Lexus-LX470-J100

Toyota Motor Corporation (TMC) telah mengumumkan panggilan semula (recall) beberapa model Toyota dan Lexus di seluruh dunia yang terlibat dengan isu sistem beg udara. Ia melibatkan model Toyota dan Lexus yang dilengkapi dengan Curtain Shield Airbags (CSA) sisi.

Disebabkan sistem beg udara dalam Airbag Sensor Assembly (modul kawalan beg udara) tidak diprogram dengan betul, CSA yang terletak pada salah satu sisi kabin yang mungkin boleh diaktifkan secara tiba-tiba dan ini boleh menyebabkan risiko kecederaan ringan terhadap penumpang.

TMC kini sedang melakukan persediaan untuk menghantar komponen terbabit kepada semua pengedar bertauliah di seluruh dunia. Kempen Servis Khas ini akan diumumkan sebaik sahaja alat ganti tersebut boleh didapati.

Di Malaysia, setakat ini UMW Toyota Motor Sdn Bhd telah dimaklumkan oleh TMC bahawa tiada kenderaan Toyota yang terlibat dengan kempen panggilan semula ini kerana semua unit yang dijual di negara ini tidak dilengkapi dengan CSA.

Walau bagaimana pun, TMC telah mengesahkan hanya satu sahaja unit yang terlibat iaitu Lexus LX470 dan pemiliknya akan dihubungi dengan kadar segera oleh Lexus Malaysia. Manakala model Lexus yang lain tidak terlibat dengan isu ini.

Pemilik Toyota dan Lexus di Malaysia yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai perkara ini bolehlah menghubungi talian 1800-8-TOYOTA (869682).