AES_Camera

Bagi usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalanraya (KEJARA) akan dilaksanakan serentak selewat-lewatnya Mac ini.

Menerusi laporan yang disiarkan oleh Berita Harian, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata, keputusan pelaksanaan dua skim itu akan dibawa ke Kabinet untuk dibincangkan dalam masa terdekat sebelum ia dilaksanakan.

“Kita tidak boleh lagi berdolak dalik dalam isu keselamatan. Kerajaan terpaksa ambil inisiatif yang serius iaitu kuatkuasakan semula AES.

“Menerusi KEJARA pula, kita akan tolak mata demerit pemandu. Bila disaman, kita akan tolak mata bergantung kepada kesalahan yang dilakukan. Bila sampai 20 mata, kita akan gantung lesen pemandu,” katanya yang turut menegaskan AES dan KEJARA adalah salah satu cara berkesan dalam mengurangkan nahas jalan raya.

“Tujuan utama kita nak selamatkan nyawa. Kerajaan tak berniat nak denda pemandu tetapi kita nak ubah sikap pemandu agar mereka bertanggungjawab terhadap jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, pada masa ini terdapat 14 kamera AES masih berfungsi. Pada 18 Disember 2012, Peguam Negara memutuskan supaya pelaksanaan AES dikaji semula berikutan ia mendapat tentangan hebat daripada rakyat.