Tahun ini, Naza Kia Malaysia melangkah lebih agresif dengan membawa masuk lebih banyak model baharu ke pasaran tempatan. Selepas memperkenalkan MPV Kia Grand Carnival, giliran sedan Optima dan Rio hatchback pula bakal dilancarkan sebelum kalendar 2017 berpamitan.

Selain Optima, Rio hatchback pastinya yang ditunggu-tunggu oleh oleh penggemarnya di sini. Terdahulu, model generasi ketiga yang dilancarkan pada Januari 2013, kemudian menerima beberapa kali penambahbaikan menerusi model facelift.

Terkini, Rio 2017 muncul di peringkat global, dengan peningkatan yang lebih signifikan, walau pun tiada perubahan daripada sudut mekanikalnya. Cuti Tahun Baharu Cina yang lalu, Naza Kia Malaysia sempat menerbangkan kami ke Melbourne, Australia, untuk memandu uji model versi negara tersebut.

Malah menurut Kia Motors Corporation (KMC), Rio 2017 yang bakal tiba di Malaysia adalah lebih kurang sama dengan versi Australia. Termasuk penjana kuasa yang ditawarkan. Secara tidak langsung, sesi pandu uji ini mampu memberikan gambaran awal mengenai Rio 2017 yang bakal tiba ke nagara kita tidak lama lagi.

Namun untuk pasaran Australia, Rio 2017 ditawarkan dengan tiga varian; SLi bagi spesifikasi tertinggi, manakala Si untuk varian pertengahan dan S pula model paling asas. Harganya bermula $16,990 (RM57,967) untuk S manual dan automatik pula $19,090 (RM65,167), $21,490 (RM73,367) untuk SL dan yang tertinggi SLi pula $22,990 (RM78,132), kedua-duanya adalah harga sebelum kos atas jalan.

Untuk pandu uji ini, kami diberikan varian Si, namun sudut mekanikalnya masih sama untuk ketiga-tiga varian. Cuma yang berbeza adalah sedikit elemen pada bahagian luaran dan dalamannya sahaja.

Menerima transformasi gaya yang lebih menarik, Rio 2017 ini mengadaptasi evolusi terbaharu dari Kia dengan gril ‘Hidung-Harimau’ yang menyerlahkan lagi imej hadapannya. Ia turut ditampilkan dengan lampu utama automatik dusk sensing bagi ketiga-tiga varian.

Namun untuk varian Si dan SLI, rekaan gril telah dipertingkatkan dengan penutup gril berwarna hitam berkilat, bersama lampu utama automatik dan lampu nyalaan siang LED berbentuk-U dengan alis. Manakala lampu kabus halogen untuk varian S.

Bagi bahagian belakangnya, Rio 2017 kelihatan masih mengekalkan rekaan tradisionalnya dengan cermin belakang yang sedikit menegak bagi mengurangkan overhang di bahagian tersebut. Manakala lampu belakang LED berbentuk-anak panah menjadi pilihan bagi varian SLi.

Jika melihat luaran bagi semua varian, antara elemen yang diterima secara adil dan saksama hanyalah bampar, pemegang pintu dan perumah cermin sisi yang sama dengan warna badan dan lip spoiler di belakang.

Walau bagaimana pun, SLi menerima padanan beltline krom, solar glass (untuk cermin hadapan & pintu hadapan), privacy glass (cermin belakang & pintu belakang) dan bilah pengelap cermin hadapan automatik dengan pengesan hujan.

Malah varian SLi turut ditampilkan dengan bumbung matahari dan juga rim aloi bersaiz 16-inci (menggantikan 17-inci aloi pada model terdahulu). Sementara varian Si pula dengan rim aloi 15-inci (16-inci bagi model terdahulu) dan S pula kekal dengan rim keluli 15-inci.

Jika meneliti dimensi bagi Rio versi sebelum ini, ia berukuran 4,045 mm bagi panjang, selebar 1,720 mm, setinggi 1,455 mm dan jarak rodanya pula 2,570 mm. Namun ada sedikit perbezaan dengan Rio 2017, di mana panjangnya kini lebih 20 mm (menjadi 4,065 mm), 5 mm lebih panjang (1,725 mm) tetapi tingginya dikurangkan sebanyak 5 mm (kini 1,450 mm), manakala jarak rodanya pula lebih 10 mm (dengan 2,580 mm).

Ini memberikan lebihan ruang untuk bahagian kabin dan juga sekali gus meningkatkan ruang kapasiti untuk but belakang mencapai 325 liter dalam keadaan tempat duduk belakang normal (berbanding 288 liter bagi model sebelum ini). Sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan, ia boleh mencecah sehingga 980 liter.

Malahan menurut Kia, penambahan ruang dalaman bukan hanya disebabkan jarak rodanya yang turut ditambah, malahan ia turut dipengaruhi oleh kekemasan pintu, material bagi headlining dan bentuk papan pemukanya yang baharu.

Tambah Kia lagi, saiz bagi tiang-C juga dikurangkan sebanyak 87 mm, sementara cermin pintu telah dipindahkan ke tiang-A untuk mempertingkatkan tahap penglihatan.

Bagi Rio 2017 yang diproduksi di fasiliti Kia di Sohari, Korea Selatan, turut menyaksikan perubahan binaan kerangka sebanyak 51% dengan penggunaan keluli berketahanan tinggi, berbanding hanya 33% pada model sebelumnya.

Ia bukan sahaja memberikan keselamatan yang lebih terjamin terutamanya jika terlibat dengan kemalangan, bahkan penggunaan keluli berketahanan tinggi pada tiang-B dan A termasuk pada struktur bumbung dapat memberikan keseimbangan yang lebih jitu pada casis.

Seperti mana yang dinyatakan, Rio 2017 masih mengekalkan penjana kuasa yang sama iaitu 1.4 liter MPI empat-silinder DOHC D-CVVT dengan kuasa 74 kW pada 6,000 rpm dan tork 133 Nm pada 4,000 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear konvensional automatik empat-kelajuan bagi semua varian. Namun varian S mempunyai pilihan transmisi manual enam-kelajuan.

Jika mengikut risalah spesifikasi yang diberikan, penggunaan bahan apinya adalah sekitar 6.2L bagi setiap 100 km untuk automatik dan 5.6L bagi setiap 100 km untuk manual.

Kami memandu ke Yarra Valley, iaitu hampir 100 km dari bandaraya Melbourne, mengambil masa hampir satu jam setengah perjalanan melalui lebuhraya dan pekan kecil. Di Melbourne, had kelajuan adalah antara 80 hingga 100 km/j untuk lebuhraya, manakala 50 km/j bagi pekan kecil. Sebelum memulakan perjalanan, pihak Kia meminta kami mengikut had kelajuan bagi mengelakkan disaman oleh polis trafik di sana. Memang banyak kamera had laju di sepanjang perjalanan, jadi kami memilih untuk memandu secara santai dan mengikut had laju yang ditetapkan.

Mujur juga kami memandu secara santai, sebab ia lebih sesuai dengan karateristik bagi Rio 2017 ini yang lebih dikenali sebagai kereta urban. Dengan kuasa yang dihamburkan oleh enjin, hanya bertahap sederhana, termasuklah nisbah gearnya yang tidak begitu pantas bagi varian auto. Malah hamburan tork juga sekadar sederhana. Jadi bila memandu di kawasan tengah bandar, mahu pun di pinggir bandar yang padat dengan kenderaan, ia memang cukup bersesuaian.

Namun apabila merentasi lebuhraya, tatkala mahukan kuasa yang lebih padu, sedikit hampa. Apatah lagi apabila kenderaan yang pada mulanya bergerak secara perlahan, dan mahu menambahkan anjakan kuasanya, ia seakan mengambil masa.

Ada tikanya, kerahan kuasa terpaksa dilakukan terutamanya ketika mahu memotong kenderaan di hadapan. Sampaikan tekanan pada pedal pendikit hingga ke lantai kenderaan. Melainkan meter kelajuan sudah melepasi 80 km/j, barulah terasa kuasanya mula bernafas dengan tenang dan ummpph!

Bila merentasi lebuhraya menuju ke Yarra Valley, nasib baik tidak banyak jalan berbukit. Jika merentasi laluan sebegini, kesabaran perlu berlipat kali ganda. Bukan kerana enjinnya tiada kuasa langsung, cuma kurang berkuasa.

Walau pun prestasi kuasanya hanya pada tahap sederhana, namun pengendaliannya terasa ada peningkatan. Terutamanya pada bahagian suspensinya.

Bagi pasaran Australia, jurutera di sana telah bekerjasama dengan pasukan dari Korea Selatan bagi menambah pakej suspensi untuk mendapatkan lagi ‘rasa’ peredam (damper) yang lebih mantap dan juga pengendalian yang lebih dinamik. Maka Rio 2017 versi Australia diberikan talaan suspensi RS yang diambil dari model Cerato.

Kia turut berkata Rio baharu ini lebih tegar bagi topang suspensi hadapan, sementara palang torsion belakang yang ditingkatkan telah membantu hatchback ini lebih stabil berbanding model sebelumnya.

Malah turut mengaplikasikan teknologi injap yang lebih linear bagi pra-muatan baharu untuk penyerap hadapan untuk menyerap kesan hentakan yang seringkali dihadapi ketika melalui jalan luar bandar di seluruh Australia disebabkan keadaan jalannya yang kurang berkualiti di beberapa daerah tertentu.

Begitu juga dengan olengan badannya, tidak begitu terasa seperti mana model terdahulu. Pastinya suspensi dan peredam yang ditala baru ini sangat membantu dalam mengurangkan olengan badannya.

Bukan itu sahaja, kotak stereng berkuasanya juga telah diposisikan semula bagi memberikan lebih keyakinan dalam pemanduan yang berdinamik. Malahan kawalan sterengnya juga terasa lebih tepat dan senang untuk dikendalikan waima ketika melakukan pusingan-U.

Namun penulis agak menyenangi ruang dalamannya, kelihatan ringkas tetapi bersesuaian dengan imej yang dibawa oleh Rio 2017 ini. Malah ia dilihat mampu menyaingi model pesaingnya, Mazda 2.

Bentangan papan pemukanya diperkemaskinikan, dan rekaan kabin yang lebih ergomonik, bersama garisan melintang yang menampakkan keluasan dalamanya. Konsol tengah dihadapkan kepada pemandu dan skrin untuk sistem informasi dan hiburan dijadikan kelihatan seperti terapung.

Ia turut menampilkan roda stereng dan tombol gear yang lebih premium bagi varian Si dan SLi. Malah turut menampilkan kawalan kelajuan pada roda stereng dan sentuhan kekemasan hitam berkilat bagi kedua kedua-dua varian terbabit.

Bagi varian SLi, ia turut ditampilkan dengan kekemasan premium untuk dalaman (bersama perehat tangan sentuhan lembut), kluster instrumen Supervision, kawalan suhu automatik (manual untuk varian S dan Si) dan pedal sport aloi.

Ketiga-tiga varian turut berkongsi dengan banyak elemen yang sama. Antaranya kekemasan perak sutera untuk roda stereng dan pemegang pintu, paparan suhu ambien (antara kluster instrumen), dua punca kuasa bagi 12 volt, dua port pengecas USB dan glovebox dengan iluminasi.

Bagi infotaimen, ia turut menampilkan skrin sesentuh LCD berwarna tujuh-inci dengan pemain audio, MP3 serta penala AM/FM, enam-pembesar suara, sambungan Bluetooth, AUX/USB dengan sambungan iPod, Android Auto dan Apple CarPlay. Varian Si dan SLi turut didatangkan dengan navigasi satelit dengan informasi trafik (SUNA) dan DAB+.

Rio 2017 ini berkapasiti lima tempat duduk. Bagi varian S dan Si, tempat duduk material Tricot menjadi pilihan, sementara SLi pula tampil lebih premium. Ruang kakinya dipertingkatkan sehingga 1,120 mm untuk tempat duduk hadapan dan 770 mm di belakang. Manakala ruang kepala pula 770 mm di hadapan dan 966 mm di belakang. Serta ruang bahu dengan ukuran 1,375 mm di hadapan dan 1,355 mm di belakang.

Bagi aspek keselamatan pula, kesemua varian dilengkapi dengan ABS bersama EBD dan Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Elektronik dengan TCS, Sistem Pengurusan Kenderaan (VSM), Bantuan Mula Mendaki (HAC), pengesan parkir belakang, dua cagak ISOFIX, kamera pandang belakang dengan panduan untuk parkir dinamik serta cermin pandang belakang (siang & malam).

Tambahan untuk varian SLi yang didatangkan dengan paparan pengesan parkir dan cermin pandang belakang elektrokromatik (auto dimming).

Terdapat enam pilihan warna sedia ada iaitu Clear White, Silky Silver, Platinum Graphite, Aurora Black Pearl, Signal Red dan Smoke Blue. Dan ada satu warna baharu yang bakal muncul bagi model produksi mulai Julai 2017 iaitu Mighty Yellow.

Jadi, adakah Rio 2017 yang bakal diperkenalkan di Malaysia adalah sama dengan versi Australia ini? Kena tunggu menjelang pelancarannya kelak. Enjinnya pasti tiada perubahan, bab mekanikal lain termasuk suspensi tiada perincian lagi. Begitu juga dengan elemen untuk bahagian luaran dan dalaman, aspek keselamatan dan juga harganya, kena tunggulah.

Apa pun, Kia telah mengesahkan, pihaknya ada perancangan untuk mempertingkatkan transmisi automatik bagi pasaran Malaysia untuk Rio yang akan datang (bukannya untuk model 2017), iaitu daripada empat-kelajuan ke enam-kelajuan.