Susulan kemalangan maut membabitkan bas ekspres, membabitkan 14 maut selepas bas berkenaan terjunam ke dalam cerun sedalam 10 meter di KM137.3 Lebuh Raya Utara-Selatan di Muar, Johor pada Sabtu lepas, Bernama melaporkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mencadangkan supaya syarikat bas ekspres menyemak semula mekanisme memberi upah berbentuk komisen kepada pemandu bas.

Menurut Pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar, pemandu bas perlu diberi gaji asas yang lebih tinggi bagi mengelakkan mereka terlalu mengejar komisen sehingga terdedah kepada risiko kemalangan akibat faktor keletihan dan pemanduan laju.

“Bila gaji asas yang diberi tidak tinggi, ia menggalakkan pemandu mengejar ‘trip’ untuk mendapat komisen bagi meningkat pendapatan mereka,” katanya kepada pemberita semalam dan menambah operator bas ini perlu digalak untuk memberi gaji yang lebih tinggi kepada pemandu mereka

Namun, Syed Hamid menjelaskan cadangan tersebut bukanlah penyelesaian total terhadap isu keselamatan bas ekspres tetapi beliau percaya ia merupakan sebahagian penyelesaian bagi mengelak pemandu keletihan ketika memandu. Dengan penyelarasan itu juga, syarikat atau operator bas juga perlu dibenarkan untuk mengenakan tambang yang lebih fleksibel supaya mampu membayar gaji lebih tinggi kepada pemandu mereka.

Syed Hamid turut menjelaskan, menurut ‘traffic ordinance‘, SPAD hanya mengeluarkan lesen (operator bas), perkara lain (berkaitan had laju dan pemandu) adalah di bawah (bidang kuasa) JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) dan polis trafik. SPAD tidak mempunyai kuasa untuk memeriksa pemandu dan kawal kesalahan had laju.

Justeru, beliau meminta orang ramai supaya tidak mudah menuding jari terhadap suruhanjaya berkenaan apabila berlakunya sesuatu kejadian kemalangan atau kesalahan lalu lintas oleh kenderaan awam dan berat. “Kita boleh suspended (gantung) lesen jika ada kes melibatkan bas ekspres sehingga kita puas hati, yang itu di bawah bidang kuasa kita,” katanya.

Beliau berharap semua agensi berkaitan perlu duduk bersama bagi membincangkan pengenalan undang-undang baharu atau pelaksanaan langkah-langkah penambahbaikan perkhidmatan kenderaan bas. “Di pihak SPAD kita berminat dengan cadangan seperti pemasangan ‘seat belt’ dalam bas ekspres, ini perlu dibincang bersama,” katanya lagi.

Tambah Syed Hamid lagi, Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya (MIROS) misalnya, akan mengemukakan hasil siasatan dan cadangan terhadap kes-kes kemalangan yang boleh diaplikasikan oleh kerajaan bagi mengelak kejadian sama berulang.