Bombardier-Innovia-Metro-300

Laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya telah menerima set pertama daripada 14 kereta api metro Innovia tanpa pemandu yang akan memulakan operasi pada pertengahan tahun ini.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd., Datuk Azmi Abdul Aziz,
kereta api baharu Bombardier Innovia Metro 300 itu dijangka meningkatkan kapasiti dan menambah baik kualiti pengangkutan awam di Kuala Lumpur.

Katanya, tren baharu ini akan menyediakan kekerapan yang lebih baik dan mengurangkan tempoh menunggu di stesen, di samping memendekkan perjalanan tidak lebih daripada 2.8 minit, memetik laporan Bernama.

Kereta api generasi terkini ini dilengkapi dengan 16 televisyen litar tertutup itu mempunyai ‘Peta Laluan Dinamik’ yang menyediakan maklumat kepada penumpang mengenai arah destinasi selain ‘Sistem Pelincir Roda’ yang boleh mengurangkan gangguan bunyi tren.

Azmi berkata, kereta api baharu itu akan mampu memuatkan tambahan 20 penumpang bagi setiap gerabak, daripada kapasiti sedia ada sebanyak 200 penumpang.

Mengenai baki 13 lagi set Innovia Metro 300 baharu, Azmi berkata, konsortium Bombardier-Hartasuma akan menyerahkan satu set bagi setiap bulan kepada Prasarana sehingga Jun 2017.

Beliau berkata, kesemua set akan dihantar dari Kilang Kingston Bombardier di Kanada, yang menjadi tempat pemasangan.

Sebaik sahaja tiba di Malaysia, kereta api itu akan dihantar pula ke Kilang Hartasuma di sini untuk melengkapkan bahagian dalaman dan pengujian sebelum diserah ke Depot LRT Subang untuk pengujian lanjut dan pensijilan.

Penambahan laluan LRT Kelana Jaya akan menyaksikan 12 stesen lagi dibina antara Kelana Jaya ke Putra Height dan dijangka siap pada 30 Jun.