Tahun 2016 merupakan sebuah penanda aras baharu bagi pasukan editorial paultan.org Bahasa Malaysia. Sejak beralih ke laman web utama ini bermula Januari 2016 – sebelum ini ia berdiri sendiri dan dikenali dengan nama InfoKereta.com – kapasitinya juga kian berkembang.

Awalnya, ia diusahakan oleh Izwaashura Sadali seorang sejak dua tahun lalu. Ia kemudian menerima pertambahan tiga orang lagi ke dalam pasukan ini. Farid Awaludin, yang mula menyertai sekitar Februari lalu, hadir dengan minat dan pengalaman yang tersendiri dalam hal-hal teknikal dan mekanikal.

Dia menjadi individu rujukan kami semua berkaitan perkara seperti itu. Sebelum ini, dia terlibat sekali bersama Izwa dengan majalah Auto Maskulin terbitan Karangkraf, sebelum bertugas di pusat servis bagi beberapa jenama kenderaan sebelum kembali ke pangkuan industri media.

Pada Julai, Hazril Hafiz pula ikut serta. Sejak 2007, dia mula terlibat di dalam penerbitan sebuah sisipan automotif medium cetak di BH Auto (terbit di dalam akhbar Berita Harian). Dengan kecenderungan terhadap bahasa dan hal-hal lain selingkar dunia automotif (terutama dari aspek perkembangan teknologi), medium digital tidaklah dirasakan begitu janggal untuk dia lekas menyesuaikan diri.

Durrani Sharom merupakan tambahan terakhir bagi editorial Bahasa Malaysia ini. Juga dengan latar media automotif yang sama di BH Auto, ini orangnya yang sangat dekat dengan dunia jentera dua roda, selain turut merupakan seorang pemandu yang gemar menguji sempadan kemampuan sesebuah kenderaan, kadang-kadang dengan cara yang agresif.

Selain itu, turut ditampilkan di sini ialah Sherman Sim, Pengarah Fotografi bagi kumpulan besar Driven Communication, termasuk Paultan.org (bagi editorial Inggeris, BM dan Mandarin) yang berkhidmat sejak Mac 2012. Hasil kreativitinya diserlahkan menerusi foto-foto yang dirakamkan, ditambah dengan minat terhadap dunia automotif membuatkan beliau mampu ‘menghidupkan’ hasil bidikan lensanya.

Jadi, kepada semua pembaca, anggaplah artikel ini sebagai salam perkenalan rasmi daripada kami. Mungkin, sebelum ini anda hanya pernah terlihat nama-nama kami, kini, sedikit sebanyak latar belakang dan wajah individu-individu yang menggerakkan seksyen Bahasa Malaysia untuk laman web ini kami persembahkan kepada umum.

Semacam tanda menghulurkan tangan untuk dijabat dengan lebih erat selepas ini, kami sediakan bingkisan khas ini, yang memaparkan kenderaan-kenderaan persendirian yang kami gunakan sehari-hari, di dalam penampilan yang jujur dan bersahaja.

Dengan semua pengalaman yang kami ada, tentulah tujuannya hanya satu; untuk menyediakan kandungan perihal automotif tempatan dan antarabangsa, di dalam Bahasa Malaysia yang kemas dan padat, untuk dinikmati oleh semua pembaca. Semoga tahun 2017 nanti akan lebih meriah dan bermanfaat untuk kita semua. Sementara itu, salam kenal daripada kami.

Izwaashura Sadali – Subaru XV 2.0 STI Performance Edition 2015

Mula mengidamnya sejak pertama kali melihatnya pada penghujung tahun 2012. Namun ketika itu, hati belum terbuka untuk membeli jentera baharu, apatah lagi saya lebih menggemari transmisi manual. Namun empat tahun kemudian, saya membuat keputusan untuk ‘memadukan’ Proton Wira Aeroback SE 2006 M/T yang telah dilenjan hampir sedekad (dan mungkin sampai dekad akan datang.. selagi ia masih mampu berkhidmat dengan cemerlang!)

Cinta pandang pertama yang tercetus bila mana melihat Subaru XV ini disebabkan imej luarannya yang nampak ranggi dan sporty. Rekaan dalamannya hanya sekadar biasa-biasa saja, sedikit konvensional dan tidak sarat dengan elemen berteknologi tinggi. Tapi bila saya berpeluang memandu ujinya, ternyata ia SUV Crossover yang menepati citarasa saya. Enjin boxer 2.0 liter bersama transmisi Lineartronic CVT enam-kelajuan dirasakan cukup ‘adunan’.

Bukan itu saja, team Paultan.org terutamanya Jonathan Lee, banyak ‘meracuni’ saya dalam membuat pilihan ini. Maka, akhirnya XV model 2015 versi STI Performance ini menjadi ‘boyfriend’ kedua saya (selain Wira Aeroback). Ya, bukan versi 2016 (sila jangan tanya kenapa). Kerana asalnya dari Jepun (walau pun model pemasangan tempatan (CKD)), ia diberi nama ‘Ninja-san’. Buat setakat ini, prestasinya memang menguja, terutama pengendaliannya yang cukup serasi, tak kira untuk pemanduan secara santai mahu pun sedikit agresif.

Sebenarnya sedari dulu, saya memang penggemar SUV. Walau pun saya cuma bertubuh genit dengan ketinggian 150cm, tapi saya sukakan kenderaan yang besar. Sebabnya bila memandu kereta yang lebih kecil, saya sering kali ‘dibuli’ di jalan raya! Termasuklah ketika memandu uji mana-mana model hatchback atau kompak.

Jadi SUV memang pilihan saya, selain bersaiz besar, selalunya ia juga kelihatan lebih macho. Dan SUV idaman saya ialah Range Rover Evoque. Ia bukan sahaja kelihatan berketerampilan di bahagian luar dan dalam, malah prestasinya cukup mengujakan. Entah bilalah dapat memilikinya kerana harganya…memang krikk krikkk krikkk. Gua belum mampu lagi, beb!

Farid Awaludin – Volvo 240GL 2.3L Injection 1992

Semasa berstatus bujang dahulu, saya mempunyai sebuah Honda Civic hatchback generasi kedua yang digunakan sebagai kereta harian, dan juga sebuah Datsun 120Y B310 yang diubahsuai sebagai kereta hujung minggu. Beberapa bulan sebelum berkahwin, saya mula merancang untuk mengubah mod pengangkutan ini supaya lebih mesra keluarga.

Setelah menyenarai pendek sedan-sedan segmen-B baharu yang berada dalam lingkungan bajet dan merancang untuk menjual Datsun 120Y, saya sedar yang sebenarnya saya belum bersedia untuk ‘move on’ dengan menjadikan sebuah kereta yang saya tidak minat untuk memandunya setiap hari, serta menanggung bayaran bulanan yang agak tinggi.

Volvo 240GL Injection dengan transmisi manual lima-kelajuan tahun 1992 merupakan pilihan terbaik untuk tujuan ini dan kena dengan jiwa saya. Ia sebuah sedan pacuan roda belakang, dengan bentangan sistem mekanikal yang ringkas – seperti sebuah Toyota Corolla KE70 tetapi dengan saiz yang lebih besar serta besi yang lebih padu.

Tambahan pula, dengan pengalaman bekerja bersama jenama ini di bahagian servis selepas jualan, saya dikelilingi kawan-kawan yang boleh dirujuk untuk mencari alat ganti dan sebagainya.

Sedikit sentuhan diberikan bagi membolehkan batu-bata ini dikenali sebagai ‘kereta Farid’. Gantikan rim asal kepada rim 17-inci dengan bukaan yang lebar, dan rendahkan. Kemudian, semua rakan dan kenalan tahu di mana saya berada.

“Bro, enjin 2JZ ke RB ni?” Ini merupakan soalan yang sudah tahap penat untuk saya jawab setiap kali ada individu yang pertama kali melihat kereta ini. Saya masih lagi mengekalkan enjin asal B230E 2.3 liter empat-silinder dengan suntikan bahan api mekanikal K-Jetronic. Walaupun agak selekeh dengan kesan minyak di sana-sini, enjin ini masih cemerlang berkhidmat. Tukar enjin? Mungkin satu hari nanti, tapi mestilah enjin dari Volvo juga!

Sebagai peminat lagenda rali dunia mendiang Colin McRae sejak dari bangku sekolah, sudah tentu saya mengimpikan untuk memiliki sebuah Subaru Impreza WRX STi GC8. Namun sejak menjadi ayah kepada dua orang anak, terdetik pula untuk membeli wagon Volvo 855 T5 dengan transmisi manual.

Tapi, ini semua angan-angan yang tak payah pakai duit. Untuk tempoh terdekat, saya lebih menumpukan untuk mencari ruang dan peluang bagi merestorasi Volvo 240 ini ke tahap yang lebih baik.

Hazril Hafiz – Toyota Corolla SEG 1.3 Manual 1992

Bagaimana ya hendak dimulakan? Toyota SEG ini adalah kereta pertama yang saya miliki, sejak tahun 2007 kalau tak silap, dan kekal sehingga hari ini. Asalnya, ia datang dengan angan-angan yang tersendiri; saya hanya perlukan sebuah kereta “lama” waktu itu, yang perlahan-lahan akan dibikin semula, bergantung kepada keadaan.

Malangnya, selepas sembilan tahun bersama kereta ini, tak banyak yang berubah. Selain menggantikan alat-alat ganti yang perlu, hanya cat badannya sahaja disembur semula pada Disember 2014. Itupun kerana cat asal sudah teruk mengelupas dibahagian bumbung – khuatir keadaannya akan melarat dan membawa masalah lain; karat.

Banyak pengalaman yang saya tempuhi bersama kereta ini. Kita tumpukan kepada yang tak berapa menyenangkan. Sepanjang tempoh memilikinya, cuma dua atau tiga kali ia menghadapi masalah teruk, yang memerlukannya ditunda. Janganlah buat-buat hairan, kereta baharu sekarang pun, yang usianya pucuk muda, selalu kita nampak di atas trak tunda kerana kerosakan yang entah apa. Inikan pula kereta “lama”.

Tetapi, itupun disebabkan kerana saya sendiri yang tidak terlalu prihatin terhadapnya. Hanya selepas kejadian-kejadian seperti itu, barulah bahagian-bahagian atau alat gantinya ditukarkan kepada yang baharu. Bahagian yang belum memberi masalah, ia masih kekal pada kereta ini, sama sejak pertama kali saya memandunya pulang dari kedai kenderaan terpakai dulu.

Walaupun dalam keadaan seperti seadanya, ia masih setia – kereta ini bukan sahaja menjadi satu-satunya kereta yang saya miliki, tetapi turut menjadi peneman di dalam perjalanan ke luar kawasan, misalnya pulang ke Sitiawan, Perak tanpa sebarang masalah.

Mengapa saya masih menggunakan kereta ini, sedangkan banyak peluang yang terhampar untuk saya bertukar kepada model-model kenderaan lain yang lebih baharu, maju dan selesa? Untuk saya, mungkin kerana kereta ini sangat “straight-forward”. Dengan enjin karburetor berkapasiti kecil yang jimat, ia sebenarnya jauh lebih seronok dipandu berbanding kebanyakan model kereta baharu dalam lingkungan kategori yang sama sekarang.

Kedua, saya tidak pula mempunyai jangkaan yang terlalu tinggi untuk kereta milik sendiri; cukup jika ia boleh digunakan secara harian untuk hal-hal rutin dengan tidak memberikan banyak masalah, itu sudah memadai. Tambahan pula, tidak terikat dengan hutang bank untuk kereta kini saya rasakan seperti satu nikmat yang sukar diungkapkan.

Jika tidak memandu kereta ini, kaedah pengangkutan lain yang kadang-kadang saya gunakan ialah sebuah Ford Fiesta milik isteri (ini lebih selesa, dan pendingin hawanya lebih sejuk), atau kereta untuk tujuan laporan pandu uji, atau yang agak kerap juga, pengangkutan awam termasuk GrabCar. Jadi untuk kereta sendiri, saya tidak terlalu cerewet.

Cuma, kebelakangan ini, idea-idea lama untuk membikin semula kereta ini datang balik, entah dari mana. Saya mula berangan-angan lagi untuk menjadikannya kenyataan. Beberapa teman juga galak “menghasut”, jadi mungkin sudah sampai waktunya saya mempertimbangkannya dengan lebih serius.

Tetapi, buat masa ini, saya menerima seadanya, tanpa banyak rungutan. Oh ya, tempat duduk belakang agak kotor kerana sekarang saya kerap angkut basikal saiz penuh di dalamnya – terkena minyak rantai. Radio pun dah rosak.

Durrani Sharom – Yamaha LC135 V1 2009

Dalam bidang penulisan automotif, ramai yang beranggapan saya ‘mat motor’ kerana pada kebanyakan masa dilihat menunggang motosikal dan jarang sekali memandu kereta kecuali unit pandu uji. Apa yang tidak ramai tahu, saya asalnya memang ‘kaki kereta’.

Sejak mendapat lesen pada umur 17 tahun, pengangkutan utama saya adalah kereta bermula dengan Kancil 850 milik keluarga, diikuti Datsun 120Y B210 ‘tonggek’ – kereta pertama yang dibeli sendiri dan berakhir dengan Nissan Bluebird U11 (masih dimiliki hingga kini).

Jika ingin bercerita berkenaan U11 yang saya miliki sudah hampir 10 tahun jika tidak silap, memang boleh dibuat buku dengan pelbagai perkara yang dipelajari. Apatah lagi, kereta itu sudah jauh keadaannya berbanding asal dengan kini dipacu enjin SR20DET dari model Nissan Primera dan hampir keseluruhan bahagian sudah ‘disentuh’ oleh saya sendiri.

Dipendekkan cerita, ia memberikan saya pelbagai pengetahuan dan pengalaman berkenaan jentera empat roda dan pemanduan. Dan saya juga bersyukur tidak berhadapan sebarang insiden serius meskipun pada masa itu masih ‘berdarah muda’ dan memandu kereta lama, tanpa ABS atau sistem keselamatan canggih, tetapi mempunyai lebih 240 hp.

Sebelum memasuki bidang penulisan automotif ini, saya banyak bekerja di luar Kuala Lumpur dan bergerak dengan menggunakan van atau lori syarikat. Jadi pada masa itu, motosikal tidak diperhatikan. Bila memasuki kerjaya baru ini, dengan banyak pergerakan di dalam Kuala Lumpur dan Lembah Kelang, saya fikir, ia adalah masa sesuai.

Bukan setakat kerana kereta saya tidak ekonomikal, menggunakan transmisi manual dan mempunyai klac keras, malah saya tidak boleh menerima hakikat terperangkap dalam kesesakan. Demi ketenangan otak dan pengurusan masa yang lebih baik, saya berakhir dengan Yamaha LC135 ini.

Pada masa sama, saya dapati tidak ramai yang membuat laporan tunggang uji, jadi, saya juga menaik taraf terus kepada lesen B penuh supaya boleh menulis berkenaan motosikal berkapasiti tinggi.

Tujuh tahun berlalu, inilah pengangkutan utama saya pada kebanyakan masa. Keadaannya standard sahaja, cuma baru-baru ini saya menukar blok enjinnya kepada unit dari FZ150 memandangkan enjin itu memang perlu dibuka kerana sudah berbunyi teruk akibat minyak hitam kering dan tetap dibelasah (terlupa diperiksa kerana sering ditinggalkan apabila mendapat unit pandu/tunggang uji).

Bagi saya, tiada masalah untuk bergerak ke mana sahaja dengan motosikal ini. Saya dapat menjimatkan banyak masa, dan bila hujan, sarung sahaja baju hujan. Tapi malangnya, kotak belakang saya yang menyimpan baju hujan dan helmet juga baru-baru ini telah dicuri. Ini sajalah yang sedikit merisaukan apabila memiliki motosikal – penyangak.

Walaupun saya kini lebih banyak membuat laporan tunggang uji, saya masih lagi gemar memandu, terutama sekali apabila terdapat sesi di dalam litar. Di atas jalan biasa, jika pada waktu yang diketahui sesak (kalau di KL boleh dikatakan sepanjang masa kecuali tengah malam), memang saya akan bergerak dengan kapcai sahaja. Sekarang, saya mempunyai perspektif yang berbeza berkenaan pengangkutan dan kenderaan berbanding dulu.

Walau bagaimanapun, dalam fikiran saya masih bermain-main gambar Nissan Skyline R32 GTR dan Porsche 911 964/930 sebagai kereta idaman. Kedua-dua dianggap dapat memuaskan saya yang gemarkan ‘rasa terus’ pemanduan sebenar.

Bagi motosikal, walaupun sudah pernah membawa pelbagai model, saya masih belum dapat membuat keputusan satu yang betul-betul sesuai. Saya cuma sukakan semua keadaan tunggangan dan sudah tentu, tiada satu motosikal yang dapat melakukan semuanya. Jika mahu membeli sebuah, berkemungkinan saya akan pergi kepada motosikal jenis jelajah.

Sherman Sim – Alfa Romeo 155 2.0 Twin Spark 1996

Bukanlah suatu perkara yang boleh dianggap jenaka apabila memiliki Alfa Romeo, walau hakikatnya pasti ada yang ketawakan anda kerana memilihnya. Masalah kerosakan, kos membaikpulih yang tinggi dan kesukaran mendapatkan alat ganti, memanglah menjadi satu masalah untuk buat pemilik Alfa ini. Namun, atas alasan minat terhadapnya, ia mampu menukarkan rasa yang ‘sukar’ itu kepada kepuasan dan keterujaan.

Enam tahun dahulu, pertama kali saya terlihat kereta ini di sebuah stesen minyak, yang pada hemahnya begitu menarik perhatian saya. Ia cukup cantik dan sempurna di mata saya – Alfa Romeo 155 2.0 “Widebody” Twin Spark dengan kekemasan warna Blu Nord Metallic. Kenapa memilih Alfa 155? Atas pengaruh seorang teman rapat yang merupakan pemilik Alfa Romeo 155 2.5L V6, saya ‘diracuni’ secukupnya untuk mendapatkan kereta tersebut. Dan hingga ke saat ini, walau pun telah menguji pelbagai model kereta, ia masih menjadi kebanggaan saya, malah memberikan kepuasan yang cukup optimum ketika memacunya.

Tahun demi tahun, saya telah melakukan sedikit penambahbaikan untuk bahagian prestasinya – roda, suspensi, chip, intake, dan ekzos. Walau pun masih terlalu jauh jika hendak dibandingkan dengan jentera lumba BTCC dan DTM, namun ia bukanlah suatu perkara yang membosankan. Bagi Alfa 155 saya ini, buatan tahun 1996, ya sudah menjejaki tahun ke-20 dan bagi saya, mengendalikannya adalah pengalaman yang terbaik berbanding kereta moden lain yang sama dengan kelasnya. Dengan rekaan badan “wedge” yang dipadankan bersama enjin empat-silinder, keupayaannya tidak perlu disangkal. Saya amat menyukai kereta ini.

Ketika zaman di kolej dahulu, saya memasang impian untuk memiliki kereta sport buatan Jepun, seperti mana kebanyakan yang dilakukan oleh pelajar-pelajar lelaki lain. Mitsubishi Lancer Evolution VI menjadi idaman saya. Dengan bodywork yang agresif, enjin pengecas turbo penuh berkuasa dan sistem pacuan semua-roda, ia cukup sempurna bagi lelaki muda. Tetapi, hingga kini ia masih kekal sebagai impian kerana terlalu jauh untuk saya gapai dan mungkin juga tidak dapat dimiliki dalam masa terdekat.