ford-dsfl-taylors-3

Ford Motor Company meneruskan usahanya untuk meningkatkan kesedaran tentang keselamatan jalan raya di Malaysia menerusi program Kemahiran Pemanduan Seumur Hidup (DSFL). Program itu telah diperluaskan ke dua lagi institusi pengajian tinggi (IPT) iaitu Institut German-Malaysia dan Universiti Taylor.

Bengkel DSFL secara percuma itu yang diadakan pada Januari direka khas untuk menangani cabaran yang dialami oleh pemandu muda. Misalnya yang kurang pengalaman ketika berdepan dengan situasi tidak dijangka, gangguan ketika memandu dan paling penting adalah memastikan tempat duduk kanak-kanak dipasang dengan betul.

“Kemahiran Pemanduan Seumur Hidup merupakan satu program latihan amali yang direka untuk membantu para pemandu mendapatkan kemahiran-kemahiran penting agar kekal selamat di atas jalan raya. Ini amat penting terutama buat pemandu yang baru mendapat lesen memandu seperti pelajar-pelajar universiti,” kata Pengarah Urusan Malaysia dan Pasaran Membangun Asia Pasifik, Ford Motor Company, David Westerman.

Kajian yang dilakukan oleh Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menujukkan bahawa 80 peratus kemalangan jalan raya disebabkan oleh kecuaian manusia. Program DSFL menggalakkan pemanduan selamat dengan melengkapkan para peserta dengan pengetahuan supaya mereka dapat membuat keputusan yang bijak ketika memandu, demi mengurangkan kemungkinan berlakunya kemalangan.

Sesi DSFL bermula di dalam kelas di mana para peserta belajar tentang pelbagai topik termasuklah kawalan stereng, masalah under-steer dan over-steer, sehinggalah tip-tip memandu di lebuh raya serta ketika hujan.

Para peserta juga belajar mengenai bahaya memandu di bawah pengaruh alkohol dengan memakai kelengkapan yang direka khas untuk membantu mensimulasikan pengalaman memandu ketika aspek pergerakan, koordinasi dan kepekaan adalah terhad. Mereka kemudian menjalani sesi pemanduan secara amali untuk mengaplikasikan apa yang telah dipelajari.

DSFL merupakan program utama tanggungjawab korporat sosial (CSR) global Ford. Di Asia, Ford DSFL telah dilaksanakan dengan jayanya untuk melatih pemandu yang sudah mempunyai lesen dari semua peringkat umur selama sembilan tahun. Selain Malaysia, latihan DSFL turut diadakan di China, India, Indonesia, Myanmar, Taiwan, Thailand, Vietnam dan Filipina.