Jenama Italjet, dari Itali, memang terkenal dengan penghasilan skuter urban serba bergaya, bahkan ia mudah untuk dikendalikan dan dijaga. Selepas ketiadaannya di pasaran Malaysia selama 10 tahun, Italjet kembali semula dengan memperkenalkan model CMC Italjet 125 2016 yang dibawa masuk oleh Chear Global.
CMC Italjet 125 2016 ini dipadankan dengan enjin 125 cc silinder-tunggal empat-lejang yang mampu memberikan kuasa sehingga 8.8 hp dan tork 8.6 Nm pada 6,500 rpm. Tujahan kuasa tersebut juga hasil bantuan transmisi automatik yang menggunakan V-belt, yang biasa digunakan untuk skuter dengan kapasiti tersebut. Manakala berat skuter ini dikatakan hanya sekitar 106 kg.
Selain ditampilkan dengan roda 13-inci, Italjet 125 2016 ini turut dipadankan dengan cakera brek, sepit udang (fork) tidak boleh laras dengan penyerap hentak tunggal boleh laras untuk pra-bebanan di belakang. Selain itu, di bawah tempat duduknya juga ada ruang penyimpanan barang yang boleh memuatkan sebuah helmet.
Melengkapkan lagi gayanya, skuter ini turut dipadankan dengan lampu LED di hadapan dan di belakang, termasuk lampu nyalaan siang. Ia turut menawarkan dua skim warna bagi badannya iaitu Chilli Red dan Sporty White.
Dijual pada harga RM6,996 termasuk GST, tanpa cukai jalan dan insurans, penghantaran bagi CMC Italjet 125 2016 ini akan bermula pada minggu pertama Julai ini. Jadi bagi yang berminat untuk mendapatkannya bagi kegunaan pada Hari Raya, bolehlah menempahnya di semua pengedar CMC di seluruh Malaysia.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.