Sumber rasmi dari Bermaz – pengedar sah Mazda di Malaysia mengesahkan MX-5 versi bumbung fabrik atau soft top bakal dihentikan penjualannya di Malaysia. Model berkenaan akan digantikan dengan MX-5 versi RF Hardtop, iaitu model dengan bumbung logam yang boleh dilipat.
RF adalah akronim kepada ’Retractable Fastback‘. Ia adalah rekaan pertama seumpamanya dan berbeza sedikit dari cabriolet atau convertible biasa. Jika bumbung kereta ini terpasang, bentuk keseluruhan MX-5 RF adalah hampir kepada bentuk Fastback (seperti Ford Mustang Fastback atau Toyota Celica Fastback generasi pertama) dan tidak seperti Roadster hardtop lain. Selepas bumbung dibuka dan dilipat kedalam pula, penampilan RF ini lebih kepada sebuah kereta sport ‘Targa Top‘ (seperti Toyota Supra Targa Top atau Porsche 911 Targa), dan tidak kelihatan seperti Roadster.
Bumbung, cermin belakang dan panel sisi berkenaan dilipat dan disimpan pada bahagian belakang, dengan bantuan elektrik dalam masa hanya 12 saat, dan boleh dioperasikan pada kelajuan di bawah 10km/j.
Bermaz juga dikatakan akan membawa masuk MX-5 RF versi transmisi enam-kelajuan manual, berbanding model soft top sedia ada hanya ditawarkan dengan varian automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan. Pilihan enjin masih lagi kekal, di mana MX-5 RF dijana oleh enjin petrol SkyActiv-G 2.0 liter dengan sistem pancitan bahan api terus berkuasa 158 hp/200 Nm.
Model ini juga disahkan akan dilancarkan bersama MPV tujuh-tempat duduk CX-9 baharu, sama ada hujung tahun ini atau awal tahun 2017. Walau bagaimanapun, tiada lagi petunjuk untuk harga jualan ini di Malaysia, tetapi sumber berkenaan memberitahu versi hard top ini dijangka akan dijual sedikit mahal berbanding versi soft top yang kini dijual pada harga RM219,999 buat masa sekarang.
GALERI: Mazda MX-5 2.0 RF Hardtop
GALERI: Mazda MX-5 2.0 Soft Top
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.