biodiesel1

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah mengumumkan peralihan penggunaan diesel B7 kepada biodiesel B10 (adunan 10% minyak kelapa sawit metil ester dengan 90% diesel petroleum), bermula Jun ini di semua stesen minyak seluruh negara.

Kementerian tersebut berkata kerajaan telah berhubung dengan badan perwakilan seperti Japan Automobile Manufacturers Association (JAMA), Persatuan Automotif Malaysia (MAA), bersama syarikat petroleum dan pengeluar biodiesel sebelum ianya diimplementasikan. Walau bagaimanapun, ia tidak menyatakan bagaimana badan-badan tersebut meluluskan program ini.

Keseluruhan pengeluar automotif di Malaysia sebaliknya tidak bersetuju dengan langkah ini. Mercedes-Benz Malaysia sebelum ini mempersoalkan kesesuaian biodiesel B10 untuk kenderaan keluaran mereka, tetapi selepas itu menyatakan biodiesel B10 tidak menimbulkan sebarang masalah pada enjin-enjin mereka. BMW, Toyota, Isuzu dan Volkswagen secara tegas tidak bersetuju dengan implementasi B10 tersebut.

Sejak Disember 2014, adunan biodiesel di Malaysia terdiri dari 7% minyak kelapa sawit metil ester dan 93% diesel petroleum atau B7. Biodiesel B10 akan dibekalkan oleh Persatuan Biodiesel Malaysia (MBA), yang dianggotai oleh 22 ahli seluruh negara.

Menurut KPPK, implementasi program B10 untuk sektor pengangkutan dan program B7 untuk sektor industri dijangka akan menyumbang penggunaan tahunan 709,000 tan minyak kelapa sawit mentah dalam negara.