DUKE2

Konsortium Lebuhraya Utara–Timur (KL) Sdn. Bhd. (KESTURI), pemegang konsesi bagi Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), dalam kenyataanya berkata akan melaksanakan laluan kontra dari KM 5.7 sehingga KM 3.2 (arah Barat) untuk memberi kelancaran kepada semua pengguna lebuh raya ini bermula 23 Februari 2016.

Menurut Pengarah Urusan Ekovest Berhad, Datuk Seri Lim Keng Cheng, pelaksanaan ini telah mengambilkira faktor trafik yang tinggi di Persimpangan Sentul Pasar, terutamanya pada waktu puncak pagi, yang telah mengakibatkan trafik di kawasan berkenaan bergerak agak perlahan. Sehubungan itu, DUKE akan mula mengaktifkan laluan kontra ini mulai jam 7 pagi sehingga 9 Pagi, setiap hari kecuali hari Sabtu, Ahad, cuti umum dan cuti persekolahan.

Semua pengguna dari arah bertentangan (Jalan Duta/Plaza Tol Duta) disarankan untuk menggunakan lorong tengah dan kiri, manakala lorong kanan akan ditutup bermula dari KM 3.1 (arah Timur) hingga KM 5.6 (arah Timur).

Laluan kontra ini dikhaskan kepada pengguna Smart Tag yang menuju ke arah Plaza Tol Batu. Para pengguna Smart Tag dari arah Ampang/Ulu Kelang/Setiawangsa boleh menggunakan lorong kontra ini untuk perjalanan yang lebih lancar. Laluan kontra ini akan dibuka untuk tempoh sebulan sehingga 22 Mac 2016.

“Semua pengguna juga diingatkan untuk memandu secara berhemah dan mematuhi tanda arah dan had kelajuan yang telah ditetapkan. Usaha ini diharapkan dapat membantu dalam kelancaran trafik, memberi keselesaan dan nilai tambah kepada semua pengguna DUKE, terutamanya kepada semua pengguna yang telah memberi sokongan kepada kami sejak lebuh raya ini dibuka kepada orang ramai,” ujar beliau lagi.