Imej Ford Fiesta ST 2017 telah ditangkap oleh jurugambar pengintip kami di Eropah dan kini dapat disahkan varian hatchback berprestasi tinggi segmen-B berkenaan turut akan diteruskan pada Fiesta generasi ke-tujuh.
Menerusi badan yang dilindung oleh pelekat penyamaran, bentuk keseluruhan varian ST ini masih lagi sama dengan varian Fiesta biasa. Tetapi ST dilengkapi dengan liang kemasukan udara, roda aloi dan brek yang lebih besar. Brek belakang juga dilengkapi dengan cakera (dram untuk model biasa) dan ekzos berkembar. Badan keseluruhan Fiesta generasi baharu ini juga kelihatan lebih besar, mungkin untuk memberikan lebih ruang pada kelegaan kaki pada bahagian belakang.
Fiesta ST generasi baharu yang diuji ini juga tampil dengan bentuk badan lima pintu, berbanding model sedia ada hanya hadir dengan bentuk badan tiga pintu. Ini berkemungkinan ST bakal hadir dengan dua bentuk badan, atau mungkin hanya ditawarkan dalam bentuk badan lima pintu sahaja, mengkuti langkah pesaingnya dari Perancis iaitu Renault Clio RS 200. Ia mungkin juga unit untuk pasaran Amerika Utara di mana Fiesta hanya ditawarkan dengan bentuk badan lima pintu untuk pasaran berkenaan.
Fiesta generasi baharu ini dijangka menggunakan platform Global B sama seperti model B299 sedia ada, tetapi dengan peningkatan dilakukan pada kualiti, perincian, ciri-ciri serta harga untuk memastikan ia seiring dengan permintaan pelanggan masa kini. Ia juga bagi memberi laluan kepada Ford Ka+ pasaran Eropah baharu, yang diasaskan dari Ford Figo untuk pasaran India.
Bahagian dalaman turut dijangka akan diberi perhatian dimana Fiesta sedia ada mempunyai kualiti bahagian dalaman yang agak rendah. Bukan sahaja dari segi material binaan akan ditingkatkan, skrin sesentuh kapasitif besar lapan inci pada sistem infotaimen SYNC 3 turut dijangka akan dipadankan.
Sistem SYNC 3 tersebut sebenarnya telah ditawarkan sebagai pilihan opsyen pada Fiesta sedia ada pasaran Amerika Syarikat. Disebabkan skrin yang terlalu besar, papan pemuka telah diubah sedikit dan hasil akhirnya membuatkan papan pemuka tersebut kelihatan agak janggal. Papan pemuka untuk model generasi baharu ini bakal direka dengan lebih sempurna untuk memuatkan sistem SYNC 3.
Ciri lain yang turut dijangka akan dipadankan termasuk sistem bantuan pemanduan seperti Pengesan Pejalan Kaki (sistem Active Stop sudahpun dilengkapi pada Fiesta pasaran Eropah), AMmaran Keluar Laluan, SIstem Informasi Titik Buta serta Pengesan Papan Tanda Trafik.
Fiesta ST generasi baharu ini turut dijangka akan dibekalkan dengan enjin 1.6 liter turbo empat-silinder EcoBoost dari model sedia ada, tetapi dengan talaan berbeza menghasilkan kuasa yang lebih tinggi (Fiesta sedia ada berkuasa 182 PS/240 Nm). Ford setakat ini telah pun menala enjin tersebut untuk mengekstrak sejumlah 200 PS/290 Nm khas untuk Fiesta ST200. Model generasi terbaharu ini juga dikatakan turut akan dipadankan dengan kotak gear manual enam kelajuan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.