ASXdrive21

Sebanyak RM27.8 juta telah dibelanjakan untuk kerja pemulihan di 60 lokasi kemalangan di jalan-jalan utama dan lebuh raya pada tahun lalu.

Menurut Menteri Kerja Rata Datuk Seri Fadillah Yusof, ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan dan mengurangkan risiko kemalangan, laporan Bernama.

“Kerajaan amat mengambil berat soal ini dan berasa sedih sekiranya ada kemalangan terutamanya yang melibatkan kematian dan kehilangan anggota keluarga,” ujarnya.

Fadillah turut berkata adalah tidak berbaloi memiliki jalan dan lebuhraya kelas pertama tetapi disebabkan sikap segelintir pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan menyebabkan kemalangan boleh berlaku.

Dalam masa yang sama kementeriannya telah mengeluarkan arahan ‘henti kerja’ di lebuh raya utama selama 14 hari bermula hari ini. Ia sebagai langkah mengurangkan kesesakan di lebuh raya yang disebabkan kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan. Namun ia dikecualikan bagi kerja-kerja kritikal.

Dalam masa yang sama, larangan penggunaan kenderaan berat di jalan dan lebuh raya akan dikuatkuasakan Jabatan Pengangkutan Jalan selama empat hari.

“Ia bermula iaitu pada 6 dan 7 Feb manakala 13 dan 14 Feb kerana dijangka berlaku peningkatan trafik pada hari tersebut. Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSLKM) akan mengambil inisiatif lain antaranya mengaktifkan laluan kontra di beberapa lokasi lebuh raya yang sesak dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia,” ujarnya.