Jenama yang sinonim dengan budaya K-Car custom, Daihatsu, akan ke Tokyo Auto Salon 2017 dengan 11 model yang diubahsuai. Jenama berkenaan akan menampilkan empat tema ubahsuai berbeza di pameran budaya ubahsuai kenderaan terulung di Jepun itu.

Tema pertama digelar Sporza, menampilkan rupa yang paling sporty diantara kesemua tema. Empat model dipilih untuk diterapkan dengan tema ini iaitu Copen, Boon, Thor dan Move Canbus. Kesemua model dengan tema Sporza ini menerima warna merah dan hitam pada bahagian luaran, digandingkan dengan rim berwarna emas.

Yang kedua pula digelar Grand Custom, diberikan kepada model Thor, Tanto dan Move. Menerusi tema Grand Custom ini, ketiga-tiga model berkenaan menerima warna badan kelabu gelap dan hitam bersama kemasan krom, lampu-lampu tambahan serta rim berwarna biru.

Gaya retro diberikan pada tema ketiga yag digelar Beach Cruising, diberikan pada Move Canbus dan Boon. Kedua-dua kereta berkenaan diberikan warna biru muda, kemasan-kemasan kayu serta rim bersalut krom. Khas untuk Canbus, ia turut diberikan kemasan white wall pada kesemua tayar.

Tema terakhir pula digelar Cross Field, diterapkan pada dua buah model iaitu Cast Activa dan Wake. Kedua-dua model ini menerima warna badan hijau gelap dengan elemen oren pada rim dan juga kemasan-kemasan tertentu.

Walau bagaimanapun, Daihatsu tidak mengumumkan sama ada kesemua kereta ini hanya diberikan perubahan estetik pada bahagian luaran ataupun turut melibatkan pengubahsuaian pada enjin dan sistem mekanikal lain.