak gear automatik ‘pintar’ Super ECT baharu tersebut turut menawarkan penukaran gear yang lebih lancar. Mod manual pada transmisi automatik ini juga menawarkan ciri ‘throttle blip’ ala kotak gear kereta sport ketika menurunkan gear secara manual, untuk memastikan tiada ‘renjatan’ penurunan gear dirasakan. Kesemua varian G juga dilengkapi dengan tiga mod pemanduan berbeza iaitu Normal, ECO dan Power.

Sistem 4WD Hilux generasi baharu ini juga tampil lebih bijak. Peralihan dari pacuan dua roda kepada pacuan semua roda kini boleh dilakukan dengan hanya memutarkan suis pemilih tanpa menghentikan kenderaan dibawah kelajuan 100 km/j. Untuk varian 2.4G auto dan 2.8G auto, sistem 4WD trak pikap tersebut datang dengan sistem Kawalan Cengkaman Aktif (A-TRC) yang mampu memindahkan tork kepada roda yang memerlukan dengan lebih bijak.

Untuk sistem keselamatan pula, semua varian dilengkapi dengan sistem brek ABS dengan EBD. Hanya varian 2.4G auto dan 2.8G auto dilengkapi dengan Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Bantuan Mula Mendaki (HAC), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) dan Kawalan Libasan Trailer (TSC). Penderia dan kamera undur pula hanya dilengkapi pada kesemua varian G. Kesemua model 2.4 dilengkapi dengan tiga-unit beg udara manakala model 2.8G menerima tujuh-unit beg udara. Cagak isofix juga adalah standard untuk semua badan double cab.

Bagi satu-satunya varian single cab iaitu 2.4 4×4 manual, ia ditawarkan pada harga RM89,900. Manakala bagi varian double cab iaitu bermula 2.4 4×2 manual, berharga RN91,900, diikuti dengan 2.4 Standard 4×4 manual pada RM99,900.
Untuk varian 2.4G 4×4 manual pula berharga RM109,900, manakala 2.4G 4×4 automatik pula RM121,900. Bagi varian spesifikasi tertinggi iaitu 2.8G 4×4 automatik pula ditawarkan pada harga RM133,900. Semua harga yang diumumkan yang diumumkan adalah harga atas jalan dengan insurans.

Setiap pembelian Hilux disertakan dengan waranti lima tahun atau 150,000 km yang mana sampai dahulu.

GALERI:Gambar rasmi pelancaran Toyota Hilux 2016 pasaran Malaysia

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required