Proton-Mobile-Assist-2_BM

Proton telah mengumumkan servis Bantuan Bergerak yang menyediakan bantuan kecemasan di mana sahaja untuk pemilik Proton yang terkandas kerana kerosakan kereta. Servis tersebut yang bermula hari ini akan menggunakan 21 unit Persona dan tiga unit Exora, yang lengkap dengan peralatan untuk melakukan pembaikan segera. Untuk peringkat awal, kereta-kereta ini akan diuruskan oleh pihak Proton Edar.

Servis ini akan dikembangkan pada 1 April depan dengan tambahan 12 unit Exora, juga diuruskan oleh Proton Edar. Manakala sejumlah 52 unit kereta lagi akan memulakan servisnya bermula 1 Mei, kali ini diuruskan oleh outlet pengedar terpilih yang terdiri daripada pusat 4S dan 3S.

Proton juga melancarkan semula hotline khidmat pelanggan – 1800 888 398 – yang disasarkan untuk menjadi pusat panggilan untuk memenuhi kehendak pelanggan. CEO Proton Datuk Abdul Harith Abdullah secara berseloroh beliau mengharapkan nombor hotline tersebut akan diingati seperti nombor 755-25-25, nombor lama hotline Pizza Hut Malaysia.

Disamping untuk memohon bantuan untuk servis Bantuan Bergerak, pelanggan juga boleh menetapkan tarikh temu janji servis menerusi talian hotline tersebut (anda boleh juga menghubungi terus pusat servis yang anda mahu untuk membuat temu janji ini). Talian ini turut menerima segala rungutan daripada pelanggan berkenaan produk dan servis Proton.

Proton juga berjanji servis mereka akan bertambah baik sekiranya rungutan dan permintaan terus diajukan pada orang yang bertanggung jawab seperti esekutif perhubungan pelanggan dan pengurus kawasan, isu berbangkit akan dapat diketengahkan dan diselesaikan oleh pihak dalaman Proton. Servis tersebut juga akan menghubungi pelanggan yang bermasalah setiap hari sehingga masalah mereka diselesaikan.